Followers

Friday, August 13, 2010

Tiga lagi kes buang bayi dilaporkan dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR; Tiga lagi kes pembuangan bayi telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam di Kelantan, Melaka dan Kuala Lumpur, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat berkata, semua pihak mestilah mengambil sikap serius dan tidak bersikap "lepas tangan" berhubung kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
Beliau berkata, isu itu jika tidak ditangani segera akan mengakibatkan kehancuran nilai agama dan budaya dalam masyarakat pada masa depan.
"Ini adalah tanggungjawab bersama ibu bapa, keluarga, masyarakat setempat dan pemimpin. Jangan ambil kes-kes ini sambil lewa," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berupa kelengkapan bersalin, jamu dan kuih raya kepada 170 pesakit di hospital tersebut.

Semalam, Shahrizat mengumumkan bahawa Jemaah Menteri telah mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Sehingga hari ini, terdapat 60 kes pembuangan bayi dilaporkan.
Shahrizat berkata, ibu bapa tidak boleh menyalahkan pihak lain sekiranya kehamilan luar nikah berlaku pada anak mereka, sebaliknya mestilah mengambil tanggungjawab dan memberi bantuan.

"Ibu bapa apabila sudah berlaku (kehamilan luar nikah) jangan pula tanya seluruh dunia siapa yang salah, ambil tanggungjawab sendiri, beri bantuan, (kepada anak)," katanya.

Katanya, pasangan yang menghadapi masalah kehamilan di luar nikah boleh menghubungi Talian Nur 1599 untuk mendapatkan bantuan kebajikan dan kaunseling.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL, Datuk Dr J Ravindran, berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital tersebut mencatatkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lalu.

"Tahun lepas 392 wanita melahirkan anak luar nikah. Daripada itu, 62 adalah berumur bawah 18 tahun. Pada tahun ini terdapat penambahan kes iaitu sehingga bulan Julai, terdapat 301 kes termasuk 34 kes bawah umur 18 tahun," katanya.

Beliau berkata, hasil temuramah HKL dengan pesakit mendapati antara faktor yang menyebabkan kes kehamilan luar nikah adalah kurangnya pengetahuan sains.

"Ada remaja yang tidak tahu biologi diri, tidak tahu akan mengandung jika melakukan hubungan seks," katanya.

Dr Ravindran berkata, faktor lain termasuk kurang didikan agama, pergaulan bebas, keluarga bermasalah, terlibat dengan dadah dan gemar menonton bahan lucah. - BERNAMA

Gerakan cadang perusahaan berkonsepkan 1Malaysia

ALOR SETAR: Parti Gerakan mencadangkan kerajaan memperkenalkan perusahaan berkonsepkan 1Malaysia bagi menggalakkan kerjasama antara usahawan semua kaum dan mewujudkan persaingan sihat serta mampu berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata model ekonomi yang membabitkan penyertaan semua kaum secara menyeluruh tanpa meminggirkan sebarang pihak itu perlu diperluaskan sejajar usaha mewujudkan masyarakat negara ini yang bersatu padu dengan semangat kerjasama jitu dan tulen dalam bidang ekonomi.
Katanya, melalui konsep itu juga perkara yang negatif dalam sistem pengagihan ekonomi selama ini, termasuk amalan ali baba dan terlalu mengharapkan bantuan kerajaan melalui sistem kuota serta penyalahgunaan kuota yang menyebabkan ketidakadilan dapat dielakkan.
"Kita perlu menggalakkan penubuhan perusahaan atau enterpris yang berteraskan konsepkan 1Malaysia iaitu kerjasama jitu dan tulen mengikut keupayaan masing-masing dan bukan mengikut konsep ali baba.

"Kita mahu menjana daya saing semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dalam memajukan ekonomi supaya mengenepikan sikap kurang sihat dan mengutamakan semangat berdikari bersama.

"Sehubungan itu, Gerakan mencadangkan kerajaan memperkenalkan idea yang kreatif untuk menjayakan konsep berkenaan dan memberi insentif bagi menggalakkan kerjasama ke arah itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Gerakan Kedah 2010 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn, dan Pengerusi Gerakan Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Dr Cheah Soon Hai.
Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sudah tiba Malaysia mengeksploitasi sepenuhnya kepelbagai yang ada di kalangan rakyat negara ini sebagai satu kekuatan untuk menjana daya saing ekonomi di peringkat dunia supaya dapat bersaing dengan negara rantau ini yang berkembang pantas ekonominya, termasuk Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Katanya, tanpa langkah berani itu Malaysia akan terus ketinggalan dari persaingan hebat ekonomi dunia.

Peraturan lesen jual rokok masih digubal: Hamzah

PUTRAJAYA: Peraturan lesen bagi penjualan rokok masih dalam peringkat penggubalan dan belum dimuktamadkan, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) diperuntukkan kuasa untuk mengeluarkan lesen itu mengikut Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Akta 692).
"Kementerian akan mengkaji segala cadangan pelaksanaan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terbabit, termasuk industri.
"Apabila peraturan itu digubal, barulah kita umumkan satu cara bagaimana nak menentukan supaya hanya mereka yang layak sahaja boleh jual rokok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hamzah berkata, peraturan itu diadakan bagi mengawal selia penjualan rokok di negara ini, di mana pembekal rokok akan dikenal pasti bagi mengelak penjualan rokok haram.

Beliau berkata, kementerian juga belum memutuskan sama ada sebarang bayaran akan dikenakan bagi perlesenan itu dan mekanisme perlesenan perlu diluluskan satu jawatankuasa Kabinet.

"Akta ini juga membenarkan LKTN untuk mengenakan ses namun ia terpulang kepada persetujuan kementerian dengan Kementerian Kewangan, tetapi buat masa ini ia masih belum diputuskan," katanya.
Kekeliruan mengenai lesen tersebut timbul selepas Pengerusi LKTN, Datuk Ismail Kassim, mengeluarkan kenyataan memberi tempoh sehingga 1 September ini untuk orang ramai mendapatkan lesen untuk membeli, menjual, memproses, mengilang dan mengimport kenaf dan tembakau. - BERNAMA

Nik Aziz sokong hukuman lebih berat kes buang bay

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyokong penuh cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes buang bayi bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa di negara ini.
Mursyidul Am PAS itu berkata, hukuman lebih berat itu adalah menepati ajaran Islam supaya dapat memberi pengajaran kepada pelaku dan bakal pelaku.
Katanya, undang-undang sekarang lebih “bersimpati” kepada penjenayah buang bayi yang menyebabkan gejala itu masih berleluasa.
"Saya juga bersetuju sekiranya hukuman bunuh dikenakan ke atas kes membabitkan kes buang bayi yang menyebabkan bayi itu mati," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan bunuh atau bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Jemaah Menteri bersetuju tindakan lebih berkesan diambil bagi membendung penularan kes itu. - BERNAMA