Followers

Monday, May 17, 2010

Makmal proses dadah dibongkar, dadah bernilai RM1 juta dirampas

GEORGETOWN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Timur Laut membongkar sebuah makmal memproses pelbagai jenis dadah dan merampas dadah terbabit bernilai RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Tokong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kon Meng, berkata serbuan itu dilakukan jam 10 malam semalam hasil makluman awam dan intipan anggotanya sejak tiga hari lalu.
"Berikutan intipan itu, polis menyerbu rumah berkenaan dan berjaya menahan seorang wanita warga China, 28, ketika sedang membuka pagar rumahnya itu.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah antaranya ialah heroin seberat lima kilogram, ganja seberat 0.3 kg, syabu seberat 0.3 kg, ketamin seberat 0.4 kg, pil kuda sebanyak 1,755 bungkus, pil ekstasi sebanyak 20
bungkus, dan serbuk ekstasi yang belum dibungkus seberat 15 kg," katanya.

Gan berkata, pelbagai peralatan memproses dadah seperti tong gas, ketuhar, pescucor, lima botol asid, kafein, bahan pewarna, lampu serta alat timbang turut dirampas.

Beliau berkata, polis turut merampas sepucuk pistol mainan dan turut menyita sebuah Nissan Sentra yang digunakan oleh wanita berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang berasal dari Shandong, China itu mempunyai pasport dan visa tamat tempoh Jun ini," katanya.

Wanita itu kini ditahan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, dadah pelbagai jenis itu dipercayai dipasarkan di sekitar negeri ini serta negeri berhampiran.

Katanya, rampasan itu adalah yang terbesar bagi JSJN Timur Laut dalam tempoh lima bulan pertama ini.

Beliau berkata, siasatan akan terus dilakukan bagi mengenal pasti sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kes di kawasan perumahan Bukit Jambul baru-baru ini.

"Kita juga akan siasat berapa lama sindiket ini telah beroperasi dan jika terdapat anggota lain lagi dalam sindiket ini," katanya. - Bernama

Susilo, Najib akan bincang isu kepentingan bersama esok

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, akan menghadiri Rundingan Tahunan Ketujuh bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok untuk membincangkan isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Susilo akan diiringi isteri beliau, Ani Yudhoyono, Menteri Luar Negeri Marty Natalegawa, Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan dan media Indonesia.
"Najib dijadualkan bertemu dengan Susilo dalam satu mesyuarat terhad untuk membincangkan isu dua hala bagi mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.
"Hubungan dua hala pada segenap peringkat antara Malaysia dan Indonesia sentiasa terjalin erat," menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini.

Kedua-dua negara mempunyai kerjasama erat dalam pelbagai bidang seperti pelaburan, perdagangan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan dan keselamatan menerusi pelbagai kumpulan kerja seperti Mesyuarat Suruhanjaya Bersama dan Jawatankuasa Kerja Sosio-Ekonomi Malaysia-Indonesia.

Malaysia dan Indonesia telah membentuk mekanisme dua hala seperti Rundingan Tahunan yang membantu meningkatkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.

Susilo juga akan menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Keenam di Kuala Lumpur Rabu ini sebelum berlepas pulang ke Jakarta pada lewat tengah hari. - Bernama

Pasangan pelajar tanam bayi di tebing sungai

MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya yang juga pelajar belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok.
"Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata, mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada jam 4 pagi di Taman Melaka Baru.

"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.

Mohd Adnan berkata, polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira 10 malam Rabu lalu.

Katanya, wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.
Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.

Katanya, polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira jam 1.45 pagi di rumahnya yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam. - Bernama

Iran hantar uranium ke Turki

TEHRAN: Iran bersetuju menghantar kebanyakan uranium yang diperkayakan ke Turki dalam perjanjian program pertukaran bahan bakar nuklear.

Langkah itu dijangka mengurangkan tekanan terhadap negara itu daripada komuniti antarabangsa yang mahukan pelaksanaan sekatan lebih tegas.
Perjanjian terbabit adalah susulan perbincangan dengan Brazil dan Turki, membabitkan kumpulan baru buat pertama kali sebagai pengantara dalam berdepan isu aktiviti nuklear Iran.
Bagaimanapun, pihak Amerika Syarikat dan kuasa besar lain dunia masih belum memberikan komen sama ada perjanjian baru itu memuaskan hati mereka seterusnya mengelakkan pelaksanaan sekatan untuk peringkat keempat. - AP

Satu kluster ILI dilapor di Perak

PUTRAJAYA: Satu laporan kejadian kluster penyakit serupa Influenza (ILI) dilapor di Perak sehingga 8 pagi ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, kluster itu dilapor di Tadika Usaha Junior di Kuala Kurau, Perak.
"Sehingga 5.30 petang semalam, sejumlah 26 kes disahkan Influenza A(H1N1) menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 14,411.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 629 kes," katanya di dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 67 kes (10.7 peratus) telah disahkan positif Influenza A (H1N1) dan bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 11 kes, lapan daripadanya mempunyai faktor risiko.

Dr Mohd Ismail berkata, penularan jangkitan itu cukup mudah berlaku di tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak.

Katanya, bagi mengekang penularan itu secara efektif, amat penting bagi mereka yang dijangkiti atau mempunyai gejala ILI tidak pergi ke tempat tumpuan awam sedemikian.
"Mereka yang mengalami gejala ILI hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik berhampiran. Rawatan awal penting bagi mengelakkan berlakunya komplikasi dan kematian," katanya.

Beliau berkata, jika mereka yang bersimptom tersebut terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan adab batuk dan kebersihan diri yang baik.

"Perkara ini amat penting bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain," katanya.

Katanya, masyarakat juga boleh membantu dengan melaporkan kejadian kluster ILI ke pejabat kesihatan daerah yang berhampiran.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai H1N1 boleh didapati menerusi laman web kementerian, di alamatwww.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my atau hubungi talian hotline kementerian 03-88810200 atau 03-88810300. - Bernama

Pengukuhan ringgit baik untuk ekonomi: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata pengukuhan ringgit adalah satu peningkatan semula jadi yang mencerminkan fundamental ekonomi yang kukuh negara ini dan baik untuk ekonomi negara.
"Ia adalah kenaikan semula jadi berikutan pemulihan ekonomi yang kukuh...fundamentalnya dan eksport kita menunjukkan prestasi yang sangat baik.
"Ia secara amnya baik untuk kita," kata Perdana Menteri semasa ditanya mengenai prestasi tinggi mata wang tempatan itu.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa sesi soal jawap selepas merasmikan Forum Institusi Monetari dan Kewangan Rasmi (OMFIF) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Ringgit muncul sebagai mata wang Asia paling kukuh berbanding dolar AS sehingga tahun ini dengan mencatatkan peningkatan lebih 7.0 peratus berikutan prospek pertumbuhan kukuh ekonomi negara.

Jumaat lalu, ringgit dicatatkan pada paras 3.1835/1860 bagi setiap dolar. - Bernama

Pakar strategi Baju Merah mati

BANGKOK: Laporan berita Thailand menyatakan jeneral tentera yang belot dan bekerja untuk penunjuk perasaan Baju Merah sudah meninggal dunia, lima hari selepas terkena tembakan penembak tepat.
Televisyen Channel 9, akhbar Thai Rath dan media lain melaporkan Maj Jen Khattiya Sawasdiphol meninggal dunia hari ini.
Khattiya dityembak di kepala Rabu lalu.
Serangan itu mencetuskan pertempuran di jalanan antara penunjuk perasaan antikerajaan dan tentera di tengah Bangkok. Sekurang-kurangnya 36 orang terkorban dalam keganasan itu.

Kumpulan Baju Merah itu menunjuk perasaan sejak pertengahan Mac lalu menuntut Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, meletakkan jawatan dan membubarkan Parliamen. - AP