Followers

Tuesday, December 8, 2009

Media Malaysia, Indonesia berperanan rapatkan hubungan: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Media Malaysia dan Indonesia mempunyai peranan yang besar dalam merapatkan hubungan kedua-dua negara serta bertindak untuk menghapuskan segala salah sangka di kalangan rakyat di negara masing-masing.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerjasama erat antara kedua-dua negara juga dapat menyelesaikan masalah yang ditimbulkan sesuatu pihak sebelum ia menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat yang membaca kandungan sesebuah laporan.

"Media mempunyai peranan sangat besar kerana ia akan mempengaruhi pemikiran dan persepsi orang yang membaca kandungan laporan mereka.

"Jadi, saya yakin kita (Malaysia-Indonesia) perlu mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik agar laporan yang dikeluarkan tidak mengganggu sensitiviti rakyat di dua buah negara ini," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2009 bertajuk "Peluang dan Cabaran Daripada Perspektif Media dan Perniagaan" di sini, hari ini.

Mahathir yakin media kedua-dua negara bukanlah hanya mementingkan kemajuan dan agensi masing-masing, tetapi juga sensitif terhadap hubungan dengan sesama negara.

"Sekiranya ada hubungan yang baik di kedua-dua belah negara, sesebuah laporan yang dikeluarkan itu dapat ditentukan salah atau benarnya.

"Hubungan yang baik dan harmonis, komunikasi yang lancar dan saling memahami juga akan dapat menghalang gerakan anasir berniat jahat yang datang untuk menimbulkan perbalahan kedua-dua buah negara ini," katanya.

Beliau turut mencadangkan perhimpunan dan forum yang bertujuan merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia diadakan tahun depan dengan menjemput media kedua-dua negara melawat agensi media negara masing-masing.

"Saya gembira melihat kehadiran media dari kedua-dua negara ini. Saya cadangkan supaya tahun depan satu perhimpunan yang sama diadakan, kalau sering berjumpa, maka salah faham dapat dihapuskan.

"Bila ada hubungan yang rapat sebegini, maka saya yakin rakyat juga akan mempunyai persepsi yang sama dan akan berasa senang untuk melawat negara masing-masing," katanya. - Bernama

Malaysia, Indonesia perlu bersama tangani isu minyak sawit: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh dibiarkan berseorangan mendepani "serangan" memburuk-burukkan minyak sawit di pasaran antarabangsa, kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

"Ini kerana Indonesia juga adalah pengeluar utama minyak sawit. Jika kedua-dua negara ini bergabung dan mempunyai satu suara, ia akan lebih berkesan," katanya dalam ucaptama di Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2009.

Katanya, hasil yang baik kelak bukan sahaja dinikmati oleh Malaysia tetapi Indonesia dan pengeluar minyak sawit dunia yang lain.

Minyak sawit ketika ini menghadapi kempen "anti minyak sawit" dari pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan aktivis di Eropah yang kini giat mempengaruhi penggubal keputusan menghentikan importnya menerusi perundangan.

Minyak sawit adalah pesaing utama bagi minyak soya.

Bagi tujuan sama, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun turut menyarankan supaya kedua-dua pemimpin negara itu lebih lantang menyuarakan pendirian yang sama di medan perbincangan antarabangsa.

"Ia akan menjadikan kedua-dua negara lebih dihormati. Kebiasaannya di peringkat Asean, apa sahaja yang dipersetujui Malaysia dan Indonesia, ia akan diterima dan tidak dipersoalkan lagi oleh negara anggota lain," katanya.

Pada sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata beliau pernah menasihati Indonesia dalam menangani krisis kewangan 10 tahun lalu, supaya tidak tunduk kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Ya, saya ada meminta Presiden Suharto berbuat begitu. Tetapi mungkin krisis yang berlaku memberi kesan lebih teruk berikutan kejatuhan nilai rupiah berkali ganda daripada kejatuhan nilai ringgit dan memaksa Indonesia menerima bantuan IMF," katanya.

Ditanya apakah yang beliau akan lakukan bagi memajukan Indonesia sekiranya beliau adalah Presiden negara itu ketika ini, Dr Mahathir menjawab, "saya akan lakukan seperti apa yang saya lakukan ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu."

Hampir semua soalan diterima daripada delegasi Indonesia yang rata-rata mengkagumi pentadbiran beliau membangunkan Malaysia.

Ditanya apakah impian beliau yang belum tercapai ketika usia bakal mencecah 85 tahun pada 20 Disember ini, beliau berkata:

"Saya ingin melihat Malaysia mencapai negara maju pada tahun sasaran 2020." - Bernama

RMK-10 beri tumpuan baiki infrastruktur Sabah, Sarawak

TOKYO: Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10) akan memberi tumpuan untuk memperbaiki infrastruktur utama seperti jalan dan air di Malaysia, terutama sekali di Sabah dan Sarawak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan mempastikan ada keseimbangan pembangunan di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

"Oleh kerana kawasan yang luas, kemudahan infrastruktur di Sabah and Sarawak tidak begitu lengkap, seperti bekalan elektrik dan air yang tidak sampai dan jalan asas yang tidak begitu lengkap.

"Namun, Semenanjung Malaysia pun ada kawasan yang perlukan kemudahan asas yang lebih baik, terutamanya dalam kawasan pedalaman. Kerajaan akan ambil perhatian juga," katanya dalam satu sesi soal jawab dengan pelajar dan warganegara Malaysia yang bekerja di Jepun.

Muhyiddin kini dalam satu misi perdagangan dan pelaburan khas ke Jepun mulai semalam hingga Khamis. - Bernama

Label Dr Mahathir sebagai perkauman melampau: TPM

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata adalah agak terlampau untuk melabelkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai perkauman.

Beliau berkata, Dr Mahathir sudah banyak berjasa kepada negara dan masih mampu menyumbangkan idea.

"Jadi hendak menyebut beliau sebagai perkauman itu agak terlampau. Dia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) kawan saya juga tetapi tidak tahu kenapa perkara itu terkeluar.

"Dalam situasi politik negara hari ini macam-macam pihak boleh menyalahtafsir," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Muhyiddin yang dalam misi perdagangan dan pelaburan khas ke Jepun mengulas kenyataan Mohamed Nazri semalam yang melabelkan Dr Mahathir sebagai perkauman kerana mempertahankan modul kurikulum Biro Tata Negara (BTN).

Dr Mahathir sebelum itu berpendapat kerajaan tidak perlu terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga perlu merombak modul kurikulum yang diguna pakai oleh BTN dan telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di Malaysia.

Muhyiddin berkata, semua pihak terutamanya pemimpin seharusnya tidak terperangkap dengan strategi pembangkang sehingga berlaga-laga dan berdebat sesama sendiri.

Beliau berkata, adalah lebih berfaedah sekiranya semua pihak mengambil pendekatan kurang bercakap.

"Jadi sebaik mungkin, supaya kita tidak dilihat berdebat secara terbuka, saya rasa tidak perlulah berdebat atau berpolemik mengenai agensi-agensi kerajaan seperti BTN," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak berkuasa di beberapa negeri, pembangkang mempunyai strategi untuk "memperlekehkan" semua institusi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi diraja mahupun BTN supaya semua rakyat akan buruk sangka terhadap kerajaan dan pemimpin.

"Ini strategi mereka. Selama ini kita tidak berdebat soal-soal begitu. BTN adalah untuk kepentingan negara dan bukan bertujuan membawa kesan buruk kepada negara.

"Jadi kalau kita terperangkap dengan agenda pembangkang, saya rasa ia mungkin membawa kesan yang tidak baik seperti kes ini di mana pemimpin terpaksa berlaga sesama sendiri dan mereka tersenyum sahaja apabila agenda mereka berhasil," katanya.

Muhyiddin berkata, apa yang lebih ditakuti ialah jika ada gerakan tertentu yang dibuat secara halus oleh pembangkang untuk melaga-lagakan pemimpin dan memperlekehkan institusi dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, rakyat sudah bosan dengan politiking yang terlalu banyak dan pemimpin sepatutnya menghentikan debat politik dan menumpukan soal-soal yang lebih penting seperti pembangunan.

"Tapi kita kadang-kadang terperangkap dan bergaduh sesama sendiri yang bagi saya ia tidak berfaedah," katanya. - Bernama

BTN: Henti bertelagah sesama sendiri - Muhyiddin

TOKYO: Pemimpin kerajaan perlu berhenti melakukan debat politik secara terbuka sehingga boleh menyebabkan pertelagahan sesama sendiri dan akhirnya terperangkap dengan gerakan strategi pembangkang sehingga rakyat menjadi buruk sangka kepada kerajaan, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka sentiasa mencari jalan dan mengadakan agenda sedemikian dengan sasaran mahu menjatuhkan institusi dan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi diraja.

"Saya bimbang ada gerakan tertentu yang dibuat secara halus atau kasar yang dilakukan pembangkang untuk melaga-lagakan kita dan memberi gerakan menjatuhkan dengan mempertikaikan institusi supaya akan terbenam dalam benak dan pemikiran rakyat betapa jahat dan buruknya kerajaan.

"Oleh demikian, kita kena berhati-hati dan tidak bergaduh sesama sendiri dan mereka duduk tersenyum macam perjuangan mereka sudah berhasil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra dengan kira-kira 120 pelajar dan profesional Malaysia yang bekerja di Jepun, di sini, hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, yang menggelar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai bersifat perkauman apabila mempertahankan kursus Biro Tata Negara (BTN) .

Beliau berkata, jika pemimpin kerajaan turut terperangkap dengan agenda pihak pembangkang maka ia boleh membawa kesan kepada tidak baik.

"Termasuk kes macam ini (BTN) pemimpin terpaksa berlaga sesama sendiri. Lebih kurang kita berdebat mengenai soal berkenaan lebih baik di kalangan pemimpin tertinggi atau mana-mana pihak kerana ia baik untuk negara kalau tidak ada perasaan buruk sangka," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka supaya sentiasa beringat dalam situasi politik yang hendak diwujudkan suasana yang lebih tenteram sekali gus mengekal membantu kestabilan politik negara.

"Berhenti debat politik dan tumpu soal pembangunan dan ia adalah isu yang utama tetapi kita kadang-kadang terperangkap dan bergaduh sesama sendiri dan bagi saya ia tidak ada faedah," katanya.

Vaksin untuk H1N1 selamat digunakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa vaksin bagi merawat dan mencegah penyakit Influenza A (H1N1) adalah selamat digunakan walaupun mempunyai kesan sampingan seperti demam, ruam dan rasa sakit di bahagian badan yang disuntik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kes berhubung kesan sampingan seperti yang dilaporkan berlaku di Kanada baru-baru ini adalah kes terpencil.

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana vaksin yang digunakan selamat walaupun beberapa insiden di Kanada menunjukkan kesan sampingan seperti demam, ruam dan kesakitan pada tempat yang disuntik.

"Ia selamat dan mampu memberi tahap pertahanan kepada golongan barisan hadapan dan berisiko tinggi untuk menghadapi pandemik Influenza A(H1N1).

"Kerajaan juga yakin pemberian vaksin ini akan mampu mengawal dan memastikan golongan barisan hadapan bersedia untuk menghadapi wabak tersebut sekiranya berlaku gelombang kedua penularan virus A(H1N1)," katanya menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Pas-Kuala Krai) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menanyakan tahap keselamatan bagi pengambilan vaksin untuk virus Influenza A(H1N1) berikutan tempoh singkat untuk menghasilkan vaksin berkenaan selain tiada ujian dilakukan ke atas manusia.

Rosnah juga memberitahu bahawa jumlah kematian akibat H1N1 kekal seramai 77 orang sejak penyakit itu dikesan pada April lalu.

Katanya, kematian akibat H1N1 sejak 15 September lalu menunjukkan trend penurunan ketara berbanding Ogos dan awal September lalu.

Terdahulu, beliau menjawab soalan Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) mengenai trend dan statistik kematian setiap tahun bagi lima tahun lalu yang disebabkan beberapa penyakit utama seperti denggi dan penyakit jantung berbanding kematian yang disebabkan kemalangan jalan raya serta bencana alam.

Aaron juga mahu tahu langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Rosnah berkata, kematian akibat penyakit berjangkit seperti denggi, HIV dan Aids menunjukkan trend penurunan dalam tempoh lima tahun lalu.

Beliau berkata, perangkaan menunjukkan kematian akibat penyakit denggi sehingga 28 Nov lalu adalah seramai 78 orang berbanding 102 pada 2005, manakala 600 kematian akibat HIV dilaporkan bagi tempoh sama tahun ini berbanding 1,231 pada 2005.

Bagaimanapun, beliau berkata kematian akibat penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung dan kemalangan menunjukkan peningkatan.

Bagi kes penyakit jantung, 7,597 kematian direkodkan pada tahun lepas berbanding 5,549 tahun 2005, manakala terdapat 6,282 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2007 berbanding 6,223 kematian pada tahun 2004. - Bernama

TPM tak puas hati tahap keupayaan mengeksport Proton

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak berpuas hati dengan tahap keupayaan Proton untuk mengeksport kenderaan keluarannya.

Sehubungan itu, katanya Proton perlu lebih kompetitif dan meningkatkan eksportnya keluar di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Memang, setakat hari ini, saya sendiri tidak berpuas hati dengan eksport Proton," katanya dalam satu sesi soal jawab dengan pelajar dan warganegara Malaysia yang bekerja di Jepun.

Muhyiddin kini sedang dalam satu misi perdagangan dan pelaburan khas ke Jepun dari 7 hingga 10 Disember, 2009.

Walaupun Proton telah diberi sokongan, katanya, syarikat berkenaan perlu meningkatkan keupayaan sendiri dan tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan.

"Sepatutnya mereka sudah mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara, malah ke peringkat antarabangsa, terutama dalam soal eksport," katanya.

Muhyiddin berkata, Proton juga wajar mendapat rakan yang boleh bekerja dengan strategik.

"Mereka patut lebih tahu," katanya apabila ditanya sama ada kerajaan akan mencari rakan strategik untuk syarikat pembuat kereta nasional itu.

Sementara itu, Proton kini menguasai 31 peratus pasaran kereta tempatan.

Pada tahun kewangan 2008-2009, Proton dilaporkan menjual 108,405 unit kereta Proton di pasaran tempatan dan hanya mengeksport 18,426 unit. - Bernama

Selangor mahu kaukus ditubuh bincang modul BTN

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan membenarkan semula Kursus Biro Tata Negara (BTN) diikuti sekiranya satu kaukus ditubuhkan bagi membincangkan modul baru dalam kursus itu dan kaukus itu perlu membabitkan semua pihak termasuk wakil parti pembangkang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata melalui jawatankuasa berkenaan, satu perbincangan boleh diadakan dalam menentukan modul yang lebih tepat dan berkesan bagi mencapai objektif BTN dalam melahirkan rakyat yang mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi terhadap negara.

"Kita akan terima semula BTN jika ia tidak menyentuh langsung hal berkaitan parti pemerintah dan politik atau memburukkan mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Selangor di sini hari ini.

Kerajaan Selangor pada 25 November lalu melarang semua pegawai, pekerja dan mahasiswa yang berkaitan dengan kerajaan negeri itu daripada mengikuti kursus BTN dan langkah yang sama turut diambil oleh kerajaan Pulau Pinang pada 2 Disember lalu.

Arahan itu dikeluarkan kerana mendakwa kursus BTN adalah proses doktrinisasi yang sengaja diada-adakan Barisan Nasional tanpa memberi kebaikan kepada peserta dan menjadi tempat untuk memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang dikatakan boleh memecah-belah rakyat.

Abdul Khalid berkata kaukus itu perlu membabitkan wakil dari pihak kerajaan dan semua parti politik di negara ini bagi merangka modul yang lebih sesuai serta memastikan ia tidak menyimpang dari matlamat sebenar penubuhannya.

"Saya sendiri pernah terbabit dengan BTN dan memberikan ceramah, begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan Rakyat), malah Datuk Hassan Ali (Pesuruhjaya Pas Selangor) sendiri adalah antara individu terawal terbabit dengan kursus BTN," katanya.

Abdul Khalid berkata memang terdapat modul atau bahagian tertentu di dalam kursus BTN yang tidak relevan dengan matlamatnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata kerajaan Selangor akan mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu supaya menyediakan peta kawasan berbahaya sebagai rujukan kepada pemaju dan orang ramai.

Beliau berkata satu perbincangan akan diadakan dengan semua PBT di negeri itu bagi menyediakan peta berkenaan yang merupakan kajian fizikal terhadap kawasan berisiko tinggi berlakunya bencana.

Katanya melalui peta itu pemilik atau pemaju hartanah yang terbabit boleh mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan mereka berhadapan dengan risiko bencana. - Bernama

Projek saluran paip minyak perlu kajian: Abhisit

BANGKOK; Thailand perlu mengkaji seterusnya cadangan saluran paip minyak oleh Malaysia yang menghubungkan Kota Perdana di Kedah, ke Songkhla, Selatan Thailand berikutan krisis ekonomi semasa, kata Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara, iaitu agensi perancangan negara berkenaan sedang meneliti projek berkenaan.

Dalam temubual eksklusif dengan Bernama pada Isnin di kediaman rasmi Ban Pitsanulok, Abhisit berkata perlunya juga untuk mengadakan lagi perbincangan antara semua pihak yang terbabit, terutamanya PTT, syarikat minyak negara Thai dan syarikat Malaysia yang mencadangkan projek yang menelan berbilion dolar itu.

"PTT ialah rakan kongsi yang berpotensi. Tetapi, berikutan situasi ekonomi sejak setahun setengah yang lalu, banyak angka yang telah berubah. Inilah sebabnya kajian seterusnya diperlukan dan agensi perancangan telah diminta untuk meneliti perkara itu," kata beliau ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan itu.

Cadangan saluran paip itu yang dicetuskan oleh SKS Development Sdn Bhd yang mempunyai hubungan dengan taikun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, telah dibincangkan ketika pertemuan Abhisit dengan rakan sejawatannya, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya Jun lalu.

Abhisit berkata, disebabkan angka telah berubah dengan kemungkinan berlaku perubahan dari segi rancangan perniagaan, PTT dan syarikat Malaysia itu perlu membincangkan jenis hubungan yang mereka mahukan.

Ditanya jika projek berkenaan akan direalisasikan berasaskan kerajaan dengan kerajaan, Abhisit berkata ia terpulang kepada sektor swasta untuk memberikan keputusannya.

Namun, katanya, selagi membabitkan Thailand, projek sedemikian perlu melalui proses biasa menurut perlembagaan.

"Ia tertakluk kepada perbicaraan awam sementara meneliti pandangan pertubuhan bebas, selain daripada melalui penilaian biasa mengenai persekitaran dan impak kesihatan," katanya.

Menurut laporan sebelumnya, SKS dikatakan akan melaburkan kira-kira RM33 bilion bagi loji penapisan minyak yang akan terletak di kawasan seluas 809 hektar di Kota Perdana.

Ia juga bercadang untuk membina jeti di Kuala Jerlun. Ini ialah untuk mengepam minyak mentah yang diangkut oleh kapal dari Timur Tengah ke saluran paip sepanjang 50 kilometer yang akan menyalurkan minyak itu ke loji penapisan di Kota Perdana, sebelum menghantarnya ke Songkhla menerusi saluran paip Trans-Thai. - Bernama

Sokongan Malaysia kepada Palestin tidak berubah

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menyuarakan sokongan terhadap Palestin walaupun isu Palestin tidak mendapat perhatian negara besar, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata, pendirian itu memang jelas dan tidak berubah, dan Malaysia tidak gentar untuk menyuarakan pandangan itu di mana saja termasuk di forum negara Islam mahupun persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sebagai negara Islam yang kecil, suara kita sentiasa berkumandang. Sama ada ia akan didengar oleh kuasa besar, itu terpulang tetapi kita sememangnya tidak gentar dan gerun dalam mengemukakan pendapat sama ada di forum-forum negara Islam atau PBB. Kita sentiasa suarakan apa yang perlu disuarakan, termasuk isu di Palestin.

"Sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin bukannya secara sembunyi-sembunyi. Kita memang telah lama mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat tiga Ahli Parlimen Palestin di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Delegasi yang diketuai Dr Salem A Salamah, itu disertai Ismail AM Alashqar dan Mushir OK Almassri.

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa, Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, serta Ahli Parlimen Shah Alam (Pas) Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Krai (Pas) Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat (Pas), Datuk Kamarudin Jaafar.

Pandikar Amin berkata, pada pertemuan kira-kira 40 minit itu, wakil Parlimen Palestin turut mencadangkan penubuhan kumpulan persahabatan antara Ahli Parlimen Palestin dan Malaysia bagi berkongsi pandangan dan maklumat tentang perkembangan kedua-dua negara.

Katanya, perkara itu (persahabatan) sememangnya sudah menjadi dasar Malaysia dan sebagai bukti, pada tahun lalu Parlimen Malaysia telah sebulat suara menyokong usul mengutuk serangan dan pencerobohan Israel ke atas Palestin.

"Sebenarnya itu memang dasar kita. Sejak dulu lagi kita mengiktiraf Palestin dan ia tidak pernah berubah," katanya. - Bernama

Manila, MILF sambung rundingan damai esok

KUALA LUMPUR: Kerajaan Filipina dan penjuang pemisah Islam memulakan semula rundingan damai yang terhenti sejak 16 bulan lalu.

Seorang pegawai Malaysia yang enggan dikenali berkata, perunding kedua-dua pihak akan bertemu di sini esok.

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sudah berjuang selama berdekad-dekad untuk menuntut kemerdekaan bagi wilayah Mindanao yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Rundingan terhenti Ogos tahun lalu selepas Mahkamah Agung Filipina mengisytiharkan perjanjian awal bagi perluasan wilayah autonomi Muslim bercanggah dengan perlembagaan. - AP

Kerajaan belum luluskan projek air bawah tanah

KUALA LUMPUR; Kerajaan belum meluluskan cadangan Sime Darby Berhad untuk melakukan pengekstrakkan air bawah tanah secara komersial di Batang Padang, Perak, kerana masih mengkaji kesan buruk projek itu pada jangka masa panjang.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup, berkata pihaknya masih memantau segala cadangan yang dibuat oleh syarikat swasta itu bagi memastikan ia mematuhi 23 syarat yang telah ditetapkan supaya projek itu tidak menjejaskan struktur tanah.

"Perlu saya jelaskan, kelulusan yang diberikan sebelum ini bukan untuk tujuan komersial sebaliknya hanya bagi kerja-kerja eksplorasi di kawasan yang berpotensi mengeluarkan air bawah tanah berkenaan.

"Sime Darby perlu mengemukakan maklumat terperinci berkaitan hasil kajian teknikal termasuk impak alam sekitar mengenai kawasan yang diekstrak dan mengemukakan langkah-langkah kawalan alam sekitar sebelum kelulusan boleh diberikan," katanya menjawab soalan tambahan Dr Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Siti Mariah ingin tahu apakah status projek pembangunan sumber air bawah tanah di kawasan berkenaan dan adakah Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah dibuat.

Kurup berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi oleh Sime Darby ialah memastikan wujud sistem khusus bagi mengawasi paras air bawah tanah, pemendapan tanah, kualiti air dan kesan terhadap alam sekitar.

Langkah mengkaji sumber alternatif air bawah tanah itu adalah sebagai persediaan menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu serta memastikan negara mempunyai bekalan air yang mencukupi.

"Air bawah tanah boleh membantu air permukaan jika bekalan tidak mencukupi ketika kecemasan, kebakaran dan untuk keperluan di masa-masa tertentu seperti keselamatan," katanya.

Beliau berkata, banyak negara lain yang telah menggunakan air bawah tanah sejak beratus-ratus tahun lalu antaranya Australia, Amerika Syarikat, China, India dan Thailand. - Bernama

Banjir di Pahang semakin pulih

KUANTAN: Keadaan di kawasan dilanda banjir di Pahang semakin pulih dengan hanya 31 orang daripada 10 keluarga di daerah Bera masih berada di pusat pemindahan.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Pahang berkata, seramai 27 orang daripada mereka berada di Kompleks Rakan Muda Kerayong, Bera dan masing-masing dua orang ditempatkan di Kampung Paya Pagar dan Estet Kerian.

"Semua pusat pemindahan di Kuantan telah ditutup secara berperingkat bermula petang semalam," katanya.

Beliau berkata, pusat pemindahan terakhir yang ditutup di Kuantan adalah Balai Raya Kampung Soi setelah semua mangsa banjir yang ditempatkan di situ dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada 8.30 pagi tadi. - Bernama

Dewan Rakyat tolak usul potong gaji Menteri Pelajaran

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat petang ini sebulat suara menolak usul pembangkang agar memotong gaji Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak RM10.

Majoriti Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketika membahaskan usul itu menganggap usul dibangkitkan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) itu bersikap perkauman, berniat jahat dan hanya mahu memalukan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Ngeh mahu gaji Menteri Pelajaran dipotong kerana mendakwa Muhyiddin tidak prihatin ketika mengendalikan beberapa perkara membabitkan tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, PPSMI dan bantuan untuk sekolah jenis kebangsaan serta mubaligh.