Followers

Thursday, July 1, 2010

Najib ketuai pemimpin negara beri penghormatan terakhir kepada Tun Omar Ong

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengetuai pemimpin negara dan rakyat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin yang meninggal dunia hari ini.
Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Persiaran Duta tengah hari tadi.
Turut sama menziarah ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan isteri, Tun Jeanne Abdullah; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Muhyiddin berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kerana beliau adalah anggota jemaah menteri yang pertama dan telah memegang pelbagai jawatan penting dalam parti dan kerajaan.

"Semasa hayatnya semasa sihat, saya selalu berbicara dengan beliau dan mendapatkan pelbagai pandangan, mendengar cerita waktu beliau dengan (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak Hussein dan bagaimana Kabinet berjalan waktu itu walaupun kecil, serta bagaimana dasar memupuk semangat dan perpaduan antara kaum ini terserlah dengan pembentukan parti Perikatan di waktu itu, " katanya.

Tun Abdullah pula berkata, Allahyarham adalah seorang yang cukup berjasa kepada negara dan bangsa kerana perjuangannya untuk menuntut kemerdekaan.

"Saya kenal baik dengan dia, beliau banyak bercerita tentang pengalaman dulu, susah payah dia dengan kawan-kawan dulu dan bagaimana mereka sentiasa bersatu padu seperti saudara.
"Dia pun ada beritahu, walaupun saya tahu daripada orang lain bahawa datuk saya yang memberi cadangan kepada Tunku untuk memilih 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan," katanya.

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham yang disifatkan baginda seorang negarawan yang banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada negara.

Baginda tidak dapat menghadiri upacara penghormatan dan pengebumian Allahyarham kerana sedang berada di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut bagi menyambut ketibaan kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Istana Bukit Kayangan, baginda telah menitahkan adinda baginda, Tengku Puteri Norzehan, bagi mewakili baginda ke upacara pengebumian itu.

Sementara itu, Dr Chua berkata Tun Omar adalah seorang yang paling cemerlang dan pemimpin hebat yang dimiliki MCA dan seorang yang bukan sahaja diterima oleh anggota parti itu tetapi juga kaum lain.

Dr Chua berkata sebagai seorang daripada pengasas parti dan pemimpin kanan yang dihormati, Tun Omar sentiasa berhubung rapat dengan parti dan pimpinannya walaupun usianya yang lanjut.

"Itu menunjukkan betapa sayangnya beliau terhadap parti masih kekal utuh. Beliau juga salah seorang pemimpin parti MCA yang hebat dan diterima oleh semua kaum," katanya ketika dihubungi.

Dr Chua berkata, sumbangan Tun Omar kepada parti dan negara terlalu besar kerana beliau juga memainkan peranan penting dalam usaha mencapai kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia. - BERNAMA

Lelaki mati dibunuh kejam hingga otak terkeluar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati dibunuh dengan kejam sehingga terkeluar otaknya di sebuah rumah teres di Kampung Laksamana, Selayang, di sini hari ini.
Dalam kejadian 9.45 pagi itu, Amir Khan Abdullah @ Balwant Singh a/l Sarjan Singh, 53, ditemui di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah dengan tujuh tikaman di kepala dan tiga tikaman di dada sebelah kiri.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah, berkata kepala dan muka sebelah kiri mangsa turut dihentak dengan menggunakan objek keras dan tumpul sehingga menyebabkan darah terpercik dan otak terkeluar.
"Polis menerima panggilan daripada adik lelaki mangsa berusia 47 tahun bahawa Amir Khan ditemui mati di dalam rumah. Polis bergegas ke rumah berkenaan dan menemui mayat mangsa di atas tilam dalam sebuah bilik.

"Banyak kesan darah terpercik ditemui di dinding tempat mayat mangsa ditemui, mangsa dipercayai bergelut dengan seseorang sebelum dibunuh," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat lelaki itu ditemui dengan kepala ditutup dengan bantal dan hanya memakai seluar pendek serta tidak berbaju.

"Polis menahan adik lelaki mangsa bagi membantu siasatan dan menemui sebilah pisau sepanjang 31 sentimeter di bawah tilam di biliknya," katanya.
Abdul Rahim berkata, mangsa dan adiknya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, tinggal berdua di rumah itu dan keadaan rumah berkenaan berselerak dan kotor seperti sarang penagih.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati Amir Khan mempunyai dua rekod jenayah membabitkan dadah dan mencuri manakala adiknya mempunyai satu rekod jenayah mencuri.

Mayat Amir Khan dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Kenyataan Anwar kesal kutuk Zionis undang kecaman

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung rasa kesal beliau menggunakan istilah "pencerobohan Zionis" ketika melawat Amerika Syarikat minggu lalu seperti yang dilaporkan akhbar Washington Post mengundang pelbagai kecaman.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mahu Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh memberi penjelasan kerana kenyataan itu seolah-olah penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memohon maaf.
"Anwar mengatakan beliau kesal menggunakan terma (pencerobohan Zionis) kepada rakannya di Amerika dan ini jelas menunjukkan beliau meminta maaf daripada mereka.
"Justeru, beliau patut jelaskan kepada rakyat Malaysia kenapa dia pergi ke sana dan meminta maaf kepada rakan-rakanya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Khairy berkata, tindakan Anwar itu jelas menunjukkan bahawa beliau seorang pemimpin yang suka "bermuka-muka" kerana sebelum ini pernah terbabit dalam demonstrasi besar-besaran di depan kedutaan Amerika Syarikat di sini, mengecam Israel menggunakan istilah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata sememangnya perkara itu telah diketahui sejak awal apabila "rakan-rakan Yahudi" Anwar di Amerika Syarikat mula mempersoalkan tindakannya.

Katanya, apabila mendapat laporan bahawa rakan-rakannya mulai marah, Anwar terpaksa pergi ke sana untuk memperbetulkan keadaan.
"Kita dah tahu cerita tu sebab geng Yahudi dia kat Amerika Syarikat yang sokong dia dulu dah mula marah. Bila dapat laporan tu, Anwar pergi untuk perbetulkan keadaan.

"Justeru, kita boleh lihat dia punya perangai. Di sini dia kecam, di sana dia pujuk. Itu dah memang stail dia. Jadi saya harap rakyat tahu semua itu," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, lawatan Anwar ke Amerika Syarikat lebih sebagai usaha untuk mengumpul sokongan kerana beliau benar-benar terdesak dengan pelbagai kes yang dihadapinya.

"Lawatan tu sebab dia terdesak kerana dia kini berdepan banyak masalah termasuk kes mahkamah. Sebab tu dia pergi untuk dapatkan sokongan dari negara luar, terutamanya pihak Israel. Ini jelas menunjukkan dia benar-benar terdesak," katanya.

Di BANGI, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Anwar memang terkenal dengan sifat lidah bercabang.

"Bila berjumpa orang India, dia adalah seorang pejuang masyarakat India, berjumpa orang Cina, beliau adalah hero masyarakat Cina dan bila berjumpa orang Islam, beliau adalah pejuang Islam.

"Apabila beliau berucap di Parlimen mempertikaikan pelantikan APCO Worldwide, beliau seolah-olah menjadi juara rakyat Malaysia keseluruhannya dengan mengutuk APCO sebagai penceroboh zionis," katanya selepas melepaskan Ekspedisi IMalaysia ke London di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Anwar mungkin mulai sedar beliau telah diketepikan masyarakat Yahudi yang tidak semuanya Zionis.

"Beliau menyedari rakan beliau di Amerika Syarikat telah bersikap dingin terhadap beliau kerana sikap beliau yang berlidah biawak itu dan kini langkah beliau adalah membersihkan dirinya," katanya.

Ahmad Zahid berkata, ketika berkunjung ke Amerika Syarikat awal Mei lalu, beliau berkesempatan bertemu dengan ahli senat dan kongres dan "tidak seorang pun bercakap mengenai Anwar lagi.

"Bagi saya antara negara dengan kepentingan parti, beliau harus utamakan negara. Walaupun kita berbeza pendapat dari segi politik tetapi demi negara kita harus mempertahankan negara bukan dengan memburukkan negara," katanya. - BERNAMA

FELDA tidak bankrap, kewangan kukuh dan stabil: GWGF

SUBANG: FELDA tidak bankrap, sebaliknya kedudukan kewangannya adalah kukuh dan stabil, kata Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, hari ini.
"FELDA mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh yang disokong oleh aset syarikat yang sentiasa meningkat dan bernilai tinggi," katanya pada sidang media di sini.
Rozali berkata, GWGF telah mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan FELDA sejak seminggu lalu dan mendapat penjelasan daripada pihak pengurusan tertinggi FELDA mengenai kedudukan kewangan dan prestasi lembaga itu.
Katanya, walaupun berlaku penurunan kedudukan tunai syarikat dengan pembelian aset yang kukuh dan mempunyai nilai pulangan yang tinggi, ini tidak membimbangkan dan tidak menunjukkan susut nilai pegangan ekuiti Koperasi Permodalan FELDA Bhd yang dianggotai oleh peneroka dalam FELDA Holdings.

"Bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kedudukan kewangan FELDA pada masa akan datang, GWGF mencadangkan pada bila-bila masa kedudukan tunai FELDA mestilah tidak kurang daripada RM1 bilion," katanya.

Rozali berkata, GWGF turut mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pelaburan ditubuhkan dan sebarang pelaburan FELDA yang besar serta membabitkan perbelanjaan tinggi perlu diluluskan oleh jawatankuasa terbabit.

Katanya, GWGF melalui anggotanya yang terdiri daripada peguam bela dan peguam cara akan meneliti tindakan undang-undang sewajarnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengelirukan fakta dengan tujuan memecahbelahkan masyarakat peneroka FELDA.
"Kita akan lihat tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang cuba memainkan isu ini," katanya.

Beliau juga meminta warga FELDA tidak terpengaruh dengan dakwaan dan tuduhan tidak berasas yang dibuat oleh mereka yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi.

GWGF adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada Ogos 2002 dan dianggotai kira-kira 400 orang generasi baru peneroka FELDA dari 317 Rancangan Tanah FELDA di seluruh negara.

GWGF juga bertindak sebagai penasihat kepada enam persatuan peneroka FELDA lain.

Sementara itu, satu memorandum bantahan terhadap akhbar Suara Keadilan dihantar ke ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Damansara hari ini oleh anggota GWGF yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Abdullah Abu Bakar.

Memorandum itu membantah laporan Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lalu yang memaparkan laporan muka depan "Felda Bankrap". - BERNAMA

PM lancar kapal Iran yang dibina NGV Tech

BANTING: Perdana Menteri sebentar tadi melancarkan sebuah kapal sepanjang 52 meter dinamakan "Safir Kish 3" milik syarikat Kish Acme Tower dari Iran yang dibina NGV Tech Sdn Bhd.
Sejak beroperasi di Sijangkang pada 2005, syarikat pembinaan kapal negara itu sudah menerima pesanan bernilai RM2.9 bilion.

400,000 pelajar IPTA bakal nikmati kemudahan 4G

JOHOR BAHRU: Kira-kira 400,000 penuntut 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara bakal menikmati kemudahan capaian jalur lebar data suara 4G melalui Program Rakan Pendidikan (EPP) YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) menjelang akhir tahun ini.
Buat permulaan, kira-kira 20,000 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi pelajar universiti pertama menikmati kemudahan itu bersama data, suara dan kemudahan mudah alih, hasil kerjasama penyedia rangkaian liputan 4G itu.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata perjanjian yang dimeterai antara YTL Comms dan UTM, adalah menepati konsep 1Malaysia bagi membangunkan tamadun masyarakat negara ini sejajar dengan kemajuan masyarakat maju di luar negara.
"Dengan perjanjian terbabit, kami yakin kadar penembusan jalur lebar ketika ini yang mencapai 37.5 peratus, akan dapat membantu kerajaan melepasi sasaran Inisiatif Jalur Lebar Negara sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dengan UTM diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang, manakala YTL Comms oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Francis Yeoh, dan Pengarah Eksekutif, Yasmin Mahmood di UTM Skudai di sini, hari ini.

Sementara itu, Yeoh berkata MoU itu adalah sejarah penting dalam membina generasi baru penuntut yang progresif serta mampu mendapat maklumat secara cepat dan mudah.

"Program berkenaan menyediakan peluang kepada penuntut untuk mengakses Intranet dan Internet pada bila-bila masa, di mana jua, di dalam kampus.
"EPP juga membolehkan penuntut membawa arus perubahan positif dalam suasana pembelajaran berteras 4G yang akan menyumbang ke arah kejayaan negara yang lebih cemerlang pada masa depan," katanya.

Dr Zaini pula berkata, menerusi MoU tersebut, YTL Comms akan menyediakan kemudahan capaian Internet sehingga 300 megabit bagi seorang pelajar sebulan, secara percuma, untuk tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, ia memudahkan penuntut khususnya untuk mendapatkan maklumat lebih pantas bagi penyelidikan, perundingan dan pembelajaran.

"Menerusi perjanjian itu juga, UTM akan dapat meningkatkan kemudahan liputan Internet 100 peratus di kampus di sini, dan di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini," katanya. - BERNAMA

Nisbah pengundi baru tidak mungkin 1:40 - Shafie Apdal

SHAFIE NAFI NISBAH DAFTAR PENGUNDI MELAYU DAN BUKAN MELAYU 1:40 

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, hari ini berkata beliau tidak yakin nisbah antara Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru ialah 1:40. Shafie berkata, jumlah yang telah mendaftar sebagai pengundi baru di kalangan orang Melayu kini meningkat.

"Saya ingat daripada segi angka, tidaklah seperti itu (1:40), saya ingat ada sedikit pembetulan, kalau kita lihat dari segi tempat lain yang kita dah daftar contoh di Kedah dan Sabah yang mempunyai pendaftaran terbanyak...jumlah orang Melayu yang kita daftar pun ada peningkatan.

"Cuma dari segi ratio itu yang saya tak berapa jelas lagi, tapi saya yakin bukanlah 1:40 yang boleh kita sesuaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Mara 2009 di sini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi Pemuda UMNO, Hishamudin Yahya, bahawa nisbah antara Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak pilihan raya umum 2008 sehingga bulan ini ialah 1:40.
Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada tahun lalu sahaja, UMNO mendaftarkan jumlah pengundi baru paling banyak iaitu 24,818, diikuti DAP (17,756) dan PAS (16,987).

Shafie berkata, beliau mengakui bahawa parti pembangkang banyak berusaha untuk menarik seberapa ramai yang mendaftar sebagai pemilih berbanding parti komponen Barisan Nasional (BN).

Justeru, Shafie berkata selaku Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Ahli UMNO, beliau akan bertemu dengan parti-parti komponen lain untuk berbincang bagaimana untuk meningkatkan jumlah pengundi baru dan ahli BN.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga berkata nisbah itu tidak betul dan tidak masuk akal.

Bercakap kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini, beliau bagaimanapun mengakui ketika ini terdapat kecenderungan di kalangan masyarakat bukan Melayu terutama kaum Cina mendaftar sebagai pengundi berbanding masyarakat Melayu.

Khairy juga berkata hubungannya dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali adalah baik walaupun mereka mempunyai ideologi tersendiri dalam perjuangan Melayu. - BERNAMA

Pendidikan prasekolah perlu alami anjakan: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pendidikan prasekolah perlu mengalami anjakan supaya kekal relevan dan menjadi pemangkin perkembangan kanak-kanak, bangsa dan keperluan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pendidikan prasekolah perlu bersifat futuristik seiring dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat madani yang berpegang kepada teras keimanan, mempunyai ketahanan diri, memiliki identiti bangsa Malaysia, berpandangan jauh, berdisiplin dan mengamalkan cara hidup yang cemerlang seiring dengan penghayatan semangat 1Malaysia.
"Hakikat ini dapat diterjemahkan melalui sistem pendidikan prasekolah yang bersifat holistik, tidak terlalu akademik dan sentiasa mendepani keperluan dan aspek perkembangan kanak-kanak itu sendiri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini hari ini.
Persidangan selama empat hari bertemakan "Menerokai Amalan Terbaik Dalam Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan" itu turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru prasekolah juga perlu dilatih supaya dapat menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak serta tidak membosankan mereka untuk terus ke sekolah.

"Peranan guru amat penting di sini, guru prasekolah adalah orang pertama yang mengajar anak-anak kita mengenal huruf dan numerasi, berkomunikasi dan bersosial secara formal.

"Guru-guru prasekolah perlu mampu menyemai asas pendidikan yang kukuh bagi memastikan anak-anak kita akan terus berjaya dalam pendidikan," katanya.
Beliau berkata, sehingga akhir Mei, enrolmen prasekolah telah berjaya ditingkatkan kepada 70.4 peratus daripada 67 peratus pada tahun sebelumnya.

"Saya pasti dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pihak sasaran 72 peratus pada tahun 2010 akan mampu dicapai," katanya.

Beliau juga bangga kerana terdapat prasekolah yang sebelum ini enggan berdaftar dengan pihak kerajaan, telah mula menunjukkan minat untuk berdaftar dengan kerajaan. - BERNAMA

Tun Omar Ong dikebumikan selepas Asar

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berhasrat menziarahi dan memberi penghormatan terakhir terhadap Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin boleh berbuat demikian di Dewan Syarahan Utama Masjid Negara mulai 3 petang.
Menurut kenyataan Masjid Negara, solat jenazah akan diadakan sejurus selepas solat Asar manakala upacara pengebumian akan dilakukan di Makam Pahlawan sejurus selepas itu.
Allahyarham Omar, 92, meninggal dunia di kediamannya di No 44, Persiaran Duta pada 8.15 pagi tadi kerana sakit tua.
Allahyarham adalah salah seorang pemimpin utama yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara sebelum dan selepas kemerdekaan dan terbabit dalam penubuhan perikatan UMNO dan MCA, dan menyertai delegasi Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman untuk rundingan di London mengenai pencapaian Kemerdekaan pada tahun 1957. - BERNAMA

Isu kewajaran UPSR, PMR diputuskan tahun ini: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan bahawa keputusan sekiranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) wajar dimansuhkan, dibuat pada tahun ini juga.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusannya akan dibuat dalam masa satu atau dua bulan selepas tamat beberapa siri perbincangan meja bulat dengan pihak berkepentingan, yang dirancang dalam masa terdekat.
"Kita akan buat keputusan cepat, saya sudah minta Ketua Pengarah Pelajaran susun beberapa siri perbincangan di peringkat meja bulat, pihak yang ada kepentingan dipelawa untuk beri pandangan walaupun kita dah buat kajian lama mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini hari ini.
Beliau berkata, perbincangan itu juga bertujuan mendapatkan input lebih terperinci di samping memberikan gambaran lebih jelas sebelum keputusan mengenainya diambil.

Katanya, maklum balas yang diterima sehingga ini khususnya menerusi media amat menggalakkan serta positif, dan segala input serta maklum balas itu akan diambil kira sewaktu sesi perbincangan meja bulat di kementerian nanti.

"Hari ini pun saya buka suratkhabar masih ada pandangan bukan sahaja dari rakyat biasa tetapi juga dari mereka yang pakar dalam bidang pendidikan, dan beberapa pandangan agak bernas," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, rakyat masih boleh memberikan pandangan tetapi tidak perlu untuk berdebat panjang hingga boleh mencetuskan pelbagai kontroversi.
Mengenai Program Permata Negara yang akan diambil alih pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran mulai 2012, Muhyiddin berkata pihak kementerian sedang membuat persiapan rapi.

"Apa yang penting ialah bagaimana hendak urus program seperti itu yang memerlukan satu bentuk latihan yang agak istimewa, kerana hendak jaga anak-anak yang masih kecil lebih sukar.

"Cara pembelajaran dan penyampaian pun tidak boleh macam biasa, ia lebih dalam bentuk mainan, mungkin menyanyi...bimbingan itu agak berbeza sekali dan memerlukan guru yang tidak serupa (dengan yang biasa)," katanya.

Ketika ditanya mengenai pelajar perempuan yang dilihat terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini, Muhyiddin berkata ia adalah fenomena global dan rakyat tidak perlu gusar mengenai pencapaian wanita.

"Saya fikir pejuang gender wanita pastinya berbangga dengan pencapaian wanita yang cemerlang dalam bidang pendidikan, apa yang penting adalah bagaimana hendak tingkatkan prestasi pelajar lelaki," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan mengkaji cara untuk meningkatkan pencapaian pelajar lelaki. - BERNAMA

Lawatan PM ke luar negara tingkat pelaburan

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke negara rakan dagang dan pelaburan utama negara menghantar isyarat kukuh bahawa beliau secara peribadi giat berusaha meningkatkan peluang pelaburan Malaysia dan negara berkenaan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem, berkata sebagai bukti lawatan ke Amerika Syarikat baru-baru ini berjaya menarik beberapa syarikat gergasi dalam bidang penyelidikan dan pembuatan di negara itu untuk melabur RM5 bilion di Malaysia.
"Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai daya penarik ekonomi global, lawatan-lawatan itu telah berjaya mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan, kewangan dan perbankan khususnya dalam sistem Perbankan Islam seperti lawatannya ke Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Juslie Ajirol (BN-Libaran) mengenai hasil lawatan Najib ke luar negara sepanjang kepimpinannya sebagai Perdana Menteri keenam untuk menjadikan Malaysia sebagai daya tarikan ekonomi global.

Berikutan hubungan baik kedua-dua negara itu Richard berkata ia tetap tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara Pertubuhan Persidangan Islam Sedunia (OIC) dan negara dunia ketiga.

"Malahan ia lebih mengukuhkan lagi hubungan kita dengan OIC," katanya.

Richard berkata, lawatan ke negara asing termasuk China, India dan Jepun juga memberi peluang kepada Najib dan pemimpin-pemimpin negara berkenaan untuk mengetengahkan pandangan negara dan bertukar pendapat dalam pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa.
Mengenai sama ada Perdana Menteri berhasrat untuk melawat Israel dan mengadakan dialog dengan pemimpinnya bagi membantu menyelesaikan isu Gaza, Richard berkata setakat ini kerajaan tidak berhasrat untuk berdialog dengan pemimpin negara itu. - BERNAMA

Hubungan Anwar dengan tokoh Yahudi terbukti intim: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Washington bagi menjernihkan hubungan dengan beberapa tokoh Yahudi di sana baru-baru ini jelas membuktikan bahawa hubungan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan kumpulan berkenaan memang intim, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri meminta rakyat menilai dan membuat pertimbangan sendiri mengenai perjuangan sebenar Ketua Pembangkang itu.
"Jelas terbukti, jadi kita harus buat pertimbangan apakah sebenar politik Anwar ini, untuk apa dia berjuang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas satu laporan akhbar Washington Post Isnin lalu yang mengatakan bahawa Anwar berada di Washington selama beberapa hari minggu lepas untuk memberitahu rakan-rakannya di Amerika bahawa beliau kesal kerana menggunakan istilah seperti "pencerobohan zionis".

Akhbar itu juga menyebut bahawa Anwar menyertai satu tunjuk perasaan di luar Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur baru-baru ini di mana sehelai bendera Israel dibakar dan beliau juga membuat sindiran pedas mengenai firma perhubungan awam yang berpejabat di Washington menurutnya "dikuasai Yahudi" Apco Worldwide, yang digunakan khidmatnya oleh Kerajaan Malaysia.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Anwar tanpa segan silu ke negara itu untuk memohon maaf di atas kesilapan beliau kerana khuatir ia mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakan-rakannya itu.

"Sebab itu bila dia rasa dia sudah lakukan kesilapan, dia buat kenyataan itu dia cukup bimbang kalau-kalau sahabat dia yang ada di sana akan bukan sahaja tidak puas hati mungkin akan marah.
"Kita tahu di sini bahawa jelas hubungan yang rapat antara Anwar dengan kumpulan-kumpulan yang dikatakan pro-zionis atau pro-Yahudi itu, terserah pada rakyat untuk buat pertimbangan siapakah sebenar Anwar Ibrahim itu," katanya. - BERNAMA

Tun Omar Ong Yoke Lin meninggal dunia


pix_gal0
KUALA LUMPUR: Tun Omar Ong Yoke Lin, 92, yang memainkan peranan penting dalam pencapaian kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, meninggal dunia di sini hari ini kerana sakit tua.

Menurut seorang pembantu kepada isteri beliau, Toh Puan Datin Paduka Hajah Dr Aishah, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di No. 44, Persiaran Duta pada jam 8.15 pagi.
Jenazahnya akan dikebumikan di Makam Pahlawan, sebelah Masjid Negara pada jam 4.30 petang ini.
Allahyarham adalah antara pemimpin utama yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara sebelum dan selepas kemerdekaan.

Beliau terbabit dalam penubuhan Perikatan antara UMNO dan MCA serta menyertai delegasi Perikatan yang diketuai Tunku Abdul Rahman untuk rundingan di London berhubung pencapaian Kemerdekaan pada tahun 1957.

Allahyarham yang pernah memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet juga antara mereka yang menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada 1963. - BERNAMA

Petronas catat keuntungan RM67.3 bilion

KUALA LUMPUR: Petronas mengalami penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 24.5 peratus kepada RM67.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 daripada RM89.1 bilion tahun lalu.
Pendapatannya merosot kepada RM216.4 bilion daripada RM264.2 bilion, jatuh 18.1 peratus.
Permintaan yang lemah terhadap produk petroleum akibat krisis ekonomi global adalah punca kepada kejatuhan itu.

Pemasuhan UPSR, PMR diputuskan selepas siri perbincangan: TPM

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diputuskan dalam satu atau dua bulan lagi selepas beberapa siri persidangan meja bulat dengan pihak berkepentingan yang akan bermula dalam masa terdekat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berharap isu itu tidak menjadi perdebatan yang panjang, sebaliknya hanya percambahan fikiran.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada Persidangan Pendidikan Pra-Sekolah di sini, sebentar tadi.

Warna Kehidupan: Tradisi bercerita terhenti

SECARA tradisinya, ibu atau nenek bertindak sebagai penglipur lara dalam keluarga masyarakat Melayu dengan menghiburkan hati anak melalui cerita rakyat disampaikan secara lisan yang biasanya pada waktu malam sebelum mereka tidur.

Cerita rakyat seperti cerita binatang, asal usul tempat, hikayat kayangan, putera-puteri raja, pahlawan dan hantu membentuk imej yang lekat dalam jiwa sehingga mereka membesar dengan ingatan budaya terhadap contoh teladan dan sempadan yang dekat dengan akar budi budaya bangsa.
Bagaimanapun, fungsi penglipur lara dalam konteks keluarga tradisional Melayu itu, bertukar kepada media seperti televisyen dan komputer dengan ceritanya yang jauh daripada budaya setempat sehingga mereka membesar dengan ikon asing melekat dalam ingatan.
Tak hairanlah anak kecil lebih senang menyebut watak animasi dari Jepun atau putera dan puteri cerita rakyat dari Barat, tetapi berasa asing dan terpinga-pinga apabila didedahkan dengan watak dalam cerita rakyat, legenda dan hikayat daripada bangsanya sendiri.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Abdul Rahim Marsidi, mengakui asakan cerita kartun dan animasi dari Jepun atau Barat menarik perhatian kanak-kanak kerana ia dianggap sesuai dengan tanggapan masa kini yang canggih.

Lalu kisah seperti Naruto, Dragon Ball, Pokemon, Digimon, Detective Canon dan Doraemon, meskipun kisah yang tidak masuk di akal pada orang dewasa mendapat tempat di hati kanak-kanak sedangkan ia tidak membawa budaya tempatan sama sekali.

“Ini menarik perhatian kanak-kanak berbanding cerita lisan bersumberkan tradisional Melayu yang dianggap dongeng dan kuno sehingga mereka lebih memberi tumpuan kepada cerita animasi Jepun dan Barat itu.
“Memang kita kehilangan warisan yang amat mahal harganya, tetapi kita tidak dapat nafikan kanak-kanak kini tetap beruntung kerana dapat menonton rancangan bersifat masa kini,” katanya kepada Sastera di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Dr Abdul Rahim mengingatkan ia tidak lagi boleh berpatah balik kepada zaman lampau, sebaliknya perlu merintis dunia kartun dan animasi dengan mengabadikan cerita klasik dalam bentuk baru tanpa mengubah latar yang menjadi sebahagian sosiobudaya masyarakat di negara ini.

“Ini sudah dirintis oleh anak muda Melayu melalui animasi Upin dan Ipin, Usop Santorian dan Kampung Boy, meskipun tidak memfokuskan cerita tradisional 100 peratus kerana perlu mengisi keperluan dan kehendak kanak-kanak masa kini, selain faktor ekonomi.

“Kita juga boleh membawa cerita tradisional itu dengan suasana dan aroma baru kerana mesej dan pesannya masih tetap sama, sebaliknya yang berubah hanyalah zaman, lalu ia bergantung kepada kreativiti mereka yang terbabit dalam kartun dan animasi,” katanya.

Bagaimanapun, Penerima Anugerah Penulisan Sea 2005, Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi, tetap mempertahankan fungsi ibu bapa dan datuk nenek sebagai penglipur lara dalam keluarga, tanpa menafikan kepentingan memberi cerita rakyat sebagai isi dalam kartun dan animasi.

“Fungsi penglipur lara sebenarnya boleh dimainkan oleh tiga pihak, iaitu keluarga, guru dan media massa dalam menyampaikan cerita rakyat dengan falsafah dan nasihat kerana ia dekat dengan jiwa bangsa itu sendiri.

“Kita memerlukan kesinambungan penceritaan rakyat itu daripada generasi ke generasi dengan membiasakan kanak-kanak itu dengan cerita tradisi lisan dalam bentuk budaya bercerita, manakala guru pula bertindak sebagai pencerita yang baik dan bukan hanya sebagai pengajar,” katanya yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FTKA), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Agi turut menyarankan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran menggunakan cerita rakyat sebagai isi dalam kartun dan animasi pendidikan yang dianggap tidak sukar dilaksanakan kerana teknologi dan struktur cerita sudah ada untuk dimanfaatkan.

“Kita perlu tonjolkan cerita berlandaskan kebudayaan dan kesenian bangsa termasuk permainan rakyat, adat istiadat dan salasilah pahlawan, sekali gus dapat membangkitkan semangat patriotisme dan setia kepada bangsa.

“Sekarang ini, kebanyakan kartun dan animasi yang ada tidak ada sangkut-paut pun dengan jati diri bangsa dan negara kita sehingga anak kita membesar dengan imej yang tertanam dalam jiwa mereka tetapi tidak ada kena-mengena dengan budaya,” katanya.

Ia berlaku kerana media massa seperti televisyen berjaya mengubah perhatian kanak-kanak daripada cerita lisan kepada cerita visual yang tidak memerlukan mereka mempunyai dan menggunakan kemahiran untuk mengeja mahupun membaca.

Bagaimanapun, Agi optimis terhadap keupayaan tenaga kreatif di negara ini untuk menghasilkan kartun dan animasi berwajah, watak, bahasa, budaya dan busana tempatan seperti diperlihatkan dalam animasi Mat Som, Kampung Boy, Upin dan Ipin.

4 syor cegah seks bebas

  • Benarkan polis periksa telefon bimbit remaja elak simpan bahan lucah
  • Kuat kuasa peraturan halang remaja bawah 18 tahun keluar rumah selepas 12 malam
  • Sekat laman web lucah, kawal kafe siber dan penjualan perisian tidak bermoral
  • Percepat pelaksanaan pendidikan seks secara formal di sekolah.
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memperkenalkan segera pendidikan seks secara formal di sekolah serta memperketatkan dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung capaian remaja terhadap unsur-unsur pornografi sebagai langkah membanteras salah laku seks dan pembuangan bayi yang makin berleluasa.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat berpendapat tiada kompromi untuk membendung gejala itu, sebaliknya memperkenalkan pendidikan seks di sekolah, selain pemantapan institusi keluarga, agama serta menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang.

Mereka berpendapat penemuan terbaru dua bayi lelaki di Rawang dan Seremban kelmarin membuktikan kerajaan tidak perlu bertangguh untuk menjadikan pendidikan seks sebagai antara subjek jika tidak mahu gejala ini berterusan dan merosakkan institusi kekeluargaan.

Kerajaan juga diminta mengenal pasti kaedah paling efektif menyampaikan mesej mengenai cara mengamalkan seks selamat, isu seks luar nikah, akhlak dan kesan kepada masyarakat serta penyakit berkaitan seks kepada pelajar, ibu bapa dan guru sebagai pengetahuan asas kepada golongan sasar.
Presiden Orphan Care, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata subjek itu perlu diperkenalkan segera kerana remaja mempunyai sifat ingin tahu dan berani mencuba berdasarkan apa yang mereka tahu melalui pembacaan, tontonan video dan laman web interaktif serta perbualan rakan sebaya.

“Kita harus memberitahu pentingnya mereka mengelakkan seks sebelum nikah tetapi jika tetap mahu melakukannya, mereka perlu diberitahu mengenai seks selamat serta tindakan yang perlu diambil jika mengandung,” katanya semalam.

Selain itu, katanya, satu cara membendung masalah pembuangan bayi adalah memperkenalkan undang-undang yang melindungi individu yang menghantar bayi mereka kepada pusat penempatan atau ‘baby hatch’ dan tempat lain seperti yang diamalkan di beberapa negara lain, termasuk Amerika Syarikat.

“Buat masa ini, individu yang meninggalkan bayi mereka tanpa dokumen di tempat selamat dianggap melakukan jenayah yang menyebabkan lebih ramai membuang saja anak mereka,” katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sobri Mohamad Arsad, berkata pendidikan seks boleh dilaksanakan melalui sesi kokurikulum kerana negara masih belum memiliki guru berkemahiran dalam bidang berkenaan, di samping tidak mahu memberi bebanan tambahan kepada guru.

“Kita tidak menolak jika kerajaan mahu melaksanakan subjek ini, tetapi biarlah dilaksanakan apabila kita mempunyai guru terlatih dalam bidang pendidikan seks dan pada masa yang sama, kita mahu mengelakkan pelajar dan ibu bapa mendapat menerima mesej salah mengenai pembelajaran ini.” katanya.

Presiden Gabungan pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, mencadangkan kerajaan memperketatkan penguatkuasaan dan pemantauan lebih kerap di kafe siber dan kedai menjual alat telekomunikasi kerana kebanyakan bahan lucah mudah diperoleh di situ.

“Selain itu, kerajaan perlu menggubal undang-undang supaya remaja 18 tahun ke bawah tidak boleh keluar daripada kediaman selepas jam 12 malam.” katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Maliki Mohd Rapiee, berkata ibu bapa perlu bertanggungjawab memeriksa gajet milik anak mereka supaya tiada sebarang kandungan pornografi yang boleh menimbulkan kecenderungan untuk melakukan seks tanpa nikah.

“Orang ramai tidak boleh bergantung kepada agensi penguatkuasaan saja untuk melakukan pemeriksaan terhadap gajet yang jumlahnya banyak di negara ini.” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata walaupun pendidikan seks di sekolah bukan jawapan kepada usaha membendung gejala seks rambang dan pembuangan bayi, fungsi institusi kekeluargaan terutama ibu bapa dan penerapan agama adalah cara terbaik mengatasinya.

Beliau berpendapat subjek itu sebagai pelengkap kepada ilmu pendidikan seks bersama ilmu agama yang sepatutnya diajar ibu bapa di rumah bagi memperkasa diri remaja daripada terbabit dan terjebak dalam salah laku seks.

“Pendidikan seks tanpa penerapan nilai agama akan mengundang kesan negatif kepada pelajar kerana mereka lebih cenderung mencubanya apabila diberi pendedahan secara teknikal dalam kelas,” katanya.