Followers

Tuesday, August 17, 2010

Kadar pertumbuhan ekonomi suku kedua lebih memberansangkan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak membayangkan kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi suku kedua tahun ini yang akan diumumkannya esok, lebih memberansangkan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata kadar yang memberansangkan itu membuatkan beliau sendiri tidak sabar untuk mengumumkannya.
Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Masjid As-Salam, Taman Sri Manja, di Petaling Jaya, sebentar tadi.

Cuaca panas ragut 132 nyawa, lebih 30,000 dikejarkan ke hospital Jepun

TOKYO: Cuaca musim panas yang keterlaluan di Jepun mengakibatkan sekurang-kurangnya 132 kehilangan nyawa dan lebih 30,000 mangsa dikejarkan ke hospital diserang strok haba.
Kerajaan Jepun berkata, kadar raksa terus mencatatkan angka tertinggi pada 37 darjah Celsius sejak beberapa hari lalu membabitkan kawasan seperti di tengah-tengah Tokyo dan lokasi lain di jepun.
Malah, katanya, ketika ini matahari kelihatan panas terik di sebalik catatan terbaru yang dikeluarkan.
Agensi Kebakaran dan Pengurusan Bencana, berkata 31,570 mangsa dari seluruh negara sudah dihantar ke hospital antara 31 Mei hingga 15 Ogos lalu, yang mana jumlah tertinggi pernah dicatatkan sejak rekod kepanasan mula disimpan pada 2008. - AFP

Pasangan jumpa bayi perempuan selepas solat Tarawikh

BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi perempuan berusia tujuh hari ditemui oleh seorang pekerja kilang di hadapan rumahnya di Bukit Minyak di sini, kelmarin.
Bayi seberat 1.4 kilogram itu ditemui dalam keadaan berbalut kain lampin pada kira-kira 11 malam oleh pekerja kilang berusia 38 tahun dan isterinya yang pulang daripada menunaikan solat Tarawih.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Azman Abd Lah, hari ini berkata bayi itu dalam keadaan sihat dan diletakkan di atas meja di hadapan rumah pekerja kilang itu.
"Pasangan suami isteri berkenaan yang tidak mempunyai anak pada mulanya berhasrat menjadikan bayi itu sebagai anak angkat. Bagaimanapun atas nasihat rakan-rakannya, lelaki terbabit menyerahkan bayi itu kepada pihak polis pagi ini," katanya.

Beliau berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan supaya menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah SPT di talian 04-5306402 atau Pegawai Penyiasat, Insp Hazween Halim di talian 012-3749616. - BERNAMA

Najib yakin hubungan Malaysia-Indonesia terus kukuh

NAJIB YAKIN HUBUNGAN MALAYSIA-INDONESIA TERUS DIPERKUKUH 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yakin jalinan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia akan terus diperkukuh dan dipereratkan lagi dalam pelbagai bidang yang lebih strategik.
Dalam perutusan tahniahnya kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, sempena Hari Kemerdekaan Indonesia ke-65 hari ini, Najib berkata ia akan menyumbang kepada kemajuan, kemakmuran dan keharmonian kedua-dua buah negara baik di peringkat dua hala, serantau mahupun antarabangsa.
Malaysia dan Indonesia sesungguhnya mempunyai hubungan persaudaraan yang sangat istimewa dan kerjasama yang amat akrab, katanya.

"Adalah menjadi harapan saya agar kedua-dua negara akan terus meningkatkan lagi jalinan kerjasama yang bermakna dan produktif ini demi kepentingan dan keberuntungan bersama," katanya.

Najib, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, dalam perutusan itu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Susilo sempena ulang tahun kemerdekaan republik itu.

"Saya juga berdoa semoga negara dan rakyat Republik Indonesia akan terus beroleh kesejahteraan dan kemakmuran di bawah pimpinan Yang Mulia Bapak," katanya. - BERNAMA

Bayi terlantar lumpuh sejak kepala dipatuk ular tedung

KANGAR: Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan terlantar sejak lebih tiga bulan lalu apabila mengalami lumpuh kekal selepas kepalanya dipatuk ular tedung ketika bermain di kediaman neneknya di Kampung Bukit Merah, dekat Beseri, di sini.

Mohd Asri Mohd Indrasuadi, anak bongsu daripada tiga beradik, turut mengalami kegagalan fungsi saraf selepas bisa ular tedung terbabit dikatakan merebak ke otaknya.
Keadaan itu menyebabkan Mohd Asri yang sebelum ini terlantar koma selama 45 hari, mengalami kekejangan otot kekal, sekali gus hanya mampu terbaring dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan ibunya, Noor Amali Ahmad, 27.
Noor Amali, ketika ditemui, berkata Mohd Asri bukan saja tidak boleh bergerak, malah dia juga tidak mampu menelan makanan dan hanya meminum susu melalui tiub nesogastrik yang disalurkan melalui hidung terus ke ususnya.

"Ibu mana yang tidak sedih melihatkan anak yang sihat dan baru saja boleh bertatih kini terlantar menderita.

"Saya tidak tahu apa lagi yang boleh saya ikhtiarkan untuk membantu Mohd Asri. Paling saya khuatir, dia akan terus terlantar begitu selama-lamanya sedangkan usianya baru saja bermula dan masih lagi panjang," katanya sebak.

Menceritakan kejadian malang itu, Noor Amali berkata, ketika itu Mohd Asri yang baru pandai berjalan sedang bermain seorang diri di dalam sebuah bilik di rumah neneknya, sebelum dia didengari menangis.
Selepas diperiksa, katanya, kepalanya Mohd Asri didapati berdarah.

Selepas Mohd Asri tidak berhenti menangis dia kemudian terus meminta bantuan jiran untuk membawa bayi itu ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

Pihak hospital selepas menjalankan pemeriksaan kemudian mengesahkan Mohd Asri dipatuk ular. Berikutan kejadian itu, Mohd Asri terlantar koma selama 45 hari, sebelum kembali sedar dan dibenarkan pulang ke rumah dua minggu lalu," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mansor Jusoh, hari ini.

Sementara itu, Mansor berkata pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa bayi serta keluarga terbabit apatah lagi dengan keadaan Noor Amali sebagai ibu tunggal.

"Kita sedang berusaha mendapatkan bantuan sebanyak RM20,000 daripada Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas untuk tujuan rawatan Mohd Asri.

"Selain itu, kita akan teruskan dengan bantuan semasa yang diberikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM410 sebulan," katanya.

Pendapatan negara kasar diunjur naik hampir RM1.7 trilion pada 2020: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Pendapatan Negara Kasar (GNI) diunjurkan meningkat hampir RM1.7 trilion (AS$524 bilion) pada 2020 daripada RM600 bilion (AS$188 bilion) pada 2009.

Ini sekaligus meningkatkan pendapatan per kapita Malaysia daripada RM22,000 (US$7,000) kepada sekurang-kurangnya RM49,500 (US$15,000) pada 2020.
"Bagi memenuhi penanda aras negara berpendapatan tinggi seperti yang didefinasikan oleh Bank Dunia, ekonomi negara perlu berkembang 5.0 hingga 6.0 peratus antara 2011 dan 2020," katanya di dalam satu kenyataan selepas pertemuan dan lawatannya ke Makmal Aktiviti Utama Ekonomi Negara (NKEA) di sini hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sejumlah dana lebih RM2.2 trilion (AS$690 bilion) diperlukan bagi tempoh Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“ETP akan menghasilkan pertumbuhan signifikan di dalam pasaran pekerjaan, peralihan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi dan pengukuhan asas kemahiran.

"Inisiatif di bawah 12 NKEA diunjurkan akan mewujudkan peningkatan 3.3 juta pekerjaan, di mana 63 peratus daripadanya di dalam segmen pendapatan pertengahan dan tinggi berbanding dengan 43 peratus sekarang ini. Sebanyak 46 peratus daripada pekerjaan baharu itu akan memerlukan kelayakan minimum vokesyenal atau diploma," katanya.

Semua 12 NKEA yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) ialah minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, komunikasi, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.
Daripada 12 NKEA itu, 11 daripadanya adalah sektor industri dan satu – Greater Kuala Lumpur – ialah kawasan geografi.

Sebanyak 92 peratus daripada pembiayaan NKEA itu akan disumbang oleh pelaburan swasta manakala bakinya melalui pembiayaan awam, yang konsisten dengan strategi menjadikan sektor swasta pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Najib berkata, pelaburan langsung domestik (DDI) akan mencatatkan 75 peratus daripada pelaburan swasta dengan baki 25 peratus diperolehi daripada pelaburan langsung asing (FDI).

Katanya, DDI dijangka dibiayai oleh 12 peratus daripada lebihan antara simpanan dan pelaburan sebagai agihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Najib berkata, ETP adalah kemuncak kepada usaha membangunkan agenda ekonomi kerajaan, yang melaksanakan RMK10, Model Baru Ekonomi (MBE) dan prinsip 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan (1MPFPN).

Katanya, makmal NKEA membabitkan lebih 500 peserta daripada lebih 200 syarikat sektor swasta, kementerian kerajaan, agensi dan badan kawal atur serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Ia telah memuktamadkan perbincangannya pada 30 Julai dan menyerahkan cadangan penyelesaiannya kepada kerajaan," katanya.

NKEA adalah pemacu aktiviti ekonomi yang berpotensi menyumbang secara langsung dan material kepada jumlah yang besar kepada pertumbuhan ekonomi.

Makmal NKEA itu adalah lanjutan susulan kepada bengkel seribu-orang yang diadakan pada Mei, di mana satu konsensus terhadap sektor utama telah dicapai.

Najib berkata, NKEA telah mengenal pasti projek ikonik yang akan menghasilkan peningkatan GNI bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, di mana butirannya akan dikongsi dengan orang ramai semasa Hari Terbuka ETP pada September-Oktober ini.

Katanya, kerjasama yang belum pernah berlaku seperti ini antara sektor awam dan swasta telah mengenal pasti projek khusus dan peluang perniagaan yang didokong oleh 12 NKEA itu yang dimasukkan di RMK10.

ETP itu menandakan perubahan fundamental di segi pendekatan ke arah pertumbuhan ekonomi bagi mencapai status negara maju pada 2020. Ia memberi fokus pada tindakan dan kandungan yang dibincangkan dengan baik dan secara khusus bagi mengembangkan setiap NKEA.

“Idea yang dicadangkan itu dimajukan melalui kerjasama rapat antara sektor swasta dan awam dan dalam beberapa kes, projek berkenaan mendapatkan komitmen kukuh daripada pelabur sektor swasta.

"Bagi memastikan penyampaian yang kukuh dan telus, Unit Transformasi Ekonomi (ETU) di dalam Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) diberi tanggung jawab menyampaikan dan memantau kemajuan berkenaan yang dipandu oleh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas dan tuntutan yang mendesak bagi setiap NKEA. Kunci kepada transformasi ekonomi itu ialah pelaksanaan dengan tepat dan ini kita perlu laksanakan," katanya. - BERNAMA

Bekas pengetua asrama anak yatim dituduh cabul remaja perempuan

KUALA LUMPUR: Bekas pengetua sebuah pusat untuk anak-anak yatim dan miskin, Abdul Rahman Ramani, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang penghuni perempuan asrama itu, tahun lalu.

Abdul Rahman, 41, didakwa mencabul kehormatan pelajar berumur 14 tahun dengan meraba kemaluan dan buah dada gadis itu di pejabat Asrama Baitul Ummah di Taman Setapak Indah, Sentul, di sini pada jam 8 malam 20 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Aizatul Akmal Maharani membenarkan Abdul Rahman diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norasyikin Ahmad manakala Abdul Rahman diwakili peguam, M Govindaraju.

Seorang saudara tertuduh kemudiannya membayar wang jaminan itu. - Bernama

Bakteria leptospirosis dikesan di 3 kem PLKN di Perak

IPOH: Tiga kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Perak dikesan mempunyai bakteria leptospirosis atau virus kencing tikus.

Kem terbabit sudah dinasihatkan menghentikan sebarang aktiviti air bagi mengelak pelatih dijangkiti virus itu.

67 sukarelawan Misi Kemanusiaan kelab Putera 1Malaysia ke Gaza tiba di Kaherah

KAHERAH (Mesir): 67 sukarelawan Misi Kemanusiaan ke Gaza anjuran Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) selamat tiba di Kaherah, Mesir, pada jam 10.15 malam (waktu tempatan), semalam (kira-kira 4.15 pagi waktu Malaysia).

Pasukan itu berlepas dari sempadan Rafah menggunakan dua bas pada jam 3 petang selepas menunggu hampir dua jam di Bangunan Imigresen Mesir di sempadan Rafah yang memisahkan Semenanjung Gaza dan Mesir.
Menyambut ketibaan mereka ialah pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir yang diketuai Kuasa Usaha Sementara, Shaiful Anwar Mohammad dan Setiausaha politik kepada menteri luar, Datuk Norhaidi Che Dan.
Misi kemanusiaan yang diketuai presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memasuki Gaza pada 9 Ogos untuk menyampaikan bantuan makanan, pakaian raya, selimut dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza sempena bulan Ramadan.

Sepanjang lapan hari berada di wilayah konflik itu, sebanyak 2,750 keluarga membabitkan 5,000 penerima di Bandar Gaza, Jabalyah, Der Al-Balah, Khan Younis dan Rafah, termasuk kawasan Saifa yang bersempadan dengan Israel di utara Gaza, mendapat bantuan.

Misi kemanusiaan itu turut menyampaikan sumbangan ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan kepada lima hospital dan klinik komuniti yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), juga di kawasan sama.

Ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan bernilai AS$10,000 turut disampaikan kepada hospital dan klinik kerajaan menerusi sumbangan kepada pemimpin Hamas yang bertanggungjawab bagi sektor kesihatan di Gaza, Dr Basem N Naim.
Misi kemanusiaan yang turut disertai 35 doktor, paramedik dan pakar perubatan pelbagai kaum itu juga mengadakan latihan kecemasan dan trauma di Hospital Al-Amal di Khan Younis selain membantu doktor tempatan merawat pesakit.

Sumbangan kewangan, masing-masing AS$2,500, turut disampaikan kepada lima masjid di wilayah Gaza.

Persinggahan terakhir misi kemanusiaan itu ialah di Yayasan Kanak-Kanak Avenir Palestin dan di sana Abdul Azeez menyampaikan sumbangan kewangan 100 shekel kepada 400 kanak-kanak kurang upaya.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 10,000 shekel kepada wakil persatuan nelayan di Bandar Gaza, Mahmood Abdul Aziz di kawasan perkampungan nelayan Bandar Gaza bagi mengadakan majlis berbuka puasa untuk 1,500 nelayan di kawasan itu. - Bernama

Isu Israel: Rumah Putih nafi beri 'kata dua' kepada Turki

MILWAUKEE (Wisconsin): Rumah Putih hari ini menafikan laporan media bahawa Presiden Barack Obama memberi amaran kepada Turki bahawa negara itu tidak akan berpeluang mendapatkan bekalan senjata keluaran Amerika berikutan perubahan dasar negara itu terhadap Israel dan Iran.

Akhbar Financial Times Britain memetik seorang pegawai kanan sebagai berkata, Obama memberitahu Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bahawa “beberapa tindakan yang diambil Turki boleh dipersoalkan anggota kongres.
"Ia mencetuskan persoalan 'sama ada kami mempunyai keyakinan kepada Turki sebagai sekutu'," kata pegawai kanan itu bahawa kedua-dua pemimpin membangkitkan isu itu beberapa hari lalu.
Jurucakap Rumah Putih, Bill Burton menafikan wujudnya 'kata dua' diberikan kepada Ankara mengenai isu itu.

“Saya tidak tahu dari mana mereka memutar-belitkan isu itu.

“Presiden (Obama) dan Erdogan memang ada berbincang kira-kira 10 hari lalu dan ia mengenai Iran dan isu kapal bantuan ke Gaza yang diserang (Israel) serta beberapa isu berkaitan," katanya.

“Kami sememangnya mempunyai dialog berterusan dengan mereka (Turki), tapi isu Turki diberi kata dua ini tidak berbangkit," katanya.
Laporan Financial Times itu berkata, Erdogan bercadang membeli pesawat tempur Amerika untuk menangani kumpulan pemisah Kurdish di sempadan Turki-Iraq selepas tentera Amerika keluar dari Iraq menjelang 2011 nanti. - AFP