Followers

Saturday, October 23, 2010

Pilih wakil rakyat secara bijak: Musa Aman

KUALA LUMPUR: Rakyat di kawasan Parlimen Baru Sapi di Sabah diminta bijak memilih wakil rakyat yang mampu memastikan kelangsungan pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu memastikan apa yang diperlukan rakyat di kawasan itu menjadi realiti.
"Kita (BN) tahu apa tipu helah parti pembangkang dan kita tidak ada masalah untuk berdepan mereka. Kita mempunyai rekod khidmat yang baik, selalu bekerja membela nasib rakyat dan kita mahu pembangunan di kawasan tersebut diteruskan.
"Ini yang rakyat mahu. Bukan retorik atau cakap sahaja...cakap kosong, berjanji bohong ini tidak betul," katanya pada sidang akhabr di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk di Batu Sapi juga perlu sedar dengan adanya wakil rakyat BN yang memahami sentimen dan permasalahan tempatan, banyak agenda pembangunan akan boleh dilaksanakan.

Musa yang juga pengarah operasi BN bagi pilihan raya kecil itu, berkata jentera pilihan raya BN sudah cukup bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya kecil itu pada 4 November ini.

Mengulas mengenai calon BN bagi kawasan itu, beliau berkata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Perdana Menteri, telah bersetuju dengan calon yang dikemukakan oleh BN Sabah.
Musa berkata, calon itu adalah anak jati Sandakan dan disenangi rakyat di kawasan Batu Sapi.

BN dijangka mengumumkan calon tersebut dari Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 2 petang esok di Dewan Komuniti Sandakan.

Mengenai Parti Maju Sabah (SAPP) yang memilih Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti, Musa berkata penyertaan Yong memang telah dijangka.

Beliau mengingatkan rakyat supaya jangan perbesarkan isu calon yang bertanding tetapi sebaliknya kepentingan rakyat perlu diutamakan.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari PBS dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu pada 9 Oktober.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu diadakan Selasa ini, dan jika ada pertandingan, pengundian pada 4 November. - BERNAMA

Pihak berkuasa agama perlu elak sindrom bisu: UMNO Perak

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama perlu mengelakkan "sindrom bisu" apabila berhadapan dengan isu membabitkan agama Islam khususnya yang ditimbulkan oleh parti politik kerana ia boleh menimbulkan perpecahan umat selain menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin, berkata sebaliknya Majlis Agama Islam di negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu agresif dengan sepakat dan senada bagi membuat penjelasan segera berkaitan soal hukum dan fatwa agar difahami umum.
"Teguran-teguran dan nasihat lebih banyak datang dari pentas politik daripada majlis fatwa atau Jakim seperti isu tazkirah oleh ADUN wanita bukan Islam dari DAP, isu duit sumbangan dari wang judi lumba kuda kepada umat Islam di Pulau Pinang, isu khatib mendoakan kesejahteraan kepada Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan banyak lagi.
"Walaupun soal hal ehwal agama Islam adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, tidak bermakna keseragaman tidak boleh dicapai. Fenomena ini boleh menjejaskan kedaulatan dan kesucian Islam itu sendiri, malah persepsi negatif pasti akan tercetus daripada pandangan bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini.

Rosli juga mencadangkan supaya JAKIM dinaiktaraf kepada sebuah kementerian penuh agar pemerkasaannya dapat membantu memperkemaskan dan menyelaraskan segala urusan yang berkaitan Islam di negara ini.

"Tindakan drastik tentunya dapat dibuat tanpa menunggu keputusan peringkat negeri terutamanya berkaitan dengan akidah, ajaran sesat, kes tukar agama, kes pembuangan bayi, kes anak serta hamil luar nikah dan sebagainya.
"Ini juga dapat mengelakkan daripada pandangan yang berbeza dan bercanggah tentang sesuatu isu yang berbangkit yang akhirnya kita akan dapati kesucian dan kedaulatan Islam itu dapat diurus tadbir dengan berkesan dan menjadi rujukan mudah masyarakat Islam," katanya. - BERNAMA

Keju Australia yang tercemar tidak diimport ke Malaysia: Liow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa produk keju keluaran Syarikat B.-dParis Creek Pty Ltd di Selatan Australia yang dicemari Listeria monocytogenes, sejenis bakteria yang boleh menyebabkan masalah kesihatan, tidak dieksport ke Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi syarikat terbabit dan wakil syarikat berkenaan memaklumkan bahawa tiada pengeksportan produk itu ke Malaysia.
Beliau berkata, maklumat ini juga disahkan melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM).
"Kementerian telah mengambil maklum kenyataan akhbar Sydney Morning Herald dan laporan Australian Competition and Consumer Commission melalui laman webnya bertarikh 19 Oktober berkenaan isu penarikan balik produk keju Paris Creek Cheese Norwegino, Paris Creek Cheese Gouda, Paris Creek Cheese Tilsit dan Paris Creek Cheese Cheddar.

"Keju itu yang dikeluarkan oleh Syarikat B.-dParis Creek Pty Ltd di Selatan Australia dikeluarkan dari pasaran Singapura dan Australia kerana dikesan tercemar oleh Listeria monocytogenes," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berikutan itu, kementerian mengenakan tindakan pemeriksaan tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) di semua pintu masuk untuk analisis Listeria monocytogenes iaitu sejenis bakteria yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan dikenali listeriosis.

Listeriosis boleh menyebabkan demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya. Wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, tergolong dalam kumpulan berisiko.
Wanita mengandung yang dijangkiti bakteria ini boleh mengalami keadaan seakan selsema yang ringan, menyebabkan kelahiran pramatang, jangkitan pada bayi yang dilahirkan atau bayi mati dalam kandungan.

Liow berkata, kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

"Dengan penguatkuasaan yang bersungguh dan berterusan di pasaran tempatan dan setiap pintu masuk negara, kementerian memberi jaminan kepada penduduk Malaysia bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan yang masuk ke negara ini adalah pada tahap terkawal," katanya.

Liow berkata, mulai 1 Julai 2008, Kementerian Kesihatan telah mengenakan keperluan Sijil Kesihatan dan Sijil Analisis bagi Listeria monocytogenes oleh negara pengeluar bagi semua produk keju yang dieksport ke negara ini.

Daripada pemantauan yang dijalankan, sebanyak 44 produk keju telah disampel dan kesemuanya mematuhi dan tidak dikesan mengandungi bakteria berkenaan. - BERNAMA

Kerajaan diminta susun semula sistem pendidikan negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyusun sistem pendidikan negara sedia ada agar lebih holistik dan dapat digunapakai sehingga 20 ke 30 tahun akan datang, kata wakil Pergerakan Puteri UMNO, Idamoerni Zakaria.
Beliau berkata, meskipun sistem pendidikan sedia ada teradun hasil dari penggembelengan sistem pendidikan terbaik dari pelbagai sumber termasuk dari negara maju, namun adunan itu "terlalu banyak" sehingga membebankan anak-anak untuk menguasai kesemuanya.
"Ya, memang betul ada yang boleh, tetapi hakikatnya majoriti anak-anak tidak berupaya. Akhirnya, konsep menghafal tanpa faham menjadi-jadi. Ianya berterusan sampai ke menara gading dan hasilnya, impian kita untuk melahirkan modal insan yang sejati menjadi seolah-olah masak nasi separuh masak," katanya ketika menyokong usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Idamoerni mencadangkan kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khusus yang menyeluruh dan dianggotai pakar untuk membuat perancangan teliti untuk jangka panjang sebelum satu dasar pendidikan itu dilaksanakan bagi memastikan kandungan pendidikan dipadankan dengan keperluan semasa industri.

Sambil menyatakan sokongan Puteri UMNO terhadap usaha menjadikan pelajaran vokasional dan teknikal sebagai pendidikan arus perdana, beliau berkata usaha memperkasakan aliran itu adalah penting bagi menganjakkan persepsi masyarakat bahawa ia adalah pendidikan kelas kedua atau khusus untuk golongan pelajar yang gagal dalam bidang akademik.

Bagi memantapkan hubungan simbiotik aliran itu dengan industri, beliau berkata Puteri UMNO mencadangkan agar kerajaan memberi insentif seperti mengenakan pelepasan cukai kepada syarikat yang mengambil graduan dan lulusan daripada aliran itu.

Idamoerni berkata, Puteri UMNO juga menggesa kerajaan untuk mengkaji, mentelaah dan menganalisis rumusan sebuah sistem pendidikan berteraskan satu aliran kerana ia bertepatan dengan usaha merakyatkan konsep 1Malaysia.
"Kerajaan telah banyak membuat perubahan dan peningkatan dalam memperkasakan sekolah kebangsaan akan tetapi perubahan yang kerap telah mengelirukan dan menyusahkan pelbagai pihak termasuk golongan guru, pelajar-pelajar dan ibu bapa selain melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar metodologi pembelajaran program Permata yang telah terbukti berjaya membentuk personaliti kanak-kanak yang lebih ceria, berkeyakinan diri, berdisiplin, terkawal serta penyayang diterapkan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan dan diselaraskan bermula dari pendidikan awal sehinggalah prasekolah, dan dari sekolah rendah kepada sekolah menengah.

"Inilah modal insan yang kita impikan. Modal insan yang akan membawa negara kita ke dalam sebuah "terowong masa" yang mana akhirnya kita akan berlari, melompat, bersenda loka, ketawa di zaman milenium, bukan lagi sekadar merangkak ke arahnya," katanya. - BERNAMA

Sejarah subjek wajib lulus SPM mulai 2013

KUALA LUMPUR: Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Perkara ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

UMNO harus tubuh institusi pemikir: Khairy

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNo mencadangkan penubuhan institusi pemikir sebagai platform untuk menyampaikan aspirasi parti kepada rakyat, kata ketuanya, itu Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, kewujudan institusi yang terdiri daripada ahli Pemuda UMNO, golongan profesor dan profesional itu sangat penting bagi memastikan segala permasalahan rakyat dapat diperhalusi dan disampaikan kepada peringkat tertinggi.
"Banyak dasar UMNO dan BN telah dijalankan tetapi hari ini ramai dah lupa atau buat-buat lupa, dari penubuhan UiTM, UKM, UIA, semuanya daripada UMNO. Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Bumiputera, perlembagaan asas, soal Islam, malah kemerdekaan itu juga perjuangan UMNO.
"Saya harap Presiden (Datuk Seri Najib Razak) dapat wujudkan 'touch point' bukan untuk kerajaan tapi untuk UMNO dan BN supaya kita tak dilihat sebagai pelengkap tetapi sebagai nadi yang gerakkan transformasi kerajaan, untuk kesejahteraan rakyat," katanya ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Meskipun program kemasyarakatan rakyat yang sedang giat dijalankan UMNO dilihat berkesan, beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan terhadap usaha UMNO dan kerajaan BN akan dieksploitasi oleh pihak pembangkang.

Namun, Khairy yakin perjuangan UMNO akan melekat kuat di hati rakyat sehingga akhirnya dividen dan sokongan datang kembali sekiranya institusi itu dapat direalisasikan.

Khairy turut menasihatkan orang Melayu agar tidak terlalu obses mengenai hak dan keistimewaan yang termaktub dalam perkara 152 dan 153, sebaliknya terus berusaha berdikari dan bersikap kompetitif agar menjadi bangsa maju dan berdaya saing.
"Jangan kita Melayu risau dan takut kerana segala hak ini dijaga baik dan terkunci kemas tetapi kita perlu cari kunci kejayaan. Bagaimana kita boleh tingkat dan martabat bangsa Melayu untuk jadi jaguh yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

"Saya rasa tak ada makna sekiranya negara jadi maju pada tahun 2020, tapi Melayu masih tak maju.

"Jadi saya pohon sebagai anak muda, sekiranya cetusan idea keramat 30 peratus diilhamkan Tun Abdul Razak, biarlah dalam tempoh masa anaknya menjadi Perdana Menteri sebelum 2020, kita sampai ke garisan penamat, kita bawa orang Melayu ke garisan 30 peratus, tapi sama-samalah kita berdikari, kerja kuat, dan buang tongkat," katanya.

Sebelum mengakhiri penggulungannya, Khairy mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan taktik dan sandiwara pembangkang yang begitu menginginkan tampuk pemerintahan kerana dikhuatiri ia akan menghancurkan negara. - BERNAMA

Usah lagi bangkitkan soal Perlembagaan: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu soal Perlembagaan tidak lagi dibangkitkan dan menegaskan dasar hak Bumiputera akan terus diperjuangkan UMNO dan kerajaan.
Merujuk ucapan dasarnya yang menegaskan peruntukan soal itu dalam Perlembagaan sudah "terpatri kemas", Najib yang juga Presiden UMNO berkata semua pihak perlu segera berhenti mempersoalkan perkara itu.
"Soal Perlembagaan jangan dibangkit lagi oleh sesiapa pun lagi...bak kata orang putih, 'let us move on'...habis cerita, tutup buku," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Persidangan Agung UMNO 2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Malah, kata Najib, beliau sudah menegaskan perkara itu semasa Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini.

"Saya kata kalau majoriti dalam sebuah negara itu memiliki sebahagian kecil kekayaan itu tidak adil, itu tidak baik untuk negara," katanya sambil menambah kekayaan yang dinikmati kaum lain juga disebabkan dasar kerajaan yang diterajui UMNO.