Followers

Wednesday, January 13, 2010

Kerajaan pastikan perbalahan agama tidak jadi norma masyarakat: Muhyiddin

LONDON: Kerajaan sentiasa memastikan perbalahan berkaitan agama tidak menjadi norma hidup masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ia adalah isu kritikal yang seharusnya ditangani dengan baik," katanya pada sesi soal jawab selepas menyampaikan kuliah bertajuk Islam dan Cabaran Kritikal di Negara Pelbilang Agama Malaysia di Pusat Pengajian Islam Oxford, semalam.

Dalam kuliahnya, Muhyiddin menjelaskan Malaysia mengamalkan model negara yang diterapkan Saidina Umar Al-Khattab iaitu pemerintah bertanggungjawab mempertahankan hak golongan minoriti dan melayan masyarakat agama lain dengan adil dan saksama.

"Kita tidak boleh membenarkan keganasan berlaku atas nama agama dan pada masa sama tidak mahu kebebasan beragama menyebabkan berlaku ketidaksefahaman dalam masyarakat berbilang agama.

"Oleh itu menjadi tanggungjawab pertubuhan agama dan masyarakat untuk mengamalkan toleransi dan memahami rakan mereka dari agama berlainan dan pengikut setiap agama harus menyesuaikan jangkaan-jangkaan mereka," katanya.

Kes saman terhadap 'Eye On Malaysia' 8 Februari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Februari ini untuk perbicaraan kes saman syarikat Belgium, Fitraco NV, terhadap Eye on Malaysia (EOM) Sdn Bhd dan satu lagi syarikat berhubung kegagalan syarikat pengendali roda gergasi itu menjelaskan hutang sebanyak RM17 juta.

Hakim Anantham Kasinather menetapkan tarikh tersebut dalam kamar semasa kes dipanggil untuk pengurusan hari ini.

Pada 15 September, 2009, Fitraco NV, sebagai pemilik asal buaian gergasi itu, memfailkan saman terhadap EOM dan MST Ad Suria Sdn Bhd selepas syarikat terbabit gagal melunaskan tunggakan hutang itu bagi menyewa dan membawa buaian berkenaan ke Malaysia pada 2006.

MST adalah syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda Eye On Malaysia pada 2006 sebagai sebahagian daripada tarikan utama sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia pada 2007.

Roda itu telah dipindahkan dari Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur ke muara Sungai Melaka pada September 2008 dan beroperasi secara rasmi sebulan selepas itu.

Sejak dibuka pada Oktober 2008, Eye On Malaysia dikatakan sudah berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM5 juta.

Pada 26 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Fitraco NV untuk mengambil balik buaian pusing terbesar di Asia Tenggara itu daripada EOM.

Pada hari sama, mahkamah turut membenarkan permohonan injuksi oleh Fitraco NV bagi menghalang MST daripada menjual roda gergasi berkenaan kepada EOM dan pada masa sama membenarkan Fitraco NV memasuki tapak kawasan itu serta mengambil alih pengurusan sedia ada.

Roda gergasi yang menjadi tarikan perlancongan utama di negeri Melaka itu telah disita pada 7 Januari lalu dan operasinya terpaksa diberhentikan serta-merta. - Bernama

Gempa di Haiti: Istana Presiden, bangunan kerajaan runtuh

WASHINGTON: Istana Presiden Haiti dan beberapa bangunan kerajaan di ibu negara Haiti di Port-au-Prince runtuh akibat gempa kuat 7.0 magnitud, lapor stesen televisyen secara langsung, hari ini.

Sistem komnunikasi di pulau berkenaan terputus selepas gempa kuat berkenaan serta beberapa gegaran susulan.

Wartawan stesen televisyen Haiti - Haitipal, yang ditemubual menerusi telefon dari Port-au-Prince, berkata banyak bangunan kerajaan di sekitar ibu negara itu musnah.

"Istana Presiden, bangunan Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan antara yang runtuh," katanya.

Susulan gempa 4.53 petang waktu tempatan (5.53 pagi waktu Malaysia) amaran tsunami segera dikeluarkan di rantau kepulauan Caribbean itu. - AFP

Gempa bumi kuat gegar Haiti, banyak bangunan runtuh

PORT-AU-PRINCE: Gempa bumi terkuat menggegarkan Haiti dan menyebabkan banyak bangunan, termasuk hospital runtuh.

Pakar menjangkakan bilangan kemalangan jiwa adalah tinggi.

Tiada laporan segera kematian atau kecederaan kerana perhubungan komunikasi terputus.

Gempa bumi berukuran 7.0 pada sekala Richter itu berpusat di 15 kilometer ke barat Port-au-Prince dan ada kedalaman 8 kilometer.

Gempa bumi terkuat sebelum ini ialah 6.7 pada skala Richter yang dicatatkan pada 1984. - AP