Followers

Sunday, December 5, 2010

MB Selangor serah memo bantahan kepada wakil Istana Negara petang tadi

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyerahkan memorandum membantah kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kepada wakil Istana Negara untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, kira-kira jam 2.15 petang tadi.
Turut mengiringi Abdul Khalid, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dan barisan Exco Kerajaan negeri Selangor.

Najib tarik perhatian perwakilan dengan penggunaan pelbagai bahasa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menarik perhatian perwakilan Konvensyen Barisan Nasional (BN) apabila menggunakan pelbagai bahasa termasuk Melayu, Mandarin, Tamil, Bidayuh, Orang Ulu, Kadazan dan Dusun, Iban serta Murut ketika menyampaikan amanat dasarnya.
Beliau memulakan ucapan dasar itu dengan mengucapkan Salam 1Malaysia dalam bahasa Mandarin iaitu "Yi ge", "Oray Malaysia" (Tamil), "Ndi Malaysia" (Bidayuh), "Ji Malaysia'' (Orang Ulu), "Ise'' Malaysia (Kadazan dan Dusun), "Saumi Malaysia" (Murut) dan "Sato Malaysia" (Iban).
Setiap kali menggunakan sesuatu bahasa, beliau diberi tepukan gemuruh oleh kira-kira 2,340 ahli perwakilan daripada parti komponen BN,
rakan-rakan BN dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri konvensyen ketiga bertemakan "1Rakyat, 1Negara, 1Wawasan" itu di Wisma MCA di sini.

Sambil meminta semua ahli perwakilan dalam BN supaya memikirkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan diri sendiri, Najib memetik falsafah Cina yang amat sesuai dijadikan teladan.

"Xian tian xia zhi you er you, hou tian xia zhi le er le... saya difahamkan ia bermaksud selesaikanlah masalah rakyat sebelum kesusahan menimpa mereka. Bahagiakanlah hidup rakyat sebelum semua dapat hidup bahagia," katanya.

Katanya, ajaran itu amat sesuai dijadikan pegangan para pemimpin BN yang mendahulukan rakyat dan mempertamakan kepentingan rakyat.
Najib, yang juga Pengerusi BN, turut memetik falsafah Tamil iaitu "Yipadai thorkin, yeepadai vehlum" yang meminta masyarakat untuk berjuang dengan sepenuh jiwa bagi memastikan kemenangan.

"Ertinya, jika pasukan ini gagal memenangi perjuangan, tiada pasukan pun yang boleh melakukannya," katanya.

Beliau menegaskan bahawa BN tidak pernah melenyapkan mana-mana budaya dan pada masa yang sama tidak juga pernah menukar asal-usul sesiapa sampai sekarang.

"Misalnya, kalau nama Samy Vellu, tak payah tukar jadi Suhaimi atau Sazali. Kalau Chua Soi Lek, tak payah tukar jadi Salleh, So''ud atau Ayoub, kalau John Ambrose tu John Ambrose lah, tak payahlah jadi Johan Ambrose.

"Sehinggakan Orang Asli sekalipun bebas mengekalkan identiti mereka. Bahkan, kita harus berbangga bahawa satu-satunya negara di dunia, membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar," katanya.

Justeru, Najib berpendapat kejayaan yang dicapai pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi merupakan kejayaan bersama semua pihak.

"Kata-kata tersohor orang Iban "Agi idup agi ngelaban''. Selagi hidup, selagi itu kita berjuang. Kata orang Bajau di Sabah pula ''Mangan niak mangan, asal kurung, kurung''.

"Maksudnya, makan atau tidak makan, asal kita masih hidup bersama-sama. Pastinya, mengambil semangat itu, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka, kita mesti tetap bersama demi BN," katanya.

Beliau juga mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak terpukau oleh helah pembangkang yang penuh tipu daya atau menumpang serta menaiki sampan rosak dan bocor dengan pakatan palsu mereka yang semakin hanyut dilanda badai.

"Seperti diingatkan dalam pantun Melayu: Kalau belayar perahunya senget, memang susah hendak kemudi, usah berharap guruh di langit, kilat memancar hujan tak jadi," katanya. - BERNAMA

Ahli komponen BN sahut amanat Najib, sedia hadapi pilihan raya umum

KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaan untuk melakukan perubahan politik dan mengukuhkan kesepakatan antara parti-parti komponen sebagai resipi kejayaan memenangi hati rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Mereka juga menyifatkan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Pengerusi BN pada konvensyen BN hari ini suatu suntikan semangat kepada pemimpin dan ahli BN untuk bersedia bertindak mengembalikan keyakinan penuh rakyat terhadap BN.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata bagi mencipta kejayaan itu, ahli BN perlu mengikis empat penyakit yang dinyatakan oleh Najib sebagai ingatan dan petua untuk mencapai kemajuan pada masa akan datang.
"Saya berasa bangga beliau (Najib) mengingatkan supaya penyakit di dalam BN terutama angkuh, delusion (khayal) dan inertia (yang tidak mahu bergerak) dan lupa diri, semua ini perlu ambil iktibar dalam BN," katanya ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen BN di Wisma MCA d sini, hari ini.

Rais yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, konvensyen BN kali ini adalah pembuka lembaran baru berikutan ia membawa gambaran, kemampuan dan azam baru terhadap pelaksanaan konsep gagasan 1Malaysia yang didukung oleh Najib.

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya akan menterjemahkan gagasan 1Malaysia menerusi setiap program yang dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat sejajar dengan tema konvensyen BN kali ini iaitu "Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat".

Rais berkata, rakyat seharusnya bijak menilai parti yang lebih menjaga kepentingan mereka seperti yang dibuktikan oleh BN berbanding pembangkang yang hanya mengamalkan pembohongan dan sikap berpura-pura.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata jika empat penyakit itu seperti yang digariskan oleh Najib dapat dihapuskan, BN mampu bertapak lebih kukuh dan memiliki masa depan yang cerah untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

"Ini adalah satu transformasi politik yang perlu dilakukan... BN perlu perubahan besar dari segi politik bermula sekarang untuk kemenangan lebih baik pada pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau berkata, konvensyen sebegini berkesan untuk melakukan perubahan dan transformasi untuk menjadikan BN yang juga satu keluarga besar, lebih kuat dan kukuh.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Najib sudah menyemai keyakinan yang tinggi dan harapan terhadap hala tuju BN.

"Kami telah melakukan dengan baik... terdapat banyak isu dalam tahun sebelum ini, namun beliau menyampaikan amanatnya dengan baik... meminta kami supaya bersatu padu. Hanya kami yang dapat melakukannya, tiada parti lain yang dapat melakukan seperti kami.

"Kami bersikap bertahan sebelum ini dan kini kami bersedia untuk melakukan serangan pula," katanya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata ucapan itu adalah yang terbaik oleh Najib untuk memberi motivasi kepada pemimpin BN.

"Saya berpendapat beliau meletakkan kami dalam suasana untuk mara ke hadapan, terutamanya bagi kami dari Sarawak. Kami akan berdepan pilihan raya (negeri), jadi ingatan itu kena pada masanya," kata Chin, yang juga Setiausaha Pengelola Parti Rakyat Bersatu Sarawak.

Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata mesej Perdana Menteri adalah jelas bahawa semua parti komponen BN perlu bersatu padu.

Naib Presiden MIC dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata BN perlu bergerak dalam satu pasukan yang bersatu untuk memenuhi kehendak rakyat dan mewujudkan semangat baru di kalangan ahlinya.

"Semua ahli BN perlu memainkan peranan dengan melakukan pembaharuan minda dan pendekatan serta menunaikan harapan rakyat terhadap BN dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada masa depan," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata ahli parti komponen BN perlu mempunyai kesepakatan dan kesungguhan untuk bekerjasama antara satu sama lain.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata pemikiran masyarakat hari ini berbeza berbanding dulu, maka BN perlu melakukan perubahan dalam mengikis sikap keangkuhan dan mengutamakan rakyat. - BERNAMA

Sayap BN sambut baik amanat pengerusi, ikrar kikis 4 gejala penyakit

KUALA LUMPUR: Amanat dasar yang disampaikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak ketika konvesyen BN hari ini wajar menjadi peringatan terutama kepada pemimpin muda dan generasi muda yang berjuang dalam BN.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata peringatan mengenai empat sifat atau kelakuan yang buruk iaitu khayalan (delusion), kelupaan (amnesia), kejumudan (intertia) dan keangkuhan (arrogance) adalah gejala negatif yang perlu segera diatasi.
"Oleh itu, berteraskan dan berpaksikan kepada realiti dan berpijak di bumi yang nyata, saya harap Pemuda BN akan dapat menggalas tanggungjawab ini dan menyampaikan pesanan itu kepada generasi muda," katanya ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen BN di Wisma MCA di sini, hari ini.
Katanya, generasi muda perlu diberikan penjelasan mantap mengenai peranan dan tanggungjawab BN yang kini satu-satunya pilihan terbaik pada kalangan orang muda untuk mengemudikan negara ini ke arah masa depan yang lebih baik.

"Berbanding dengan pembangkang yang disifatkan sebagai saudagar mimpi yang menjanjikan segala bentuk kemudahan kepada rakyat tetapi sebenarnya tidak mampu dan tidak boleh tunaikan janji itu," kata Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata amanat yang dilaungkan Perdana Menteri seharusnya dijadikan azimat bagi jentera BN untuk membuat persdiaan mantap bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

"Dalam ucapan tadi Pengerusi menekankan tentang empat penyakit yang sering melanda parti yang telah lama memerintah.
"Ia seharusnya menjadi ingatan kepada BN dengan merapatkan barisan pada ketika ini dan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang agar apa yang berlaku pada 2008 tidak berulang," katanya.

Rosnah berkata, jentera pergerakan Puteri yang sedar dengan keperluan untuk berubah, kini giat mendekati pengundi muda dalam usaha memenangi hati golongan itu melalui pelbagai program khusus yang dijalankan di semua bahagian.

"Puteri sudah bersedia dengan bilik gerakan dan kita juga telah mengatur langkah dan mengenal pasti pengundi-pengundi muda yang akan jadi kumpulan sasaran kita.

"InsyaAllah, ini akan berterusan dan kita baru sahaja tamat dengan fasa pertama dan telah memulakan fasa kedua awal bulan ini dengan giat mendekati akar umbi," kata Rosnah.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun disampaikan dalam pelbagai bahasa bagi menggambarkan kepelbagaian kaum di negara ini, kata-kata Perdana Menteri itu membawa satu matlamat dan ia berjaya menyuntik semangat baru kepada perwakilan muda khususnya.

Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, rakyat seharusnya bijak menilai pakatan pembangkang yang tidak mempunyai hala tuju walaupun bersepakat, dan kembali memilih BN sebagai parti yang menjaga kebajikan semua kaum.

"Saya terharu dengan ucapan Najib tadi...kita harus ambik iktibar dengan pilihan raya lalu dan perlu lebih bersemangat serta tidak putus asa memperbaiki kelemahan untuk memberi kemakmuran terutama menyelesaikan masalah rakyat," katanya. - BERNAMA

Konvensyen BN 2010 bermula

KUALA LUMPUR: Konvensyen Barisan Nasional (BN) 2010, yang akan membincangkan tujuh agenda penting berkaitan hala tuju dan usaha pengukuhan parti supaya terus kekal relevan di hati rakyat, bermula di Dewan San Choon, Wisma MCA, di sini, hari ini.
Perwakilan sudah mula tiba seawal jam 7 pagi kesemuanya lengkap berpakaian baju T berwarna biru, warna rasmi BN, dengan logo 1Malaysia.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak tiba kira-kira 8.55 pagi dengan diberikan sambutan muzik dan persembahan tradisional masyarakat pelbagai kaum.
Najib memakai kemeja berlengan pendek berwarna biru dengan logo BN dan 1Malaysia.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin 13 komponen BN.

Ketika Najib memasuki Dewan San Choon, beliau sekali lagi diberikan sambutan meriah dengan ribuan perwakilan yang penuh sesak berdiri di dewan itu mengibarkan bendera BN.

Dewan dan tempat masuk dihiasai dengan sepanduk antara lain bertulis "BN, Rakyat Didahulukan, 1Malaysia Kearah Kemajuan, 1Malaysia Kearah Perpaduan dan 1Malaysia Kearah Keharmonian Agama".
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti nyanyian lagu NegaraKu dan nyanyian lagu BN.

Ia diikuti ucapan aluan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ucap utama dan majlis perasmian oleh Pengerusi BN.

Lebih kurang 2,340 perwakilan daripada parti komponen BN, rakan-rakan BN dan badan bukan kerajaan (NGO) menghadiri konvensyen ini yang bertemakan "1Rakyat, 1Negara, 1Wawasan.

Kali terakhir konvensyen BN diadakan ialah pada 2001. - BERNAMA

Buang 4 gejala penyakit sebelum sokongan rakyat menjadi penentangan: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hariini mahu ahli Barisan Nasional (BN) supaya mengikis gejala penyakit
khayal, lupa diri, jumud dan angkuh dalam usaha menambat hati rakyat.
"Kita mesti mengelak, mengikis dan membuang jauh empat gejala penyakit itusebelum rasa sayang rakyat terhadap BN berubah menjadi benci, harapan mereka
menjadi kemarahan dan sokongan rakyat bertukar menjadi penentangan," katanya yang juga Pengerusi BN.

Najib berkata, semua gejala penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya
menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah.

"(Saya) menyedari empat penyakit lazim sering melanda parti-parti yang sudah
lama berkuasa. Hakikatnya, parti yang terlampau berkuasa jarang melakukan muhasabah terhadap kelemahan diri," katanya dalam ucapan amanat dasar di
Konvensyen BN 2010 di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini, hari ini.

Dalam amanat bertema "Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat" itu, Perdana
Menteri berkata, penyakit khayalan kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan, manakala kelupaan kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal.

:Yang ketiga, penyakit kejumudan yang terjadi apabila enggan membuat
pembaharuan dan perubahan dan seterusnya penyakit angkuh yang mencerminkan sikap
tidak boleh menerima teguran ramai," katanya.

Najib berkata, untuk bangun kembali, BN mesti mencari formula pemulihan dan
melaksanakan pelan tersebut secara konsisten.

"Itulah yang sedang kita usaha dan sedang kita lakukan. Barulah nanti akan
memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan," katanya.

Katanya, bukan sekadar cukup dengan persepsi positif, akan tetapi kepercayaan
sebenar rakyat terhadap BN perlulah terus dipupuk dan dibaja dengan jalan
bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.

"Maka, saya ingin sentiasa mengingatkan bahawa kejayaan-kejayaan awal ini
perlu dijadikan asas kemenangan yang lebih memberangsangkan kelak.

"Dalam kata lain, jangan kita leka dan mudah terpesona. Sifirnya, untuk BN terus menerajui kepimpinan negara dan negeri-negeri, setiap parti komponen perlu diperkukuh dan diperkuat," katanya. - BERNAMA

BN tidak boleh ditiru anasir luar: Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak boleh ditiru dan diporak perandakan anasir luar kerana ikatan atas keikhlasan dan kesungguhan parti itu melambangkan keakrabannya terhadap rakyat, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya, BN bukan sebarang parti, malah tidak mudah untuk dibuat galang ganti seperti yang diaplikasikan oleh parti pembangkang kerana parti tersebut juga melambangkan definisi rakyat Malaysia.
"Usia BN juga bukan setahun dua tetapi BN telah matang dengan melalui sebarang ranjau, krisis dan permasalahan dalam negara. Tidak pernah menyerah kalah apatah lagi untuk bersikap pasrah atas cabaran yang datang," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan Konvensyen Barisan Nasional kali ketiga di Wisma MCA hari ini.
Kira-kira 2,340 perwakilan daripada parti komponen BN, rakan-rakan BN dan badan bukan kerajaan (NGO) menghadiri konvensyen yang bertemakan "1Rakyat, 1Negara, 1Wawasan" itu dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri.

Katanya, BN terbukti dengan "kata dikota, janji dilaksana" berikutan usaha parti itu yang sentiasa berusaha menyaring kekotoran, membuang yang negatif dan mempertingkatkan kejituan demi masa depan.

"Banyak yang telah BN lalui, bukan hanya terguris luka atau sekadar tertusuk selumbar tapi BN juga berdepan dengan kecaman pergolakan oleh segelintir anggota sendiri... mengalah bukan sekali, BN bangkit memulih semangat untuk membina kekuatan," katanya.

Katanya, konvensyen ini merupakan satu usaha untuk terus menjuarai rakyat dengan jiwa dan semangat kental, menyelami permasalahan dan melakukan perubahan berdasarkan landskap gelombang yang dimahukan oleh rakyat.
"BN bukan hanya sebuah kerajaan yang dihasilkan oleh aspirasi rakyat tetapi tempat bagi rakyat yang berjiwa besar yang menjadi lambang sebuah negara berdaulat," katanya.

Beliau juga mengingatkan kesemua perwakilan supaya tidak sesekali terpedaya dengan dakyah pembangkang sebaliknya ampuh menyemai tekad dengan mengatur langkah bersama berpadu "ke gunung sama didaki ke lurah sama dituruni".

Mereka juga bertafakur selama seminit sebagai tanda hormat terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang meninggal dunia pada 24 November lalu akibat serangan angin ahmar. - BERNAMA

Kepimpinan pembangkang golongan antinasional: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata parti-parti pembangkang sebenarnya hanya berjuang mewakili kepentingan tertentu semata-mata bagi mengejar kuasa serta terikat untuk
menyelesaikan masalah peribadi sehingga sanggup memperdayakan rakyat. Perdana Menteri berkata berdasarkan realiti itu, rakyat dan pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati dan berwaspada kerana pemimpin pembangkang
sanggup melakukan apa saja bagi mencapai matlamat mereka termasuk
memburuk-burukkan nama Malaysia di luar negara.
"Berhati-hatilah semua, berwaspadalah semua, mereka ini amat-amat berbahaya.
Saya mahu jelaskan di sini, mereka ini anti nasional.
"Kita mesti tentang habis-habisan dan pastikan negara ini tidak akan diporak
peranda oleh kegiatan durjana mereka," katanya ketika menyampaikan amanat dasar
sempena Konvensyen BN di Wisma MCA di sini hari ini. Dalam amanat bertema "Mengukuh Barisan, Mendahulu Rakyat" Najib yang juga
Pengerusi BN berkata usaha parti pembangkang untuk cuba meniru BN dari segi
kerjasama melibatkan semua komponen parti yang mewakili pelbagai kaum adalah
sia-sia kerana mereka tidak mempunyai ramuan keikhlasan, wawasan dan nilai yang
dikongsi bersama.