Followers

Tuesday, August 4, 2009

Korban jangkitan paru-paru meningkat di China

BEIJING: Seorang lagi penduduk bandar Ziketan, barat laut China, maut kerana jangkitan paru-paru menyebabkan pihak berkuasa menyekat laluan keluar dan masuk dari kawasan itu.

Kematian terbaru menjadikan dua orang maut, manakala 12 lagi disahkan dijangkiti penyakit paru-paru yang boleh membawa maut itu, lapor agensi berita rasmi, semalam.

Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di China memberitahu, ia menjalin hubungan rapat dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan dan langkah menyekat jangkitan dengan mengenakan kuarantin adalah wajar.

Lelaki yang maut kelmarin dikenali sebagai Danzin, 37, dari bandar Ziketan, wilayah Qinghai, lapor Xinhua.

Danzin adalah jiran kepada mangsa pertama, seorang gembala berusia 32 tahun. Kebanyakan orang lain yang dijangkiti adalah saudara mangsa pertama dan diasingkan untuk rawatan di hospital.

Bandar yang mempunyai 10,000 penduduk itu sudah ‘ditutup’ dan sepasukan pakar dihantar ke kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan memberi amaran, sesiapa yang batuk atau demam selepas melawat Ziketan pada pertengahan Julai wajar mendapatkan rawatan di hospital.

Seorang peniaga dikenali sebagai Han, di Pasar Crystal Alley di Ziketan berkata, pihak berkuasa mengarahkan kediaman dan kedai dibersihkan dan penduduk wajar memakai topeng apabila keluar.

Katanya, 80 peratus kedai di bandar itu sudah ditutup dan harga bahan pembunuh kuman meningkat beberapa kali ganda.

“Orang ramai ketakutan. Tidak ramai berani keluar. Ada polis melakukan kawalan tetapi tidak di jalan raya,” kata Han.

Di Bangkok, Menteri Kesihatan Thailand, Witthaya Kaewparadai, meminta agensi kesihatan dan orang ramai berjaga-jaga dengan perkembangan di China, walaupun belum melarang warga negaranya mengunjungi negara itu.

Kali terakhir jangkitan paru-paru meletus di Thailand pada 1952.

Witthaya berkata, beliau mengarahkan Setiausaha Tetap kementerian itu menentukan sama ada penyakit itu tersebar dari udara, disebarkan oleh manusia atau sistem pernafasan. - Agensi

H1N1: 2 kem PLKN, 1 kolej swasta ditutup

KUALA LUMPUR: Dua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebuah kolej swasta diditutup berikutan penularan wabak influenza A (H1N1).

Kem PLKN yang ditutup adalah Kem White Resort, Pulau Pinang, dan Kem Tasik Chini, Pahang, menjadikan jumlah kem PLKN yang ditutup kepada 23 buah, manakala Kolej Shahputra di Pahang ditutup selama seminggu bermula esok.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata semua pelatih telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pengerusi Eksekutif Kolej Shahputra, Datuk Dr Azman Zaini Abdul Ghanie, pula berkata keputusan untuk menutup kolej tersebut adalah atas nasihat Jabatan Kesihatan Pahang.

Di Sarawak, empat lagi kes positif Influenza A (H1N1) dilaporkan di Kuching dan kesemuanya merupakan kes jangkitan tempatan dan menjadikan jumlah kes di negeri itu setakat ini 139 kes, dengan kes import kekal 25.

Menurut kenyataan Bilik Gerakan Negeri, empat kes itu membabitkan seorang pelajar berusia 13 tahun dari Sekolah Menengah Kerajaan Bekenu di Miri dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari Samarahan, selain dua kes membabitkan kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia lapan tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Stapok dan SK Gita No 2 dekat Kuching.

Di Kedah, 182 pelajar dan tiga orang guru dari lima buah sekolah di negeri itu yang mempunyai simpton H1N1 telah diberi cuti selama enam hari bermula semalam bagi tujuan kuarantin.

Timbalan Pengarah Pelajaran Kedah, Abdullah Saad, berkata mereka yang terbabit terdiri daripada 51 orang pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, 45 murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Jitra, 34 murid dan tiga orang guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Serdang dan dua murid Sekolah kebangsaan Bandar Baru Sintok.

Seramai 50 orang pelajar Sekolah Sains Sultan Muhammad Jiwa di Sungai Petani telah dikuarantin dalam asrama apabila beberapa pelajar sekolah itu telah mengalami demam dan batuk. - Bernama

Sabah&Sarawak: Belum hasrat tutup ladang babi

KERAJAAN Sabah belum berhasrat menutup mana-mana ladang ternakan babi di negeri itu berikutan wabak Influenza A (H1N1).

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata ia kerana wabak berkenaan bukan berpunca daripada ternakan babi kepada manusia tetapi disahkan daripada manusia kepada manusia yang kini sudah diisytihar sebagai pandemik.

Bagaimanapun, katanya, tindakan penutupan ladang babi boleh dilaksanakan jika ladang berkenaan tidak memenuhi syarat dan piawaian ditetapkan selaras penguatkuasaan Undang-Undang Kawalan Kegiatan Ternakan (Babi) 2008.

"Selepas wabak H1N1 diisytihar oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April lalu, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil beberapa tindakan termasuk menguji sampel darah dari ladang ternakan babi.

"Sebanyak 1,371 sampel diambil daripada 63 ladang ternakan di seluruh Sabah dan Labuan kini menunggu keputusan dari Institut Penyelidikan Haiwan di Ipoh, Perak,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Rahim Ismail (BN-Pantai Manis) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Yahya berkata, langkah seterusnya adalah ujian klinikal terhadap pekerja ladang ternakan babi di seluruh negeri dan tiada didapati positif H1N1.

Berikutan pewartaaan Undang -Undang Kawalan Kegiatan Ternakan (Babi) 2008, katanya, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak negeri mengadakan sesi taklimat berhubung penguatkuasaan undang-undang kepada pengusaha ladang ternakan babi.

"Sebanyak 41 pengusaha ladang ternakan babi mengemukakan permohonan untuk dilesenkan,” katanya.

Sabah&Sarawak: 120 setinggan Suang Parai wajar dibela

Penempatan diduduki 10 tahun tiada bekalan air dan elektrik

KOTA KINABALU: Umno bahagian Sepanggar meminta kerajaan negeri menyelesaikan masalah 120 setinggan di Kampung Suang Parai berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, yang berlarutan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Ini kerana sejak dipindahkan ke kawasan berkenaan selepas penempatan asal mereka dimajukan syarikat yang bertanggungjawab membina bangunan komersial di Alam Mesra, Likas dekat sini, penduduk mendakwa tidak menerima kemudahan bekalan tenaga elektrik dan air.

Ketua Umno bahagian, Jumat Idris, mendakwa awalnya pemaju berjanji membina 500 rumah untuk penduduk yang dipindahkan tetapi hanya membina 120 unit.

"Hingga sekarang mereka tidak diberi bekalan tenaga elektrik dan air. Sekarang ada kira-kira 500 rumah di situ sedangkan penduduk asal hanya 120 keluarga manakala bakinya adalah penceroboh. Umno bahagian tidak mengiktiraf mereka yang menceroboh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Sepanggar di UMS di sini, kelmarin.

Ia disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shaziman Abu Mansor. Hadir sama Ketua Wanita Umno bahagian, Datuk Jainab Ahmad.

Pada majlis itu, Jumat menerima borang keahlian Umno daripada bekas pemimpin dan ahli empat cawangan Parti Maju Sabah (SAPP) yang sudah bosan dengan tindakan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee menikam Barisan Nasional (BN) dari belakang berikutan tindakannya membawa parti itu keluar daripada BN pada September lalu.

Jumat berkata, tanah di Sungai Parai untuk 120 keluarga berkenaan sudah diberi lot oleh kerajaan tetapi tidak menerima kemudahan asas, menyebabkan mereka terpaksa hidup seperti setinggan lain sedangkan mempunyai status tanah sah.

Sabah&Sarawak: Sidang DUN Sabah: Jawatankuasa tangani kes virus Influenza A ditubuh

Beberapa langkah diambil elak wabak menular

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil beberapa langkah bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai penularan virus Influenza A (H1N1) dan kaedah menangani wabak itu, sejajar dengan perkembangan 273 kes dilaporkan di negeri itu setakat kelmarin.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa bagi menangani kes itu yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata jawatankuasa itu akan memantau dan melaporkan perkembangan H1N1 kepada Kabinet negeri dari semasa ke semasa.

"Ketika ini, langkah proaktif yang dilaksanakan ialah mengedar poster dan risalah kepada masyarakat serta melaksanakan pendekatan memberi penerangan berhubung virus H1N1 dengan kerjasama agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Maklumat turut disampaikan menerusi media dan sehingga semalam (kelmarin), sebanyak 273 kes positif H1N1 dilaporkan di Sabah, merangkumi 156 lelaki dan 117 wanita.

"Bilangan kes tertinggi ialah di bandar raya ini iaitu 164 kes, diikuti Tawau dan Lahad Datu dengan masing-masing merekodkan 37 dan 13 kes, Penampang (12) dan Sandakan (11).

Papar mencatat enam kes manakala Kudat dan Keningau masing-masing empat kes, Tenom (dua) dan Tuaran (1),” katanya menjawab soalan Datuk Rubin Balang (BN-Kemabong), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (BN-Membakut) dan Sarapin Magana (BN-Matunggong) berhubung penularan H1N1 di Sabah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Musa berkata, saringan kesihatan masih dijalankan di semua pintu masuk ketibaan pelancong yang berkunjung ke Sabah sebagai langkah berjaga-jaga.

Mengenai kesannya ke atas sektor pelancongan negeri, beliau berkata, H1N1 tidak menjejaskan kedatangan pengunjung ke Sabah kerana penurunan ketibaan pelancong hanya sekitar satu peratus bagi tempoh Januari hingga Mei, berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Penularan H1N1 memang memberi cabaran bukan saja terhadap industri pelancongan Sabah, malah industri pelancongan di peringkat global.

"Sehingga kini, belum ada laporan diterima membabitkan pembatalan pelancong secara besar-besaran ke Sabah," katanya.

Peperiksaan ikut jadual: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan mengikut jadual walaupun terdapat ancaman penyakit Influenza A (H1N1) manakala cadangan untuk mempercepatkan cuti sekolah pertengahan tahun, yang sepatutnya bermula Ogos 22 ini, belum ditentukan.

Ini diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik Influenza A (H1N1), yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

"Semua peperiksaan akan berjalan mengikut jadual. Kalau ada kes-kes tertentu maka pelajar itu akan diasingkan. Jika sekolah itu diberi cuti, mereka yang mengambil peperiksaan perlu balik ke sekolah untuk mengambil peperiksaan mereka.

"Bagi pelajar yang dirawat di hospital, mereka boleh mengambil peperiksaan itu di hospital jika dibenarkan oleh doktor," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.

Katanya Kementerian Kesihatan telah diminta meningkatkan simpanan antiviral daripada 10 peratus kepada 20 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

"Kini kita ada 10 peratus antiviral yang bernilai RM20 juta dan kini kita perlu mendapatkan peruntukan sebanyak RM20 juta lagi untuk meningkatkan antiviral ini kepada 20 peratus. Permohonan peruntukan akan diminta dari Kementerian Kewangan," katanya.

Muhyiddin juga berkata ujian Influenza A (H1N1) kepada semua jangkitan ''influenza-like-illness'' (ILI) tidak akan dijalankan lagi memandangkan buat masa ini 95 peratus jangkitan ILI ini disebabkan oleh H1N1.

"Mereka yang tergolong dalam kategori ILI akan terus diberi rawatan antiviral. Ujian pengesahan jangkitan Influenza A (H1N1) hanya perlu bagi kes-kes yang dirawat di hospital. Ujian ''rapid test'' Influenza A (H1N1) adalah juga tidak digalakkan," kata Timbalan Perdana Menteri.

Katanya semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza A (H1N1) serta mempunyai faktor risiko iaitu mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetik dan imuniti rendah, akan diberi rawatan antiviral serta merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan penyakit itu.

Katanya semua kerajaan negeri telah diminta untuk mengaktifkan aktiviti pencegahan dan kawalan dan ini termasuk mengaktifkan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Mengenai Pandemik H1N1 2009 di peringkat negeri dan daerah untuk membolehkan semua aktiviti kesedaran dilaksanakan dengan lebih berkesan di pelbagai peringkat atau agensi.

Majlis Keselamatan Negara pula akan mengeluarkan garis panduan mengenai penutupan sekolah atau institusi akibat penularan jangkitan penyakit itu.

"Kementerian Pelajaran juga diminta membuat saringan suhu badan ke atas semua pelajar sebelum kelas dimulakan. Sekiranya pelajar didapati kurang sihat mereka ini perlu diasing dan dinasihatkan berehat di rumah serta mematuhi arahan kesihatan," katanya.

Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas kempen media yang akan dianggotai oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Jawatankuasa ini adalah untuk merancang dan memastikan kempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit H1N1 dilaksanakan dengan berkesan.

Ketika ditanya mengenai ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa 5,000 hingga 28,000 orang akan mati akibat penyakit itu di Malaysia, Muhyiddin berkata itu adalah sekadar ramalan.

"Kita amb il kira ramalan WHO ini. Kita perlu mengawal keadaan dan kita telah mengambil langkah-langkah pencegahan tetapi kita mahu kerjasama rakyat bagi mengelak jangkitan," katanya. - Bernama

H1N1: Tiada kematian, 14 kes baru dikesan

PUTRAJAYA: Walaupun tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam sejak 8 pagi semalam akibat penyakit Influenza A (H1N1), sebanyak 14 kes baru dikesan dalam tempoh berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Daripada 14 kes yang dilaporkan itu, 13 adalah kejadian daripada tiga kluster baru dan satu kes sporadik atau terpencil.

"Jumlah kes terkumpul kes Influenza A (H1N1) di Malaysia setakat 8 pagi hari ini ialah 1,460 kes dengan jumlah kematian lapan orang. Daripada 1,460 kes itu, 574 atau 39.4 peratus adalah kes import dan 886 kes jangkitan tempatan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di sini hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, 1,410 kes telah sembuh dan hanya 27 kes sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dengan 10 daripada kes itu berada di unit rawatan rapi manakala 23 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah.

Beliau juga berkata daripada 10 kes yang berada di unit rawatan rapi, tiga mempunyai faktor risiko yang tinggi iaitu obesiti (1), wanita lepas bersalin (1) dan imuniti rendah (1).

Bagi 14 kes yang dikesan dalam masa 24 jam yang lalu, satu kes dirawat di unit rawatan rapi dan 13 orang menerima rawatan pesakit luar, katanya. - Bernama