Followers

Wednesday, August 19, 2009

Sabah&Sarawak: Pondan separuh masa


PONDAN seksi mengurut manja bahu seorang lelaki sambil berunding harga di Kota Kinabalu.

Siang lelaki tulen bekerja, malam bersolek cari duit lebih

KOTA KINABALU: "Bukan semua pondan buat kerja ni sepenuh masa. Ada yang menjadi pondan separuh masa. Siang lelaki tulen, berambut pendek, pakai kemeja dan seluar panjang masuk pejabat. Ada juga kakitangan kerajaan.

"Habis kerja, balik rumah, berdandan dua tiga jam, keluar semula sebagai orang baru. Rambut panjang, mekap cantik, jalan melenggang dan suara pun manja.

"Apa nak buat, cari duit. Bila dah bersolek dan tukar nama, kalau terjumpa rakan sepejabat pun mesti tak kenal," kata Kay, 24, ketika dihubungi Berita Harian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Susuk tubuh masing-masing memang menggiurkan. Rambut mayang mengurai, kulit cerah mulus, liuk-lentuk lenggok dan suara gedik menyapa membuatkan ramai lelaki menghentikan kenderaan lalu turun berunding harga.

Antara sarangnya sekitar Kampung Air, di tengah-tengah bandar raya. Setiap hari, laluan sempit kawasan itu antara paling sibuk dengan kenderaan dan orang ramai membereskan urusan harian.

Sebaik matahari terbenam, suasana kelam diselubungi kesunyian menghadirkan cerita berbeza. Jangan terkejut jika secara tiba-tiba ada aroma harum menusuk hidung mengiringi langkah di kaki lima deretan kedai.

Ia bukan senario usikan alam ghaib, jauh sekali tahyul yang menaikkan bulu roma. Sebaliknya, semerbak haruman adalah milik `kupu-kupu malam' mencari `kumbang' untuk dihinggap sementara.

Mereka adalah kumpulan pondan berusia lingkungan usia awal 20-an hingga pertengahan 30-an. Di sesetengah tempat, golongan pondan mungkin `mencari makan' secara bersembunyi atau takut-takut, tetapi tidak di Kampung Air. Sekitar jam 10 malam, pondan berpakaian seksi dan berkasut tumit tinggi serta aksi gemalai mula menghiasi penjuru laluan utama dan pinggir jalan.

Lelaki yang melintasi disapa manja. Ada yang berani menahan kereta jika melihat ia dipandu lelaki bersendirian, terutama kenderaan mewah atau pacuan empat roda serba berkilat.

Tinjauan tiga jam Berita Harian antara lain menyaksikan bakal pelanggan menghampiri si pondan. Lelaki dianggar berusia pertengahan 30-an itu kelihatan bertanya sesuatu - kemungkinan berunding harga - sambil bahunya sesekali diraba si pondan. Selepas 10 minit, si lelaki berlalu manakala si pondan mencekak pinggang sebelum mencari `mangsa' seterusnya.

Difahamkan, mereka boleh dilanggani dari harga serendah RM10 hingga ratusan ringgit, bergantung kepada kemahuan pelanggan.

Kay mengakui saingan memang sengit, tetapi jarang berlaku pergaduhan.

"Masing-masing ada `port' (kawasan), jaga sendirilah. Jangan kacau tempat orang. I ada beberapa pelanggan tetap tapi kena juga cari orang baru sebab bukannya setiap hari pelanggan tetap datang cari kita.

"Ini hakikat dan kami buat semua ini sebab kami mahu terus hidup. Orang keliling cuma pandai mengata dan mencaci. Apa mereka tahu pasal susah payah hidup kami?," katanya.

Usaha menerangi bandar raya dengan kerlipan lampu dan rondaan penguat kuasa di lorong-lorong hitam turut menyusutkan sarang pondan kerana kebanyakannya tidak berani kembali ke tempat pernah diserbu.

Kesimpulannya, DBKK dan pihak berkuasa lain tidak boleh menganggap senario `kupu-kupu malam' sebagai biasa, tidak kiralah kakitangan awam atau swasta, separuh atau sepenuh masa.

H1N1: Tiada kes kematian baru dilaporkan

KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian berkaitan Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam pagi tadi dan angka korban keseluruhan kekal pada 67 mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 1468 penghidap penyakit seperti influenza (ILI) sedang dirawat di 86 buah hospital termasuk enam hospital swasta di seluruh negara.

Katanya, dari jumlah itu, 257 telah disahkan positif H1N1 manakalal seramai 134 pesakit dibenarkan keluar hospital.

"Daripada 257 kes yang disahkan H1N1, 36 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana 7 kes adalah kemasukan baru sementara empat kes dipindah keluar dari ICU.

"Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU, 21 kes (58%) mempunyai faktor risiko iaitu diabetes (5), penyakit kronik (4), asma (3), hamil dan bersalin (3), obesiti (2), kanak-kanak istimewa (2) dan kanak - kanak di bawah usia setahun (2)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan H1N1 yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan influenza A.

Katanya, orang ramai perlu sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan H1N1.

"Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan," katanya.