Followers

Thursday, March 18, 2010

Gempa bumi sederhana melanda Laluan Molucca

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 skala Richter melanda Laluan Molucca, kira-kira 223 kilometer Timur Manado di Indonesia dan 1,014km Tenggara Kunak, Sabah, pada jam 3.07 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan, berkata koordinasi gempa bumi ialah pada 1.4 Utara dan 126.8 Timur.
“Gempa bumi itu tidak menyebabkan sebarang ancaman tsunami,” tambahnya. - Bernama

Virus terbaru mampu curi kata laluan Facebook

BOSTON: Penggodam membanjiri Internet dengan spam dicemari virus yang mensasarkan kira-kira 400 juta pengguna Facebook.

Ia dibangunkan dengan tujuan khusus iaitu mencuri kata laluan perbankan dan mengumpul maklumat sensitif pelanggan.

Menurut pembangun perisian anti-virus, McAfee Inc, pelanggan akan menerima e-mel mengarahkan kata laluan akaun Facebook perlu diset semula, di mana pengguna diarahkan membuka lampiran supaya daftar masuk baru (login) diperoleh. Syarikat itu berkata, sekiranya lampiran itu dibuka, ia akan memuat turun beberapa jenis perisian yang boleh mengancam keselamatan maklumat penting seperti kemungkinan kata laluan dicuri.

Sementara itu, jurucakap Facebook, berkata syarikat itu tidak dapat memberikan ulasan lanjut berhubung kes terbabit, tetapi mengarahkan pihak media untuk mengunjungi laman webnya bagi mendapatkan maklumat terkini seperti memberi amaran kepada pengguna berhubung e-mel palsu dan menyarankan supaya membuang e-mel terbabit. – www.reuters.com

Fiji isytihar darurat selepas ribut

SUVA, Fiji: Pesawat tentera udara Australia dan New Zealand mengangkut bantuan kecemasan ke Fiji yang dilanda ribut di mana perintah darurat dikeluarkan dan askar dikerah melakukan operasi bantuan di wilayah utara yang menerima akibat paling teruk sehingga memaksa ribuan penduduk melarikan diri ke tempat perlindungan.
Walaupun Siklon Tomas semakin reda, tahap kemusnahan tidak diketahui kerana komunikasi di antara kepulauan luar dan wilayah utara Vanua Levu yang teruk dilanda ribut, terputus.
Majlis Bencana Kebangsaan Fiji mengisytihar darurat selama 30 hari di wilayah utara dan timur negara itu semalam dan mengerah askar ditempatkan serta merta untuk memberi bantuan kecemasan termasuk makanan dan air.