Followers

Tuesday, August 24, 2010

Khatib pertahan doa untuk Guan Eng

GEORGETOWN: Zakaria Ahmad, khatib yang mencetuskan kontroversi kerana berdoa untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang, mempertahankan tindakannya itu dan berkata ia tidak salah di sisi agama.

"Bagi saya, berdoa (untuk orang bukan Islam) itu tidak salah cuma cara berdoa dan tempat (ketika khutbah Jumaat) itu yang dikatakan menjadi kesalahan.
"InsyaAllah lepas ini saya tidak akan mendoakan lagi (khutbah Jumaat) kalau hendak mendoakan pun di tempat lain," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) di sini.
Beliau menyifatkan isu berdoa itu adalah kecil tetapi telah diperbesarkan oleh orang politik dan beliau berterima kasih kepada MAIPP kerana memberi bimbingan kepadanya.

Yang Dipertua MAIPP, Elias Zakaria, berkata jawatankuasa itu berpuas hati dengan keterangan Zakaria dan hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat MAIPP untuk tindakan lanjut.

Katanya, setakat ini tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Zakaria dan khatib itu juga bersetuju untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, ketika dihubungi mengesahkan polis telah mengambil keterangan Zakaria hari ini.
"Kita cuba menyelesaikan siasatan berhubung kes ini hari ini," katanya.

Isu membaca doa untuk Lim bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat itu didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. - BERNAMA

Bapa sembelih anak 3 tahun di Kota Bharu

KOTA BHARU: Seorang bapa yang dipercayai sakit mental menyembelih anak sendiri berusia tiga tahun sebelum cuba membunuh diri di Kampung Sungai Keladi, dekat sini, pagi tadi


Dalam kejadian 11.50 pagi itu, Mohd Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian manakala bapanya cedera di leher dipercayai akibat cuba menyembelih diri sendiri.Lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai pernah mendapat rawatan mental di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Beliau yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini dipercayai sudah lama tidak mendapatkan rawatan penyakit mentalnya itu.

Ringgit cermin kekuatan asas ekonomi Malaysia: Zeti

KUALA LUMPUR: Pengukuhan ringgit mencerminkan sentimen asas dan pertumbuhan negara yang menggalakkan dalam separuh pertama tahun ini, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi iaitu 9.5 peratus dalam separuh pertama enam bulan tetapi ia menguncup sebanyak 5.1 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.
"Kita menyaksikan ringgit mengukuh dalam tempoh ini (pertumbuhan dalam separuh pertama) yang mencerminkan perkembangan domestik, rantau dan pembangunan yang muncul dalam pasaran-pasaran kewangan utama," katanya.
Ringgit telah meningkat ke paras tinggi 13 tahun berbanding dolar AS.

Pada 9.19 pagi ini, ringgit diniagakan pada 3.1340/1370 berbanding dolar AS daripada penutup hari Isnin iaitu 3.1310/1330.

"Seiring dengan negara yang kian terbuka, ia mungkin "lemah" kepada perkembangan luar," katanya di luar majlis penyenaraian Sukuk Bank Pembangunan Islam yang bernilai RM1 bilion di Bursa Malaysia di sini hari ini.

Zeti berkata, kemudahruapan yang amat ketara dalam pasaran kewangan antarabangsa akan berterusan ekoran ketidaktentuan yang tercetus terutamanya daripada pembangunan di ekonomi-ekonomi maju.
Bagaimanapun, disebabkan hakikat yang mengekalkan pasaran yang teratur amat penting, bank pusat akan hanya campur tangan jika terdapat sebarang pergerakan mengejut ataupun berlebihan.

"Kami akan berada di situ bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur tetapi kami tidak mempunyai sasaran dan kami tidak menjejaskan trend pendasar mata wang," katanya.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata yang bank pusat tidak melihat keperluan untuk membuat sebarang perubahan di dalam komposisi rizab mata wang negara.

"Kita kekal selesa dengan komposisi mata wang kita. Kita tidak melihat keperluan untuk sebarang perubahan berasaskan kepada persekitaran semasa.

"Kita percaya adalah penting untuk mengambil tinjauan sederhana hingga panjang dan tidak terganggu oleh perkembangan yang telah mengambil tempat baru-baru ini," katanya. - BERNAMA

Gempa 6.1 landa pesisir Mexico

WASHINGTON, Mexico: Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda di luar pantai barat Mexico, kira-kira 290 kilometer dari bandar Puerto Vallarta di negeri Jalisco.

Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi itu berlaku pada 9.11 malam Isnin waktu Jalisco (0211 GMT) pada kedalaman 10 kilometer.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Aaron Gutierrez dari Perkhidmatan Seismologikal Mexico berkata gempa bumi itu kemungkinan tidak "akan menyebabkan sebarang kerosakan". - AFP