Followers

Friday, January 22, 2010

Kerajaan tidak pernah abai isu hak asasi manusia: TPM

BINTULU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu hak asasi di Malaysia perlu dinilai secara adil kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan isu tersebut seperti didakwa pihak tertentu.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa melakukan penambahbaikan dalam pelbagai isu hak asasi manusia termasuk membabitkan keagamaan di negara ini.

"Kita telah melakukan yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Masjid Assyakirin di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kadang kala penilaian hak asasi di negara ini dinilai melalui persepsi semata-mata dan ini menimbulkan salah tasfiran.

Human Right Watch dalam laporannya yang dikeluarkan semalam dan disiarkan akhbar The Star mendakwa kerajaan Malaysia pimpinan sekarang telah mungkir janji untuk melindungi kepentingan rakyat dan masih lemah menangani isu hak asasi manusia.

Laporan 612 muka surat tersebut mendakwa kepimpinan sekarang menindas pembangkang, menyekat hak kebebasan bersuara dan memberi layanan buruk kepada pendatang asing.

Terdahulu, semasa berucap di majlis sambutan bersama rakyat selepas solat Jumaat di Masjid Assyarikin, beliau memberi jaminan akan membantu pembinaan rumah anak-anak yatim untuk semua kaum yang bakal dibina di Bintulu tidak lama lagi.

Tanpa menyatakan jumlah peruntukan yang akan diberi, Timbalan Perdana Menteri berkata selaras dengan konsep 1Malaysia, kerajaan akan memberi sokongan penuh terhadap projek tersebut.

Projek rumah anak-anak yatim semua kaum di Bintulu dilancarkan pada hujung tahun lalu dan sudah mendapat peruntukan RM500,000 daripada kerajaan negeri namun masih menunggu sumbangan kewangan sebelum pembinaan bermula. - Bernama

Insiden bakar mungkin cubaan gagal 1Malaysia: Hishammuddin

KUALA TERENGGANU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, tidak menolak kemungkinan insiden membakar gereja dan surau adalah satu cubaan untuk mengagalkan gagasan 1Malaysia.

Beliau, bagaimanapun, yakin gagasan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu tidak akan terjejas dengan cubaan itu.

Katanya, beliau percaya orang ramai akan memahami bahawa pengertian sebenarnya gagasan 1Malaysia ialah untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ke arah kemajuan yang lebih tinggi.

"Gagasan 1Malaysia...bertepatan dengan keperluan dan tuntutan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program "Juara Rakyat" peringkat negeri di Dewan Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu, di sini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berharap semua pemimpin Umno akan memberikan sokongan padu dalam menjayakan gagasan itu.

Mengenai kejadian membakar dua surau di Muar, Johor semalam, Hishammuddin yang kesal dengan kejadian itu berkata beliau percaya tindakan itu bukan sahaja rasa kecewa di kalangan masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam yang selama ini hidup dalam keadaan yang rukun dan damai.

"Memang saya kecewa dan saya rasa majoriti rakyat Malaysia juga kecewa. Bila gereja dibakar, saya tengok majoriti umat Islam marah, kecewa dan bila berlaku (bakar) surau di Muar, yang bukan Islam pun kecewa."

Beliau berkata Ketua Polis Negara dan Timbalannya serta Ketua Polis Johor telah diarahkan supaya segera menjalankan siasatan berhubung insiden cubaan membakar dua buah surau itu.

Hishammuddin berkata, walaupun jumlah kerugian yang dianggarkan kira-kira RM500 bagi kedua-dua buah rumah ibadat terbabit adalah kecil, namun tindakan yang dilihat cuba mencetuskan keadaan yang tegang itu dipandang serius oleh kerajaan.

Beliau meminta rakyat bertenang dan yakin dengan siasatan yang dilakukan oleh polis dalam usaha menjejaki mereka yang terbabit dalam cubaan membakar dua buah surau berkenaan.

"Bila kita kata kita akan ambil tindakan, kita akan siasat dengan bersungguh-sungguh dan kita akan bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan," katanya. - Bernama

RM2.1 bilion untuk prasarana Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan membelanjakan sekitar RM2.1 bilion bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) infrastruktur tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata peruntukan itu termasuk membiayai pelaksanaan projek tahun lalu iaitu projek jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM928 juta akan dibelanjakan di Sabah manakala RM1.2 bilion untuk pembangunan luar bandar Sarawak.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperhebat pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang selaras dengan wawasan Perdana Menteri yang mahu melihat kedua-dua negeri ini maju ke hadapan," katanya.

Mohd Shafie berkata, demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengeluar dan pembekal Sabah dan Sarawak bagi projek NKRA infrastruktur asas luar bandar, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi projek NKRA jalan luar bandar, Sabah diberi peruntukan sekitar RM134.9 juta bagi melaksanakan 40 projek sambungan dari tahun lepas dan RM56.8 juta untuk 36 projek baru manakala Sarawak memperoleh peruntukan RM146 juta untuk melaksanakan 14 projek sambungan dan RM352.3 juta untuk 62 projek baru jalan luar bandar.

"Projek NKRA bekalan elektrik luar bandar pula menyaksikan Sabah melaksanakan 353 projek sambungan dengan kos sekitar RM332 juta dan sembilan projek baru yang menelan belanja RM81 juta manakala Sarawak menyiapkan 281 projek sambungan yang berharga RM236 juta dan melaksanakan 10 projek baru dengan kos RM56 juta," katanya.

Mohd Shafie berkata, Sabah dan Sarawak masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM183 juta dan RM211 juta bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar termasuk projek sambungan.

"Bagi Program Bantuan Rumah (PBR), tahun ini sahaja Sabah diperuntukkan RM114 juta bagi membina 2,853 unit rumah baru dan RM25 juta untuk membaik pulih 2,135 unit rumah. Bagi Sarawak pula, kita menyediakan peruntukan RM133 juta untuk menyediakan 3,328 unit rumah baru dan RM29 juta bagi membaik pulih 2,491 unit rumah.

"Sasaran kita ialah menyediakan sekitar 50,000 unit rumah PBR di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya. - Bernama

Felda salur perubatan percuma untuk pedalaman Sabah

TAWAU: Sepuluh doktor termasuk empat pakar perubatan bersama 45 sukarelawan diterbangkan khas hari ini untuk memberi rawatan perubatan percuma di kawasan pedalaman Sabah.

Kumpulan doktor yang dibawakan Felda dan pasukan sukarelawan itu diterbangkan secara ihsan melalui pesawat Charlie C130-30 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Misi itu adalah bersempena Karnival Keceriaan Masyarakat 1Malaysia anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Yayasan Felda yang akan berlangsung mulai esok sehingga 28 Januari di Semporna, Tawau dan Lahad Datu.

Pengarah Institut Teknologi Utama Felda, Dr Shamsul Anwar Sulaiman, berkata rawatan perubatan dan pengagihan makanan percuma itu akan tertumpu di kawasan pedalaman di sekitar Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

"Kita jangka 500 hingga 800 pesakit akan mendapat manfaat terutamanya yang mempunyai penyakit kulit dan telinga kerana kita membawa pakar berkenaan," katanya.

Dr Shamsul Anwar berkata, antara barangan perubatan yang dibawa ialah ubatan herba, vitamin, ubat cacing dan produk kesihatan yang bernilai RM300,000.

Katanya, antara kawasan yang akan dikunjungi misi itu ialah Felda Umas di Tawau dan Felda Lahad Datu.

"Bagaimanapun kita tidak hanya tertumpu kepada kawasan Felda semata-mata," katanya. - Bernama

Kelas prasekolah akan diwujudkan di rumah panjang: TPM

BINTULU: Kemudahan prasekolah akan diwujudkan di rumah panjang di Sarawak bagi memastikan kanak-kanak di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada sistem pendidikan kebangsaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat memahami kepayahan dialami penduduk di rumah panjang di negeri itu yang tinggal bertaburan dan ada di lokasi terpencil dari kawasan bandar yang menyebabkan ibu bapa sukar menghantar anak ke kelas prasekolah.

"Jikalau ada anak tempatan berminat menjadi guru prasekolah di rumah panjang berkenaan kita sedia memberi latihan untuk membolehkan mereka mengajar," katanya di majlis perjumpaan bersama rakyat di Dewan Masyarakat di Sebauh, kira-kira 50 kilometer dari sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kerajaan Pusat akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mengkaji kesesuaian penempatan kelas prasekolah sama ada dibina bangunan khusus atau diwujudkan dalam rumah panjang itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan dua hari ke Sarawak yang berakhir hari ini turut menyuarakan keinginan untuk melawat rumah panjang di negeri ini bagi melihat sendiri kehidupan penduduk dan mendengar permasalahan mereka. - Bernama

Bekas Timbalan KPN meninggal dunia


Mohd Sedek Ali

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Sedek Ali, yang koma akibat kemalangan jalan raya pada 1 September tahun lalu, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini.

Allahyarham berusia 60 tahun.

Penguasa Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, berkata Allahyarham, yang parah di bahagian otak, meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Jabatan Neurologi.

Beliau berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Kajang.

Dalam kemalangan itu, Mohd Sedek cedera di kepala selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh sebuah kereta lain di KM17, Lebuh Raya Grand Saga berhampiran stesen minyak Petronas.

Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 13 Januari 2004 dan bersara kira-kira setahun kemudian. - Bernama

Penduduk, mangsa gempa di Haiti serbu bank

PORT-AU-PRINCE: Selepas sembilan hari tragedi gempa bumi, ratusan penduduk Haiti terutama mangsa gempa bumi menyerbu bank utama di sini,semalam untuk mengeluarkan wang.

Pihak keselamatan bank terpaksa mengenakan kawalan ketat, termasuk imbasan setiap pelanggan dan dokumen yang dibawa ketika berurusan di Bank Pusat Haiti (BRH).

Bank terbabit terpaksa membuka operasi berhampiran bangunan ibu pejabatnya yang musnah dalam kejadian gempa kuat berukuran 7.0 magnitud, sembilan hari lalu.

"Ini adalah kaunter sementara dan kemampuan kami agak terbatas dengan jumlah pelanggan terpaksa dihadkan.

"Urusan yang dibenarkan ketika ini juga terhad iaitu urusan deposit cek dan tunai manakala urusan lebih sukar seperti pertukaran wang asing boleh dibuka," kata ketua keselamatan bank berkenaan, Yves-Willy Riviere.

Seorang jururawat, Renee Lafortune, yang bersama ratusan kakitangan hospital berkata, beliau perlu mengeluarkan tunai untuk membeli barangan keperluan.

"Saya kini kehabisan tunai dan saya juga tidak boleh meminjam daripada kawan kerana mereka juga sama seperti saya," katanya. - AFP

Perpaduan kaum perlu dipererat: Koh

GEORGETOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, mahu masyarakat pelbagai kaum di negara ini mempereratkan perpaduan bagi memastikan keharmonian sedia ada berkekalan.

Dr Koh yang memegang portfolio Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi berkata, perpaduan dan persefahaman antara kaum penting bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku.

"Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan beragama, kita perlu saling menghormati antara satu sama lain bagi mengekalkan keharmonian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek benilai RM1 juta untuk kerja pengubahsuaian tokong Kek Lok Si di sini hari ini.

Mengulas kejadian membakar dua surau di tempat berasingan di Muar, Johor, semalam, beliau berkata kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia tidak mencerminkan kebudayaan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sikap saling menghormati antara kaum dan agama.

Mengenai peruntukan untuk kerja ubahsuai di tokong itu, Dr Koh berkata ini mencerminkan pendirian Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang tidak bersikap pilih kasih terhadap penganut agama lain walaupun Islam adalah agama rasmi negara ini.

Tokong Kek Lok Si yang dibina pada 1890, adalah kuil Buddha terbesar di Pulau Pinang dan di Asia Tenggara.

Daya tarikan utama di tokong Kek Lok Si adalah patung besar Dewa Kuan Yin, selain biara dan pagoda setinggi tujuh tingkat yang mempamerkan 10,000 imej Buddha. - Bernama