Followers

Tuesday, August 18, 2009

6,000 penyokong pakai topeng bukti prihatin

BUKIT MERTAJAM: Hampir 6,000 penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas yang hadir ketika penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, di sini, semalam, memakai topeng penutup mulut sebagai membuktikan keprihatinan mereka terhadap wabak Influenza A (H1N1).

Tidak ketinggalan anggota polis, petugas pilihan raya dan media selain pemimpin BN dan Pakatan Rakyat yang turut berbuat demikian.

Antara pemimpin BN yang memakai penutup muka ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon; Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Sabah & Sarawak: 'Ops Pasir' legakan penduduk Sandakan

PULAU BERHALA (SANDAKAN): "Kami boleh tidur nyenyak sekarang. Sebelum ada anggota tentera di pulau ini, kami tidak dapat tidur lena kerana bimbang diserang lanun.

"Sejak Ops Pasir dilancarkan sembilan tahun lalu, kami boleh menangkap ikan dan hidup aman."

Itulah luahan hati Ketua Kampung Pulau Pulau Berhala, Ravi Masud, 65, mengenai keselamatan di perairan pulau ini dan Sandakan secara keseluruhannya berbanding sebelum Operasi Pandanan/Sipadan (Ops Pasir) dilaksanakan pada September 2000.

Menyorot sejarah penculikan 12 pelancong asing, lapan pekerja pusat peranginan dan seorang anggota polis oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari Selatan Filipina, di Pulau Sipadan, dekat Semporna pada 23 April 2000, Ravi berkata, ia menyebabkan penduduk pulau berkenaan dan sekitarnya dibelenggu ketakutan.

"Waktu itu, kami bukan setakat bimbang untuk ke laut, malah tidak dapat tidur nyenyak kerana pulau memang tidak jauh dari Selatan Filipina," katanya kepada Berita Harian di sini, baru-baru ini.

Beliau ditemui ketika lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau Ops Pasir di pulau ini. Hadir sama, Panglima Angkatan Tugas Bersama (ATB), Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd Noor dan Komander ATB Tawau, Brig Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.

Ravi berkata, kebimbangan penduduk semakin meningkat apabila pengganas terbabit sekali lagi menculik sekumpulan pekerja di sebuah pusat peranginan di Pulau Pandanan, dekat Semporna pada 10 September 2000.

"Kami bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ATM yang menempatkan anggota tentera di kawasan ini untuk menghalang serangan lanun," katanya.

Ops Pasir dilancarkan pada 20 September 2000 selepas Kabinet menyifatkan penculikan berkenaan sebagai pencerobohan kedaulatan wilayah Malaysia.

Operasi itu membabitkan 19 pulau dan 21 penempatan anggota tentera di Sektor Utara yang membabitkan perairan dari Kudat hingga Sandakan dan Sektor Selatan dari Sandakan ke Tawau.

TDM turut menempatkan anggota tentera di Pulau Jambongan dan Pulau Banggi, dekat Kudat.

Kini, Ops Pasir diletakkan di bawah pentadbiran Markas ATB yang berpangkalan di Kem Kukusan, Tawau yang diketuai Sheikh Mokhsin.

ATB membabitkan penugasan tugas secara bersama TDM, TLDM dan TUDM bagi memastikan kedaulatan perairan dan wilayah Pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara daripada pencerobohan, penculikan dan kemasukan pendatang tanpa izin.

Sejak Ops Pasir dilancarkan, tiada insiden berkenaan dilaporkan, sekali gus membuktikan ketegasan kerajaan dalam mengambil berat aspek keselamatan rakyat di perairan berhampiran Selatan Filipina.

Sabah & Sarawak: Elak bertembung 'pengemis muda'

KOTA KINABALU: Setiap kali melintasi laluan pejalan kaki berhampiran Pasar Kraftangan dan Pasar Besar di tengah-tengah bandar raya ini, pasti ada kelibat 'pengemis muda' menadah tangan mengharap ehsan sambil matanya mengekori setiap pergerakan dengan pandangan mencurigakan.

Keadaan itu dengan sendirinya mengundang resah dan secara spontan juga tangan memegang erat beg tersandang di bahu. Secara automatik juga langkah dipercepatkan supaya tidak lagi menjadi perhatian kumpulan anak-anak jalanan itu dan secara perlahan-lahan, pelbagai kemungkinan terlintas di pemikiran.

Hakikatnya, di sebalik pelbagai pujian terhadap keindahan Sabah secara amnya dan Kota Kinabalu selaku ibu negeri khususnya, masih terselit senario anak jalanan warga asing menarik lengan baju pelawat sambil meminta sedekah.

Ada yang menjual nombor ekor, ada seorang dua menawarkan rokok seludup dan ramai yang membawa beg plastik sambil merayu: "Kakak, saya bawa barang pergi kereta, beri 20 sen."

Mereka kerap berlari mengekori orang ramai dianggar berusia dalam lingkungan enam hingga 12 tahun. Sesetengahnya berani meluahkan kata-kata kesat dan mencarut apabila permintaan mereka mahukan 20 sen tidak dilayan.

Pemandu teksi, Amad Shukor, 43, yang saban hari menunggu penumpang di kawasan berhampiran, mengakui ada di kalangan `pengemis muda' berkenaan bertindak agresif sesama mereka apabila berebut `pelanggan'.

"Mereka yang agak garang ini mungkin berusia 11 atau 12 tahun. Mereka jaga `kawasan' masing-masing dan pandai memilih orang yang dianggap akan menghulurkan seringgit dua.

"Bila dah lama mengemis, mereka boleh kenal orang macam mana yang boleh hulur duit. Budak dalam usia tujuh atau lapan tahun mana tahu apa-apa, mereka terus berlari dapatkan mangsa.

"Kalau kebetulan ada orang sudah diperhatikan golongan lebih berumur, memang bergaduhlah hingga kita pun naik takut sebab mereka kasar," katanya.

Sebahagian besarnya dilahirkan di sini tetapi tidak memiliki dokumen berikutan status ibu bapa sebagai pendatang tanpa izin, anak jalanan itu bebas bergerak tanpa batasan.

Mereka juga dikatakan licik menyelinap melarikan diri setiap kali mengesan pihak berkuasa seperti penguasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), anggota polis atau Imigresen meronda, seperti disimpulkan Amad: "Mungkin mereka sudah kenal muka anggota polis, DBKK dan Imigresen kerana terlalu kerap berjumpa."

Pemerhatian mendapati mereka cenderung mendekati wanita dan pelancong asing. Mereka juga boleh membezakan antara penduduk tempatan dengan pengunjung dari Semenanjung kerana warga tempatan jarang membeli-belah di Pasar Kraftangan.

Apa yang membimbangkan ada antara mereka mula berjinak-jinak dengan jenayah kecil seperti ragut dan menghidu gam.

Difahamkan ada kumpulan pengemis muda itu bergerak dari satu daerah ke daerah lain elak dikesan, selain ada yang berani membawa senjata kecil seperti pisau lipat.

Segala kegusaran, prasangka pengunjung kerana saban waktu diekori pengemis muda itu boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri merancakkan industri pelancongan dan untuk itu, wajah Kota Kinabalu yang dicemari senario sedemikian perlu diperbaiki.

Harga subsidi minyak tanah di Sabah, Sarawak RM1 seliter

KOTA KINABALU: Kerajaan hari ini mengumumkan harga subsidi bagi minyak tanah di Sabah dan Sarawak ialah RM1 seliter, berkuatkuasa serta merta.

Pengumuman harga baru itu dilakukan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebentar tadi.

Harga bahan api itu sebelum ini ialah RM1.95 seliter.

Ismail berkata, kementerian juga akan mengumumkan harga siling penutup hidung dan mulut yang digunakan bagi mengurang risiko jangkitan selesema, esok.

H1N1: Korban meningkat 3 lagi kepada 67 kes

KUALA LUMPUR: Tiga lagi kematian berkaitan Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi, menjadikan keseluruhan 67 kes kematian.

Mangsa terbaru itu ialah seorang wanita berumur 33 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan seorang warga emas berumur 71 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 276 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad manakala 36 pesakit lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara. Katanya, 156 pesakit sudah dibenar pulang dari wad dengan 129 dibekalkan antiviral.

"Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU, 21 kes mempunyai faktor risiko iaitu DM (1), penyakit kronik (7), kegagalan buah pinggang (3), asma (2), obesiti (1), kecacatan otak (2), hamil dan bersalin (2) dan kanak-kanak di bawah setahun (3)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Gelombang ke-2 H1N1 Oktober

Musim tengkujuh dijangka percepat wabak

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menghadapi gelombang kedua virus Influenza A (H1N1) pada Oktober, November dan Disember ini kerana musim tengkujuh dijangka mempercepatkan penularan wabak itu.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengarahkan kumpulan pakar kesihatan kementerian melakukan pemantauan rapi dari semasa ke semasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya bimbang virus berkenaan akan merebak dengan serius pada musim tengkujuh kerana hujan berterusan memudahkan orang ramai, terutama kanak-kanak mendapat selesema.

"Kita khuatir komplikasi (selesema) itu kemudian akan bercampur dengan virus H1N1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beberapa hari lalu juga sudah mengingatkan semua negara supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi gelombang kedua H1N1.

"Kita memantau keadaan H1N1 secara serius. Jika kita kesan berlaku gelombang kedua, kementerian akan membuat pengumuman awal supaya rakyat dapat mengambil langkah berjaga-jaga," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Asia 2009 di sini, semalam.

Liow berkata, ketika ini Malaysia berada di tahap kecemasan kesihatan kerana angka kematian akibat H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.

"Sekiranya kadar kematian disebabkan H1N1 melebihi 0.4 peratus, kementerian dengan segera akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengisytiharkan darurat kesihatan," katanya.

Beliau menjelaskan mengikut panduan WHO, peratusan kematian H1N1 dikira berdasarkan jumlah kes jangkitan dan didarab 20 serta dibahagi jumlah kematian.

Berdasarkan angka korban 64 orang dan 4,425 kes jangkitan sehingga semalam, bermakna

peratusan kematian H1N1 di Malaysia kini hanya sekitar 0.007 peratus.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan semalam, 284 pesakit lagi sedang menerima rawatan di hospital manakala 33 pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Liow berkata, beliau sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi semalam berhubung status darurat kesihatan.

"Kerajaan mendapati negara belum di tahap untuk diumumkan darurat kesihatan kerana kadar kematian disebabkan virus H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.

"Selain daripada jumlah kematian, kementerian juga perlu mengambil kira perkara lain seperti nasihat pakar kesihatan yang sedang memantau situasi virus ini daripada semasa ke semasa," katanya.

Liow berkata, hanya MKN mempunyai kuasa untuk mengumumkan sama ada negara perlu diisytiharkan darurat kesihatan atau tidak.

Katanya, kementerian juga sudah mengarahkan semua hospital kerajaan dan swasta memberikan ubat antiviral kepada mereka yang didapati menghidap demam secara berterusan selama dua hari.

"Ubat yang sama juga perlu diberikan kepada mereka yang mengalami simptom influenza-like illness (ILI). Doktor perlu bertindak segera bagi membendung virus berkenaan," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya negara sudah mengumumkan darurat kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata, hospital kerajaan masih kekurangan doktor, iaitu hanya 13,902 daripada 24,236 jawatan yang ditawarkan dipenuhi sehingga 31 Jun lalu,

"Bagi doktor gigi pula kita tawarkan 2,549 jawatan, tetapi hanya 1,441 dipenuhi manakala ahli farmasi, jumlah jawatan yang ditawarkan ialah 4,030 dan diisi cuma 2,986. Bagi jawatan jururawat kanan sejumlah 44,897 jawatan ditawarkan dan hanya 39,263 dipenuhi," katanya.