Followers

Saturday, May 15, 2010

Rosmah sedih skuad badminton negara kalah

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini menzahirkan rasa sedihnya atas kekalahan skuad Piala Thomas negara di tangan pasukan China pada perlawanan separuh akhir di Bukit Jalil semalam.
Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, bagaimanapun, tetap optimis pasukan badminton negara masih berpeluang merebut kembali Piala Thomas pada kejohanan akan datang setelah kali terkahir pasukan negara memenangi piala tersebut pada tahun 1992.

"Saya sedih dan minta maaf dengan kekalahan yang menimpa pasukan badminton kita pada perlawanan separuh akhir Piala Thomas di Bukit Jalil semalam. Apa pun, China benar-benar handal dalam badminton," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Tokoh Ibu Cemerlang Parlimen Cheras sempena sambutan Hari Ibu anjuran Wanita Umno Cheras di sini hari ini.
Rosmah turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pasukan skuad negara kerana telah berusaha gigih untuk kejohanan itu.

"Harap dapat buat persiapan cemerlang bagi menghadapi perlawanan Piala Thomas dua tahun lagi.

"Juga saya ucapkan terima kasih kepada peminat dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang perlawanan," katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil semalam, skuad negara terpaksa akur dengan kekuatan China apabila tewas 0-3. - Bernama

Heroin bernilai RM1.95 juta dirampas, 2 lelaki ditahan

GEORGETOWN: Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berjaya menahan dua lelaki dan merampas 4.5 kilogram heroin bernilai lebih RM1.95 juta dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di kawasan perumahan Bukit Jambul di sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata serbuan itu dilakukan susulan penahanan dua lelaki di Jelutong pada 3.30 petang semalam ketika mereka menjalankan kegiatan menjual dadah di kawasan berkenaan berdasarkan risikan selama tiga bulan lalu.

"Berikutan penangkapan dua lelaki itu, polis menyerbu rumah pangsa di kawasan perumahan itu yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin pada jam 7 petang semalam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, dadah itu dipercayai dipasarkan di sekitar negeri ini dan negeri berhampiran dan rampasan itu adalah yang terbesar bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

"Antara yang dirampas dalam makmal itu ialah dadah jenis heroin sebanyak 27.9 kg, kafein sebanyak 85 kg, dadah jenis Ketamin sebanyak 450 gram...peralatan-peralatan lain untuk memproses dadah termasuk dapur, ketuhar, alat timbang.

"Polis turut merampas dua kereta iaitu Honda Civic dan Atos yang dipercayai digunakan dua lelaki itu," katanya.

Ayub berkata, siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah iaitu samun, mendatangkan kecederaan dan narkotik serta baru sahaja dibebaskan dari penjara tahun lalu.
"Seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah, dipercayai bekerja sebagai penjual VCD," katanya.

Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan sebarang sindiket.

"Secara keseluruhan tidak termasuk hari ini, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, polis telah merampas sebanyak 6.3 kg heroin berbanding Januari hingga Mac tahun lalu sebanyak 4.2 kg.

"Manakala jumlah tangkapan tahun ini bagi tempoh yang sama adalah seramai 4,289 orang di atas pelbagai kesalahan dadah, dan tahun lalu bagi tempoh yang sama 3, 348 orang ditahan, meningkat sebanyak 28 peratus," katanya. - Bernama

H1N1: 19 lagi pesakit disahkan positif

PUTRAJAYA: Sejumlah 19 pesakit lagi disahkan positif Influenza A (H1N1) sehingga 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti penyakit itu di seluruh negara ialah 14,326.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata bilangan pesakit dirawat di hospital seluruh negara akibat penyakit serupa influenza (ILI) adalah sebanyak 606 kes.

"Daripada jumlah itu, 80 kes disahkan positif H1N1. Bilangan kes di Unit Rawatan Rapi ialah 12 kes dengan sembilan daripadanya mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sehingga 8 pagi ini, sebanyak empat laporan kejadian kluster ILI dikesan di Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

"Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan bahawa penularan jangkitan virus H1N1 cukup mudah berlaku di tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak.

"Bagi mengekang penularan ini secara efektif, amat penting bagi mereka yang mempunyai gejala ILI supaya tidak pergi ke tempat tumpuan awam sedemikian," katanya. - Bernama

Korea Selatan rampas Piala Uber

KUALA LUMPUR: Korea Selatan merampas Piala Uber daripada juara bertahan, China selepas menang 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Putra sebentar tadi.

Mata kemenangan diraih bergu kedua Korea Selatan, Lee Kyung Won Won/Ha Jung Eun yang menewaskan pasangan China, Du Jing/Yu Yang 19-21, 21-14, 21-19.

Terdahulu, Korea Selatan mengejutkan China apabila mendahului 2-0 selepas perlawanan perseorangan pertama dan bergu pertama.
Pemain perseorangan utama Korea Selatan, Bae Seung Hee menewaskan Wang Yihan 23-21, 21-11 manakala pasangan bergu utama mereka, Lee Hyo Jung/Kim Min Jung pula mengalahkan pasangan China, Ma Jin/Wang Xiaoli 18-21, 21-12, 21-15

Namun, China bangkit mencuri satu mata apabila pemain perseorangan keduanya, Wang Xin mengatasi Sung Ji Hyun 21-14, 16-21, 21-7.

Malaysia kena 'pukau'


KETUA  jurulatih China, Li Yongbo (kiri) bersalaman dengan Misbun Sidek selepas menang aksi separuh akhir, malam tadi.
KETUA jurulatih China, Li Yongbo (kiri) bersalaman dengan Misbun Sidek selepas menang aksi separuh akhir, malam tadi.
Kita kalah kepada pasukan lebih bagus: Rashid 

SKUAD Piala Thomas negara 'terpukau' dengan aksi menakjubkan ditunjukkan China hingga tidak sedar bahawa sebenarnya juara bertahan itu sudah mempersiapkan diri dengan cukup rapi dalam kejohanan kali ini.

Tatkala Malaysia merawat luka kekecewaan tumpas mudah 0-3 kepada China di separuh akhir, malam tadi barisan jurulatih negara mengakui mereka terkejut melihat persembahan luar biasa juara bertahan itu yang meletakkan jurang besar antara China dengan pasukan lain.
“Kita kalah kepada pasukan yang lebih bagus,” kata ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek pada sidang akhbar selepas kegagalan Malaysia untuk mara ke final. “China mempunyai pemain berkualiti, kita sudah sedaya upaya cuba memberi saingan tetapi prestasi mereka luar biasa malam ini.

“Memang China berhak, kita tidak ada sebarang rungutan. Kita anggap persiapan kita sudah baik tetapi jelas sekali China lebih ampuh, memang nampak perbezaan skuad mereka dan cara mereka bermain.

“Ia menunjukkan betapa mereka benar-benar serius untuk mempertahankan Piala Thomas. Jelas musim ini mereka tidak pentingkan kejohanan terbuka atau pun ranking dunia sebaliknya menumpukan kepada persediaan Piala Thomas,” kata Rashid.

Jelas, daripada persembahan menakjubkan China malam tadi, pasukan itu kini tampak jauh meninggalkan pasukan lain dalam merebut dominasi badminton berpasukan dunia.
Rexy yang kecewa melihatkan kekalahan mudah anak didiknya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, mengakui skuad negara terkejut dengan persembahan China.

“Permainan China malam ini menakjubkan,” kata Rexy. “Kita memang terkejut dengan persembahan mereka kerana mereka kelihatan begitu bersemangat. Pemain kita mungkin terlalu memikirkan untuk menang hingga tidak dapat memberi persembahan baik.”