Followers

Monday, October 18, 2010

Muhyiddin minta perwakilan UMNO bahas isu penting demi parti

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta ahli UMNO menggunakan kesempatan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2010 untuk membincang dan membahaskan isu penting demi masa depan parti dan Barisan Nasional (BN).

"Ini perhimpunan agung yang penting...dan akan memberi ruang dan kesempatan
bagi ahli parti membahaskan perkara yang dianggap penting demi masa depan UMNO, BN, bangsa, agama dan negara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini. Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN, berkata adalah amat penting bagi anggota parti untuk mendengar dan membahaskan Ucapan Dasar Presiden oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis ini.

"Semua persiapan untuk perhimpunan itu, yang berlangsung mulai esok hingga Sabtu ini, sudah disusun dan dijadual berjalan lancar.

"Senarai wakil anggota Majlis Tertinggi (MT) yang akan bertindak sebagai pemerhati pada perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sudah ditetapkan," katanya.

Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO akan dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dua wakil MT, Datuk Azian Osman dan Datuk Seri Zulhasnan Rafique.
Bagi Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, pemerhati adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin, serta Ahli MT, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, akan menjadi pemerhati perhimpunan agung sayap itu. - BERNAMA

Malaysia bukan negara eksport modal, kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Malaysia bukan negara pengeksport modal tetapi usaha perlu diteruskan untuk menyokong industri domestik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata adalah penting untuk membolehkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur di luar negara terutamanya jika peluang dalam negara agak terhad.
"Saya percaya jika kita mempunyai peluang dalam negara, adalah lebih baik untuk tidak mengeksport modal. Kita bukan negara pengeksport modal, jadi kita seharusnya membelanjakan kebanyakan wang kita dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno ke-61 yang bermula esok.
Semasa memberi contoh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Dr Mahathir berkata kumpulan berkenaan yang mempunyai lebih RM300 bilion dalam saiz dana, mungkin mendapati sukar untuk memadankan pelaburan yang sesuai dengan semua dananya.

Dr Mahathir, yang juga Penasihat kepada pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, dan perbadanan minyak negara, Petronas, berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk membenarkan GLIC meningkatkan pelaburan sehingga 20 peratus daripada jumlah aset yang diuruskan di luar negara daripada hanya tujuh peratus pada masa ini.

Sehingga 31 Mac, jumlah saiz dana KWSP dianggarkan sebanyak RM402 bilion, dengan kebanyakannya dilaburkan dalam bon dan ekuiti dalam negara.

Semasa ditanya sama ada langkah berkenaan akan bertentangan dengan usaha kerajaan dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata: "Ia boleh dikatakan bertentangan."
"Saya sentiasa percaya yang kita tidak memerlukan FDI sekarang ini. Kita perlu mempunyai sokongan terhadap industri tempatan...itu pandangan saya," kata Dr Mahathir yang menerajui Malaysia selama 22 tahun.

Semasa pembentangan Bajet 2011, kerajaan mengumumkan yang GLIC akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran.

GLIC juga dibenar meningkatkan pelaburan di luar negara bagi meneroka peluang pulangan pelaburan yang lebih baik.

Sementara itu, Dr Mahathir menolak dakwaan oleh sesetengah pihak yang Bajet 2011 adalah "bajet beliau" kerana melibatkan satu lagi projek pencakar langit, "Warisan Merdeka", yang melibatkan projek pembangunan bersepadu termasuk pembinaan menara 100 tingkat pada kos RM5 bilion.

"Saya rasa jika seseorang yang mahu berbelanja dan menganggapnya bajet saya...itu salah.

"Saya rasa kerajaan merasakan memerlukannya, jadi mungkin terdapat alasan untuk itu. (Tetapi) apa yang menarik bagi saya ialah wang yang dibelanjakan untuk membina menara ini.

"Apabila membelanjakan wang, pekerjaan diwujudkan dan peluang untuk menjalankan perniagaan. Saya tidak tahu sama ada perlu menara 100 tingkat atau tidak...tetapi membelanjakan wang suatu yang baik.

"Bagi saya, saya selalu membelanjakan wang sehingga selepas saya melepaskan jawatan, mereka tidak ada wang langsung. Malah mereka tidak membayar gaji penjawat awam," kata beliau secara sinis, yang menyebabkan wartawan ketawa.

Terdahulu Dr Mahathir menyampaikan ucaptama bertajuk "Pewujudan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru."

Persidangan sulung diadakan bersempena perhimpunan agung Umno yang berlangsung selama lima hari dan berakhir Sabtu ini.

Kira-kira 400 peserta dari 20 negara termasuk 54 dari kelab Umno seberang laut menghadiri persidangan berkenaan. - BERNAMA

Projek mega di Makkah siap menjelang 2012

MAKKAH: Datuk Bandar Makkah, Dr Osama Al-Bar, berkata beberapa projek mega yang dilaksana di kota suci ini dijamin siap menjelang 2012.
Saudi Gazette melaporkan Osama yang juga Pengerusi serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Makkah sebagai berkata jaminan itu bersandarkan kepada arahan Raja Abdullah.
Antara projek berkenaan ialah Lebuh Raya Raja Abdul Aziz yang menghubungkan Makkah dan Jeddah.
Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu sudah bermula dan ia akan menjadi contoh untuk pembinaan jalan raya di wilayah itu pada masa depan.

Satu lagi projek yang hampir siap ialah lapan rumah penyembelihan yang dilengkapi peralatan moden dan akan diurus oleh Bank Pembangunan Islam.

Juga dalam pembinaan ialah empat terowong pejalan kaki yang menghubungkan daerah Al-Hujun dan Al-Jarwal dengan Masjidil Haram.

Osama juga dilapor berkata projek membina 5,000 unit rumah juga telah bermula dan apabila siap kelak akan diberi kepada penduduk terutama mereka yang rumahnya dirobohkan.
Selain itu, sembilan stesen monorel yang menghubungkan Padang Arafah, Mina dan Mudzalifah juga hampir siap.

Projek lain yang diarahkan siap menjelang 2012 oleh Raja Abdullah ialah pembinaan ruang tambahan di timur Masjidil Haram, projek Jabal Omar dan sistem keretapi laju antara Makkah dan Madinah. - BERNAMA

Masih banyak lagi perlu dilakukan Najib: Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata masih banyak yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak selepas dua tahun menjawat jawatan Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Najib yang mewarisi kerajaan lemah, sedang berusaha membetulkan keadaan, dan sedang berdepan dengan waktu-waktu yang sukar untuk melakukannya.
"Anda dapat lihat, adakalanya dia gagal, adakalanya dia berjaya, adakalanya dia ada idea yang baik, dan adakalanya tidak. Ia memang dijangka," kata kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Antarabangsa mengenai "Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik" di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata beliau juga berharap agar Najib dapat meraih sokongan rakyat kerana jika tidak, alternatifnya mungkin seorang pemimpin yang lebih buruk, dan ia akan tambah memburukkan keadaan.

Mengenai Perhimpunan Agung Umno 2010 yang akan bermula esok hingga Sabtu ini, bekas Presiden Umno itu berharap parti terbesar orang Melayu itu akan dapat pulih sepenuhnya dan mendapat sokongan rakyat semula.

"Mana nak tau apa Umno nak buat. Saya tak ada kuasa sekarang. Saya ada kuasa tegur saja. Itupun kadang-kadang orang tutup mulut saya. Nak bercakap dengan Umno tak boleh cakap, dengan menteri tak boleh. Sekatan menyeluruh di media," katanya.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh bagaimanapun mencelah dan berkata sekarang Dr Mahathir tidak lagi disekat.
Mengenai Model Politik Baru yang diusulkan oleh Najib bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara, Dr Mahathir berkata yang penting bukan sistem atau konsensus, tetapi individu yang menguasai keadaan.

Berhubung saranan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) agar mereka diberikan kuasa mengawal selia peraturan anggota sendiri menggunakan mekanisma Majlis Media, dan bukannya hanya menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri semata-mata, Dr Mahathir berkata mereka boleh berbuat demikian, tapi mereka sebenarnya tidak mempunyai kuasa sekiranya ada pihak yang melanggar peraturan.

"Itu sebabnya kerajaan perlu ada kuasa dalam perkara ini. Boleh ada kawalan, seperti pengurusan sesebuah kelab di mana anda ada undang-undang kecil dan anda seharusnya mengawal selia aktiviti kelab, tapi apabila anda melanggar peraturan itu, kemudian kerajaan perlu menguatkuasa undang-undang," katanya.

Ditanya mengenai siasatan kerajaan terhadap penulis blog tertentu, beliau berkata seperti mana ada kebebasan media, kerajaan juga bebas menyiasat dan akhirnya satu badan bebas akan membuat keputusan. - BERNAMA

Musa Aman pengarah pilihan raya BN bagi Parlimen Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dilantik sebagai pengarah pilihan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan demikian, berkata calon BN bagi kerusi Parlimen itu juga akan diumumkan pada 24 Oktober bersama-sama pengumuman calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Kerajaan timbang tindakan ke atas guru buat kenyataan berbaur perkauman: Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap dua guru, masing-masing di Johor dan Kedah, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata siasatan menyeluruh sedang dilakukan dengan menimbang semua keterangan daripada saksi terbabit agar keputusan yang diambil kelak adalah satu keputusan yang adil kepada semua pihak.
"Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. Jadi makan masa sedikit (untuk siasat dan ambil tindakan)," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru terbabit.

Nazri berkata, situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah.

"Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan. Kita tak mahu penyiasatan yang flip-flop akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) tentang tindakan yang telah diambil terhadap guru terbabit, Mohamed Nazri berkata guru besar di Kulai, Johor sedang dalam prosiding tatatertib dan ditempatkan di Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
"Bagi kes di Bukit Selambau, Sungai Petani pula, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran. Beliau telah memohon maaf secara terbuka dan kini ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) tentang adakah kerajaan turut bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Namewee yang mengulangi perbuatan bersifat perkauman, Nazri berkata:

"Kita tetap akan ambil tindakan terhadap Namewee tapi mesti berdasar kepada fakta yang menyabitkannya. Dia bukan pegawai kerajaan jadi kita tak boleh ambil tindakan terhadapnya sebagai seorang pegawai kerajaan.

"Laporan polis telah dibuat dan kita sedang timbang beberapa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadapnya." - BERNAMA

Gempa lemah dikesan di Tawau

TAWAU: Gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter dikesan berlaku di Tawau kira-kira jam 4.37 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kira-kira jam 5.05 pagi tadi di sini menyebut bahawa pusat gegaran itu dikesan di latitud 4.4 Utara dan longitud 118.1 Timur iaitu lapan kilometer dari barat laut Tawau.
Menurut kenyataan itu, gegaran lemah dapat dirasai di sekitar Tawau dan jabatan itu sedang memantau perkembangan berkenaan dan akan memaklumkan orang ramai jika ada perkembangan terbaru. - BERNAMA NAM NAM KLS

Gempa 5.0 magnitud landa barat daya China

BEIJING: Gempa sederhana berukuran 5.0 magnitud melanda barat daya China, awal pagi tadi berhampiran Wilayah Shchuan yang dilanda gempa kuat pada 2008 lalu.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa melanda kawasan sempadan antara Sichuan, Yunnan dan Guizhou pada jam 5.49 pagi waktu tempatan (21:49 GMT) di kedalaman 13.5 kilometer.
Setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan.
Pada Mei 2008, gempa kuat 8.0 magnitud melanda Sichuan dengan mengorbankan lebih 87,000 penduduk. - AFP

Rakyat Malaysia perlu akses maklumat global: TPM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat Malaysia memerlukan akses yang cepat dan sahih kepada maklumat peringkat global bagi menangani pelbagai cabaran baru.
Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat harus mengawal dan mengurus semua isu, daripada yang berkaitan dengan senjata pemusnah besar-besaran, langkah mengklon manusia dan makanan yang dihasilkan secara genetik, kesihatan, wabak baru, pendidikan, peranan media global, sehingga kepada kemerosotan mutu alam sekitar, pencemaran dan perubahan cuaca.
"Apa yang jelas daripada semua ketidaktentuan ini ialah, sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran global, kita harus peka terhadap apa yang berlaku di peringkat global.
"Kita perlukan akses langsung menerusi idea terbaik dari seluruh dunia supaya kita dapat menggunakan idea ini di negara sendiri," katanya ketika merasmikan forum antarabangsa mengenai "Pembentukan Warga Global : Liberalisasi Media dan Reliati Baru Politik" di sini hari ini.

Forum dua hari itu dihadiri 63 wakil 22 parti politik dari 20 negara. Ia diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010.