Followers

Friday, September 25, 2009

PM mahu aset ATM ditingkatkan, perkukuh kawalan keselamatan negara

PUTRAJAYA: Keperluan dan kekukuhan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), perlu ditingkatkan bagi memastikan kawalan keselamatan keseluruhan negara berada pada tahap yang optimum, kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Beliau berkata, amanat itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika beliau mengadakan kunjungan hormatnya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Azizan berkata, Perdana Menteri juga melahirkan harapan untuk melihat barisan pertahanan negara dibentengi angkatan tentera yang komited dan memiliki aset yang berkeupayaan untuk menangkis sebarang ancaman dari luar.

"Beliau juga mahu supaya anggota tentera bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras dan membasmi sebarang ancaman yang datang dari dalam negara," katanya selepas kunjungan hormat itu.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, pertemuan itu antara lain membincangkan mengenai pengurusan aset dan pembangunan infrastruktur ATM serta pelaksanaan beberapa perancangan keupayaan aset yang dimiliki.

"Saya sudah sampaikan kepada Perdana Menteri berhubung beberapa panduan kita untuk membangunkan keupayaan ATM, aset-aset perangnya berpandukan kepada dokumen 4D-MAF (4D-MAF ialah Agenda Utama Adalah Untuk Merealisasikan Transformasi ATM).

“Kita hanya akan menggunakan dokumen ini sebagai landasan kepada pembangunan keupayaan ATM," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai laporan satu blog yang mendakwa batalion Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) Malaysia di Lubnan memerlukan kereta perisai baru pada kadar segera, Azizan berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai perkara itu.

"Saya harus meneliti laporan itu terlebih dulu sebelum membuat sebarang kenyataan," katanya.

Laporan laman blog itu menyebut bahawa pasukan Malaysia yang bernaung di bawah panji-panji UNIFIL di Lubnan memerlukan kereta perisai baru bagi menggantikan kereta perisai sedia ada.

Penulis blog itu mendakwa, kereta perisai pasukan Malaysia jenis Condor itu kini dalam keadaan yang amat uzur dan ATM difahamkan akan menggantikan kenderaan tersebut beberapa bulan lagi. - Bernama

Jepun tubuhkan pasukan khas, kaji rancangan pemulihan JAL

TOKYO: Kerajaan Jepun hari ini menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji rancangan pemulihan Penerbangan Jepun (JAL) yang sedang bergelut dengan masalah, kata kementerian pengangkutannya.

Menteri Pengangkutan Jepun, Seiji Maehara dan beberapa pakar dalam menggiatkan semula perindustrian membentuk satu pasukan sehari selepas syarikat pengangkutan terbesar di Asia itu meminta langkah menyelamat awam diambil bagi membolehkan JAL bertahan dalam kemelesetan ekonomi.

“Mesyuarat pertama akan berlangsung hari ini,” kata pegawai kementerian itu.

JAL, yang mencatatkan kerugian lebih AS$1 bilion pada suku antara April hingga Jun, mengumumkan rancangan membuang 6,800 pekerja dan meneruskan usaha sama dengan syarikat pengangkutan luar, yang menjadi sebahagian daripada usahanya mencatatkan keuntungan.

Pasukan itu juga akan menghantar langkah pemulihan lanjut kepada kerajaan pada penghujung bulan ini. - AFP

Ops Sikap: 18 kematian pada hari ke-12, 210 maut keseluruhan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 kematian direkodkan pada hari ke-12, Ops Sikap ke-20 semalam, di mana 11 daripada yang terkorban itu adalah pengguna motosikal.

Statistik terbaru itu menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 13 September lalu kepada 210 orang.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli dalam satu kenyataan hari ini, berkata selain pengguna motosikal, lima kematian yang dicatatkan membabitkan pengguna kereta dan masing-masing satu membabitkan pengguna basikal dan pejalan kaki.

Daripada jumlah 1,140 kemalangan semalam, jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 440 kes, diikuti jalan persekutuan (344 kes), jalan negeri (206 kes), lebuh raya (96 kes) dan jalan-jalan lain (54 kes).

Dalam operasi semalam, sebanyak 11,182 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan trafik, katanya.

Ops Sikap ke-20 yang akan berjalan sehingga Ahad ini bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri. - Bernama

H1N1: Tiada kematian terbaru, 135 pesakit baru ILI

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan, melaporkan sehingga jam 9 pagi tadi, seramai 135 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata selain tiada kematian terbaru didaftarkan sepanjang tempoh itu, 108 kes sudah didiscaj.

Beliau berkata, ia menjadikan baki 704 kes ILI yang masih dirawat di 78 hospital seluruh negara termasuk lapan hospital swasta.

Malah, katanya, daripada jumlah kes ILI yang dirawat, hanya 184 pesakit atau 26 peratus adalah kes H1N1 selepas disahkan menerusi ujian makmal.

“Daripada jumlah pesakit H1N1 yang mendapat rawatan di hospital, 21 kes (11 peratus) sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kemasukan kes baru ke ICU dengan empat kes didiscaj hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media menerusi laman web kementerian di Putrajaya, hari ini.

Seramai 19 pesakit (91 peratus) yang disahkan positif influenza A (H1N1) dan sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko.

Antaranya adalah kanak-kanak bawah 5 tahun membabitkan tujuh kes, penyakit kronik dengan tiga kes, obesiti pula lima kes, penyakit respiratori kronik meliputi tiga kes dan warga emas ke atas 65 tahun hanya satu kes.

Sehingga kini, jumlah kematian terkumpul akibat wabak virus H1N1 masih kekal kepada 77 kes.

Negara tingkatkan persiapan, rawatan H1N1 hadapi gelombang kedua

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan persiapan dan rawatan Influenza A (H1N1) ditingkatkan bagi menghadapi gelombang kedua virus itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tekankan kemungkinan gelombang kedua akan datang dan WHO menyeru supaya semua negara buat persiapan hadapi gelombang kedua H1N1," katanya selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan ketika beliau menghadiri mesyuarat bersama menteri-menteri kesihatan dari lebih 40 negara di Hong Kong baru-baru ini yang membincangkan tentang isu semasa termasuk pandemik H1N1.

Sehubungan itu, kementerian akan memastikan semua hospital menyediakan cukup peralatan termasuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memastikan supaya rawatan diperkemaskan dan diberi dengan cepat.

"Kita juga perlu kesan pesakit H1N1 dengan cepat dan awal kerana kalau lambat, ia boleh membawa mudarat dan maut. Orang ramai jangan ambil remeh mengenai penyakit ini," katanya.

Liow juga berpuas hati dengan tahap kesedaran orang awam di negara ini yang semakin meningkat kerana dengan sokongan media yang melaporkan setiap hari, orang ramai lebih faham mengenai wabak itu.

Beliau berkata, Malaysia juga akan terus meningkatkan rawatan antiviral dan immunoglobin untuk meningkatkan ketahanan pesakit terhadap bakteria dan virus.

"Kita akan lihat pelbagai kaedah rawatan di negara lain juga. Di China dan Hong Kong mereka menggunakan plasma atau serum daripada orang yang sembuh daripada H1N1 untuk merawat pesakit yang tenat di ICU dan Malaysia juga mempunyai kaedah rawatan tersendiri," katanya.

Beliau berkata, WHO akan terus melihat sifat virus Influenza A (H1N1) jika ada apa-apa pertukaran dan akan memaklumkan kepada negara lain dengan segera.

Mengenai vaksin, Liow berkata, ia akan berada di pasaran hujung Oktober ini dan WHO juga sudah mengatakan bahawa hanya satu dos vaksin diperlukan berbanding dua dos sebelum ini. - Bernama

Kedatangan pelancong asing meningkat, meskipun H1N1

KUALA LUMPUR: Meskipun wabak Influenza A(H1N1) belum reda, kedatangan pelancong asing ke Malaysia terus meningkat pada paras 10.4 peratus pada Ogos tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata, bagi tempoh Ogos tahun ini, jumlah kedatangan pelancong adalah sebanyak 2,030,337 berbanding tempoh sama tahun lalu, yang mencatatkan 1,839,235 pelancong.

"Kalau dilihat jumlah pelancong yang datang ke negara ini pada Januari hingga Ogos tahun ini, ia meningkat sebanyak 4.4 peratus dengan jumlahnya sebanyak 15,380,505 pada tahun ini berbanding 14,730,437 pada tahun lalu.

"Walaupun mencatatkan kenaikan, tetapi sektor perhotelan mencatatkan penurunan sebanyak tiga peratus berbanding tahun lepas.

“Kita rasa banyak pelancong datang untuk bersama kawan, saudara-mara dan boleh jadi juga mereka ini menginap di rumah inap desa.

"Di sebalik wabak H1N1, kami melihat petanda kukuh dalam sektor pelancongan. Selain itu, usaha kerajaan menganjurkan acara-acara bertaraf dunia seperti kejohanan Tenis Terbuka Malaysia esok dan konsert Beyonce (Knowles) akan meningkatkan kedatangan pelancong asing ke negara ini," katanya selepas melancarkan logo pelancongan 1Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abdul Ghaffar A Tambi.

Ng juga berkata, kementeriannya mensasarkan 19 juta kedatangan pelancong asing ke Malaysia pada tahun ini.

Menjawab soalan mengenai konsert Beyonce pada 25 Oktober ini dan kesannya kepada sektor pelancongan, Ng berkata: "Secara global teater, konsert, muzik dan hiburan adalah penyumbang terbesar kepada sektor pelancongan.

"Dasar-dasar kementerian adalah terus menyokong acara-acara bertaraf dunia seperti F1 (Formula 1), tenis, dan acara tokoh-tokoh terkenal dunia," katanya.

Mengulas logo pelancongan 1Malaysia yang akan menggantikan logo pelancongan sebelum ini, Ng berkata, ia dilancarkan selaras dengan gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara April lalu.

"Ini adalah logo yang ceria dan kalau dapat dilihat, ia mempamerkan Menara Berkembar Petronas yang juga menjadi ikon dunia, kemudian gambar rakyat yang berbilang kaum yang bersatu padu, gambar hutan sebagai eko-pelancongan Malaysia, pulau dan pantai serta makanan warisan iaitu satay," katanya.

Logo baru itu berbentuk satu dengan berlatarbelakangkan warna biru dengan gambar Menara Berkembar Petronas, serta gambar berbilang masyarakat negara ini dan pelbagai tarikan pelancongan negara. - Bernama

Remaja perempuan 13 tahun diberi pelalian HPV tahun depan

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberikan pelalian “human papillomavirus” (HPV) bagi melindungi mereka daripada penyakit kanser pangkal rahim.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ketika mengumumkannya hari ini berkata, program itu akan menelan belanja RM150 juta setahun meliputi 300,000 remaja perempuan yang akan diberikan vaksin setiap tahun.

Beliau berkata, program itu berkemungkinan dilaksanakan di sekolah menengah dan bukannya di hospital atau klinik kerajaan bagi memudahkan pelajar mendapatkan vaksin tersebut iaitu tiga dos bagi setiap enam bulan.

"Perkara ini kita belum muktamadkan butirannya tetapi besar kemungkinan kita buat di sekolah kerana sekolah adalah tempat terbaik untuk beri vaksin," katanya selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Menangani Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di sini.

Liow berkata, menerusi program itu, kementerian yakin penyakit kanser pangkal rahim di negara ini dapat diatasi dengan jayanya pada masa depan.

"Vaksin HPV dilaporkan 98 peratus berkesan dalam memberi perlindungan terhadap HPV jenis 16 dan 18... ada banyak jenis HPV. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, vaksin ini akan mengurangkan kekerapan berlaku kanser pangkal rahim sekurang-kurangnya 70 peratus," katanya.

Liow berkata, vaksin itu sudah berada di pasaran di negara ini dan boleh diperoleh di sektor swasta pada harga sekitar RM1,200 bagi tiga dos yang diberikan.

"Bagaimanapun, kita akan terus berunding dengan penyedia vaksin bagi mengurangkan harganya kepada RM500 seorang supaya orang ramai akan mendapat vaksin yang lebih murah," katanya.

Di Malaysia, kanser pangkal rahim adalah kanser kedua kerap berlaku di kalangan wanita selepas kanser payu dara dan hampir 2,000 kes baru dikesan setiap tahun.

"Wanita Cina di negara ini mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada wanita kaum lain iaitu 23.2 peratus berbanding India (16.4 peratus) dan Melayu (8.7 peratus).

"Jadi saya ingin menyeru penyelidik kita untuk mengkaji fenomena yang aneh ini dan mencari sebabnya," katanya.

Liow juga menggalakkan semua wanita supaya melakukan pemeriksaan "pap smear" secara berkala dan melakukan rawatan dengan awal jika dikesan menghadapi kanser tersebut.

"Menurut pakar perubatan, jika kanser ini dikesan dan dirawat dengan awal, kadar sembuhnya adalah lebih tinggi iaitu lebih daripada 90 peratus pesakit masih hidup selepas lima tahun, manakala jika pesakit datang lewat untuk rawatan, kurang daripada 15 peratus masih hidup selepas lima tahun," katanya. - Bernama

Malaysia ikrar sumbang AS$250,000 kepada UNRWA

KUALA LUMPUR: Malaysia berikrar menyumbang AS$250,000 (RM867,698) kepada Rayuan Dana Ramadan Gaza yang dilancarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) bagi membantu penduduk di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, membuat ikrar itu ketika pertemuannya dengan Pesuruhjaya UNRWA, Jeneral Karen Koning Abuzayd di ibu pejabat PBB di New York pada Rabu, demikian menurut satu kenyataan Wisma Putra di sini, hari ini.

Sempena sambutan ulang tahun ke-60 UNRWA, Anifah dalam perbincangannya dengan Abuzayd mengucapkan syabas kepada pertubuhan itu berikutan bantuan dan sumbangan yang diberikan sejak 60 tahun lalu bagi meringankan beban rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian ekoran konflik serta penjajahan berterusan Israel.

Anifah ketika ini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung ke-64 PBB. - Bernama

RM2 juta bagi Skim Jaminan Modal Kerja

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion lagi bagi Skim Jaminan Modal Kerja (WCGS) untuk memenuhi sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Skim tersebut diuruskan oleh SME Bank, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata peruntukan itu dibuat menerusi penempatan semula dana daripada Skim Jaminan Pinjaman Penyusunan Semula Industri (IRLGS).

Sehingga 16 September, kementerian itu berkata, kelulusan diberikan bagi skim WCGS dan IRLGS oleh SME Bank adalah masing-masing sebanyak RM130 juta membabitkan 51 pemohon dan RM63.376 juta membabitkan 11 pemohon.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, yang gembira dengan perkembangan ini menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan itu untuk meningkatkan operasi perniagaan dan produk mereka.

Usahawan PKS yang berminat memohon skim tersebut menerusi bank tersebut boleh menghubungi mana-mana cawangannya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Di bawah pakej rangsangan kedua, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion bagi Skim Jaminan untuk menggalakkan berian pinjaman bank, terutamanya bagi PKS.

Ia termasuk WCGS yang akan membolehkan syarikat Malaysia dari semua sektor ekonomi memperoleh pinjaman berjumlah RM50,000 hingga RM10 juta bagi modal kerja mereka dengan jaminan daripada kerajaan sehingga 80 peratus daripada pinjaman itu.

Kemudahan tersebut tersedia bagi syarikat dengan pegangan ekuiti kurang daripada RM20 juta. - Bernama