Followers

Thursday, March 11, 2010

20 tokoh terkaya di dunia 2010: Forbes

NEW YORK: Sepuluh daripada orang paling terkaya di dunia memiliki kekayaan terkumpul bernilai AS$342 billlon pada tahun ini, berbanding hanya AS$254 billion tahun lalu.
Berikut senarai 20 orang terkaya di dunia yang diumumkan Majalah Forbes hari ini:
1. Carlos Slim Helu dan Keluarga (Mexico. Telekomunikasi. AS$53.5 billion)
2. Bill Gates (Amerika Syarikat. Microsoft. AS$53 billion)
3. Warren Buffett (Amerika Syarikat. Berkshire Hathaway. AS$47 billion)
4. Mukesh Ambani (India. Minyak, Gas. AS$29 billion)
5. Lakshmi Mittal. (India) Besi & Keluli. AS$28.7 billion)
6. Lawrence Ellison (Amerika Syarikat. Oracle . AS$28 billion)
7. Bernard Arnault (Perancis. LVMH - barangan mewah. AS$27.5 billion)
8. Eike Batista (Brazil. Pelombongan, Minyak. AS$27 billion)
9. Amancio Ortega (Sepanyol. Pakaian Runcit. AS$25 billion)
10. Karl Albrecht (Jerman. Pasaraya AS$23.5 billion)
11. Ingvar Kamprad dan Keluarga (Sweden. Ikea. AS$23 billion)
12. Christy Walton dan Keluarga (Amerika Syarikat. Walmart. AS$22.5 billion)
13. Stefan Persson (Sweden. Hennes and Mauritz. AS$22.4 billion)
14. Li Ka-shing (Hong Kong. Pelbagai. AS$21 billion)
15. Jim Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.7 billion)
16. Alice Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.6 billion)
17. Liliane Bettencourt (Perancis. L’Oreal. AS$20 billion)
18. S. Robson Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$19.8 billion)
19. Putera Alwaleed Bin Talal Alsaud (Arab Saudi. Pelaburan. AS$19.4 billion)
20. David Thomson dan Keluarga (Kanada. (Harta Warisan/Pusaka. (AS$19 billion). - AFP

Mesyuarat JCM mengenai maklumat, komunikasi Malaysia-Indonesia Mei ini

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) mengenai maklumat dan komunikasi pada Mei ini di Kuala Lumpur bagi membincangkan usaha meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata mesyuarat itu yang akan diadakan pada minggu pertama Mei juga bertujuan mempereratkan lagi hubungan persahabatan peringkat rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata topik yang akan dibincangkan adalah pelbagai berikutan banyak kerjasama telah dijalin hasil hubungan dua hala yang telah memakan masa puluhan tahun.

"Topik akan dibincangkan memang pelbagai...selain daripada budaya, ialah informasi, dan bagaimana persahabatan kita menerusi masyarakat dan masyarakat dapat kita eratkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Tifatul Sembiring di pejabat menteri itu di sini hari ini.

JCM Malaysia-Indonesia mengenai Maklumat dan Komunikasi telah diwujudkan sejak 1984 dan dihoskan secara bergilir setiap tahun. Dr Rais yang secara rasmi mengundang Tifatul ke mesyuarat itu hari ini berkata mesyuarat itu mungkin juga akan membincangkan hal-hal kerjasama menerusi radio dan TV yang praktikal untuk dilaksanakan.

Menteri itu berkata Tifatul juga mungkin akan diwawancara di TV di Malaysia bagi membolehkan rakyat Malaysia mengetahui dengan lebih menyeluruh mengenai usaha Indonesia dalam mengeratkan lagi persahabatan kedua-dua negara menerusi bidang maklumat dan komunikasi.

Sementara itu, Tifatul berkata hubungan Malaysia-Indonesia adalah hubungan sejarah bangsa serumpun yang sudah lama dan hubungan itu tidak seharusnya terputus semata-mata kerana diganggu isu-isu kecil yang menyebabkan rakyat kedua-dua negara salah faham.

"Datuk Rais seleranya tak berbeza dengan kita, bila kita hidangkan masakan minang, ia sesuai dengan seleranya.

"Ini menunjukkan bahawa akar budaya kita, akar rasa kita sama. Kesamaan ini tentu akan dimanfaatkan dengan program saling kunjung mengunjung, lawat-melawat antara satu sama lain," katanya sambil menambah bahawa lawatan itu boleh juga diperluaskan di peringkat delegasi. Tifatul yang turut mencadangkan supaya usaha merapatkan hubungan itu diperluaskan melalui sastera seperti pertandingan berbalas pantun, berkata jika Indonesia dan Malaysia jarang atau tidak pernah berkomunikasi, salah faham mungkin akan timbul di mana hal-hal kecil seolah-olah menjadi besar.

Ditanya sama ada isu-isu kecil antara Indonesia dan Malaysia yang berlaku selama ini boleh dianggap selesai, Menteri Komunikasi dan Informatika itu berkata ia boleh diselesaikan secara berperingkat-peringkat dan menjadi lebih mudah dengan adanya banyak program kunjung mengunjung di kedua-dua belah pihak.

Tifatul juga berpendapat pertukaran maklumat melalui siaran berita seperti Warta Serumpun, yang dilaksanakan sebelum ini wajar diteruskan bagi membolehkan rakyat kedua-dua negara mendapat gambaran sebenar, lebih-lebih lagi dengan amalan demokrasi yang berbeza di Indonesia selepas era reformasi, di mana rakyatnya bebas bercakap apa sahaja sehingga ke tahap boleh menjejaskan hubungan antara negara. - Bernama

Gempa bumi di Kenyir mungkin berkait kejadian 1980 an

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah yang berlaku di empangan Kenyir semalam mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian yang sama di kawasan itu lebih 20 tahun lalu atau proses pelepasan gas tektonik.

Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Rosaidi Che Abas, berkata Kenyir dilanda gempa bumi kekuatan 4.6 pada skala Richter sekitar 1980 an ketika proses pengisian air empangan berkenaan.
Semalam, satu gempa bumi berukuran 2.6 pada skala Richter berlaku di situ, berpusat 43 kilometer barat daya Kuala Terengganu dan 22 kilometer barat Kuala Berang, Terengganu. "Jadi gempa bumi yang berlaku semalam mempunyai dua kemungkinan, sama ada disebabkan kejadian empangan 20 tahun lalu, ataupun proses pelepasan gas tektonik dari garis sesar ataupun garisan gempa bumi Terengganu," katanya ketika dihubungi hari ini

"Kes semalam adalah kes yang pertama selepas tahun 80-an, dan kita akan bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian semalam," katanya.

Rosaidi berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana gempa bumi berskala 2.6 dianggap lemah. - Bernama

364,046 calon lulus SPM tahun lalu: Alimuddin

PUTRAJAYA: PUTRAJAYA: Seramai 364,046 calon lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding 347,443 pada 2008 dengan 199,155 calon atau 49.6 peratus lulus semua mata pelajaran berbanding 181,419 (47.4 peratus) sebelum itu.
Keputusan keseluruhan SPM 2009 peringkat kebangsaan itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Jurang pencapaian pelajar bandar-luar bandar dalam SPM masih ketara: Muhyiddin

KINABATANGAN: Jurang perbezaan pencapaian pelajar bandar dan luar bandar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini masih ketara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beberapa usaha dan langkah sedang diambil bagi mengurangkan seterusnya mengatasi jurang berkenaan secara berperingkat-peringkat.

"Kita akan mengambil perhatian supaya jurang tersebut tidak terus meluas," katanya ketika mengulas mengenai keputusan peperiksaan SPM 2009 yang diumumkan hari ini selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di SK Bukit Garam di sini. Muhyiddin berkata, selain jurang perbezaan pencapaian murid antara bandar dan luar bandar, turut diberi perhatian oleh kementerian ialah pencapaian pelajar bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran tertentu serta bilangan pelajar wanita yang lazimnya lebih ramai cemerlang daripada lelaki.

Katanya, antara langkah-langkah yang sedang diambil bagi menangani masalah berkenaan ialah menempatkan guru-guru terbaik termasuk di luar bandar.

"Minggu lepas saya telah umumkan yang kita akan laksanakan satu sistem penempatan guru ini di mana setiap guru sepatutnya bersedia untuk berkhidmat di kawasan luar bandar," katanya.

Muhyiddin berkata, perbezaan infrastruktur dan kemudahan sekolah bandar dan luar bandar yang masih wujud sehingga menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran juga akan diambil kira bagi mengatasi masalah itu.
Mengulas pengurangan bajet untuk kementerian itu, Muhyiddin berkata, ia berlaku kepada semua kementerian.

"Bagaimanapun, baru-baru ini bila kita bawa semula kepada pengetahuan Perdana Menteri dan beliau bersetuju untuk menambah peruntukan," katanya.

"Dalam situasi ekonomi kita begini dan belanjawan kita yang agak kurang berbanding dulu, kita minta supaya pengurusan sekolah dapat berjimat cermat dalam soal penggunaan air dan elektrik.

"Kalau boleh kurangkan 10 hingga 20 peratus daripada biasa. Bukan bermakna kita potong bajet, cuma itu boleh menyelamatkan banyak kewangan kita," katanya. - Bernama