Followers

Monday, April 19, 2010

Kami sudah jangka Halili akan keluar parti: PKR

HULU SELANGOR: "Kami telah jangkakan beliau keluar parti, sebab itu kami tidak memilihnya sebagai calon".
Ia adalah reaksi spontan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.
"Kami telah menjalankan kaji selidik mengenai latar belakang dan kami dapati beliau bukan seorang calon yang baik. Kenapa bukan calon yang baik? ..saya tidak bercadang mendedahkannya. Sebab itu kenapa kami tidak memilihnya," kata ketua penerangan PKR, Latheefa Koya.
Latheefa berkata, mereka sudah mendengar khabar angin bahawa pakar bedah itu mahu keluar daripada parti itu apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diumumkan sebagai calon parti bagi pilihan raya kecil ini Selasa lalu.

"Kami tidak terkejut. Jadi kami telah membuat keputusan yang tepat untuk tidak memilih beliau," katanya di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Dr Halili, anak jati Hulu Yam di sini dan pernah menjadi doktor peribadi kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tetapi sebaliknya kepimpinan parti itu memilih Zaid.

Keputusan Dr Halili itu adalah perkembangan terbaru dalam rentetan tindakan pemimpin bahagian dan wakil rakyat PKR untuk keluar parti itu tahun ini.
Bagaimanapun, Latheefa berkata, tindakan keluar parti itu tidak memberi sebarang kesan kepada PKR dalam menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor. - Bernama

Komandan kem PLKN beri 'Tuan Muda' melawat diberhentikan

KUALA LUMPUR: Khidmat komandan Kem Cahaya Gemilang di Cherating, Pahang, diberhentikan berikutan kesilapannya membenarkan remaja lelaki berusia 18 tahun yang menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat ke kem berkenaan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan disiplin tersebut adalah wajar kerana perkara seperti itu yang terang-terang memalukan, tidak sepatutnya berlaku.
Justeru soal menuding jari kepada Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, tidak seharusnya timbul kerana kejadian itu bukan kesilapan beliau.
"Ini bukan satu kesilapan oleh dia (Abdul Hadi) kerana ia datang daripada komandan kem tersebut, maka ketua pengarah ketika itu berpendapat lawatan itu telah mendapat restu. 

"Apabila kita mendapat tahu bahawa berlaku penyamaran di situ, maka kita mengambil tindakan disiplin terhadap komandan tersebut atas kesilapan yang telah dilakukannya," katanya pada sidang media di Pameran dan Persidangan Pertahanan Perkhidmatan Asia 2010 (DSA 2010) di sini hari ini. 

Ahmad Zahid berkata, pihaknya kini akan lebih berhati-hati untuk "membuka pintu" dengan menilai dan menyiasat secara menyeluruh terlebih dahulu setiap permohonan oleh pihak luar untuk membuat lawatan ke kem-kem PLKN. 

Katanya, masyarakat tidak sepatutnya meragui tahap keselamatan di kem-kem PLKN dan memberi jaminan tahap keselamatan di semua kem berada di tahap paling tinggi. 
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan meletakkan syarat ketat kepada remaja berkenaan untuk menjalani latihan di kem PLKN. 

"Kita menawarkan untuk memberikan remaja itu kaunseling oleh pasukan perubatan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlebih duhulu bagi mengetahui aspek-aspek psikologi terhadap peribadi beliau. 

"Apabila ia telah selesai, barulah kita akan menentukan sama ada mahu menawarkan tempat untuk beliau mengikuti kursus di kem PLKN," katanya. 

Remaja terbabit yang juga pelajar pintar dikatakan antara lain memperdayakan seorang Exco kerajaan negeri Pahang dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Abdullah untuk memasuki semua kem PLKN di Pahang. 

Bagaimanapun, penyamaran itu terbongkar apabila seorang pelatih PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating mengetahui identiti sebenarnya. - Bernama

Bangunkan pengurusan kewangan Islam berhemat: Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Negara-negara Islam mesti membangunkan pengurusan sistem kewangan Islam yang berhemat dan mesti lebih baik berbanding sistem kewangan konvensional sedia ada, yang mampu menampung kejutan dan tidak dimanipulasi penyangak.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata dengan peserta industri mencari jalan untuk mencergaskan kewangan, sistem kewangan global sendiri sangat-sangat memerlukan pengurusan yang sempurna.
"Saya jangka kewangan Islam akan berkembang, namun cabarannya ialah pengurusan berhemat dan sistem yang lebih baik. Jangan ikut sistem konvensional yang berurusan dalam segala bidang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dr Mahathir akan menyampaikan syarahan khas di Manama, Bahrain, pada 3 Mei ini, dengan menyuarakan pelbagai isu semasa dalam kewangan Islam pada "Acara Malaysia" sempena Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) ketujuh pada 4 dan 5 Mei.

Berdasarkan kepimpinan beliau selama 23 tahun dan kejayaan meletakkan Malaysia pada radar dunia, kehadiran Dr Mahathir pada sidang kemuncak itu ditunggu-tunggu oleh peserta industri, yang tidak sabar lagi menunggu pandangan beliau terhadap pembangunan landskap kewangan global.

Dalam pada negara lain seperti Singapura dan Hong Kong mengintai bahagian masing-masing dalam industri kewangan Islam, Malaysia sudah pun memiliki sistem menyeluruh yang dibangunkan berdasarkan pengalaman industri selama lebih 30 tahun.

Dalam hubungan ini, siapa yang memahami isu itu dengan lebih baik selain Dr Mahathir?
Antara gesaan beliau kepada negara Islam ialah menggunakan dinar emas sebagai alternatif, bagi mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang global untuk perdagangan.

Pada Acara Malaysia itu, Dr Mahathir akan berkongsi pemikiran mengenai landskap kewangan Islam masa depan, perkembangan serta peranan negara Islam untuk meningkatkan lagi industri itu.

Pada syarahannya sebelum ini, beliau berkata, perbankan Islam adalah alternatif yang lebih baik memandangkan ia tidak boleh dimanipulasi penyangak dan berbeza daripada sistem perbankan konvensional berdasarkan isu etika dan moral.

Dr Mahathir berkata, pertumbuhan dan pembangunan kekayaan yang digalakkan oleh perbankan Islam diikat oleh moral dan etika yang boleh membendung rasa tamak.

Bagaimanapun, nilai-nilai moral dan etika mesti dikekalkan memandangkan terdapat ramai golongan yang tamak, katanya.

Pada sidang kemuncak IFSB, pengawal aturan kewangan terkemuka dari negara-negara IFSB akan berhimpun di Manama bagi membincangkan, antara lain perubahan dalam landskap kawal aturan kewangan, isu-isu pemantauan makro serta kerangka kewangan Islam baharu.

Malaysia ialah antara ahli pengasas IFSB, yang kini mempunyai 191 ahli.

Negara ahli membabitkan 50 pihak berkuasa pemantauan dan kawal aturan, enam organisasi antarabangsa antara kerajaan dan 135 peserta pasaran, firma profesional dan persatuan industri yang beroperasi dalam 40 bidang kuasa.

Malaysia mempunyai dua ahli penuh, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti manakala baki 29 lagi terdiri daripada anggota sekutu dan pemerhati.

Sehingga kini, lebih 200 peserta sudah mengesahkan penyertaan pada Acara Malaysia. Ia dijangka menarik kira-kira 300 hingga 350 peserta.

Mereka yang berminat menyertai Acara Malaysia, boleh menghubungi Unit Promosi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Azilah Ahmad (03-26944304) atau Roziah Mohd Haniffa (03-26945961).

MIFC dilancarkan pada 2006 bagi meletakkan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi kewangan Islam.

Menerusi inisiatif MIFC, pengamal industri boleh menggunakan negara ini sebagai pangkalan penerbitan sukuk, dana dan pengurusan kekayaan Islam, Bank Islam Antarabangsa, takaful antarabangsa dan pembangunan modal insan. - Bernama

Musa gesa rakyat Sabah kikis sikap kenegerian untuk jayakan konsep 1Malaysia

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman hari ini mengajak rakyat negeri itu supaya mengikis sikap kenegerian bagi menjayakan konsep 1Malaysia yang mengutamakan pembentukan satu bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka dan berganding bahu memajukan negara ini.

Beliau berkata, rakyat perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat.
"Ciri-ciri demografi seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu," katanya ketika menjawab soalan Kamarlin Ombi (BN-Lumadan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini.
Musa berkata, perpaduan nasional adalah penting untuk mencapai cita-cita kebangsaan khususnya kestabilan politik dan taraf hidup yang lebih baik untuk semua warga.

Katanya, konsep 1Malaysia juga adalah pemangkin kepada proses transformasi sosial yang menjurus kepada kemajuan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

"Pada masa yang sama, ianya juga adalah cabaran kepada golongan cendekiawan dan penjawat awam untuk memikir, meneroka dan mencari strategi terbaik bagi merealisasikan konsep dan semangat 1Malaysia," katanya.

Musa berkata, pelaksanaan gagasan 1Malaysia turut diperkukuhkan dengan pengenalan Model Ekonomi Baru dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Ini, kata beliau, akan mendorong kepada bentuk ekonomi moden yang pesat, masyarakat yang bersatu padu dan kerajaan yang berwibawa bagi menangani pelbagai isu termasuk penghijrahan keluar tenaga pakar, modal dan penyertaan positif daripada semua kaum.

"Misi perpaduan bukanlah sekadar keharmonian dan hubungan baik semata-mata, tetapi apa yang penting ialah pembinaan sebuah negara Malaysia yang produktif dan berdaya saing serta berjaya mencapai wawasan 2020," katanya.

Musa berkata, kerajaan Sabah telah memberi pendedahan mengenai konsep 1Malaysia pada kalangan penjawat awam dan orang awam di negeri ini.

Beliau berkata, ia termasuk Hari Terbuka GTP peringkat negeri yang diadakan pada 21 dan 22 Januari lalu, yang antara lain bertujuan memberi penerangan dan gambaran yang lebih jelas mengenai konsep 1Malaysia. - Bernama

H1N1: Sekolah tidak ditutup untuk elak gangguan pembelajaran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan menutup sekolah yang pelajarnya didapati positif virus Influenza A (H1N1) kerana ia boleh mengganggu pembelajaran pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, berkata langkah menutup sekolah adalah pilihan terakhir dan hanya boleh dilakukan selepas mendapat laporan bertulis daripada Kementerian Kesihatan.
"Seterusnya laporan itu perlu diberi kepada Pengarah Pelajaran Negeri kerana hanya beliau saja mempunyai kuasa untuk menutup sekolah," katanya di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kes 12 pelajar dari beberapa negeri di Semenanjung yang disahkan positif Influenza A(H1N1) selepas 24 jam didapati mengidap sindrom serupa Influenza (ILI).

Sembilan pelajar itu adalah dari SM Agama Ad-Diniah Al-Islamiah Kuala Kangsar, Perak manakala dua lagi pelajar adalah dari SJKC Sin Hwa di Batu Pahat, Johor selain satu kes di kuarters Imigresen di Padang Besar, Perlis.

Alimuddin juga meminta ibu bapa dan pelajar bertenang dan tidak panik dengan situasi pelajar yang positif Influenza A(H1N1) kerana keadaan di seluruh negara adalah terkawal.

Beliau berkata, semua sekolah diberi pekeliling mengenai perkara itu dan pengetua dan guru besar telah diperingatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap pelajar pada setiap pagi.
"Setiap sekolah telah dibekalkan dengan termometer bagi mengesan suhu badan pelajar dan jika ada pelajar yang dikesan mempunyai simptom wabak itu seperti demam atau batuk, mereka perlu diasingkan segera dan dihantar ke klinik atau hospital berdekatan dengan segera.

"Pelajar yang didapati mempunyai simptom berkenaan (H1N1) dibenarkan untuk tidak hadir ke sekolah. Jadi, ibu bapa tidak perlu bimbang memandangkan pihak hospital juga sangat bekerjasama dalam memastikan keadaan terkawal," katanya. - Bernama

Dr Halili keluar PKR, sertai Umno

PETALING JAYA: Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor yang juga pakar bedah saraf, Datuk Dr Halili Rahmat mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa hari ini.

Beliau turut mengumumkan menyertai Umno dalam pengumuman itu.
Pengumuman itu dibuat pada sidang media di Hotel PJ Hilton di sini, sebentar tadi.

Pegawai pentadbiran Obama lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Michele Flournoy, Setiausaha Rendah Pertahanan Amerika Syarikat, kini berada di Malaysia untuk lawatan dua hari bermula semalam.

Menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di sini, Malaysia adalah negara pertama yang disinggahinya dalam siri lawatan yang juga meliputi Singapura.


"Lawatan Flournoy adalah yang terkini dalam satu siri lawatan oleh pegawai peringkat tinggi dalam pentadbiran Obama ke Malaysia untuk membincangkan isu dua hala dan keselamatan serantau, dan mengukuhkan komitmen Amerika dalam kerjasama dengan Malaysia dan rantau ini," kata kenyataan itu.

Ketika lawatannnya, Flournoy dijadual menemui pegawai kanan untuk membincangkan beberapa isu berkaitan keselamatan dua hala, serantau dan global.

Flournoy disahkan ke jawatan sekarang oleh Senat Amerika Syarikat pada 9 Februari tahun lalu, yang memerlukan beliau berkhidmat antara lain sebagai pensihat kepada Setiausaha Pertahanan dan Timbalan Setiausaha Pertahanan berhubung isu-isu termasuk penggubalan polisi keselamatan dan pertahanan Amerika Syarikat. - Bernama