Followers

Tuesday, October 12, 2010

Pangkalan data kampung dijangka siap dua tahun: Shafie

BUKIT JALIL: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menjangkakan pangkalan data yang menyimpan maklumat untuk lebih 15,000 kampung di seluruh negara siap sepenuhnya antara tempoh setahun hingga dua tahun lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pangkalan data yang dikenali Sistem Maklumat Geografi (GIS) sudah diperkenalkan bagi menyimpan maklumat menyeluruh setiap kampung di negara ini termasuk aktiviti ekonomi
Beliau berkata, setakat ini, tiga negeri seperti Melaka, Johor dan Negeri Sembilan sudah memiliki pangkalan data berhubung kampung di negeri itu.
Katanya, bagi Sabah dan Sarawak ia kini dalam proses pengumpulan maklumat dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian selepas menghadir Majlis Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar di Stadium Putra di sini, sebentar tadi.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

SPR akan umum tarikh pilihan raya Batu Sapi pada Jumaat

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu kerana terbabit dalam kemalangan motosikal.
SPR dalam satu kenyataannya berkata, notis kekosongan kerusi berkenaan diperoleh daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini.
"SPR akan mengadakan mesyuarat khasnya Jumaat ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas itu bagi mengumumkan tarikh pilihan raya kecil berkenaan," kata kenyataan itu.

Mayat wanita ditemui terdampar dalam keadaan bogel

KUANTAN: Mayat seorang wanita ditemui terdampar dalam keadaan bogel di tebing pantai berhampiran gelanggang squash dekat Tembeling Resort di sini, petang semalam.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, berkata mayat wanita berusia lingkungan 30-an itu ditemui sepasang suami isteri pada jam 5.15 petang.
"Tiada tanda kecederaan luaran dikesan pada mayat berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mayat berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.

Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dikenalpasti dan pihaknya meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga, menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

PM mahu pangkalan data lengkap keadaan setiap kampung

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu satu pangkalan data yang kemas kini mengenai keadaan setiap kampung diwujudkan untuk membantu kerajaan merancang dan melaksanakan projek tepat bagi setiap kawasan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Mayat jururawat ditemui dalam parit

KOTA KINABALU: Mayat seorang wanita dipercayai jururawat yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui dalam keadaan separuh bogel dalam parit di Taman Kingfisher, Jalan Sulaman, dekat sini, jam 11 pagi tadi.

LHDN sediakan talian khas Bajet 2011 mulai Jumaat

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuka Pusat Operasi Talian Khas Bajet 2011 Jumaat ini.
Menurut kenyataan LHDN hari ini, lapan talian khas tersebut akan mula beroperasi mulai jam 7 petang hingga 10 malam.
"Ini bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu pencukaian selepas ucapan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat ini," menurut kenyataan itu lagi.
Nombor yang boleh dihubungi ialah, 03-62015975, 03-62015976, 03-62015981, 03-62016027, 03-62016031, 03-62016035, 03-62016037 dan 03-62016041. - BERNAMA

Bajet 2011 tumpu usaha mantapkan dasar baru kerajaan

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini dijangka lebih banyak berkisar kepada usaha memantapkan dasar baru kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata dasar berkenaan termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
"Saya kira perkara sebeginilah yang akan diberi pendekatan lebih lanjut oleh kerajaan kerana ia penting sebagai sebahagian langkah yang digariskan untuk mencapai wawasan ekonomi berpendapatan tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Dalam pembentangan bajet kali ini, Ahmad juga membayangkan hasrat beliau selaku timbalan menteri untuk mendengar lebih banyak "berita gembira", terutamanya kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat pada 15 Oktober.

Pada Perundingan Bajet 2011 di Putrajaya Sabtu lalu, Najib dalam ucapannya menyifatkan perbentangan Bajet 2011 sebagai yang akan menetapkan rentak transformasi ekonomi ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. - BERNAMA

Ramai peniaga tidak jelas Akta Persaingan Malaysia

ALOR SETAR: Masih ramai peniaga yang tidak jelas mengenai Akta Persaingan Malaysia 2010 yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012 walaupun ia bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kompetitif.
Ketua Unit Interim Suruhanjaya Persaingan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Shila Dorai Raj, berkata walaupun cadangan pelaksanaan akta itu tidak mendapat bantahan peniaga dan orang ramai, masih banyak persatuan peniagaan yang bimbang akta itu akan menjejaskan operasi mereka.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mempergiatkan usaha memberi penerangan mengenai akta itu di seluruh negara dari semasa ke semasa.
"Kita sudah adakan penerangan di Sabah, Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan. Hari ini kita di Kedah dan Pulau Pinang. Kami diberi masa 18 bulan (sebelum Januari 2012) untuk memperkenalkan akta ini kepada komuniti perniagaan," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pengenalan Akta Persaingan Malaysia 2010 yang dihadiri kira-kira 200 orang di sini hari ini.

Akta berkenaan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Mei lalu, diwartakan pada 10 Jun. Ia akan mempunyai dua larangan iaitu perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan.

Perjanjian antipersaingan termasuk penetapan harga, kartel import, mengehadkan pengeluaran dan perkongsian pasaran. Penyalahgunaan kedudukan dominan termasuk diskriminasi harga, harga berlebihan dan menafikan akses pasaran.

Shila berkata, ketika ini banyak persatuan melakukan penetapan harga yang menyebabkan mereka tidak bersaing secara sihat tetapi menerusi akta baru itu mereka perlu akur untuk tidak menetapkan harga.
"Bila harga tidak ditetapkan, ada persaingan. Persaingan ini boleh memberikan kebaikan seperti harga yang lebih murah dan perkhidmatan yang lebih baik. Ketika ini pelanggan tiada pilihan bagi harga," katanya.

Katanya, jika akta itu dilaksanakan, mereka yang disabitkan kesalahan kerana tidak mematuhi larangan itu boleh dikenakan denda maksimum 10 peratus daripada perolehan keseluruhan kumpulan syarikat itu.

Beliau berkata, pelaksanaan itu juga mampu menarik lebih ramai pelabur luar ke negara ini kerana ia memberi keyakinan kepada mereka berikutan persaingan yang terbuka.

"Kita bukan nak laksanakan akta ini secara terburu-buru. Kerajaan dah mengkajinya sejak 19 tahun lalu. Sebelum ini tidak dapat dilaksanakan lagi kerana banyak isu dasar yang tidak dapat diselesaikan," katanya. - BERNAMA

Malaysia sekali lagi dipilih anggotai Majlis ITU

KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih menganggotai Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) buat penggal keempat berturut-turut pada pemilihan yang diadakan sempena Persidangan Plenipotensiari ITU ke-18 di Guadalajara, Mexico, malam tadi.
Wakil negara, Dr Ali R Ebadi, dipilih semula sebagai wakil ITU dalam Badan Pengawalseliaan Radio (RRB) bagi penggal kedua.
Ali yang juga Penasihat Lembaga Measat Satellite System Pte Ltd yang memenangi pemilihan itu pada 2006, adalah Pengerusi RRB tahun lalu. Beliau menerima 93 daripada 160 undi bagi penggal 2011-2014.
"Terdapat 21 calon bertanding bagi merebut 12 kerusi yang ditawarkan dalam RRB dan calon dari 65 negara bersaing untuk merebut 48 kerusi bagi Majlis ITU," menurut satu kenyataan ITU.

Malaysia yang dipilih sebagai ahli Majlis ITU sejak 1998, memperoleh 127 daripada 161 jumlah undi.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berada di Guadalajara dari 4 Oktober hingga Khamis lalu untuk menghadiri persidangan ITU dan berkempen untuk pencalonan Malaysia bagi merebut dua jawatan itu.

Persidangan ITU yang bermula pada 4 Oktober dan berakhir pada 22 Oktober juga menyaksikan pemilihan semula Dr Hamadoun I Touré dari Mali sebagai Setiausaha Agung ITU dan Zhou Houlin dari China sebagai timbalannya.
Majlis ITU ditubuhkan pada 1947 di bawah nama Badan Tadbir Majlis, mempunyai 48 ahli mewakili 192 negara anggota dan dibahagi kepada lima rantau dunia iaitu Amerika dipanggil sebagai Rantau A yang mempunyai sembilan kerusi yang ditawarkan dalam majlis ITU, Eropah Barat (Rantau B/lapan kerusi), Eropah Timur dan Utara Asia (Rantau C/lima kerusi), Afrika (Rantau D/13 kerusi), Asia dan Australasia (Rantau E/13 kerusi).

Antara peranan Majlis ITU adalah untuk menangani isu dasar telekomunikasi dan menggubal strategi berhubung bidang telekomunikasi yang sentiasa berubah-ubah.

Ia juga menyediakan laporan mengenai dasar dan perancangan strategik ITU, manakala Persidangan Plenipotensiari ITU ialah sidang global yang diadakan empat tahun sekali bagi menetapkan strategi ITU, yang merupakan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu. - BERNAMA

Kisah pertempuran Perang Uhud sentuh sanubari jemaah

MADINAH: Peristiwa pertempuran hebat antara 700 pejuang Islam dan 3,000 tentera Musyrikin Makkah pada tahun ketiga Hijrah di Bukit Uhud di sini meninggalkan kesan amat mendalam dalam hati sanubari jemaah haji Malaysia yang menziarah medan pertempuran itu.


Seramai 70 sahabat Nabi Muhammad SAW syahid dalam peperangan ini antaranya bapa saudara baginda, Saidina Hamzah Abdul Mutalib; ketua pemanah, Abdullah Ibn Jasi; dan pembawa panji tentera Islam, Musah Ibn Umair.

Rasulullah sendiri mengalami kecederaan dan terpaksa mencari perlindungan bersama keempat-empat sahabat baginda di gua Uhud akibat serangan hebat tentera Musyrikin. Peperangan itu dimenangi tentera Islam.

Jemaah yang mendengar penerangan mengenai pertempuran bersejarah itu oleh muzawir (pemandu pelancong) yang disediakan bahagian Bimbingan, Ibadat dan Ziarah Tabung Haji (TH) menjadi terharu dan pilu.


Malah seorang guru dari Kota Baharu, Kelantan, Rohana Ahmad, 48, mengalirkan air mata semasa ditanya perasaannya mengenai kesukaran yang ditempuh Rasulullah dalam menyampaikan syiar Islam.


Suaminya, Zulkifli Mamat, 50, tidak mampu meluahkan perasaan beliau dan membiarkan Rohana bercakap.


"Pengorbanan umat Islam dahulu menginsafkan saya. Hasilnya, Islam hari ini berkembang ke seluruh pelusuk dunia," kata Rohana semasa ditemui pasukan media Tabung Haji yang membuat liputan haji tahun ini semasa melakukan ziarah luar di Bukit Uhud, tiga kilometer ke utara Madinah, hari ini.
Program ziarah sunat di sekitar Madinah diatur bahagian tersebut, disertai lebih 1,000 jemaah yang tiba dengan penerbangan KT1, KT2 dan KT3.


Pengurus bahagian itu, Mohd Razali Zakaria berkata perkhidmatan tambahan TH itu dibantu 123 muzawir terdiri daripada pelajar Malaysia yang berlajar di universiti di Madinah.


Beliau berkata, banjir besar yang melanda kawasan itu pada 1940 menyebabkan mayat para shuhada tersebut timbul dan kerajaan Arab Saudi mengebumikannya semula.


Tempat lain yang diziarah ialah Masjid Qu'ba, masjid pertama didirikan Nabi Muhammad di Madinah pada tahun pertama Hijrah di Kampung Ibnu Amru Auf, tiga kilometer di selatan Madinah.


Katanya, ganjaran mengerjakan solat di Masjid Qu'ba sama seperti sekali mengerjakan umrah.


Tempat lain yang diziarah ialah Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat), Masjid Tujuh dan Mazra' (ladang tamar). - BERNAMA


Pendidikan kunci kanak-kanak jadi pemimpin, warga bertanggungjawab: Rosmah

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berkata pendidikan khususnya pada usia muda adalah alat paling penting untuk membentuk kanak-kanak menjadi pemimpin dan warga bertanggungjawab ke arah menjadikan dunia ini lebih baik.

Isteri Perdana Menteri berkata, pendidikan akan menyediakan kanak-kanak dengan kemampuan dan sistem nilai untuk menjadi pemimpin yang baik selain berkeupayaan untuk meningkatkan darjat mereka.
Dalam ucap utamanya pada Sidang Kemuncak Wanita Pertama di Palace of the Golden Horses dekat sini hari ini, Rosmah berkata kanak-kanak perlu dididik bukan saja untuk mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga untuk memupuk dan membentuk masyarakat harmoni yang mengambil kira kepentingan rakyat.
"Saya yakin pendidikan yang bermula di peringkat awal kehidupan seorang kanak-kanak, disusuli bidang kerja dan pembelajaran seumur hidup, bukan saja kunci ke arah menjadi seorang dewasa yang berilmu dan kreatif tetapi juga menjadi asas ke arah memupuk nilai, etika dan peranan yang akhirnya akan membentuk ciri dan pertumbuhan negara serta perpaduan masyarakat," katanya.

Seramai 15 Wanita Pertama menghadiri sidang kemuncak itu yang memberi penekanan kepada masa depan kanak-kanak. Enam lagi Wanita Pertama menghantar wakil mereka.

Sidang kemuncak yang diilhamkan oleh Rosmah itu bertujuan mencari jalan bagaimana keluarga, masyarakat dan kerajaan dapat bekerjasama ke arah mencungkil potensi setiap kanak-kanak.

Ia dirasmikan malam tadi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan turut dihadiri 20 menteri.
Rosmah berkata, sejarah membuktikan bahawa negara yang mengabaikan pendidikan kanak-kanak akhirnya sedar bahawa mereka akan rugi dan sukar untuk memajukan ekonomi mereka dan menjadikan masyarakat lebih makmur.

"Pendidikan serta persekitaran sosial adalah pengaruh besar ke arah menyediakan kanak-kanak dengan ilmu, nilai positif dan kemahiran yang sewajarnya.

"Oleh kerana terdapat bilangan besar golongan muda khususnya di negara membangun, jika mereka ini diasuh dengan betul, mereka akan menjadi kumpulan yang mampu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan kebajikan di peringkat global.

"Jika tidak mereka akan dipinggirkan dan terdedah kepada unsur radikal, seterusnya dengan mudah direkrut untuk elemen subversif yang boleh membawa kepada domestik dan antarabangsa yang tidak selamat dan tidak stabil. Mereka mungkin menjadi liar dan boleh terjebak dalam kehidupan yang menjijikan dan jenayah," katanya.

Sambil menyatakan bahawa Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Penjagaan atau ECEC merupakan perkara yang dekat dengan hati beliau, Rosmah berkata ia memberikan kanak-kanak di bawah umur empat tahun daripada keluarga yang tidak bernasib baik satu permulaan kehidupan awal.

Katanya, di bawah program PERMATA Negara yang merujuk kepada kanak-kanak sebagai permata negara, setiap kanak-kanak adalah berharga.

Bermula dengan lima buah pusat perintis pada tahun 2007, ECEC kini dilaksanakan di 500 pusat di seluruh negara yang memberikan manfaat kepada lebih 20,000 kanak-kanak dari kawasan luar bandar dan miskin di bandar.

Beliau berkata, pembinaan sekolah bagi kanak-kanak berbakat antara umur 15 hingga 17 tahun yang diuruskan terus oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini dalam proses dan pengambilan pertama kira-kira 150 kanak-kanak berbakat dalam akademik akan bermula pada Januari tahun depan.

Rosmah juga menekankan bahawa masyarakat dan negara mempunyai peranan yang sama penting dalam memupuk kanak-kanak menjadi pemimpin yang baik dan dengan itu mereka hendaklah merangka dasar yang menggabungkan stimulasi intelektual, budaya dan dimensi semangat yang boleh memupuk untuk menjadi pemimpin masa depan. - BERNAMA

"Baju Merah" dilatih di Kemboja untuk jatuhkan kerajaan Thai

BANGKOK: Seorang pegawai kanan keselamatan Thai hari ini mendakwa anggota kumpulan antikerajaan "Baju Merah" dilatih di Kemboja bagi menjalankan gerakan menjatuhkan pemimpin kerajaan, termasuk Perdana Menteri.

Seramai 11 orang ditahan minggu lalu di Wilayah Chang Mai di utara Thailand dan mereka adalah sebahagian 39 anggota yang dilatih dari segi ideologi dan peperangan di sebuah negara jiran, kata penyiasat kanan Jabatan Penyiasatan Khas Thailand dalam satu sidang media di sini. Beliau tidak menyebut nama negara berkenaan tetapi menjelaskan ia laluan sempadan yang biasa dimasuki untuk berlatih yang merujuk kepada Kemboja. - AP

Gempa bumi sederhana melanda Taiwan

TAIPEI: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.2 melanda timur laut Taiwan, hari ini, kata Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), tetapi tiada laporan kerosakan dan amaran tsunami dikeluarkan.
USGS berkata, gempa yang melanda jam 7.16 pagi (waktu tempatan) itu dikesan 307 kilometer (km) luar bandar Suao, timur laut negara itu, pada kedalaman 108 km.
Taiwan terletak berdekatan dua plet tektonik dan sering dilanda gempa bumi.
Dalam kejadian September 1999, gempa bermagnitud 7.6 yang berlaku di negara itu meragut kira-kira 2,400 nyawa, iaitu bencana alam terburuk melanda dalam sejarah negara berkenaan. - AFP

PBKD arah tarik balik produk kesihatan kandungi sibutramine

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah mengeluarkan arahan menarik balik produk kesihatan yang mengandungi sibutramine dari pasaran kerana ia didapati mampu meningkatkan risiko kesan advers kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi PBKD, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata, keputusan menarik balik serta menggantung pendaftaran produk yang mengandungi bahan itu ialah berdasarkan kajian Sibutramine Cardiovaskular OUTcomes (SCOUT) bagi produk Reductil yang dijalankan oleh Abbot Laboratories.
"Kajian tersebut menunjukkan sibutramine mampu meningkatkan risiko advers kardiovaskular terutamanya ke atas pesakit obes dan berlebihan berat badan berbanding pesakit yang menjalani senaman dan kawalan pemakanan.
"Pemegang pendaftaran diminta memberhentikan segala transaksi jualan dan menarik balik produk dari pasaran dalam tempoh 30 hari dari tarikh penggantungan bermula hari ini, katanya.

Sibutramine didaftarkan di Malaysia sebagai terapi tambahan kepada diet dan senaman untuk pesakit obes yang mempunyai faktor risiko seperti penyakit diabetes, hipertensi dan dislipidemia, namun pengambilannya dilarang bagi mereka yang mempunyai sejarah penyakit arteri koronari, kegagalan jantung kongestif, penyakit arteri periferal, arithma, strok dan hipertensi tidak terkawal.

Lanjutan dari maklumat kajian SCOUT, pada Januari 2010 PBKD telah mengarahkan pemegang pendaftaran produk mengemas kini sisip bungkusan mereka bagi mengukuhkan lagi informasi keselamatan serta mengeluarkan surat kepada pengamal perubatan di Malaysia untuk memaklumkan hal tersebut.

Sebanyak 38 laporan kesan advers kardiovaskular yang membabitkan sibutramine telah diterima dan lima daripada laporan tersebut mendapati pesakit mengalamai kesan seperti jantung berdebar (tiga laporan) dan infarksi miokardial bukan fatal (dua laporan).
Dr Mohd Ismail menasihatkan supaya pesakit yang menerima rawatan sibutramine supaya merujuk kepada doktor masing-masing untuk nasihat lanjut.

Setakat ini, terdapat sembilan produk berdaftar yang mengandungi bahan tesebut iaitu Reductil, Slenfig, Sibutramine Sandoz, Fenslim dan Sibutrim. - BERNAMA

Bayi lelaki ditemui dalam semak

BALING: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dibungkus dengan tuala, ditemui ditinggalkan dalam semak di tepi pagar berdekatan sebuah Taman Asuhan Kanak Kanak (taska) di Kampung Titi Teduri, Mukim Pulai di sini hari ini.

Bayi yang terdapat kesan luka di badan akibat terkena duri, ditemui pekerja dan pemilik taska berkenaan 10 pagi tadi yang kemudian membuat laporan polis.
Bayi seberat tiga kilogram itu dengan tali pusatnya sudah dipotong ditemui dalam keadaan lemah dan terdapat semut di badannya.
Bayi lelaki berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui. Urinya juga diletakkan berdekatan bayi itu.

Kesan darah turut ditemui dalam kawasan pagar taska itu serta di kawasan bayi ditinggalkan.

Pemilik taska terbabit, Siti Hawa Othman, 40, berkata dua guru di taska itu terpandang tompokan darah ketika membantu pelajar memberus gigi di kawasan itu sebelum bayi berkenaan ditemui dalam jarak tiga kaki dari mereka berdiri.

Berpandukan tompokan darah di atas simen dalam kawasan taska, dua guru terbabit membuat siasatan hingga menemui bayi yang berbungkus dengan sehelai tuala dalam semak di sebelah pagar taska itu.
Siti Hawa yang mengambil dan membersihkan kotoran yang terlekat di badan bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, Amelia Shatirah Dorahim, berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Baling selepas pemilik taska membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Supt Mohd Daut Md Hasan, mengesahkan polis menerima laporan penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan ibu bayi itu dan pasangannya serta individu terbabit.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani petang ini untuk rawatan lanjut berikutan jangkitan kuman. - BERNAMA

SPR akan umum tarikh pilihan raya Batu Sapi pada Jumaat

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu kerana terbabit dalam kemalangan motosikal.
SPR dalam satu kenyataannya berkata, notis kekosongan kerusi berkenaan diperoleh daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini.
"SPR akan mengadakan mesyuarat khasnya Jumaat ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas itu bagi mengumumkan tarikh pilihan raya kecil berkenaan," kata kenyataan itu.

Malaysia catat RM9.6 bilion FDI perkilangan Januari-Julai 2010

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM9.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, petanda memberangsangkan bahawa pelabur asing masih mempunyai keyakinan terhadap
sektor perkilangan negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata jumlah itu melibatkan 230 projek perkilangan yang diluluskan. "Mereka (pelabur asing) masih lihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan memenuhi aspirasi pelaburan mereka," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad (BN-Mukah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Muhammad bertanyakan jumlah pelaburan asing yang masuk ke negara ini pada 2009 dan 2010.

Mukhriz berkata antara sektor yang menjadi tarikan pelaburan dari luar negara ialah sektor elektronik dan elektrik, galian dan bukan logam, pengilangan makanan, produk logam fabrikasi, peralatan ukuran dan saintifik, kimia dan bukan kimia serta sektor logam asas.

Beliau berkata jumlah FDI pada keseluruhan tahun lalu pula adalah sebanyak RM22.9 bilion yang melibatkan 390 projek perkilangan.
Katanya, berdasarkan catatan FDI itu, jelas menunjukkan pelabur asing masih mempunyai keyakinan terhadap sektor perkilangan Malaysia dan tidak mempunyai masalah dengan apa jua isu yang timbul dalam negara.

Antara faktor yang menyebabkan Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik ketika pasaran dunia terjejas akibat krisis kewangan global adalah berikutan usaha kerajaan melakukan transformasi dalam ekonomi negara.

Setakat ini Malaysia masih tersenarai sebagai satu daripada 15 negara utama FDI bagi 2010 hingga 2012. - BERNAMA