Followers

Saturday, August 28, 2010

Masjid, surau perlu rujuk majlis agama untuk benarkan bukan Islam masuk

YAN: Jawatankuasa masjid atau surau diminta merujuk kepada majlis agama Islam -negeri dalam soal membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata setiap negeri mempunyai panduan masing-masing dalam soal itu dan jawatankuasa atau pengurusan masjid perlu mematuhi panduan tersebut dan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid terutama di ruang solat.
Katanya rumah ibadat agama lain pun, mereka mempunyai garis panduan dalam membenarkan penganut agama lain memasuki tempat ibadat mereka.
"Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau. Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.

"Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam mengenai Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching dari DAP yang memasuki ruang solat utama Surau Al-Huda, Kajang Sentral Ahad lepas untuk memberi "tazkirah", tanpa menutup kepala.

Jamil Khir berkata isu yang berlaku di Kajang itu tidak sepatutnya timbul jika jawatankuasa surau berkenaan merujuk kepada majlis agama Islam negeri dan memahami garis panduannya.
"Hal-hal seperti ini boleh diselesaikan dengan perbincangan antara jawatankuasa masjid atau surau dengan majlis agama Islam negeri. Apa yang penting mereka kena maklumkan," katanya.

Beliau berkata perkara itu juga menjadi satu isu kerana tidak sepatutnya perkara politik dibawa masuk ke dalam masjid. - BERNAMA

Isa Bakar meninggal dunia pagi tadi



<strong>ANTARA rakan pasukan yang pernah bergandingan dengan Isa Bakar. </strong>


<strong></strong>
<strong></strong>




GEORGETOWN: Bekas lagenda bola sepak negara, Isa Bakar meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, jam 10.15 pagi tadi.
Allahyarham berusia 58 tahun.
Beliau dilaporkan dimasukkan ke hospital selepas mengalami batuk berdarah, semalam.
Isa yang bermain di posisi penyerang pernah berganding dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari untuk pasukan kebangsaan sekitar 1970-an.

Lin Dan ikut badi Chong Wei tersingkir di Paris


REAKSI Park Sung Hwan (kiri) selepas mengalahkan Lin Dan pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia, lewat malam tadi. - Foto AP/Reuters
REAKSI Park Sung Hwan (kiri) selepas mengalahkan Lin Dan pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia, lewat malam tadi. - Foto AP/Reuters


PARIS: Juara Olimpik dan juara dunia, Lin Dan dari China mengikuti jejak langkah perseorangan utama dari Malaysia, Lee Chong Wei tersingkir pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia, lewat malam tadi.

Lin yang memburu kejuaraan untuk kali keempat, dikejutkan oleh pemain pilihan ke-13 dari Korea Selatan, Park Sung Hwan 21-13, 21-13, manakala Chong Wei terdahulu ditundukkan pemain perseorangan utama Indonesia, Taufik Hidayat.
Chong Wei yang juga pemain pilihan utama kejohanan itu kali ini menang sembilan daripada 14 pertemuannya dengan Hidayat sebelum ini.
Namun malam tadi, Chong Wei ditunjukkan jalan keluar oleh bekas juara Olimpik dan juara dunia itu dengan 15-21, 21-11 and 12-21. - AFP

Dua Menteri Luar bincang isu Malaysia-Indonesia 6 September

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa akan menemui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di sini pada 6 September depan bagi membincangkan kejadian demonstrasi terhadap Malaysia di Jakarta baru-baru ini selain isu dua hala.
Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata beliau percaya perbincangan itu akan membuka jalan penyelesaian kepada kesemua isu berkaitan Malaysia dan Indonesia.
Ditanya kemungkinan berulangnya demonstrasi oleh anggota Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) terhadap Kedutaan Besar Malaysia dan rakyat Malaysia di republik itu, beliau berkata Wisma Putra akan menyelesaikan isu itu secara diplomatik dan berusaha mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara.
Malah, katanya pemerintah Indonesia memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang melakukan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia itu selain menjamin keselamatan rakyat Malaysia di sana.

"Masyarakat Indonesia di negara ini juga tidak perlu risau tentang keselamatan mereka kerana kesemua masalah sedang dikendalikan dengan cara yang matang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini hari ini.

Bendera baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Ia sebagai bantahan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, apabila bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan lima nelayan Malaysia dan Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian negara itu, kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.
Tahanan kedua-dua belah pihak itu telah dibebaskan 17 Ogos lalu. - BERNAMA

Gempa 5.9 magnitud landa Iran

TEHRAN: Gempa berukuran sederhana 5.9 magnitud melanda sebahagian wilayah padang pasir Dasht-e Kavir di utara bandar Damghan, lewat semalam, menurut agensi berita IRNA.
Laporan itu memetik Jabatan Geofizik Universiti Tehran bahawa pusat gempa dikesan kira-kira 278 kilometer di timur ibu negara Tehran.
Bagaimanapun laporan itu menyebut tiada nyawa terkorban dengan gegaran berlaku jam 11.53 malam. - AFP

Pelajar Malaysia di Indonesia diarah berwaspada

PASIR GUDANG: Lebih daripada 6,000 pelajar Malaysia di Indonesia diarah berwaspada dan berhati-hati berikutan gerakan anti-Malaysia yang dianjurkan oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di negara itu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementeriannya telah mengeluarkan arahan tersebut kepada semua pelajar tempatan di Indonesia melalui Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta.
"Kementerian memantau situasi itu dan setakat ini tidak ada laporan pelajar kita menjadi mangsa gerakan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah dan ibu tunggal di Bandar Seri Alam dekat sini hari ini.
Khaled yakin kerajaan Indonesia akan melakukan yang terbaik untuk menjamin keselamatan semua pelajar Malaysia.

Beliau juga percaya bahawa pelajar terbabit mampu menangani sendiri situasi tegang berkenaan melalui pelbagai persatuan mahasiswa.

Bendera baru-baru ini dilaporkan berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Ia sebagai bantahan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, apabila bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan lima nelayan Malaysia dan Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian negara itu, kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.
Tahanan kedua-dua belah pihak itu telah dibebaskan pada 17 Ogos lalu. - BERNAMA