Followers

Tuesday, January 26, 2010

Awas kegiatan mohon derma tanpa kebenaran: SC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini meminta orang ramai supaya berhati-hati terhadap pihak yang memohon derma atas namanya atau atas nama pegawai kanannya tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata pihaknya, pegawai dan Pengerusi Suruhanjaya itu tidak pernah terbabit dalam apa jua cara sekali pun dengan individu atau syarikat berkenaan.

"Tiada sebarang individu atau syarikat yang dibenarkan menggunakan nama SC atau para pegawai kami bagi aktiviti berkenaan," katanya.

Menurut SC, ia telah dimaklumkan bahawa terdapat individu dan syarikat yang meminta derma menggunakan nama pegawai kanan SC termasuk pengerusinya dan dikatakan memohon derma untuk tujuan kebajikan.

SC juga menasihatkan orang ramai yang dihubungi oleh individu atau syarikat untuk tujuan memohon derma supaya tidak melayan permohonan itu dan melaporkan kepada SC dengan segera.

Mereka boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat SC di talian 03-6204 8777 atau e-mel cau@seccom.com.my, untuk mendapat maklumat lanjut. - Bernama