Followers

Friday, October 1, 2010

Penuntut Malaysia didenda import ketamin di Australia

MELBOURNE: Seorang penuntut Universiti Monash yang dikatakan anak seorang peguam berprofil tinggi Malaysia, disabitkan kesalahan dan didenda A$10,000 di sebuah Mahkamah Majistret di sini, Khamis kerana mengimport ketamin.

Akhbar The Age melaporkan, Miki Yee, 23, dari Southbank di sini, mengaku bersalah atas tuduhan mengimport dan mengedar ketamin yang dilarang dan memiliki marijuana.
Mahkamah diberitahu bahawa Yee ditahan di apartmennya pada Mac tahun ini selepas ketamin itu ditemui dalam satu bungkusan dari Kuala Lumpur.
Peguam bela Tom Sawyer, berkata Yee, yang mengaku menjual ketamin kepada kawan-kawannya, menggunakan dadah itu sejak berumur 16 tahun dan membelinya di Malaysia dengan harga sehingga A$70 satu gram.

Akhbar itu memetik Sawyer sebagai berkata, bahawa selepas Yee tiba pada 2009 untuk pengajiannya, beliau mendapati harga ketamin di Australia terlalu mahal, meningkat kepada A$1,000 bagi lima gram.

Timbalan Ketua Majistret Jelena Popovic, berkata beliau "agak terkejut" bahawa Yee yang mengimport 332 gram dadah itu "hanya didenda saja".

Pendakwa Raya Matt Ryan berkata, ia satu "anomali" dalam Akta Kastam bahawa dakwaan itu hanya boleh diputuskan secara ringkas; di sebuah mahkamah majistret; dengan denda maksimum A$110,000.
Ryan memberitahu Popovic bahawa Pengarah Pendakwaan Awam Komanwel sedar dengan keadaan itu "tetapi tiada apa-apa yang dilakukan untuk memperbetulkannya lagi."

Popovic memberitahu Yee, dalam mensabitkan dan mendendanya A$10,000 bagi kesalahan mengimport bahawa "jika saya mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman denda yang lebih besar saya akan lakukan."

Mengenai dakwaan lain, Yee juga disabitkan kesalahan dan diletakkan di bawah perintah bagi menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 18 bulan. - BERNAMA

Pelantikan Ku Li pengarah pilihan raya BN tidak beri kelebihan kepada PAS atau UMNO

KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, berkata beliau tidak nampak pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas nanti, memberi kelebihan kepada parti yang bertanding sama ada Barisan Nasional (BN) atau PAS.

Ia kerana, katanya, yang akan bertanding bukannya antara ahli Parlimen Gua Musang itu dengan PAS, tetapi antara PAS dengan UMNO.
“Jadi, saya tak nampak pelantikan Tengku Razaleigh itu boleh memberi kelebihan kepada mana-mana pihak, sama ada PAS atau UMNO. Yang pasti PAS akan berlawan dengan UMNO bukannya dengan Tengku Razaleih,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Kelantan di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, PAS menaruh keyakinan untuk mempertahankan kerusi DUN Galas itu berdasarkan kepercayaan rakyat kawasan berkenaan serta rekod perkhidmatan parti itu melalui bekas wakil rakyatnya, Allahyarham Chek Hashim Che Sulaima.

“Kita masuk pilihan raya ni, tidak kira siapa yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan raya, yang penting kita akan memastikan kemenangan setiap kali kita berdepan dengan parti dalam satu-satu pilihan raya,” katanya.

Katanya, peranan yang dimainkan Allahyarham menjadi satu aset penting penerimaan rakyat atau pengundi kawasan itu untuk memilih PAS pada pilihan raya kecil itu.
Mengulas saranan Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan supaya UMNO dan PAS berkompromi dan memberi laluan tanpa bertanding kepada PAS, Nasharuddin berkata, ia suatu lontaran pendapat peribadi Takiyuddin sendiri.

Beliau juga yakin pergolakan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjejaskan suasana kempen parti politik dalam pilihan raya kecil itu, kerana suasana politik di Kelantan berbeza dengan negeri lain.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan tidak lama lagi berikutan kematian penyandang wakil rakyat kawasan itu, Chek Hashim Che Sulaiman, 46 akibat penyakit barah usus Isnin lalu. - BERNAMA

Malaysia-Indonesia perlu ketepikan perbezaan: Diplomat

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia perlu secara berterusan mencari penyelesaian yang menyeluruh bagi mengatasi sebarang “perbezaan” yang boleh menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Ketua Pengarah ASEAN Kementerian Luar Negeri Indonesia, Djauhari Oratmangun, berkata dengan sokongan kerajaan masing-masing, rakyat kedua-dua negara berjiran itu sewajarnya mengelak daripada menimbulkan angkara negatif yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
"Kita sebenarnya perlu mencari jalan bagaimana perbezaan tersebut dapat memperkuatkan dan menyatukan kita", katanya ketika ditemui selepas menghadiri bengkel dua hari untuk wartawan ASEAN mengenai perhubungan EU-ASEAN di sini, hari ini.
Menurutnya, penduduk kedua-dua negara perlu mengetepikan sikap mengungkit perkara-perkara ataupun insiden-insiden yang “negatif” serta tidak memberi manfaat.

"Jangan terjebak sangat dengan perkara yang tidak menyenangkan (antara kedua-dua negara), banyak telahpun dihasilkan dan boleh dikembangkan ke hadapan lagi," katanya.

Djauhari berkata, kerjasama yang sedia terjalin antara Indonesia-Malaysia sejak sekian lama boleh disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa apabila tidak mampu terjejas dengan beberapa insiden negatif.

"Dalam hubungan bilateral kita perlu menyelesaikan sebarang isu yang timbul daripada melengahkan perkara itu seperti mana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin dalam perbualan telefon baru-baru ini pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Pada 10 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bersetuju kedua-dua negara memerlukan mekanisme lebih baik untuk memastikan tiada lagi insiden berulang yang boleh mengancam hubungan bilateral Malaysia-Indonesia.

Djauhari juga turut menegaskan mengenai pentingnya menjalin hubungan lebih rapat antara rakyat kedua-dua negara.

"Barangkali kita harus wujudkan lebih banyak program pertukaran kebudayaan termasuk program pertukaran pelajar yang semakin berkurangan kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, ketika menjawab beberapa soalan peserta di bengkel yang berakhir hari ini berhubung peranan Indonesia untuk mengintegrasikan kalangan penduduk negara ASEAN sebagai masyarakat serantau menjelang 2015 seperti mana penduduk Kesatuan Eropah (EU), katanya, Indonesia bertekad mencapai hasrat itu.

"Kami komited untuk menjayakan aspirasi pemimpin ASEAN kepada rakyat. Di Indonesia kami akan menganjurkan jerayawara untuk menjelaskan tentang komuniti Asean dan apakah manfaatnya," katanya lagi - BERNAMA

Pendekatan holistik dalam menangani masalah pembuangan bayi

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Sosial Negara hari ini memutuskan bahawa pendekatan lebih holistik perlu dalam usaha untuk menangani masalah pembuangan bayi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya pelan tindakan yang lebih komprehensif akan dilaksanakan secara bersepadu antara kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Institusi penting keluarga dan masyarakat juga perlu diperkukuhkan untuk menerapkan nilai murni dan etika serta kefahaman dalam pendidikan agama supaya dapat membantu masalah itu dalam jangka masa panjang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, mesyuarat turut membincangkan mengenai pendidikan seks di sekolah yang dianggap sebagai satu inisiatif jangka pendek dan panjang dalam memberikan kefahaman lebih tepat di kalangan generasi muda terutama di peringkat sekolah.

"Projek perintis sudah dimulakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kementerian Pelajaran dan hasilnya nampak amat memberangsangkan," katanya.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa teknikal mengenai pendidikan seks di sekolah sedang menilai cara terbaik sekiranya program tersebut hendak diperluaskan ke seluruh negara.

Selain itu, katanya, mesyuarat turut memutuskan untuk menubuhkan sebuah pusat sehenti bertujuan membantu golongan gelandangan.
Beliau berkata, pusat yang akan diwujudkan di Kuala Lumpur itu dijadual siap pada November tahun ini dan boleh menempatkan kira-kira 76 orang.

"Pusat itu ditubuhkan bagi menangani isu membabitkan golongan itu serta memberikan perlindungan sementara supaya selepas itu mereka boleh berdikari. Buat masa ini ia hanya ditubuhkan di Kuala Lumpur," katanya

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam pada itu semua kerajaan negeri diminta memantau masalah itu di peringkat negeri masing-masing terutama di kota-kota besar dan mengambil langkah perlu.

Dalam mesyuarat itu katanya, turut memutuskan untuk meneliti situasi kes golongan berkenaan daripada aspek latar belakang, mengenal pasti punca serta langkah sesuai yang boleh diambil untuk menangani masalah itu bagi jangka masa panjang.

Muhyiddin berkata, keberkesanan Dasar Sosial Negara juga akan dikaji semula memandangkan situasi dalam negara sekarang adalah dinamik, berubah dengan cepat serta pantas maka terdapat keperluan untuk wujudkan satu Model Baru Sosial.

"Ia bagi memastikan rakyat dapat menikmati kesejahteraan dari segi sosial. Jadi langkah perlu dimulakan untuk merintis jalan kepada model baru itu selaras dengan perubahan masa," katanya.

Beliau berkata, ia bermakna kerangkanya perlu dirumuskan sekarang dan jika perlu satu makmal khusus akan ditubuhkan bagi mengkaji segala aspek yang difikirkan sesuai untuk diambil kira dalam merangka model tersebut.

"Diharapkan ia dapat dimulakan segera, kalau tidak awal tahun depan mungkin pertengahan tahun," katanya. - BERNAMA

Percayakan diri sendiri, amanah titik perubahan kembalikan keyakinan: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata sikap percayakan diri sendiri dan amanah boleh menjadi titik perubahan untuk mengembalikan keyakinan dalam melaksanakan sebarang kerja.

"Apa yang paling penting ialah anda percayakan diri sendiri dan dengan itu anda boleh memberi makna pada kerja anda yang akan dapat mewujudkan suatu perbezaan," katanya pada Forum Kepimpinan ASEAN 100 2020 di sini, hari ini.
Katanya, beliau percaya satu-satunya profesion di mana seseorang itu boleh menyentuh jiwa ramai orang ialah apabila seseorang itu diberikan peluang untuk memimpin negara.
Najib berkata, sepanjang 35 tahun kerjaya beliau dalam politik, ada kalanya beliau tidak lepas daripada berasa kecewa.

"Ya, ada masanya saya berasa terlalu kecewa dengan keadaan...ia suatu keadaan yang anda hadapi dan tidak dapat elakkan," katanya.

Ketika berdepan dengan situasi sebegitu, Najib berkata, adalah penting bagi beliau untuk membuat keputusan yang betul.