Followers

Tuesday, February 2, 2010

Bekas Pegawai Kewangan Kelantan didakwa subahat palsukan dokumen tuntutan

KOTA BHARU: Bekas Pegawai Kewangan Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan bersubahat membuat tuntutan palsu membabitkan projek Istana bernilai RM267,960 pada Disember 2008.

Bekas Pegawai Kewangan itu, Datuk Shkori Mohammad, 57, dituduh melakukan kesalahan itu apabila Yusri Che Noh memberikan dokumen, yang mengandungi butiran palsu, berbentuk invois bernombor 1302, bertarikh 3 Disember 2008, bertajuk "Tuntutan Membekal Bahan dan Kerja-Kerja Membina" bagi menyiapkan Rumah Puyuh di Projek Diraja, Banggol di sini, dengan keluasan 7,656 kaki persegi bernilai RM267,960.

Shkori dituduh bersubahat dalam tuntutan itu kerana ketika dokumen tuntutan diserahkan kepada beliau di pejabat Perbendaharaan Negeri, di sini, pada Disember 2008, projek Rumah Puyuh itu tidak dilaksanakan.

Shkori didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Zainal L Salleh membenarkan Shkori diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya dipegang mahkamah dan menetapkan tarikh 2 dan 3 Mac untuk sebutan kes.

Zainal bersetuju kes Shkori disebut serentak dengan sebutan kes Yusri, 39, seorang kontraktor yang didakwa pada 13 Januari lalu berhubung lima tuduhan melakukan pemalsuan invois dan pesanan membabitkan projek Istana dan Kerajaan Negeri.

Antara lain, Yusri didakwa mengemukakan invois Yus Construction & Trading kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Shkori Mohamed, pada 3 Mac 2009, yang mengandungi butiran palsu mengenai bekalan dan kerja-kerja tar tempat letak kereta Istana Negeri seluas 2,436 meter persegi pada harga RM27 semeter persegi membabitkan tuntutan RM65,772.

Shkori diwakili peguamnya, Datuk Abdul Aziz Derashid manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Yuun Yiing dan Izani Wan Ishak.

Turut hadir pada pendakwaan itu sebagai peguam pemantau Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohammad.

Abdul Aziz berkata, pihaknya akan membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara bagi memohon pertuduhan itu ditarik balik. - Bernama

Semakan program matrikulasi sesi 2010/2011 mulai 8 Februari

PUTRAJAYA: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah membuat permohonan program matrikulasi sama ada dengan mengisi borang OMR atau melalui internet, boleh mengemaskini permohonan mereka mulai 8 hingga 19 Februari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran di sini hari ini, peluang ini diberi bagi membolehkan pemohon membuat pilihan kolej dan pembetulan alamat, nombor telefon serta e-mel.

Semakan dan pindaan boleh dibuat dengan melayari laman web, www.moe.gov.my dan terus ke pautan Prauniversiti dan seterusnya ke Semakan Permohonan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran sesi 2010/2011.

Pelajar perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan angka giliran untuk membuat pindaan.


Talian bantuan Bahagian Matrikulasi iaitu 03-88844100 boleh dihubungi mulai tarikh yang sama dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja sahaja. - Bernama

Isu Bukit Botak: Selangor cadang bina 1,442 rumah berkembar

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang membina 1,442 unit rumah teres berkembar di atas tanah seluas 55.8 hektar di bawah pelan pembangunan Bukit Botak sebagai jalan penyelesaian kepada isu projek pemindahan setinggan Bukit Botak, di Selayang.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, dalam satu kenyataan hari ini, berkata rumah itu akan dijual kepada peneroka dan pemilik tanah di kawasan itu pada harga RM90,000 walaupun nilai sebenar harga pasaran dianggarkan sekitar RM175,000.

Dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi yang dibina di atas kawasan seluas 2,200 kaki persegi serta reka bentuk moden yang mempunyai nilai komersil yang tinggi, projek yang dijangka siap sepenuhnya dalam masa 20 hingga 24 bulan itu dijangka memberi imej baru kepada kawasan Bukit Botak.

"Cadangan pembangunan ini hanya dapat dilakukan selepas terbatalnya perjanjian di antara penduduk dan pemaju sebelumnya berikutan pengambilalihan semula tanah Bukit Botak," menurut kenyataan itu.

Tambahnya, pengambilalihan tanah daripada pemaju yang diumumkan oleh kerajaan negeri sebelum ini adalah untuk mengembalikan hak penduduk.

Menurut kenyataan itu, peneroka dan pemilik tanah yang bersetuju dengan cadangan berkenaan perlu menandatangani borang yang disediakan oleh Pejabat Tanah Gombak sebelum dokumen lanjut untuk mengesahkan pemilikan rumah disediakan.

"Bagi mereka yang bersetuju dengan cadangan ini, tetapi tidak berminat untuk menetap di Bukit Botak atau mereka yang tidak layak menerima pinjaman bank pula, kerajaan negeri boleh menjual rumah bagi pihak mereka pada nilai komersil dan semua hasil jualan akan diserahkan pada mereka," menurut kenyataan itu.


"Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pelan pembangunan Bukit Botak itu pula, mereka hanya layak menerima pampasan pengambilalihan semula tanah mereka oleh kerajaan negeri dan tidak berhak ke atas rumah yang bakal dibina," tambahnya. - Bernama