Followers

Saturday, September 11, 2010

Struktur gaji Malaysia dikaji: Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan langkah-langkah bagi memastikan struktur gaji di Malaysia setara dengan nilai sebenar bakat seseorang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
"Saya berpendapat bakat sumber manusia di Malaysia mempunyai nilai di bawah pasaran. Maka, kami perlu mencari satu mekanisme, yang boleh meningkatkan tahap gaji di negara ini.
"Ia adalah antara langkah-langkah yang akan diambil kerajaan bagi menarik rakyat Malaysia," kata beliau ketika diwawancara Martin Soong dalam rancangan The CNBC Conversation.
Najib berkata, kerajaan juga akan mengumumkan beberapa perkara penting sedikit masa lagi dalam hal pengwujudan Talent Corporation (perbadanan bakat) yang akan menarik rakyat Malaysia yang berada di luar negara, untuk menggalakkan mereka kembali berkhidmat di negara ini.

Daripada segi untuk mengurangkan pengaliran keluar dana, beliau berkata setakat ini, terdapat beberapa petunjuk awal yang positif.

"Dalam suku pertama tahun ini, aliran kekayaan adalah sedikit sebanyak setara. Ini adalah satu petanda baik. Kemungkinannya adalah sudah wujud lebih keyakinan dan semakin jelas daripada segi hala tuju negara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, perolehan kerajaan kini adalah berdasarkan kepada tender terbuka atau terhad.
Sebagai sebahagian daripada tindakan besar yang diinstitusikan oleh kerajaan bagi membanteras rasuah, beliau berkata proses secara rundingan terus telah banyak berkurangan.

Beliau berkata, kerajaan akan terus komited untuk membanteras rasuah, yang menjadia sebahagian besar agenda nasional dan Program Transformasi Kerajaan(GTP).

"Kami akan mengukuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi kami perlu menghasilkan lebih banyak keputusan, iaitu sabitan. Ini adalah satu proses, satu perjalanan, kami komited melakukannya (membanteras rasuah). Kami pastinya akan memfokuskan kepada bagaimana hendak melaksanakannya," katanya. - Bernama

Malaysia-Indonesia mampu jadi kuasa ekonomi

PAGOH: Malaysia dan Indonesia mampu menjadi kuasa ekonomi terbesar di rantau ini dan global sekiranya hubungan baik dalam semua bidang terutamanya dalam sektor perdagangan diteruskan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan positif ekonomi kedua-dua negara kini perlu dirangsang dengan menjalin lebih banyak kegiatan ekonomi bersama.
"Kita (Malaysia) merupakan pelabur ketujuh terbesar di Indonesia. Kalau pelaburan dapat berkembang, kedua-dua negara boleh berkongsi kekayaan yang ada.
"Malaysia dan Indonesia boleh jadi satu kuasa besar di rantau ini dan global, lebih banyak kebaikan kalau kita menjalin hubungan kerjasama," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Kompleks Seri Pekembar, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, ekonomi kedua-dua negara itu menunjukkan perkembangan positif khususnya Malaysia, selain kadar inflasi terkawal dan kedudukan mata wang Ringgit semakin kukuh.

Sejak akhir-akhir ini, hubungan dua hala Malaysia-Indonesia tegang berikutan satu kejadian di sempadan maritim di kepulauan Riau pada 13 Ogos apabila polis marin Malaysia menahan tiga penguatkuasa perikanan Indonesia, manakala pihak berkuasa republik itu pula menahan tujuh nelayan Malaysia.

Bagaimanapun, semua yang ditahan itu dibebaskan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara pada 17 Ogos lalu.
Muhyiddin berkata, hubungan antara kedua negara masih baik dan rapat terutamanya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghubungi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan komitmen kedua-dua negara meneruskan hubungan akrab demi kesejahteraan bersama.

Semalam, Najib turut menghubungi Susilo untuk menyampaikan salam Lebaran sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Putrajaya.

"Hubungan baik antara dua pemimpin atasan ini perlu diteruskan di peringkat lain iaitu menteri kita dan mereka (Indonesia) diikuti dengan badan-badan korporat khasnya melalui Majlis Perdagangan Malaysia-Indonesia.

"Ini forum yang digunakan sebagai hubungan untuk perdagangan antara kedua negara ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, berkata tiada ada jalan lain untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul melainkan menerusi saluran diplomasi.

Tegasnya, sebarang masalah perlu dikawal segera supaya ia tidak berlanjutan atau menimbulkan sebarang prasangka dan prejudis antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia akan tetap memberi tumpuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan Indonesia pada masa depan. - Bernama

Senator kelahiran Malaysia Menteri Kewangan baru Australia

SYDNEY: Senator Penny Wong yang dilahirkan di Malaysia dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam kerajaan baru Australia. - Bernama

Pertumbuhan sekurang-kurangnya 6 peratus bagi Malaysia tahun ini: Najib

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan sekurang-kurangnya enam peratus tahun ini, sebahagian besarnya dijana oleh permintaan domestik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib berkata demikian dalam wawancara dengan Martin Soong menerusi CNBC Asia yang disiarkan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan berfikiran terbuka untuk menjadikan Ringgit, yang baru-baru ini mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun, boleh didagangkan luar pesisir semula. - Bernama

21 kematian pada hari kelapan Ops Sikap Ke-22

KUALA LUMPUR: Sebelas penunggang dan pembonceng motosikal adalah antara 21 yang maut dalam kemalangan jalan raya pada hari kelapan Ops Sikap Ke-22 semalam.

Jurucakap Ops Sikap Polis Diraja Malaysia berkata jumlah itu melonjakkan angka korban jalan raya kepada 139 orang sejak Ops Sikap bermula pada 4 September lalu.
"Sepuluh lagi yang maut semalam ialah pengguna kereta iaitu lima pemandu dan lima penumpang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya sebanyak 1,001 kemalangan dilapor berlaku semalam iaitu 408 di jalan persekutuan, 255 di jalan bandaran, 184 jalan negeri, 99 di lebuh raya dan 55 lagi di lain-lain jalan.

Sebanyak 4,907 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya. - BERNAMA