Followers

Saturday, April 3, 2010

IPT diangkat ke tahap lebih penting di bawah kepimpinan Najib

PEKAN: Peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini kini diangkat ke satu tahap lebih penting di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sepanjang setahun menggalas tugas sebagai Perdana Menteri, Najib amat menekankan aspek pendidikan tinggi rakyat yang menjadi faktor kritikal dalam agenda pembangunan negara.

Beliau berkata, IPT perlu berjalan seiring dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju melalui penghasilan modal insan terbaik.

"Segala perancangan boleh tergendala jika sektor pendidikan tinggi tidak memainkan peranan sebagaimana yang diharapkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan cabaran Orienteering 1Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi-Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor UiTM Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Selain itu, katanya, gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan Najib telah meningkatkan pembinaan keupayaan dalam sektor pendidikan tinggi.

Mohamed Khaled berkata, melalui konsep itu, pandangan serta input daripada rakyat khususnya pelajar dan warga IPT diambil kira dalam perlaksanaan dasar negara.

Katanya, penubuhan Majlis Profesor Negara yang menggabungkan kepakaran 1,426 orang profesor dari seluruh institusi pengajian tinggi awam baru-baru ini turut menggambarkan kesediaan kerajaan pimpinan Najib dalam memperolehi input dalam pelbagai bidang dari sektor pendidikan tinggi.

"Perdana Menteri amat menginsafi dan menghayati kedudukan yang diberikan kepada beliau, malah beliau mengukur kepuasan rakyat, bukan kepuasan diri sendiri," katanya.

Bagaimanapun, katanya, rakyat diharap agar tidak terlalu taksub untuk mengukur pencapaian Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat ini kerana ia boleh memberi kesan kepada kestabilan dan pembangunan negara.

Hari ini genap setahun Najib menjadi Perdana Menteri selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009. - Bernama

Polis Sabah bincang isu keselamatan dengan Filipina

LAHAD DATU: Polis Sabah melalui kerjasama polis Bukit Aman merancang mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa Selatan Filipina bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan membabitkan kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata perkara berkenaan masih dalam perbincangan namun ia dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

"Saya akan ke sana (Selatan Filipina) dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen Bandar Selamat Sri Perdana di sini hari ini.

Noor Rashid berkata, pertemuan berkenaan penting kerana ia menyediakan ruang bagi kedua-dua pihak untuk membincangkan isu keselamatan terutama jenayah merentas sempadan seperti penyeludupan barangan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) ke Sabah yang perlu di atasi.

Katanya, disebabkan persempadanan laut yang memisahkan Sabah dengan selatan Filipina begitu panjang maka penyelesaian terhadap pelbagai isu akan lebih berkesan jika membabitkan kedua-dua pihak.

Mengenai kes rompakan di pelantar rumpai laut di Pulau Sebangkat, Semporna, pada Januari lalu, Noor Rashid berkata dua pengusaha rumpai laut yang hilang masih selamat namun beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan. - Bernama

28 maut, 25 masih hilang kejadian tanah runtuh di Peru

LIMA: Seramai 28 mangsa maut dan 25 yang lain masih hilang dalam kejadian tanah runtuh berpunca dari hujan lebat yang berterusan di dua bandar di Timur Laut Peru, semalam. Sehingga setakat ini, 54 orang telah dikenal pasti cedera.

Pegawai pertahanan sivil, Hipolito Cruchaga berkata, tanah runtuh yang berlaku di bandar Porvenir dan Concejos itu masing-masing telah mengakibatkan sehingga 23 dan 5 orang terbunuh. Kini, usaha menyelamat 25 mangsa yang dipercayai masih hilang sedang giat dijalankan.

Katanya, kejadian itu juga mengakibatkan 100 rumah rosak teruk dan 54 mangsa yang lain cedera. - AP

Kementerian Pelajaran audit fizikal sekolah seluruh negara

HULU SELANGOR: Kementerian Pelajaran akan mengaudit keadaan fizikal sekolah-sekolah di seluruh negara bagi membolehkan tindakan seperti menaik taraf sekolah yang uzur secara fizikal dilakukan terutamanya di kawasan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu perlu kerana keadaan fizikal sesebuah sekolah terutama bilik darjah penting dalam membentuk suasana pembelajaran kondusif yang mempengaruhi prestasi pelajar.

"Saya telah arahkan di peringkat kementerian supaya membuat satu pengauditan tentang situasi fizikal sekolah di seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Daerah Hulu Selangor di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor di Ulu Yam di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengarah Pelajaran Negeri Selangor Sulaiman Wak. - Bernama