Followers

Saturday, July 11, 2009

Najib umum 11 berita gembira untuk rakyat

KUALA LUMPUR: Sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan 11 berita yang pasti menggembirakan semua lapisan rakyat dalam usaha kerajaan memberikan masa depan lebih baik, makmur dan terjamin untuk mereka.

Berikut ialah berita gembira itu yang diumumkan beliau pada majlis 100 Hari Najib Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan turut disiarkan secara langsung RTM:

1.Pengguna kad prabayar, Smart Tag dan Touch n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka layak menerima diskaun 20 peratus.

2. Kerajaan akan tawarkan 44,000 unit perumahan rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

3. Penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen baru mereka berkuat kuasa serta-merta.

4. Kerajaan menambah 3,000 lagi permit teksi yang permohonannya diluluskan dalam masa tiga bulan akan datang.

5. Langkah-langkah drastik bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah.

6. Permohonan pendaftaran kelahiran dipermudahkan di Sabah dan Sarawak.

7. Pembinaan jalan ditambah di Sabah dan Sarawak.

8. Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah dan Sarawak.

9. Kadar bayaran latihan menunggang motosikal bagi kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

10. Peruntukan untuk Tekun ditambah RM150 juta dan RM15 juta disediakan untuk usahawan muda kaum India

11. Tabung unit amanah baru dinamakan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan. - Bernama

H1N1: Nube minta bank sedia topeng muka untuk pelanggan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) meminta pihak bank menyediakan topeng muka atau sabun membasuh tangan kepada pelanggan yang datang ke bank mereka bagi mengelak jangkitan Influenza A (H1N1).

Setiausaha Agung Nube, J Solomon, berkata ini memandangkan ratusan orang mengunjungi bank setiap hari.

"Ia perlu dilakukan kerana ruang urus niaga bank adalah tertutup dan berhawa dingin di mana risiko jangkitan adalah lebih besar," katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 627 kes dilaporkan di negara ini sehingga semalam. - Bernama

H1N1: 44 kes baru, 15 jangkitan tempatan

KUALA LUMPUR: Sehingga jam 8 pagi hari ini, 44 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini, di mana 29 daripadanya adalah kes import manakala 15 terdiri daripada jangkitan tempatan.

Ia menjadikan kes keseluruhan H1N1 di Malaysia berjumlah 671 kes, 485 adalah kes import dan 186 adalah jangkitan tempatan.

Tiada kematian dilaporkan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya, berkata 44 kes baru itu membabitkan 34 warganegara tempatan; 10 warga asing di mana terdiri daripada seorang warganegara Arab Saudi, Australia (1), Amerika Syarikat (2), Yaman (1), Britain (1) dan Indonesia (4).

Daripada 671 jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang disahkan, katanya, 560 pesakit (89%) sudah sembuh dan discaj daripada hospital.

Beliau berkata, baki pesakit yang sedang dirawat di hospital berjumlah 111 orang.