Followers

Friday, October 9, 2009

Umno akan lebih mantap dengan pindaan perlembagaan

KUALA LUMPUR: Langkah besar proses transformasi Umno bermula minggu depan apabila parti itu mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi meminda Perlembagaan untuk menghapuskan sistem kuota.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pindaan terhadap Perlembagaan parti akan menjadikan Umno lebih terbuka dan menarik golongan muda untuk meneruskan perjuangan parti.

"Langkah-langkah ini akan meremaja dan memantapkan Umno," katanya pada persidangan akhbar mengenai Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata dengan adanya sistem pemilihan yang lebih baik dan terbuka, dijangka parti itu akan menarik golongan muda sebagai wadah perjuangan politik mereka.

"Bagi memastikan pemilihan parti tidak diperlekehkan, akar umbi Umno menyokong cadangan supaya beberapa syarat dikenakan bagi mereka yang bertanding jawatan tertinggi parti.

"Akar umbi sendiri mahukan syarat-syarat minimum dikenakan bagi mereka yang bertanding jawatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata antara syarat yang dicadangkan ialah calon yang bertanding mestilah menjadi anggota parti untuk tempoh masa tertentu, selain itu pernah memegang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian dan faham mengenai hala tuju parti.

Ini adalah kerana akar umbi parti berpendapat Presiden dan Timbalan Presiden parti juga akan memegang jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara ini, katanya dalam majlis taklimat selama setengah jam itu.

Tengku Adnan berkata: "Presiden (parti Datuk Seri Najib Razak) dan juga Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak mahu meletakkan sebarang syarat untuk merebut jawatan tertinggi parti, walau bagaimanapun akar umbi parti tetap mahu syarat minimum untuk melayakkan mereka bertanding."

Menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Umno pada minggu depan, Tengku Adnan berkata ini adalah perhimpunan yang paling pendek diadakan dengan melibatkan hanya empat hari berbanding lima hari sebelum ini, selain tidak menjemput pemerhati luar negara serta wakil dari Kelab Umno.

Tengku Adnan berkata keputusan itu dibuat memandangkan parti itu baru sahaja mengadakan Perhimpunan Agung Umno 2008 pada Mac lalu.

Perhimpunan agung kali ini juga akan membahaskan satu usul iaitu ucapan dasar presiden parti pada Jumaat ini, katanya.

Beliau berkata perhimpunan kali ini akan bermula dengan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti pada Selasa malam dan berlangsung sehingga Rabu.

Sementara Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada Khamis dengan dirasmikan oleh Najib dan akan ditangguhkan sebaik dirasmikan bagi memberi laluan kepada Perhimpunan Agung Khas parti itu yang akan membahas beberapa cadangan pindaan Perlembagaan parti yang berkaitan dengan syarat pemilihan jawatan tertinggi parti berkenaan.

"Setiap pembahas usul dari negeri serta wakil dari tiga sayap parti akan diberikan masa selama 15 minit, dan Perhimpunan Agung Khas itu dijangka dapat ditamatkan pada jam 4 petang sebelum Perhimpunan Agung Umno 2009 diadakan semula," katanya.

Tengku Adnan berkata seramai 2,539 perwakilan Umno akan menghadiri perhimpunan kali ini, dan turut dijemput adalah dua bekas presiden parti iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Setakat ini sebanyak 37 agensi media yang melibatkan 876 petugas media telah mendaftar untuk membuat liputan perhimpunan itu termasuk lapan agensi media luar negara, katanya.

Beliau berkata perhimpunan kali ini turut memberi penekanan kepada logo 1Malaysia di mana pada beg perwakilan ke perhimpunan itu akan tertera logo berkenaan.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata pemansuhan sistem kuota akan memastikan pemimpin yang benar-benar bersih dan komited kepada parti tidak lagi terpinggir pada pemilihan jawatan tertinggi parti.

"Anggota-anggota Umno harus berani melakukan perubahan politik untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa, supaya parti sentiasa relevan dan seterusnya mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno," katanya dalam kenyataan.

Syed Ali berkata Najib juga telah membuktikan sikap keterbukaan dan ketulusan beliau berhubung cadangan pemansuhan sistem kuota itu.

"Presiden Umno telah membuktikan kepada anggota-anggota parti bahawa beliau lebih mengutamakan kepentingan suara akar umbi yang mahukan perubahan," katanya. - Bernama

H1N1 lebih serius di kalangan remaja: Kajian AS

WASHINGTON: Satu kajian terhadap mereka yang sakit teruk dan mati akibat pandemik baru Influenza A (HN1) mengesahkan ia menyebabkan akibat lebih serius terhadap populasi lebih muda , berbanding selesema bermusim dan sering menyebabkan simptom berbeza.

Kajian terhadap 272 pesakit yang cukup serius untuk dimasukkan ke hospital menunjukkan kira-kra 40 peratus mengalami diarea dan muntah - sesuatu yang jarang diakibatkan selesema bermusim - dan mengesahkan rawatan segera boleh menyelamatkan nyawa.

Dr Seema Jain dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang mengetuai kajian itu berkata, penemuan itu menunjukkan kumpulan mana yang lebih berisiko dan bila untuk mendapatkan rawatan.

“Daripada 272 pesakit yang kami kaji, 25 peratus dimasukkan ke uit rawatn intensif dan 7 peratus mati," kata pasukan Jain dalam laporan itu yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.

Mereka menyatakan 45 peratus adalah remaja bawah 18 tahun dan cuma lima peratus melebihi usia 65 tahun manakala 73 peratus mempunyai sekurang-kurangnya satu komplikasi seperti asma, diabetes, sakit jantung dan kehamilan.

Kajian itu juga mendapati paling awal pesakit yang mati dirawat dengan ubat antiviral ialah tiga hari selepas mereka menunjukkan simptom.

Pesakit yang dirawat lebih awal terselamat. - Reuters

Gempa bumi lemah di Bukit Tinggi

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan gegaran lemah dikesan dan dilaporkan dirasai berlaku oleh penduduk tempatan di sekitar daerah Bukit Tinggi, Pahang, dari 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, sehingga 12 tengah malam tadi, tiada lagi gegaran dikesan di daerah itu.

Jabatan Metereologi Malaysia, dalam satu kenyataan, berkata ia akan sentiasa memantau perkembangan gempa bumi di rantau ini dan akan memaklumkan keadaan terkini. - Bernama

41 maut dalam letupan bom di Peshawar

PESHAWAR, Pakistan: Seramai 41 orang terbunuh dalam satu letupan bom di Peshawar, kata seorang pegawai kanan Pakistan.

Menteri Kesihatan negeri, Syed Zahir Ali Shah, berkata letupan itu turut mencederakan lebih 100 orang. - AP

50,000 rai sambutan 1Malaysia Ahad depan

IPOH: Kira-kira 50,000 rakyat berbilang bangsa dijangka menghadiri majlis pelancaran gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Stadium Perak, di sini Ahad depan.

Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata Perak menjadi negeri pertama terpilih untuk melancarkan konsep itu yang berteraskan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama.

"Kita menjangkakan lebih 50,000 rakyat berbilang kaum menghadiri majlis pelancaran 1Malaysia pada 18 Oktober nanti. Pelbagai program menarik diatur termasuk persembahan orkestra tradisional Malaysia yang membabitkan penyertaan pelbagai kaum.

"Majlis yang bertemakan perpaduan itu juga diharap dapat menyemai rasa cinta kepada negara dan menyokong penuh dasar yang diperkenalkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat bersama-sama pemimpin badan bukan kerajaan dan masyarakat Cina berhubung majlis pelancaran itu di sini hari ini.

Beliau berkata, sehari sebelum itu, satu ekspo bertemakan perpaduan akan diadakan di Stadium Indera Mulia yang berhampiran dengan Stadium Perak.

Katanya, lebih 10,000 masyarakat Cina di Perak dijangka menghadiri majlis itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi menyemarakkan perpaduan nasional.

Dr Mah yang juga Timbalan Ketua Pemuda MCA berkata, perpaduan adalah aspek penting yang menjadi kunci kepada kestabilan politik dan ekonomi yang dinikmati rakyat negara ini.

Mengenai kejadian bangunan runtuh di Jalan Kamaruddin Isa di Fair Park di sini yang mengorbankan dua nyawa Jumaat lepas, beliau berkata, ia masih dalam siasatan dan laporan terperinci dijangka siap minggu depan.

"Sebaik siasatan selesai, kita akan menghantar laporan itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum mendedahkan hasil kajian itu kepada umum," katanya. - Bernama

Iran akan 'letupkan jantung' Israel jika diserang

TEHRAN: Iran akan "meletupkan jantung" Israel jika diserang negara Yahudi itu dan Amerika Syarikat, pembantu pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei dipetik sebagai berkata.

“Biar pun satu peluru berpandu Amerika atau Israel mengenai tanah air kami, peluru berpandu Iran akan meletupkan jantung Israel sebelum debunya hilang," lapor agensi berita kebangasan Irna yang memetik Timbalan Wakil Khamenei ke Pengawal Revolusi, Mojtaba Zolnour, sebagai berkata.

Pegawai sudah beberapa kali menyatakan Tehran akan melakukan serangan balas hebat jika Israel dan AS menyerang negara itu.AS dan sekutunya di rantau itu tidak menolak pilihan ketenteraan untuk menghentikan aktiviti nuklear Iran yang didakwa Barat untuk menghasilkan senjata nuklear.

Iran sebelum ini menengaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman.