Followers

Tuesday, May 11, 2010

Kastam Kedah rampas 16kg heroin

BUKIT KAYU HITAM: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kedah merampas lebih 16 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai hampir RM500,000 dan menahan seorang lelaki tempatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini, Sabtu lalu.
Pengarahnya, Saadon Mohd Dros, berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan ketika melalui pemeriksaan rutin oleh kastam dan menemui dadah berkenaan seberat 16.135 kg yang disorokkan dalam beg pakaian.

Lelaki terbabit yang memandu kereta ditahan ketika cuba memasuki negara ini dari Thailand pada kira-kira jam 12 tengah hari, Sabtu lalu.
"Hasil pemeriksaan rutin, anggota kastam memenui beg pakaian yang sarat dengan muatan 41 ketul serbuk putih mampat yang disimpan dalam but kereta Proton Wira.

"Ujian air kencing yang dilakukan ke atas lelaki itu mendapati dia positif mengambil dadah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Ekonomi membangun Asia disaran tumpu permintaan domestik

KUALA LUMPUR: Dengan ketidakseimbangan global kini semakin mengendur, ekonomi membangun Asia termasuk Malaysia perlu lebih banyak menumpukan kepada domestik, dan mengurangkan pergantungan kepada permintaan eksport untuk terus mencapai pertumbuhan kukuh di masa depan, kata seorang pakar ekonomi.
Cabaran yang muncul akan memberi desakan bukan hanya ke atas dasar monetari dan fiskal tetapi juga kepada dasar kadar pertukaran, kata Ketua Pakar Ekonomi Allianz Group, Michael Heise.

"Bagi Malaysia, ia perlu menumpu untuk menambah baik keadaan bagi menarik pelaburan," katanya pada satu taklimat media hari ini.
Beliau mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus tahun ini, selepas menguncup sebanyak 1.7 peratus dalam terma sebenar tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut Heise, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyusut kepada 4.5 peratus pada 2011, disebabkan sebahagiannya daripada penarikan balik pakej rangsangan fiskal.

"Sebaik saja pakej rangsangan berakhir pada akhir 2010, ekonomi-ekonomi Asia sepatutnya kembali semula kepada dasar fiskal mampan yang kebanyakan daripada mereka berusaha melaksanakannya sebelum krisis kewangan dan ekonomi berlaku," katanya.

Beliau berkata, pengukuhan ringgit yang sejajar dengan penilaian semula mata wang Asia lain, juga akan menyokong ekonomi Malaysia kerana ini akan meningkatkan kuasa beli, merangsang penggunaan, permintaan domestik serta pelaburan.
Mengulas kesan krisis hutang Greece, beliau berkata, kesan penularan ke negara lain tidak diwajarkan pada asasnya tetapi lebih didorong oleh spekulasi.

"Pasaran-pasaran terlebih reaksi dan tidak melihat kepada fundamental. Bagaimanapun, tiada alasan untuk panik," katanya.

Heise berkata, disebabkan oleh krisis itu, terdapat kesedaran bagi negara terutamanya dalam zon euro untuk membuat perubahan dasar utama yang akan membawa kepada penstabilan jangka panjang.

Beliau menjangkakan euro mengukuh dalam tempoh jangka panjang berbanding mata wang utama lain. - Bernama

Taib gesa rakyat Sarawak kekal bersatu

SIBU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, hari ini meminta rakyat Sarawak, terutama di kawasan Parlimen Sibu supaya kekal bersatu.

Katanya, pembangunan akan hanya mengambil tempat di negeri ini jika wujudnya perpaduan dan ini adalah selaras dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Serakup meh" (mari bersatu dalam bahasa Iban) kerana kerajaan memerlukan rakyatnya bersatu padu dalam usaha untuk melaksanakan pelan pembangunan strategik jangka panjang untuk negara," katanya pada sesi bertemu dengan rakyat di Rumah Deio Kanyan di Tanjung Penasu, kira-kira 20 kilometer dari sini.
Beliau berkata, DAP hanya mahu berkuasa di negara ini dan tidak mempunyai sebarang rancangan pembangunan.

Katanya lagi, DAP dan rakan politiknya hanya pandai memburuk-burukkan kerajaan dan menentang apa jua perkara baik yang dilakukan untuk rakyat.

"Mereka cenderung membandingkan pembangunan di Pulau Pinang dan Sarawak tetapi buka mata anda seluas-luasnya kerana Sarawak adalah sebesar semenanjung dan agak sukar untuk dibangunkan berbanding negeri yang kecil itu," katanya.

Mengulas pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Taib berkata, rakyat bukan hanya mengundi calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew tetapi juga BN, satu-satunya parti yang terbukti mampu membangunkan negara.
Pilihan raya pada 16 Mei ini diadakan berikutan kematian Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April.

Calon BN, yang lebih dikenali sebagai Robert Lau Junior, akan menentang calon DAP, Wong Ho Leng dan seorang calon Bebas, Narawi Haron, dalam pilihan raya kecil itu. - Bernama

PM umum langkah kukuhkan perlindungan pengguna kewangan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan cadangan mengukuhkan perlindungan pengguna kewangan di mana had deposit insurans akan ditingkatkan kepada RM250,000, berkuat kuasa 2011.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, berkata yang perdana menteri berhasrat meningkatkan pakej perundangan bagi tujuan memperkukuhkan perlindungan konsumer kewangan untuk rakyat Malaysia.

Kementerian itu berkata, yang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) akan mengemukakan satu rang undang-undang bagi membolehkan kerajaan meningkatkan had insurans deposit.
"Pakej perundangan itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan sebagai enakmen sebelum akhir tahun ini," katanya.

Katanya, yang PIDM juga akan memperkenalkan Skim Pampasan Insurans (ICS) yang jelas beserta perundangannya untuk pemegang polisi insurans dan takaful.

"Ia adalah untuk memastikan pemegang polisi insurans dan takaful menikmati tahap perlindungan konsumer yang sama dengan perlindungan yang diberikan oleh PIDM terhadap para penyimpan di bank perdagangan dan bank Islam.

"Ini jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuhkan perlindungan konsumer kewangan untuk rakyat Malaysia dan memelihara keyakinan awam terhadap sistem kewangan Malaysia," katanya.
Kementerian itu berkata, memandangkan jaminan deposit kerajaan akan berakhir pada akhir tahun ini seperti yang dijadualkan, pengukuhan perlindungan konsumer melalui pakej ini dapat terus menyediakan lebih perlindungan untuk penyimpan.

"Berdasarkan had yang baharu ini, 99 peratus daripada penyimpan akan dilindungi sepenuhnya," katanya.

Kementerian berkata, skim pampasan insurans yang dicadangkan itu akan ditadbir oleh PIDM dan akan memberikan taraf yang sama di antara industri perbankan dan insurans serta menggalakkan daya saing yang adil kerana pemegang polisi dan penyimpan dalam kedua-dua industri berkenaan memperolehi perlindungan.

"Skim Pampasan Insurans ini akan memperkukuhkan dan menyumbang kepada keyakinan konsumer kewangan dan seterusnya, menggalakkan permintaan konsumer terhadap produk insurans dan takaful," katanya.

Katanya, PIDM akan mengadakan rundingan dengan pemegang kepentingan mengenai ciri-ciri utama Skim Pampasan Insurans ini sebelum mengusulkan cadangan berkenaan kepada kerajaan. - Bernama

Jangan sentuh isu agama ketika kempen di Sibu: Polis

SIBU: Polis hari ini memberi amaran kepada parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil bagi Parlimen Sibu tidak membangkitkan isu agama ketika berkempen.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC II Huzir Mohamed, berkata ada yang menggunakan isu kalimah "Allah" dalam ceramah mereka.

"Perkara ini telah diselesaikan tetapi ada yang mengeksploitasikannya sekali lagi. Ia adalah isu sensitif dan semua yang terlibat mesti berhenti daripada membangkitkannya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat tektikal polis pilihan raya kecil Sibu (Martek) di Lanang Road di sini.
Huzir berkata, setakat ini polis memantau 40 kempen dan mengeluarkan 101 permit untuk ceramah kepada kedua-dua pihak (Barisan Nasional dan DAP). Tiada permohonan permit ceramah daripada calon bebas Narawi Haron.

Beliau berkata, polis menerima tiga aduan berhubung kempen pilihan raya kecil itu tetapi berdasarkan siasatan ia didapati tidak kukuh.

Sementara itu, Huzir berkata beliau telah memberi arahan kepada anggotanya untuk menahan mereka yang menggunakan kenderaan untuk berkempen melalui pembesar suara di jalan raya, tanpa mengira daripada parti politik mana.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
"Ia boleh digunakan jika kenderaan itu tidak bergerak dan di kawasan yang dikhaskan untuk ceramah," katanya. - Bernama

KPT lancarkan Rakan Integriti Mahasiswa

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini melancarkan Rakan Integriti Mahasiswa (RIM) yang akan menjadi platform rasmi bagi setiap pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Politeknik dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya juga akan membangunkan satu kerangka integriti akademik bagi menjelaskan lagi ciri integriti akademik di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Kerangka ini penting kerana ia akan dapat membantu menghasilkan tenaga pensyarah yang berkualiti sekali gus menjadi contoh kepada pelajar di kampus.
Beliau percaya eko-sistem integriti ini akan menghasilkan budaya kecemerlangan IPT di negara.

Empat kluster ILI di Selangor, Pahang, NS

PUTRAJAYA: Empat kluster baru penyakit serupa Influenza (ILI) dilapor di tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sehingga 8 pagi ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata empat kluster itu dilapor di Tadika Anak Riang, Puchong Jaya dan PLKN Jugra, Banting, Selangor, Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tekek, Rompin, Pahang dan kediaman di Taman Gunung Mas, Tampin, Negeri Sembilan.

"Sehingga 5.30 petang semalam, sejumlah 71 kes disahkan Influenza A (H1N1) menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini adalah 14,138 kes.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara ialah 678 kes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 83 kes (12.2 peratus) disahkan positif Influenza A (H1N1) dan bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 12 kes, tujuh daripadanya mempunyai faktor risiko.

Dr Mohd Ismail berkata, penularan jangkitan itu cukup mudah berlaku di tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak.

Beliau berkata, bagi mengekang penularan itu secara efektif, amat penting bagi mereka yang dijangkiti atau mempunyai gejala ILI seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak tidak pergi ke tempat sedemikian.
"Jika mereka mempunyai gejala ILI ini terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan adab batuk dan kebersihan diri yang baik.

"Perkara ini amat penting bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain," katanya.

Maklumat lanjut mengenai H1N1 boleh didapati menerusi laman web kementerian, di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-88810200/0300. - Bernama

IPP meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun pada Mac

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Mac 2010 meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun dan meningkat 15.1 peratus bulan ke bulan, demikian menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Sementara itu, peningkatan IPP bagi Februari 2010 disemak semula kepada 4.8 peratus tahun ke tahun berbanding dengan perangkaan lebih awal sebanyak 4.9 peratus.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata peningkatan tahun ke tahun pada Mac itu adalah berikutan kenaikan pada dua indeks, iaitu pengilangan (20.3 peratus) dan elektrik (24.9 peratus).
Indeks perlombongan merosot 0.5 peratus.

Indeks komulatif bagi suku pertama 2010 meningkat 11.0 peratus berbanding dengan tempoh yang sama 2009.

Pengeluaran pengilangan pada Mac 2010 meningkat 20.3 peratus berbanding dengan Mac 2009. Pengeluaran bagi Februari tahun ini meningkat 7.1 peratus (disemak semula) berbanding dengan tempoh yang sama 2009.

Berbanding bulan sebelum itu, pengeluaran bagi Mac 2010 meningkat 16.3 peratus berikutan kenaikan produk elektrik dan elektronik (46.1 peratus); produk kayu, perabot, produk kertas, percetakan (25.5 peratus); petroleum, kimia, getah dan produk plastik (7.4 peratus).
Pengeluaran pengilangan bagi suku pertama 2010 meningkat 15.2 peratus berbanding dengan suku yang sama 2009.

Pengeluaran sektor perlombongan pada Mac 2010 merosot 0.5 peratus tahun ke tahun disebabkan kemerosotan indeks minyak mentah (3.6 peratus) walau pun indeks gas asli meningkat 6.5 peratus.

Berbanding dengan bulan sebelum ini, pengeluaran perlombongan meningkat kepada 11.9 peratus, manakala bagi suku pertama 2010, ia meningkat 0.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengeluaran elektrik meningkat 24.9 peratus pada Mac 2010 berbanding dengan tempoh sama setahun lalu.

Berbanding dengan bulan sebelum itu, pengeluaran elektrik mencatatkan kenaikan 16.8 peratus.

Penjanaann elektrik bagi suku pertama 2010 meningkat 18.8 peratus berbanding dengan tempoh yang sama 2009. - Bernama