Followers

Saturday, May 16, 2009

Keistimewaan tetikus wayarles


Tetikus wayarles Nano G7 630

TEKNOLOGI wayarles kini telah diimplementasikan dalam kebanyakan peranti pengkomputeran kerana menerusinya tiada lagi penggunaan wayar berselirat diperlukan.

Mengambil contoh tetikus, perjalanan operasinya secara wayarles menawarkan banyak kemudahan kepada pengguna sama ada untuk tujuan menyelesaikan tugas, berhibur atau bermain permainan video.

Bagi memenuhi keperluan itu, sebuah syarikat pengeluar peranti komputer peribadi, A4 Tech baru-baru ini telah memperkenalkan tetikus wayarles Nano G7 630.

Produk tersebut mempunyai kelebihan capaian julat sambungan sehingga 15 meter (m) dengan kelajuan wayarles tanpa gangguan 2.4GHz.

Untuk memastikan sensor pada tetikus itu dikesan, ia didatangkan bersama penerima sensor nano USB 2.0 mudah alih.

Pengguna boleh memilih sendiri kadar kelajuan diingini seperti kegunaan pejabat (125Hz), kerja grafik (250Hz) dan permainan video (500Hz).

Berbeza daripada produk tetikus biasa, Nano G7 630 mempunyai lapan fungsi pilihan yang ditawarkan pada butang sebelah kanannya.

Tetikus itu kini dijual pada harga RM99.

Dengar muzik secara bebas

PENERIMAAN positif terhadap hiburan muzik mobiliti telah mendorong syarikat pengeluar produk teknologi, Sony Malaysia memperkenalkan koleksi Walkman terbarunya iaitu siri X1000F dan W202.

Untuk model W202 misalnya, ia didatangkan dengan reka bentuk fon kepala tanpa wayar bagi membolehkan pengguna menikmati muzik secara bebas mengikut cara mereka tersendiri.

Dengan berat hanya 35 gram, ia sangat sesuai di bawa ke mana-mana sahaja sekali gus melengkapkan gaya hidup individu yang aktif.

Dari segi fungsinya, model tersebut mempunyai pendail kawalan mudah untuk pemilihan muzik dan operasi secara intuitif yang dikenali sebagai navigasi ZAPPIN.

Kelebihan lainnya adalah pada fungsi drag and drop ketika proses pemindahan fail audio dari komputer.

Dengan tawaran lima warna menarik iaitu hitam, putih, merah jambu, ungu dan hijau, W202 dijual pada harga RM299 sementara untuk edisi terhad Adidas pula harganya RM369.

Bagi siri X1000F, ia merupakan pemain MP3 video pertama yang dilengkapi dengan panel skrin sentuh OLED bersaiz tiga inci untuk paparan video yang lebih jelas dan nyata.

Model berkenaan dilengkapi dengan teknologi Digital Clear Audio bagi tawaran kualiti audio terbaik selain S-Master yang bertindak sebagai amplifier kuasa serta fungsi penghapusan bunyi bising secara digital (DNC).

Pengguna X1000F juga berpeluang untuk memuat turun video dari laman web YouTube menerusi sambungan LAN secara wayarles atau Wi-Fi.

Di samping itu, melalui perisian Content Transfer pula, pengguna boleh berkongsi foto, muzik dan juga filem bersama individu lain secara lebih mudah.

Kelebihan lainnya adalah seperti mempunyai teknologi telefon maya, aplikasi pemulihan dinamik, operasi hybrid serta penalaan radio FM.

Walkman X1000F kini boleh didapati dengan tawaran harga RM1,299 untuk kapasiti 16 gigabait (GB) dan RM1,599 untuk 32GB.

Komputer riba mewah Dell Adamo

SETARAF dengan barangan mewah lain seperti Gucci, LV, Prada, Ferrari, kini pengeluar komputer terkemuka Dell juga mengeluarkan komputer riba sekelas dengannya.

Komputer riba yang diberikan nama Adamo atau dalam bahasa Latin bermaksud 'untuk jatuh cinta' itu merupakan satu tanda aras gajet mewah masa kini.

Gajet ternipis dengan gaya mewah terkini itu bakal memasuki senarai bahan yang perlu dimiliki tahun ini.

Adamo dihasilkan daripada satu bongkah aluminium padu yang diukir dengan tepat bagi menghasilkan satu komputer riba.

Bagaimanapun sama seperti komputer riba lain, Adamo disambungkan dengan WiFi, Bluetooth serta jalur lebar mudah alih bersepadu pilihan.

Terdapat dalam warna hitamoniks dan putih mutiara dengan pelbagai pilihan aksesori dan harga bermula dengan RM7,399.

Pembeli Adamo akan ditawarkan koleksi aksesori padanan warna unik jenama Dell termasuk beg eksklusif dari TUMI.

DiGi labur RM75 juta perluas liputan 3G di Sabah


Dua penari kebudayaan Kota Kinabalu tertarik melihat replika Jalur Lebar DiGi semasa majlis pelancaran kemasukan Jalur Lebar DiGi di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU 15 Mei - DiGi.Com Bhd. (DiGi) memperuntukkan pelaburan sebanyak RM75 juta bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar 3G di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind berkata, peruntukan tersebut adalah bagi mengembangkan kawasan liputan 3G di negeri ini dalam tempoh tiga tahun.

"Kemasukan DiGi di Sabah adalah sebahagian daripada pelan perluasan agresif Digi bagi membawa perkhidmatan jalur lebar kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

"Langkah ini juga bagi mengukuhkan penguasaan DiGi yang pada masa ini berada di tempat kedua dan sedang menuju ke tempat pertama sebagai peneraju pasaran.

"Dengan pelancaran ini dan kemudiannya di Pulau Pinang nanti kami sekarang berada di landasan terbaik bagi membawa perkhidmatan jalur lebar 3G DiGi ke lebih 1,000 zon di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini," katanya pada majlis pelancaran jalur lebar DiGi di Kota Kinabalu di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Yee Moh Chai.

Menurutnya, pada masa ini liputan jalur lebar 3G DiGi di negeri ini boleh dinikmati di seluruh bandar raya Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, di luar kawasan liputan 3G, pelanggan secara automatik mendapat rangkaian internet dalam liputan Penyelesaian Evolusi GSM (EDGE).

Dalam pada itu, Dennelind memberitahu, pihaknya tidak menetapkan jumlah kawasan yang akan mendapat liputan jalur lebar 3G dalam tempoh tiga tahun di negeri ini, tetapi berharap dapat menambah kawasan liputan sebanyak mungkin.

"Bagaimanapun dalam usaha kami mempercepatkan perluasan perkhidmatan jalur lebar, kami sentiasa memastikan kualiti perkhidmatan di kawasan yang mempunyai liputan berada di tahap terbaik," katanya.

Sementara itu katanya, perkhidmatan jalur lebar DiGi pasti memberikan kepuasan kepada pelanggan kerana menggabungkan kualiti dan harga yang berpatutan.

Tambahnya, DiGi juga telah melabur dalam teknologi Capaian Paket Pindah Turun Berkelajuan Tinggi (HSDPA) yang pertama di negara ini yang memberikan kelajuan sehingga 14.4Mbps bagi membolehkan muat turun dan muat naik lebih pantas.

Hari nie hari guru

hari nie hari guru.. aq nak ucapkan slmt hari guru yg telah mengajarq. Tambahan pulak, ramai cikguq yg berpindah jauh dri sini.. Sedih nyer... Yg lebih sedih, kpada cikguq yg dah lama x ada, amatq snjungi sehingga ku berjaya.

Kpada cikgu-cikgu, yg tengah mengajar sama ada kat mna aje. Semoga berjaya mendidik anak murid. Antara cikgu-cikgu yg pernah mengajarq yg masih segar diingatanq, Cikgu Noraini ali (Maths tyme SK), Cikgu Hasbi (BM F2-4), Cikgu Yap(Maths F4-5 & Chm), Cigku Rahsidi (Geo F1-2), Cikgu Najib (Geo F3), Cikgu Faiz (Sj F4), Cikgu Vansantha, Cikgu Azman, Cikgu Hatijah (Pa F6) dan ramai lagi..

Cikgu-cigku yg telah mengajar kat u pulak, Sir Ruzaleh (PHY081), Miss Fateha Anas (MAT018), Miss Delia (BEL200), Sir Manap Mahmud (BIO081), dan Sir Mulyahdi (CHM081). Kepada guru2 di Malaysia, selamat hari guru. Mantapkan itstitusi perguruan negara... hehehehehe. "SELAMAT HARI GURU" JASAMU TETAP DIKENANG SELALU.

1Belia, 1Malaysia perlu diterap dalam pergerakan

MELAKA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pendekatan 1Belia, 1Malaysia adalah satu konsep penting yang perlu diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya konsep 1Malaysia akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan muda turut mengambil konsep 1Belia, 1Malaysia.

"Langkah yang seribu itu bermula dengan yang satu, Malaysia tidak akan menjadi satu sekiranya belianya tidak berpadu.

"Dari itu, terletak di jemala golongan belia satu amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional. Jika tidak, segala apa yang kita bangunkan, akan hancur dan ranap begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Belia Negara 2009 yang disiarkan pada Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam perutusan kira-kira 20 minit itu, Najib juga berkata, belia perlu sedar bahawa kerukunan yang dicapai negara selama ini bukan sesuatu yang mudah tetapi, dirintis oleh mereka terdahulu dengan segala jerih dan kepayahan.

Katanya, sebagai golongan yang dilahirkan pascamerdeka, umur belia nampak paling subur untuk merealisasikan konsep 1Malaysia.

"Ingatlah bahawa di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung, lantaran itu saudara saudari sekalian harus melihat antara satu sama lain dengan pandangan 1Malaysia," katanya.

Mangsa pertama H1N1


AMBULANS dari Hospital Serdang membawa seorang pesakit disyaki dijangkiti virus Influenza A (H1N1) tiba di Hospital Sungai Buloh, malam tadi.

Pelajar lelaki baru balik dari Amerika sah dijangkiti virus

PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatat kes pertama Influenza A (H1N1) selepas seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang baru dua hari pulang dari Amerika Syarikat, disahkan dijangkiti virus itu.

Dengan kes terbaru itu serta satu lagi kes yang turut dikesan di Peru semalam, menjadikan jumlah jangkitan H1N1 meningkat kepada 7,522 kes di 36 negara, manakala Mexico mencatat dua lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus berkenaan 65 orang.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan sudah mengambil tindakan segera dan mematuhi segala protokol bagi memastikan wabak itu tidak merebak.

"Saya fikir, kita harus yakin dengan keupayaan agensi dan penguat kuasa yang ada untuk mengawalnya. Biarpun ini kes baru, Kementerian Kesihatan dan agensinya banyak pengalaman seperti ketika serangan beberapa wabak sebelum ini.

"Mereka boleh guna protokol sama dan kita berharap ia akan diurus dengan baik," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Sementara itu, Pemangku Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha, menasihatkan semua 198 penumpang dan anak kapal Penerbangan Malaysia (MAS) MH091 dari Newark, Amerika Syarikat yang dinaiki pelajar terbabit supaya menghubungi segera talian 03-88810200 dan 03-88810300 atau membuat pemeriksaan lanjut di hospital, klinik serta pusat kesihatan kerajaan.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 pagi Rabu lalu.

"Ada sebahagian penumpang yang transit di KLIA dan menuju destinasi lain termasuk Indonesia," katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan di sini, petang semalam. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kini menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland.

Kong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pelajar itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada jam 6.45 petang kelmarin selepas mengalami demam, sakit tekak dan badan.

Ujian makmal mengesahkan pelajar itu positif H1N1 dan mangsa kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh tetapi keadaannya dilaporkan stabil. Lima ahli keluarga pelajar itu pula dikuarantin di rumah selama tujuh hari sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kementerian juga sudah memulakan siasatan terhadap mereka yang mungkin berhubungan dengan pelajar itu, termasuk anak kapal dan penumpang penerbangan itu.

"Kita juga bekerjasama dengan MAS untuk menghubungi penumpang pesawat itu dan berharap mereka yang mempunyai simpton virus itu supaya mendapat pemeriksaan segera secara sukarela," katanya.

Ditanya bagaimana mangsa boleh melepasi mesin pengimbas di KLIA, Kong berkata simptom virus itu tidak muncul dengan serta merta dan memerlukan sehari atau dua hari untuk mengesannya.

"Tapi jika sesiapa yang mempunyai demam atau simptom lain, pasti mesin pengimbas dapat mengesannya," katanya.

Kong berkata, Kementerian Kesihatan turut melaporkan kepada WHO mengenai kes pertama itu dan orang ramai akan dimaklumkan mengenai perkembangan virus berkenaan dari semasa ke semasa.

Katanya, sejak virus itu menular kerajaan meletakkan tahap amaran fasa lima dan sudah menjalankan banyak pemeriksaan terhadap kes yang disyaki tetapi semuanya negatif.