Followers

Tuesday, May 12, 2009

Doktor syak penduduk Farah mangsa fosforus


FRISHTA, 7, seorang kanak-kanak perempuan yang cedera di daerah Bala Baluk di wilayah Farah dipercayai disebabkan fosforus.

Tentera AS nafi guna kimia itu, tuduh Taliban bersalah

KABUL: Sekumpulan doktor menyuarakan kebimbangan terhadap kecederaan luar biasa penduduk kampung Afghanistan yang melecur teruk akibat pertempuran askar Amerika Syarikat dan Taliban menyebabkan kumpulan hak asasi negara itu menyiasat kemungkinan penggunaan kimia fosforus putih.

"Tentera Amerika Syarikat menafikan penggunaan bahan terbabit dalam pertempuran di wilayah Farah, tempat 125 hingga 130 penduduk awam terbunuh," kata Presiden Hamid Karzai.

Sebaliknya, Amerika menuduh pejuang Taliban menggunakan fosforus putih, sejenis bahan terbakar yang boleh menyebabkan melecur serius dan pendirian itu dikongsi pertubuhan Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Afghanistan.

"Penyiasat kami berbual dengan mangsa. Mereka menyiasat puncanya dan penggunaan fosforus putih," kata pemimpin suruhanjaya berkenaan, Nader Nadery.

Perbuatan menggunakan fosforus putih untuk mewujudkan asap dibolehkan undang-undang antarabangsa, tetapi kumpulan hak asasi berkata penggunaan di kawasan padat penduduk boleh menyebabkan penduduk awam cedera menyebabkan jenayah perang berlaku.

Doktor Afghanistan memberitahu, sekurang-kurangnya 14 pesakit melecur teruk, bentuk kecederaan yang tidak pernah dilihat mereka sebelum ini. Penduduk kampung terbabit cedera dalam pertempuran semalam di wilayah Farah.

Penggunaan fosforus putih juga menjadi isu dalam konflik Gaza apabila tentera Israel dituduh menggunakannya.

Dakwaan bahawa fosforus putih atau bahan kimia lain digunakan mencetuskan kontroversi terhadap kerajaan Afghanistan yang menyifatkannya kes terburuk membabitkan penduduk awam sejak serangan Amerika pada 2001 menyingkirkan rejim Taliban.

Di Kabul, beratus-ratus penduduk berarak berhampiran Universiti Kabul memprotes tindakan tentera Amerika yang menyebabkan kematian orang awam itu.

Kejadian di Farah juga mencetuskan kritikan terhadap Karzai yang menggesa ditamatkan serangan udara.

Amerika Syarikat berkata, tentera mereka menahan penduduk kampung dengan harapan mereka akan mati dalam pertempuran, mencetuskan peningkatan jumlah kematian penduduk awam

Bagaimanapun, Ahad lalu, penasihat keselamatan Presiden Barack Obama berkata, Amerika tidak akan menamatkan serangan udara. � AP