Followers

Wednesday, August 26, 2009

Tiada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka, KLCC

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang sambutan ambang merdeka akan diadakan di dua lokasi utama sambutan itu seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu di Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagi menghormati Ramadan selain berjaga-jaga terhadap penularan Influenza A(H1N1) yang semakin meningkat.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang sambutan di sekitar ibu kota.

"Tiada sambutan ambang merdeka seperti konsert, percikan bunga api dan countdown (kiraan detik masa) akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di lokasi utama di Dataran Merdeka seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Petronas berkata sambutan ambang merdeka bagi mengira detik 12 tengah malam tidak akan dilakukan di Taman KLCC kerana pada malam itu, ia dipenuhi dengan program keagamaan seperti solat tarawih.

"Pihak kami ada mengibarkan bendera Malaysia yang boleh dilihat di dalam dan luar bangunan KLCC bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 ini, selain sebuah papan iklan dengan 'tagline' 1Warisan 1Matlamat di hadapan bangunan menara berkembar," katanya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, baru-baru ini mengumumkan lokasi bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang sebelum ini dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, ditukar ke Dataran Parlimen atas sebab yang sama. - Bernama

H1N1: Dialog menteri, doktor swasta esok

KUALA LUMPUR: Dialog antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan pengamal perubatan swasta mengenai pengendalian kes influenza A(H1N1) akan diadakan esok di kementerian berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata semua pengamal perubatan swasta amat digalakkan untuk hadir ke taklimat bagi memperjelas mengenai pengendalian kes penyakit serupa influenza (ILI) yang disyaki influenza A(H1N1).

"Dialog berkenaan dijadual diadakan pada jam 3 petang di Bilik Gerakan Kementerian Kesihatan, Aras 4, Blok E7, Parcel E, Putrajaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabah&Sarawak: Kadar zakat fitrah di Sabah ditetap RM6.60

KOTA KINABALU: Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Sabah tahun ini ditetapkan pada kadar RM6.60 seorang, berkurangan 14.28 peratus atau RM1.10 berbanding RM7.70 tahun lalu.

Penurunan itu adalah yang pertama sejak tiga tahun lalu selepas kenaikan di antara empat hingga 48 peratus, iaitu daripada RM5 pada 2006 kepada RM5.20 pada 2007 dan RM7.70 tahun lalu.

Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Syed Abas Syed Ali, berkata kadar itu diputuskan Majlis Tertinggi Muis berasaskan harga semasa satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras di Sabah.

Berikutan penurunan itu, katanya, Muis mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.6 juta dengan sejuta pembayar tahun ini, berbanding RM7.4 juta yang dikutip tahun lalu daripada 958,325 umat Islam di seluruh negeri.

"Jumlah itu meningkat RM2.37 juta berbanding RM5.03 juta daripada 976,621 umat Islam pada 2007.

"Sasaran tahun ini berkurangan kerana kadar fitrah diturunkan tetapi kita menjangkakan bilangan pembayar zakat bertambah selepas berlaku kemerosotan 1.88 peratus atau 18,296 pembayar tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengisytiharan kadar zakat fitrah bagi Sabah tahun ini dan majlis penerimaan zakat perniagaan daripada Public Islamic Bank Berhad serta syarikat Wisma Harta Sdn Bhd di Wisma Muis, di sini, semalam.

Bagi memudahkan kutipan, Syed Abas berkata, Muis melantik 35 amil dan 2,000 wakil amil tahun ini untuk melaksanakan tugas mengutip fitrah di seluruh negeri.

"Mereka merangkumi Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), penjawat awam, imam kariah, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan individu yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia.

"Muis akan membekalkan mereka dengan kad kuasa bagi mengelak masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang tidak bertanggungjawab dan tidak bertauliah," katanya.

Sementara itu, Syed Abas berkata, jumlah kutipan zakat di Sabah tahun lalu ialah RM23.8 juta, termasuk kutipan zakat harta sebanyak RM16.4 juta.

Kutipan itu, katanya, menunjukkan peningkatan 36 peratus atau RM6.3 juta berbanding RM17.52 juta dikutip pada 2007.

"Tahun sebelumnya peningkatan yang dicapai hanya 5.3 peratus. Jadi, kenaikan tahun lalu adalah yang tertinggi pernah direkodkan Muis sejak ditubuhkan pada 1972," katanya.

Bagi kutipan zakat harta tahun lalu, katanya, jumlah tertinggi diperoleh daripada zakat perniagaan sebanyak RM10.25 juta yang dibayar oleh 287 individu dan syarikat.

Penyumbang kedua tertinggi, katanya, ialah zakat penggajian RM4.15 juta daripada 9,190 orang pembayar di seluruh negeri, diikuti zakat simpanan sebanyak RM1.2 juta daripada 716 pembayar.

"Zakat lain termasuk zakat pendapatan RM699,776, saham (RM74,438), emas dan perak (RM41,822), pertanian (RM6,558) dan ternakan (RM7,950),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sejumlah RM19.4 juta wang zakat diagihkan kepada enam asnaf sepanjang tahun lalu berbanding RM18.82 juta pada 2007.

Katanya, golongan fakir menerima jumlah tertinggi sebanyak RM6.6 juta, diikuti miskin (RM4.6 juta), fisabilillah (RM4.2 juta), amil (RM2.5 juta), mualaf (RM1.5 juta), ibnu sabil (RM20,077) dan gharimin (RM410).

Sepanjang Ramadan tahun ini, Muis memperuntukkan RM5.5 juta untuk diagih kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf sebagai persediaan mereka menyambut 1 Syawal.

Malaysia, Australia bincang isu penyeludupan manusia

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia hari ini memulakan mesyuarat dua hari tertutup di sini untuk membincangkan masalah penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, dan turut disertai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan wakil-wakil daripada agensi penguatkuasa maritim, Pejabat Peguam Negara, Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara.

Delegasi Australia pula diketuai Duncan Lewis, penasihat keselamatan negara kepada perdana menteri Australia.

Antara agenda perbincangan ialah laporan kedudukan penyeludupan manusia, kerjasama pengawasan dan pengurusan populasi pelarian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dijadualkan akan mengadakan sidang media bersama Lewis berhubung mesyuarat tersebut jam 4 petang hari ini. - Bernama

H1N1: Angka korban meningkat kepada 71 orang

KUALA LUMPUR: Seorang wanita obese berusia 24 menjadi mangsa baru Influenza A (H1N1) yang kini sudah meragut 71 nyawa di seluruh negara.

Wanita berkenaan meninggal dunia pada Rabu lalu kerana H1N1 dengan Acute Respiratory Distress Syndrome (ARDS).

Ketua Pengarah Kesuihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata, pada masa sama 324 pesakit baru dengan gejala "influenza-like illness" (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan sejumlah 223 pesakit ILI lagi dibenar pulang.

"Seramai 1,446 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 98 buah hospital termasuk 2 hospital swasta di seluruh negara dan daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 217 pesakit (15%) yang disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 217 kes yang disahkan H1N1, 51 kes berada di ICU di mana 9 kes adalah kemasukan baru, sementara 2 lagi kes dipindah keluar dari ICU.

Katanya, daripada 51 kes yang sedang dirawat di ICU, 39 kes (76%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (21), obesiti (9), kanak-kanak/bayi (6), post natal (1) dan Sindrom Down (2).

Di peringkat global, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan jumlah kes sehingga hari ini adalah berjumlah 239,985 dengan 2,601 kematian.