Followers

Tuesday, January 12, 2010

Saudi-Malaysia bakal meterai MoU babit dasar keselamatan

JEDDAH: Arab Saudi dan Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama mengenai dasar keselamatan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke sini, bermula hari ini.

MoU akan meningkatkan kerjasama memerangi keganasan, pengedaran dadah, pemalsuan dokumen dan jenayah merentas sempadan, demikian dinyatakan Duta Malaysia di Arab Saudi, Prof Madya Datuk Syed Omar Syed Mohammad Al-Saggaf.

Najib dalam rangka lawatan tiga hari ke Arab Saudi sehingga 16 Januari, diikuti ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 17 hingga 19 Januari dan India dari 19 hingga 23 Januari.

Lawatan Najib ke Arab Saudi adalah atas jemputan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud, manakala lawatan ke UAE bagi memenuhi undangan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan sementara ke India atas jemputan Perdana Menteri, Dr Manmohan Singh.

Kerajaan tubuh Majlis Profesor Negara

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan institusi keilmuan dikenali sebagai Majlis Profesor Negara (MPN), yang menghimpunkan komuniti cendekiawan terunggul negara selaras dengan usaha mengekalkan kewibawaan institusi pengajian tinggi (IPT) negara, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, MPN akan menghimpunkan ahli akademik negara khususnya di kalangan profesor dan yang bergelar doktor.

"MPN ditubuhkan selaras dengan usaha memelihara kewibawaan dan komitmen IPT dalam bidang keilmuan. Kita harap menerusi majlis ini, ia akan menyumbang input kepakaran bagi kegunaan advokasi awam dalam memperkukuhkan asas penggubalan dan pelaksanaan dasar negara," katanya

ketika menyampaikan perutusan tahun baru kementeriannya di sini, hari ini.


Beliau berkata, IPT di seluruh negara memiliki 1,426 profesor dalam pelbagai bidang pengajian, justeru penubuhan MPN dilihat sebagai wadah yang akan bertindak untuk memberi khidmat nasihat dan pemikiran baru dalam meningkatkan daya saing negara.

"MPN juga akan memberi peluang kepada kumpulan elit keilmuan ini untuk memberi sumbangan kepakaran masing-masing," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kementeriannya turut membangunkan Indeks Kesarjanaan bagi menentukan kriteria tertentu ahli akademik untuk meningkatkan keyakinan orang awam.

"E-Academia yang diperkenalkan melalui kaedah ini akan menghubungkan semua komuniti keilmuan di IPT bagi melaksanakan agenda keilmuan masing-masing.

"Garis panduan etika penggunaan gelaran profesor dan doktor juga akan ditentukan untuk memelihara imej dan martabat golongan akademik itu," katanya. - Bernama

Kes bunuh 4 sekeluarga: Polis cari beberapa saksi

SEREMBAN: Polis kini mencari beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan kes pembunuhan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokam, Gemencheh, minggu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata sehingga kini polis sudah menyoal siasat 15 saksi dan yakin kes itu dapat diselesaikan tidak lama lagi.

“Polis juga akan memohon tempoh reman terhadap suspek utama kes itu dilanjutkan selama tujuh hari lagi,” katanya pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Tempoh reman tujuh hari terhadap suspek berusia 34 tahun itu, yang ditahan Selasa lalu, berakhir esok.

Dalam kejadian 5 Januari lalu, empat orang terdiri daripada sepasang suami isteri warga emas serta menantu lelaki dan cucu perempuan mereka ditemui mati dalam keadaan ngeri di kampung yang terpencil itu. - Bernama

200,000 vaksin H1N1 untuk kumpulan berisiko bulan depan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 200,000 dos vaksin Influenza A (H1N1) akan diagihkan kepada kumpulan berisiko tinggi, antaranya wanita mengandung, kanak-kanak, warga emas dan yang berpenyakit kronik, mulai bulan depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata mereka boleh mendapatkan suntikan itu secara percuma daripada klinik-klinik dan hospital kerajaan.

Beliau berkata demikian selepas melawat Hospital Tung Shin di sini, hari ini.

Liow berkata, kerajaan akan memperoleh baki 300,000 daripada 400,000 dos vaksin H1N1 yang telah ditempah dari Britain pada akhir bulan ini.

"Pemberian vaksin diteruskan. Kita akan membuat (100,000) pemvaksinan kepada pekerja barisan hadapan (terlebih dulu). Kemudian, bagi kumpulan berisiko tinggi kita akan beri vaksin kepada mereka misalnya yang obesiti, wanita mengandung, yang ada tekanan darah tinggi dan sebagainya," katanya.

Liow berkata, keutamaan pemberian vaksin untuk mencegah dan merawat H1N1 itu adalah khusus kepada petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi, sebelum ia diagihkan kepada kumpulan lain.

Mengulas situasi H1N1 di negara ini, Liow berkata, ia berada dalam keadaan terkawal dan kementerian itu sentiasa mematuhi arahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya membuat pemantauan rapi terhadap semua kes selesema.

"Kita risau H1N1 dalam negara ini bertukar jadi mutasi lain. Oleh itu kita mengikut arahan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia). Daripada pemantauan kita menunjukkan tiada mutasi dan peralihan virus H1N1 kepada virus lain," katanya.

Beliau berkata, pegawai kesihatan daerah juga sudah diarahkan untuk mendapatkan semua sampel selesema untuk dibuat pemeriksaan selanjutnya.

Sementara itu, Liow berkata, kementerian itu akan berusaha secepat mungkin bagi membolehkan lebih ramai doktor swasta berpeluang melakukan lokum di hospital dan klinik kerajaan seperti mana terdapat doktor kerajaan yang melakukan lokum di klinik dan hospital swasta ketika ini.

"Mereka beritahu saya, mereka memohon tetapi tidak pernah dipelawa ke klinik atau hospital kerajaan. Selepas diadakan dialog dengan Persatuan Perubatan Malaysia Jumaat lalu, kita akan bersama menggembleng tenaga untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negara ini," katanya.

Mengulas kemungkinan sama ada doktor swasta akan meminta bayaran lebih tinggi untuk melakukan lokum di hospital kerajaan, Liow berkata, bayaran yang dikenakan ketika ini adalah berpatutan iaitu RM80 sejam.

Terdahulu Liow menyerahkan replika cek bernilai RM2 juta setiap satu kepada Hospital Tung Shin dan Hospital Chinese Maternity untuk tujuan membeli peralatan dan kemudahan perubatan.

Beliau juga meminta lebih banyak pihak supaya mewujudkan hospital yang tidak berasaskan keuntungan untuk kemudahan masyarakat yang kurang berkemampuan. - Bernama

KDN terus pantau insiden serang rumah ibadat

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memantau keadaan di seluruh negara walaupun tiada insiden baru serangan bom dan batu, terutama di rumah ibadat dilaporkan buat pertama kali sejak lima hari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berharap ia akan berterusan dan tiada lagi berlaku insiden seumpama itu yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat tahun baru 2010 kepada warga KDN, di sini, pagi tadi.

Hampir 40,000 warga India "hilang" di Malaysia: Najib

PUTRAJAYA: Sejumlah 39,046 warganegara India "hilang" di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan perkara itu merupakan isu yang membimbangkan bagi negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, mereka tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen, menurut anggaran yang dibuat pada Jun tahun lalu.

"Keadaan itu menyebabkan jabatan itu kurang berminat mengeluarkan visa waktu ketibaan kepada warganegara India kerana kemudahan itu telah disalahgunakan, terutamanya mereka dari Chennai.

"Mereka ini yang datang ke Malaysia melalui kemudahan visa waktu ketibaan mungkin telah kembali ke India atau masih berada di negara ini...(mungkin) bekerja di restoran-restoran India.


"Kami tidak tahu di mana mereka ini berada sekarang...kemungkinan masih berada di Malaysia atas alasan ekonomi," katanya dalam temu bual dengan wartawan India yang sedang dalam rangka lawatan ke sini, di pejabatnya di sini semalam.

Najib membayangkan beliau mungkin akan membangkitkan isu itu pada lawatan rasmi tiga hari beliau ke India, bermula 19 Januari ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia bersikap agak liberal dalam membenarkan sami dan tukang gunting rambut dari India untuk datang dan bekerja di negara ini.

"Kami mengalu-alukan warganegara India datang melawat ke Malaysia sebagai pelancong. Kami bersikap agak liberal. Kami mahu mereka yang benar-benar tulen. Mereka amat dialu-alukan.

"Kami bersedia menimbangkan memperkenalkan semula skim visa itu bagi mereka yang datang dari bandar raya seperti Bangalore, Mumbai dan Delhi tetapi bukan dari Chennai. Masalah tinggal melebihi tempoh hanya membabitkan dari Chennai," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengadakan dialog dengan kumpulan pendesak Hindraf, Najib berkata semua pihak perlu sedar bahawa kumpulan itu telah " memperbesar-besarkan dan memanipulasi sepenuhnya seluruh situasi" membabitkan minoriti etnik India.

Beliau berkata kebanyakan kaum India di negara ini mahu kerajaan sensitif terhadap keperluan mereka dan kerajaan responsif terhadap perkara itu.

"Kami telah menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi kaum India dan saya tidak nampak yang Hindraf telah menjadi kuasa yang penting dalam politik Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai langkah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang bakal melantik duta khas untuk Jammu dan Kashmir, Najib berkata sebarang tindakan susulan hanya akan dapat dilakukan dengan persetujuan India dan Pakistan.

"Malaysia berpendapat isu ini wajar diselesaikan melalui rundingan secara aman," katanya. - Bernama

Konsep 1Malaysia dalam PLKN dilancar Jumaat ini

TUARAN: Mulai tahun ini, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan memberi penekanan kepada konsep 1Malaysia dalam setiap pengajaran dan latihannya bagi memastikan matlamat gagasan itu tercapai.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pelancaran konsep 1Malaysia dalam PLKN itu akan dibuat pada Jumaat ini oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Program PLKN pada asasnya memang ke arah 1Malaysia, tapi tidak disebut sebagai konsep 1Malaysia. Dengan pelancaran ini nanti penekanan konsep 1Malaysia akan lebih dititikberatkan supaya dapat digarapkan dalam kalangan pelatih," katanya kepada pemberita semasa melawat Kem PLKN KK Di Bawah Bayu di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata subjek Intergrasi yang diperkenalkan dalam program berkenaan sejak 2008 akan diperkukuhkan agar pelatih lebih memahami dan menghormati serta menghargai perbezaan kaum dan kepercayaan yang dianuti masing-masing.

Seramai 120,000 pelatih dipilih untuk menyertai latihan PLKN tahun ini yang terbahagi kepada tiga sesi.

Sesi pertama sedang berlangsung di 79 kem di seluruh negara. - Bernama

Serangan gereja: Polis perlu siasatan lanjut sebelum buat tangkapan

PUTRAJAYA: Polis perlu membuat siasatan lanjut mengenai serangan terhadap beberapa gereja baru-baru ini sebelum melakukan sebarang tangkapan untuk memastikan mereka yang diberkas benar-benar melakukan perbuatan itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, polis juga perlu melihat senario lebih besar iaitu sama ada semua serangan itu adalah satu perbuatan konspirasi pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu ataupun adalah serangan berasingan.

"Daripada apa yang berlaku, nampaknya begitulah (kes berasingan). Adalah sesuatu yang membimbangkan sekiranya ia adalah tindakan yang dikoordinasi oleh kumpulan tapi kalau kes-kes ini kes berasingan, insyaAllah ia dapat dibendung," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan dan perutusan tahun baru kementerian di sini, hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan berkata, pihak polis sudah mempunyai petunjuk atau maklumat untuk mengenal pasti suspek tertentu yang bertanggungjawab terhadap kes serangan di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati namun ia tidak boleh didedahkan kerana akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Hishammuddin berkata, sehingga pagi ini, tiada kejadian baru serangan rumah ibadat dikesan, namun pemantauan akan diteruskan.

Mengulas cadangan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar, mengenai pembentukan Majlis Perundingan Keharmonian Nasional untuk membincangkan hal-hal sensitif antara agama, Hishammuddin berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Chandra.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, yang turut hadir, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai serangan itu supaya tampil ke mana-mana balai polis untuk memberikan kenyataan.

"Setakat ini dalam Facebook, dalam blog, memang ada, tapi kita kena pastikan betul-betul.

"Kita perlu berhati-hati dengan maklumat ini (kerana) kita mahu memberkas orang yang betul-betul terbabit," katanya. - Bernama

79 kem PLKN hanya dibenarkan guna air JBA

TUARAN: Semua 79 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara tidak dibenar menggunakan air selain yang dibekalkan Jabatan Bekalan Air (JBA) untuk minuman, makanan dan keperluan lain.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata peraturan itu bertujuan memastikan kesihatan pelatih, jurulatih dan kakitangan kem tidak terjejas.

"JLKN sudah mengeluarkan teguran kepada semua 79 kem PLKN di seluruh negara mengenai sumber air digunakan kem bagi mengelak kes pelatih, jurulatih atau kakitangan mengalami masalah kesihatan yang berpunca daripada sumber tidak bersih.

"Bersesuaian peraturan JLKN, mulai sekarang semua kem hanya dibenar menggunakan air bersih dibekalkan JBA untuk semua urusan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan pemantauan ke atas Kem KK Di Bawah Bayu di Kampung Kauluan di sini, hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi anjur Liga Bola Sepak IPT

PUTRAJAYA: Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Menteri Pengajian Tinggi dilancarkan hari ini, bagi membuka ruang membangunkan kematangan pelajar seiring dengan pembabitan mereka dalam aktiviti kokurikulum bagi melahirkan generasi yang cerdas dan cergas.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata penganjuran aktiviti seumpama itu bukan bersandarkan kepada faktor bola sepak sebagai sukan paling popular, tetap lebih ke arah pembinaan dan pembentukan karektor setiap pemain.

Katanya, usaha membentuk karektor dan jati diri pelajar adalah sebahagian daripada tanggungjawab kementerian dalam menghasilkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

"Dalam usaha membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju, kecemerlangan di dalam sukan peringkat IPT turut diambil kira, justeru kewujudan liga seperti ini membolehkan kita mencungkil bakat-bakat baru.

"Ia bukan sekadar pengenalan program baru di dalam kampus, tetapi adalah strategi dalam mengukuhkan pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum IPT," katanya selepas pelancaran liga tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Mohamed Khaled berkata, liga yang membabitkan semua IPT seluruh negara itu meliputi tujuh zon bagi IPTA yang dibahagikan kepada Zon Utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang), Zon Tengah 1 (Perak, Kuala Lumpur dan Selangor), Zon Tengah 2 (Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan), Zon Selatan (Johor dan Melaka), Zon Sabah (Seluruh Sabah) dan Zon Sarawak (Seluruh Sarawak).

"Untuk IPTS pula, mereka akan mengadakan liga sendiri bagi memilih wakil ke peringkat akhir yang akan turut bertanding dengan wakil IPTA," katanya.

Beliau memberitahu, johan dari setiap zon akan layak ke pertandingan akhir yang akan diadakan secara karnival.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan amanat tahun baru kementerian kepada seluruh warga kementerian, termasuk wakil-wakil dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS). - Bernama

Kes rampasan CD Allah milik wanita Kristian 15 Mac

KUALA LUMPUR: Permohonan seorang wanita Kristian dari Sarawak yang mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lapan cakera padat mengenai ajaran Kristian yang mengandungi perkataan "Allah" ditetapkan untuk sebutan pada 15 Mac ini.

Kes itu sepatutnya didengar hari ini, di hadapan Datuk Mohamed Apandi Ali, tetapi disebabkan beliau mempunyai perbicaraan kes lain, ia dipinda kepada sebutan bagi pengurusan kes.

Tarikh itu ditetapkan di kamar Penolong Kanan Pendaftar, Nik Mohd Fadli Nik Azlan dengan kehadiran peguam Annou Xavier yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill dan Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi yang mewakili defendan.

Pada 15 Mac nanti, defendan dikehendaki memfailkan afidavit jawapan.

Pada 20 Ogos 2008, Jill, 27, seorang kerani, memohon perintah certiriori bagi membatalkan keputusan kementerian itu merampas CD berkenaan, selain perintah mandamus bagi mengarahkan kementerian memulangkan CD itu kepadanya, dan perisytiharan bahawa dia berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan "Allah".

Wanita itu mengadu bahawa pada 11 Mei tahun lalu, kementerian merampas CD berkenaan daripadanya sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang.

CD itu mempunyai tajuk seperti "Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah, Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah" dibawa masuk dari Indonesia. - Bernama

Rosak Gereja di Sarawak perbuatan budak nakal: Polis

KUCHING: Polis yakin kejadian membaling batu di Gereja Good Shepherd Lutong, Miri, Ahad lalu adalah perbuatan budak-budak nakal yang mahu mengambil kesempatan isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh, berkata selepas kejadian di Miri, setakat ini pihak polis Sarawak tidak ada menerima sebarang laporan kes lanjutan dan keadaan di negeri ini masih lagi terkawal.

"Ini kerja budak-budak nakal dan kita yakin ia bukanlah tindakan pihak ekstrimis agama," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan polis kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis ketika ini sedang mengumpul maklumat lanjut kejadian yang dipercayai berlaku awal pagi Ahad itu dan berharap orang ramai bersabar serta tidak mengambil tindakan sendiri.

Katanya, semua pegawainya di peringkat daerah sudah pun diarahkan untuk berhubung dengan pihak-pihak rumah ibadat selain perlu meninggalkan nombor telefon masing-masing kepada pihak berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil jika ada kejadian yang sama berulang.

Katanya, anggotanya juga meneruskan pemantauan di semua kawasan-kawasan rumah ibadat dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan gereja.

"Rondaan kita tingkatkan dari semasa ke semasa bukan saja di kawasan yang mempunyai gereja, malah juga rumah ibadat lain seperti masjid," katanya.

Mohmad berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan bencana kepada rumah ibadat. - Bernama

Gempa sederhana landa Taiwan

TAIPEI: Gempa sederhana berukuran 5.1 magnitud melanda perairan Taiwan serta berhampiran Semenanjung Jepun, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa berlaku di kedalaman enam kilometer dan gegaran berpusat di 181 kilometer di timur Taipei yang sesak dengan pendudk, manakala gegaran di Jepun di 112 kilometer di Pulau Ishigaki.

Gegaran itu dilaporkan Agensi Penyelidikan Gelogikal Amerika Syarikat (USGS) manakala Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii pula tidak mengeluarkan amaran tsunami. - AFP

KL-London setuju tingkat hubungan pendidikan: Muhyiddin

LONDON: Malaysia dan Britain bersetuju menjalin hubungan lebih rapat dalam sektor pendidikan sebagai usaha meningkat dan memperluaskan lagi bidang kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dijelaskan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown dalam pertemuan mereka pada majlis pembukaan Forum Dunia Pembelajaran dan Teknologi, di sini, lewat semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran adalah satu-satunya Menteri Pelajaran yang dijemput mengadakan perbincangan dengan Brown daripada 75 Menteri Pelajaran yang hadir pada forum itu.

"Pada perbincangan itu, Brown berharap Malaysia dan Britain dapat bekerjasama lebih erat dalam bidang berkaitan pendidikan," kepada pemberita Malaysia di sini.

Forum tiga hari itu turut dihadiri 50 pegawai dari seluruh dunia yang terbabit dalam bidang pendidikan.