Followers

Friday, January 8, 2010

Pemulihan ekonomi dunia pada 2010 tidak dapat dijamin: WTO

PARIS: Ekonomi dunia dijangka kekal berdepan dengan krisis pada tahun ini, susulan kewujudan “gelembung” yang dibentuk hasil daripada suntikan wang yang besar di mana ia digunakan bagi memastikan sistem kewangan terus beroperasi.

Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pascal Lamy, ketika ditemuramah menerusi radio Perancis berhubung kemungkinan ekonomi dunia pulih tahun ini berkata, semua pihak perlu lebih realistik dan unjuran pemulihan tidak dapat dijamin.

“Tidak dapat dinafikan kita sudah berada di peringkat bawah, tetapi kelajuan yang perlu dihadapi tidak jelas.

“Selain kebanjiran wang awam terhadap ekonomi dan sistem kewangan, kita juga turut menghasilkan gelembung yang perlu diserap,” katanya.

Kerajaan di seluruh dunia sudah membelanjakan trilion dolar bagi tempoh 18 bulan lalu, iaitu bagi mengelakkan keruntuhan sistem kewangan dan seterusnya mencari jalan menangani kegawatan.

Pascal turut memberi penekanan terhadap kedinamikan kuasa ekonomi sedang meningkat seperti China, Brazil, India dan Afrika Selatan; dalam mengelakkan daripada terjerumus ke dalam krisis ekonomi lebih buruk.

“Ia adalah lebih dinamik, mudah dilaksanakan, negara kurang berhutang. Ia adalah negara yang dilihat beroperasi lebih baik berbanding ekonomi barat,” katanya. - AFP

Ketenteraman awam terjamin: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan negara sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam selepas insiden tiga gereja dilempar bom api awal pagi tadi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai amat tidak bertanggungjawab, Timbalan Perdana Menteri meminta rakyat menjalani aktiviti harian seperti biasa.

"Dengan langkah diambil Kementerian Dalam Negeri dan polis, kerajaan boleh beri jaminan hal seperti itu tidak akan merebak.

"Kita rayu semua pemimpin masyarakat sama-sama bantu mententeramkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China Bukit Tagar Hulu Selangor.

Kepala menantu yang dipenggal di Gemencheh dikebumikan

TAMPIN: Kepala menantu kepada bekas imam Kampung Batang Rokan, Gmencheh, Ismail Awang yang dipenggal dalam kejadian pembunuhan ngeri Selasa lalu, selamat dikebumikan di kuburnya di tanah perkuburan kampung itu, petang tadi.

Sebaik tiba kira-kira 1.30 petang, kepalanya disatukan semula dengan tubuhnya yang dikebumikan Rabu lalu, dengan diletakkan di bahagian hujung leher.

Tiga gereja dilempar bom api: KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengesahkan tiga gereja dilempar bom api (molotov cocktail) manakala sebuah lagi diancam.

Bagaimanapun, hanya satu yang meletup dan mengakibatkan kebakaran iaitu di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dalam insiden kira-kira 12 tengah malam tadi.

Dua lagi bom api yang dilemparkan di Assumption Church Assunta di Petaling Jaya pada jam 4 pagi dan di Chappel Church di Damansara pada jam 8 pagi tadi tidak meletup.

Sehubungan itu, Musa berkata polis sudah meningkatkan kawalan keselamatan di semua rumah ibadat di seluruh negara.

China kini negara pengeskport terbesar dunia selepas Jerman

FRANKFURT: China kini muncul negara pengeksport terbesar dunia mendahului Jerman, menurut angka perdagangan terbaru yang dikeluarkan Jabatan Statistik Jerman, hari ini.

Sepanjang 11 bulan lalu mulai Januari hingga November, nilai ekport China mencecah AS$1.07 trilion, manakala Jerman AS$1.05 trilion. - AFP

Perhimpunan selepas Jumaat berlangsung secara aman

KUALA LUMPUR: Perhimpunan selepas solat Jumaat di Masjid Negara dan Masjid Jamek Kampung Baru berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadiaan tidak diingini.

Mereka yang berkumpul itu melaungkan takbir, syahadah dan zikir sambil memegang sepanduk yang antara lain mengingatkan pihak tertentu tidak mencabar tolenrasi Islam.

Di Masjid Jamek Kampung Baru pula, lebih 2,000 umat Islam menghadiri perhimpunan ummah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Pengajur perhimpunan itu turut mengumumkan Deklarasi keharmonian Hubungan Antara Agama Masjid Jamek Kampung Baru.

Insiden bakar gereja dikutuk

KUALA LUMPUR: Insiden membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini malam tadi, disifatkan sebagai amat mendukacitakan dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua pihak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata perbuatan mencemar dan merosakkan rumah ibadat milik agama apa sekalipun, perlu dikutuk.

"Pihak polis dan semua peringkat masyarakat perlu sama-sama bertanggungjawab dan berusaha supaya insiden seperti ini tidak merebak dan mengancam kestabilan dan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdullah berkata, rakyat Malaysia perlu melindungi dan memelihara kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian dan hubungan baik di antara kaum dan agama," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang mengutuk tindakan itu menyifatkan ia adalah satu peristiwa yang cukup menyedihkan dan ia tidak patut berlaku di Malaysia.

"Saya minta polis membuat siasatan dengan cepat. Memang tidak dinafikan berlaku sedikit ketegangan kerana isu Allah dipermainkan, jadi saya minta semua bertenang. Dalam negara kita yang majmuk, sedikit cetusan boleh menimbulkan kemarahan.

"Saya datang ke sini pada hari ini sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira parti," katanya yang ditemui semasa melawat gereja Metro Tabernacle itu.

Beliau mahu semua pihak mengutuk tindakan membakar gereja dan meminta rakyat bersama-sama untuk menderma bagi membaiki semula rumah ibadat terbabit.

Khairy turut menafikan perkara itu membabitkan ahli Umno dan polis menyaisat.

Kolumnis dan aktivis, Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir, berkata Islam tidak menggalakkan seseorang itu melakukan kejahatan.

"Ini bukan satu tindakan secara Islam...dan jika benar-benar menghayati ajaran Islam, bukan begini caranya melepaskan geram," katanya yang turut meninjau gereja itu.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, yang juga hadir, terkejut serta kecewa dengan kejadian itu dan berharap tiada pihak tuduh-menuduh siapa ataubangsa yang bertanggungjawab.

"Saya meminta supaya kita jangan meragui bangsa-bangsa lain kerana kejadian ini dilakukan oleh penjenayah. Kerajaan mesti mengambil langkah segera untuk pertahankan rumah ibadat. "Kehilangan harta benda bukanlah satu masalah, apa yang penting kita tidak mahu perkara ini berlarutan," katanya.

Beliau juga berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, yang turut melawat gereja itu berkata tindakan membakar rumah ibadat bertentangan dengan budaya dan nilai murni masyarakat Malaysia.

Beliau yang juga Naib Presiden MCA, berkata sebarang isu boleh diselesaikan melalui saluran yang sesuai dan semua rakyat perlulah bekerjasama untuk membanteras kejadian seperti ini.

"Saya percaya hampir 99.9 peratus mengutuk usaha yang cuba menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, pemimpin gereja Metro Tabernacle, Mejar (B) Peter Yeow, berkata beliau mendapat panggilan telefon mengenai kebakaran itu pada kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, bahagian yang terbakar ialah tingkat bawah bahagian pentadbiran bangunan yang berusia 12 tahun itu. - Bernama

Sabah & Sarawak: Dalang dikenal pasti


MOHD Suhaili menunjukkan sebahagian kawasan seluas 52 hektar di Felda Sahabat, dekat Lahad Datu yang akan dimajukan sebagai loji jana kuasa arang batu.

Hasut penduduk bantah projek loji jana kuasa arang batu di Felda Sahabat

LAHAD DATU: Awas! Ada 'dalang' cuba menghasut masyarakat terutama di daerah ini agar membantah cadangan projek loji jana kuasa arang batu bernilai kira-kira RM1.3 bilion di Felda Sahabat, Tungku, kira-kira 80 kilometer dari sini.

Mereka dikesan menghantar pihak tertentu masuk ke Tanah Rancangan Felda Sahabat dan beberapa kawasan terutama Kampung Sinakut di Tungku semata-mata untuk menghasut penduduk menentang projek berkenaan.

Tanpa memikirkan kepentingan projek itu untuk memastikan pengekalan sumber tenaga elektrik keseluruhan Pantai Timur Sabah yang membabitkan daerah ini, Sandakan, Semporna, Tawau dan Kalabakan, golongan berkenaan dipercayai mengupah pihak tertentu menghasut penduduk supaya memastikan projek berkenaan digagalkan.

Mendedahkan usaha pihak tidak bertanggungjawab itu kepada Berita Harian, di sini baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said, berkata akibat tindakan itu, ada masyarakat terpengaruh dengan hasutan berkenaan tanpa usul periksa.

"Memang ada pihak tertentu masuk ke kampung dan cuba menghasut rakyat menentang projek ini.

"Ada maklumat mengatakan mereka diupah pihak yang tidak senang dengan projek ini. Mereka menuduh saya dan pemimpin akar umbi masyarakat di sini menerima ‘habuan besar’ dalam projek ini.

"Satu sen pun saya tidak terima, bagaimanapun, saya dan barisan pemimpin masyarakat peringkat akar umbi tidak akan mudah mengalah. Kami akan menentang mereka habis-habisan kerana projek ini bukan untuk kami, sebaliknya untuk seluruh Pantai Timur Sabah," katanya.

Loji berkenaan pada mulanya dicadangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dibina di Teluk Darvel dalam kawasan DUN Lahad Datu tetapi dibatalkan oleh kerajaan negeri pada 2 April 2009 dengan alasan lokasinya yang hampir dengan penempatan penduduk dibimbangi menjejaskan kesihatan masyarakat.

TNB kemudian mencadangkan loji berkenaan dibina di Sandakan tetapi sekali lagi terpaksa dipindahkan ke kawasan lain berikutan bantahan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.

Loji itu mempunyai kapasiti maksimum 300 Megawat (MW)dan apabila beroperasi, dijangka meningkatkan dan menstabilkan grid negeri Sabah serta bekalan ke Pantai Timur.

Ketika ini, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terpaksa membeli 81 MW tenaga daripada tiga Pengeluar Tenaga Persendirian (IPP), masing-masing Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan kerana hanya mampu menjana 687 MW tenaga berbanding permintaan semasa 657 MW.

Masalah mendapatkan lokasi sesuai itu diselesaikan apabila Datuk Seri Najib Razak mengumumkan loji berkenaan akan dibina di Felda Sahabat pada September lalu.

Untuk tujuan itu, pihak pengurusan Felda memperuntukkan ladangnya seluas kira-kira 52 hektar di kawasan berhampiran Kampung Sinakut sebagai tapak projek.

Mohd Suhaili berkata, beliau sedia berdialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama yang berkaitan pencinta alam sekitar mengenai projek berkenaan.

Ditanya sama ada hasutan pihak berkenaan ada kaitan dengan beberapa rumah penduduk Kampung Sinakut yang kira-kira 500 meter dari ladang kelapa sawit milik Felda yang dicadangkan sebagai tapak pembinaan loji itu, beliau berkata, ia akan diatasi dengan memindahkan mereka.

"Tanah itu milik kerajaan negeri tetapi Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan kerajaan kejam yang tidak mempedulikan nasib rakyat apabila ingin memajukan projek pembangunan," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Merah/Sinakut, Raut Bani, 51, berkata beliau turut menjadi mangsa fitnah pihak tertentu kononnya menerima sogokan RM2 juta daripada pihak tertentu supaya memujuk penduduk kampung menerima projek loji itu.

"Saya tidak menerima wang daripada mana-mana pihak. Memang kami tidak faham dengan projek ini tetapi selepas Felda dan TNB memberi penjelasan, barulah kami faham," katanya.

"Selepas kami melawat loji di Klang dan Perak, kami yakin loji jana kuasa arang batu tidak menjejaskan kesihatan kami dan alam sekitar. Bagaimanapun, memang saya akui masih ada pihak tertentu di kampung itu yang masih bersikap berkecuali," katanya.

Kawalan keselamatan rumah ibadat seluruh negara ditingkatkan: Musa

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengarahkan kawalan keselamatan di semua rumah ibadat seluruh negara dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, tindakan itu susulan tiga kejadian gereja dibaling bom petrol dalam tempoh 24 jam semalam, masing-masing di Taman Melawati, Petaling Jaya dan Damansara.

"Siasatan rapi sedang dibuat berhubung kejadian ini, namun saya tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan isu kalimah Allah itu.

"Kita juga sedang mengenalpasti pihak bertanggungjawab dalam kejadian ini. Namun, siasatan awal mendapati insiden itu tidak dirancang rapi dan dilakukan oleh individu yang terlalu emosional," katanya.

Penggerak industri makanan, minuman jamin harga makanan tidak naik

PUTRAJAYA: Penggerak industri makanan dan minuman serta Persatuan Pengusaha Restoran memberi jaminan tidak akan menaikkan harga makanan yang dijual, di sebalik kenaikan harga gula.

Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persetujuan itu dicapai dalam satu perjumpaan yang diadakan di kementeriannya, di sini, pagi tadi.

KDN akan pastikan ketenteraman awam: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggunakan apa saja cara bagi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara ini, termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika dirasakan perlu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Raja Perlis selar imam cari populariti

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menegur sikap segelintir imam yang lebih gemar mencari populariti di kalangan anak jemaah sehingga membelakangi arahan Majlis Agama Islam dan Adat Islam Perlis (MAIPs).

Baginda kecewa kerana sikap imam yang lebih mengutamakan pandangan anak-anak jemaah bagi mengekalkan populariti mereka akan menjejaskan sistem pengurusan agama Islam negeri ini.

"Imam adalah pemimpin agama bagi qariah mereka dan perlu ada pendirian tegas dalam amalan anak-anak jemaah mereka," titah baginda ketika merasmikan Masjid Ar-Rahim Titi Tok Bandar dekat sini, malam semalam.

Turut berangkat ke majlis perasmian masjid berharga RM2.3 juta itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis bertitah dalam lawatan baginda ke masjid di seluruh Perlis, baginda dapati ada imam yang gagal mematuhi arahan MAIPs.

Baginda kecewa kerana imam memaklumkan kepada baginda bahawa mereka terpaksa mengingkari MAIPs kerana mengikut kehendak anak jemaah.

"Setiap imam di negeri ini jangan suka mencari populariti untuk mendapat undian banyak daripada anak jemaah seperti dalam rancangan realiti Akademi Fantasia," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin menasihati imam yang meragui arahan MAIPs supaya mendapatkan penjelasan MAIPs dan bukan anak jemaah mereka.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, dalam teks ucapannya yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Jafperi Othman, berkata lebih banyak kursus kepada pegawai masjid akan diadakan bagi meningkatkan kualiti pentadbirannya.

Katanya, pengurusan masjid juga diarah mempelbagaikan aktiviti mereka supaya masjid bukan saja sebagai tempat beribadat, tetapi juga tempat penyatuan masyarakat.

Md Isa berkata, tahun ini banyak masjid akan dinaik taraf termasuk beberapa masjid akan mengadakan khutbah Jumaat multimedia supaya anak-anak jemaah lebih khusyuk dan mudah memahami kandungan khutbahnya. - Bernama

PM kutuk dua insiden kebakaran gereja

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab dalam dua insiden kebakaran gereja dan satu laporan ugutan di di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan agar polis meningkatkan kawalan di rumah ibadat.

Apa makna Allah kepada Melayu

KUALA LUMPUR: Kontroversi penggunaan nama "Allah" oleh bukan Islam perlu ditangani secara teliti bukan sahaja dari sudut undang-undang dan ketuhanan tetapi juga perlu dinilai dari aspek sosiologikal, kata seorang pakar.

Katanya kelantangan sesetengah pihak menyuarakan isu berkenaan tanpa memahami secara mendalam isu berkenaan, mengeruhkan lagi keadaan.

Profesor Antropologi Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata isu itu perlu ditangani secara teliti ibarat menarik rambut di dalam tepung kerana ia bukan isu remeh.

"Sebaliknya ia boleh membawa implikasi besar terhadap hubungan etnik dan ketenteraman awam," kata beliau.

Penggunaan kalimah "Allah" menjadi kontroversi sejak Mahkamah Tinggi membenarkan majalah mingguan Katolik, Herald, menggunakan kalimah itu pada 31 Disember lalu.

Kelmarin, atas dasar kepentingan negara, kebenaran itu ditangguh hakim yang sama, Datuk Lau Bee Lan berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia. - Bernama