Followers

Wednesday, September 22, 2010

Peru digegar gempa berukuran 5.9 magnitud

LIMA: Gempa kuat berukuran 5.9 magnitud menggegarkan perairan tengah peru hari ini tetapi tiada ancaman tsunami dilaporkan.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa berlaku di 13 kilometer dari Chincha Alta, ibu negeri Wilayah Chincha, di selatan Lima di kedalaman 48 kilometer. - AFP

Dua lelaki bersama tiga remaja perempuan yang hilang direman tujuh hari

GEORGETOWN: Dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, hari ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol gadis bawah umur.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu yang berasal dari Kampar dan Teluk Intan, Perak, ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Kedua-dua mereka ditemui bersama remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, serta teman sebaya, Suhaili Abd Razak dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lalu dan ditemui dalam sebuah flat di sini, semalam. "Berdasarkan keterangan tiga remaja wanita terbabit, mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan dua lelaki itu ketika berada di sebuah hotel murah di Jalan Pintal Tali di sini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang mendapati terdapat kesan koyak pada kemaluan tiga remaja perempuan terbabit dan polis kini sedang menjalankan siasatan.

Gan berkata, mereka memberi kerjasama dan mengakui secara rela hati mengikut teman lelaki ke negeri ini pada 14 September iaitu tiga hari selepas mereka dilaporkan hilang. - Bernama

Pelan transformasi tak akan berlaku tanpa perpaduan: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata pelan-pelan transformasi yang dirangka kerajaan tidak akan berlaku tanpa perpaduan serta keharmonian antara kaum.
Perdana Menteri berkata pada masa ini, kerajaan telah merangka beberapa pelan transformasi, antaranya Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bagi melonjakkan ekonomi negara. "Sehari dua ini kita dengar tentang Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya. Ingat, tidak akan berlaku sebarang transformasi tanpa perpaduan dan keharmonian nasional," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis muhibah Perdana Menteri bersama pemimpin-pemimpin agama sempena sambutan Hari Malaysia di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Najib berkata jika kerajaan memberi tumpuan kepada soal pembangunan dan ekonomi sahaja tanpa melihat kepada keperluan lain seperti perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama, maka negara akan hancur. - BERNAMA

PDC Machine Inc dari AS berminat melabur di Malaysia

PHILADELPHIA: PDC Machine Inc (PDC), pemimpin global dalam merekabentuk, fabrikasi, pengujian dan pemasangan gas serta peralatan memproses kimia yang berpengkalan di Warminster, Pennslavania, Amerika Syarikat (AS) akan membuat pelaburan di Malaysia tidak lama lagi.
Perkara itu dinyatakan Presiden syarikat berkenaan, Kareem Afzal dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan Antarabngsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Hotel Hyatt, hari ini. Ketika selepas ditemui sempena misi galakan perdagangan dan pelaburan kementeriannya di bandar raya berkenaan, Mustapa berkata wakil syarikat terbabit sudah melawat Malaysia baru-baru ini bagi mencari lokasi sesuai bagi tujuan berkenaan “Dalam pertemuan pada hari ini, Kareem menyatakan persetujuan untuk melabur di negara kita. Jumlah sebenar pelaburan mereka menerusi pembukaan kilang berkenaan bagaimanapun tidak dinyatakan tapi ia dijangka besar.

“Lokasi bagi projek kilang mereka setakat ini bagaimanapun masih belum dikenalpasti. Sebelum ini mereka ada membuat tinjaun di Johor Bahru dan Pulau Pinang tapi mungkin masih belum mendapat tapak sesuai.

“Selepas ini, ikut kata presidennya, mereka akan datang lagi bulan depan dan kemungkinan besar akan mencari lokasi baru bagi tapak projek yang dicadangkan itu sama ada di Lembah Klang atau Melaka,” katanya.

Sebelum itu, Kareem turut menyertai mesyuarat meja bulat antara Mustapa dengan lebih 40 syarikat yang beroperasi di Philadelphia dan kawasan sekitarnya. Ia dipengerusikan Naib Presiden Majlis PerniagaanUS-Asean, Marc Mealy.
Hadir sama Duta Malaysia ke AS, Datuk Jamaluddin Jarjis.

Mustapa berkata selain PDC, pihaknya turut menerima dua tawaran daripada syarikat yang terbabit dalam bidang penyelenggaran, pembaikan dan membaikpulih (MRO) dari AS untuk melebarkan sayap perniagaanya ke Malaysia sempena misi galakan perdagangan dan pelaburan di Philadelphia itu..

“Mereka benar-benar berminat untuk datang ke Malaysia. Namun kita belum dapat mengesahkan sepenuhnya kedudukan syarikatberkenaan kerana mereka sendiri memilih untuk tidak menghebahkannya buat masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai mesyuarat meja bulat berkenaan, Mustapa melahirkan rasa puas hati dengan maklum balas diterima daripa majoriti peserta yang kebanyakkan memandang serius peluang perniagaan dan pelaburan yang terdapat di Malaysia ketika ini.

Beliau percaya lebih banyak syarikat dari wilayah Pennslyvania akan datang ke negara selepas ini, berikutan mendapat lebih banyak maklumat tambahan berguna sepanjang mesyuarat itu.

“Seperti juga di Atlanta kelmarin, saya turut berpuas hati dengan pencapaian kita di sini. Mereka (ahli perniagaan) memberi reaksi positif dengan pelbagai peluang yang terdapat di negara kita menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10),” katanya.

Hari ini, delegasi yang diketuai oleh Mustapa akan meneruskan misi galakan berkenaan di Washington iaitu persinggahan ketiga dan terakhir.

Berbanding di Atlanta dan Philadelphia, misi di ibu negara AS itu dijangka mampu menarik lebih banyak ahli perniagaan AS datang ke Malaysia.

19 Disember sebutan semula permohonan 2 lelaki ingin murtad

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 19 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula permohonan dua lelaki untuk keluar daripada agama Islam.
Hakim Syarie Rosdi Harun menetapkan sebutan semula permohonan Mohd Rajiman Chin Abdullah, 48, dan Mohd Ramzan Maniarasan, 38, akan dibuat secara bersama pada tarikh berkenaan. Beliau menetapkan tarikh itu selepas Peguam Syarie, Syed Ahmad Shabuddin Syed Nong yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai responden kes itu memaklumkan mahkamah, Pegawai Penasihat Undang-Undang Syariah yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) sedang cuti bersalin. Beliau meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula yang baru untuk kedua-dua permohonan itu iaitu selepas pegawai wanita itu kembali bertugas pada Disember ini.

Rosdi berkata beliau berharap tempoh yang panjang sehingga tarikh sebutan semula itu digunakan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pihak untuk membuat persediaan memandangkan kes itu serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan akidah.

Katanya beliau mahu memberi peluang kepada dua agensi yang menjaga kepentingan orang Islam di Terengganu itu bersedia dengan dokumen lengkap untuk berhadapan dengan tuntutan itu.

"Untuk pemohon pula, kalau betul-betul mahu teruskan hasrat ini boleh lantik peguam. Memohon untuk keluar Islam bukan satu perkara yang ringan. Kalau orang Islam yang murtad, boleh dibunuh, itu hukum Islam," katanya.
Ketika mengulas permohonan Mohd Rajiman supaya kes beliau diselesaikan dengan segera, Rosdi berkata mahkamah mempunyai prosedur khusus yang perlu dipatuhi.

Mohd Ramzan pula berkata beliau terpaksa membawa permohonannya itu sendiri ke mahkamah kerana tidak ada peguam syarie yang mahu mewakilinya, ketika ditanya sama ada akan melantik peguam untuk mewakilinya. - BERNAMA

Rumah Noorhisham disimbah cat merah

KUALA LUMPUR: Kediaman Noorhisham Mohammad, 38, seorang daripada mangsa yang dibunuh bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, disimbah cat merah semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang mengesahkan kejadian itu berkata ketika kejadian keluarga pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru itu tiada di rumah. Isteri dan anak-anak Noorhisham pulang ke Johor Bahru sejak Ahad lalu. Laporan polis mengenai perkara itu dibuat oleh seorang anggota keluarga Noorhisham di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada jam 9 malam setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran mereka.

"Seorang lelaki membuat laporan dan memberitahu rumah tiga tingkat Allahyarham di Taman Seraya, Ampang disimbah cat merah di halaman rumahnya (lantai)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Jalil berkata polis percaya kejadian itu bukan disebabkan dendam tetapi tersilap sasaran dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 kerana khianat.

Noorhisham, 38, dilapor hilang bersama Sosilawati, 47, pemandu Kamaruddin Shansuddin, 44, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. - BERNAMA

"Banyak cerita kisah hidup P Ramlee tidak tepat": Ahmad Nawab

GEORGETOWN: Seniman Negara Datuk Ahmad Nawab akan menyerahkan beberapa koleksi peribadinya mengenai Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan akan membongkar semula kisah hidup seniman agung itu kepada Jabatan Arkib Negara.

Katanya, beliau mengenali P.Ramlee secara dekat kerana membantu seniman agung itu untuk mengubah lagu selama sembilan tahun malah pernah tinggal di rumah P.Ramlee di Kuala Lumpur. "Saya kesal kerana banyak cerita mengenai kisah hidup P.Ramlee adalah tidak tepat malah ada yang berbohong, saya kenal P.Ramlee kerana kami bekerjasama dalam membuat muzik, P.Ramlee tidak pernah meminta lagu dari sesiapapun untuk filemnya kecuali dari saya sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ahmad berkata, antara fakta yang tidak betul ialah mengenai dakwaan P.Ramlee seorang yang pandai bermain semua alat muzik sedangkan Seniman Agung itu hanya berkebolehan bermain piano untuk mencipta lagu.

"Jika kita lihat filem Ibu Mertuaku, yang meniup saksofon sebenarnya ialah Ahmad B dan dalam filem Masam-masam Manis pula, yang meniup saksofon adalah saya sendiri, ini kerana P.Ramlee tidak boleh bermain saksofon tetapi beliau berkebolehan untuk memegang saksofon dengan gaya yang betul," katanya.

Beliau berkata beberapa fakta mengenai kisah hidup P.Ramlee yang diceritakan oleh kenalannya adalah tidak tepat kerana P.Ramlee sendiri tidak pernah ditemubual oleh media semasa hayatnya.

"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa P.Ramlee gemar untuk memakan buah tembikai dan dicicah dengan sambal kicap...ini pelik tetapi itulah kegemaran P.Ramlee," katanya.
Sebagai permulaan Ahmad Nawab menyerahkan potret beliau bersama P.Ramlee yang dirakam pada 1965 di Sarawak kepada Arkib Negara untuk dipamerkan di Galeri P.Ramlee di sini.

Katanya, usaha menyerahkan koleksi peribadi mengenai seniman agung itu adalah penting supaya ia dapat menjadi tatapan generasi akan datang untuk mengenali kisah hidup P.Ramlee yang sebenar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata, persatuan itu akan menganjurkan Seminar Pemikiran P.Ramlee di Kem Tun Razak, Bukit Gedong di sini pada Oktober depan.

Katanya, seminar itu akan membetulkan fakta-fakta mengenai kisah hidup P.Ramlee dan Ahmad Nawab akan dijemput sebagai salah seorang anggota panel. - BERNAMA

Malaysia kutuk sebarang penderaan terhadap pekerja: Anifah

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap pekerja tanpa mengira kewarganegaraan atau sektor pekerjaan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan serta rakyat Malaysia amat sedih dan terharu di atas kes penderaan terbaru membabitkan seorang pembantu rumah dikenali sebagai Win Faidah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia pada 17 September lalu. "Adalah dikesali bahawa penderaan itu berlaku walaupun majikan dan pembantu rumah sering diberi nasihat sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini. Anifah berkata, sehubungan itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Luar akan memberi bantuan yang diperlukan kepada kerajaan Republik Indonesia bagi menguruskan perkara berkaitan.

Katanya, Kerajaan Malaysia juga memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan akan membuat siasatan segera dan rapi dan mahkamah akan menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku kesalahan itu.

Pembantu rumah berumur 26 tahun itu mendakwa didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya. Berikutan itu, sepasang suami isteri telah ditahan polis Ahad lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Mereka juga akan turut disiasat menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 berdasarkan bukti serta keterangan yang diperoleh. - BERNAMA

Peguam Negara arah polis lengkapkan siasatan kes bunuh Sosilawati, tiga lain

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara, mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain kerana berpendapat siasatan dalam pelbagai aspek perlu dijalankan, menurut Ketua Bahagian Pendakwaannya, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, polis diarahkan untuk melengkapkan siasatan tersebut sebelum menghantar semula ke pihaknya. Beliau berkata, pihaknya telah mengembalikan kertas siasatan itu semalam setelah menerimanya pada hari yang sama kerana banyak lagi perkara yang memerlukan siasatan lebih lanjut. Katanya, Peguam Negara telah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan pihak polis dan juga menyiasat kes-kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek-supek berkenaan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengesahkan telah menyerahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara dan memberi jaminan laporan lengkap kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Laporan itu termasuklah laporan lengkap DNA yang kini giat dilakukan oleh sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan secepat mungkin.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.
Polis kini turut menyiasat empat kes yang melibatkan tiga kes orang hilang dan seorang wanita yang mati dibunuh di hadapan rumahnya di Banting yang di percayai ada kaitan dengan dua peguam yang adalah suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Antara kes tersebut melibatkan seorang kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarganya lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam tersebut di ibu negara bagi urusan perniagaan.

Kehilangan Shafik dan rakannya dirujuk di Ibu pejabat Daerah Brickfileds.

Selain itu, ia turut membabitkan kes kehilangan usahawan batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.

Allal yang mempunyai perniagaan restoran, hartanah dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Bernama

Urusetia kontinjen Malaysia berlepas ke New Delhi esok

KUALA LUMPUR: Satu pasukan awal urusetia kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel akan berlepas ke New Delhi, India esok bagi meninjau dan menilai segala aspek persiapan terakhir tuan rumah sebelum temasya bermula dari 3 hingga 14 Oktober.

Pengurus Besar Sukan Komanwel, Jefri Ngadirin yang mengetuai urusetia itu, berkata pasukan yang terdiri daripada tujuh pegawai turut disertai seorang doktor dan seorang pegawai keselamatan kontinjen. "Pasukan ini kemudian akan menghantar laporan terkini situasi terkini di New Delhi kepada Menteri Belia dan Sukan," katanya di sini, hari ini. Jefri berkata, pasukan pertama Malaysia yang akan ke New Delhi adalah skuad boling padang yang akan berlepas Jumaat ini sebelum kedatangan kontinjen besar negara bermula Selasa depan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mendapat laporan harian terkini daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di ibu negara India itu terutama yang membabitkan isu keselamatan dan kesihatan.

"Walaupun banyak laporan negatif dilaporkan media asing mengenai tahap keselamatan dan kesihatan di New Delhi, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sehingga kini mengesahkan tahap keselamatan dan kesihatan adalah terkawal," katanya.

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 203 atlit akan beraksi dalam 14 acara iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, ping pong, skuasy, tinju, ragbi tujuh sebelah serta tiga acara paralimpik. - Bernama

Najib ke New York awal atas permintaan Obama: Jamaludin

PHILADELPHIA: Duta Malaysia Ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, mengesahkan ketibaan awal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke New York esok berikutan keinginan Presiden Barrack Obama hendak bertemu beliau sebelum bermulanya sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Katanya, pemimpin Amerika itu menaruh harapan tinggi hendak mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri bersama semua ketua kerajaan ASEAN yang bakal menghadiri perhimpunan tahunan berkenaan menerusi Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat “Perdana Menteri akan datang awal kerana mendapat jemputan daripada Obama. Saya dimaklumkan, White House berasakan kalau Obama mengadakan pertemuan dengan ketua negara ASEAN tanpa kehadiran Perdana Menteri, ia bagaikan satu kecacatan. “Sebab itu, saya menghantar pesanan kepada Perdana Menteri supaya mengubah jadual kedatangannya ke sini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi mesyuarat meja bulat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diketuai Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan lebih 40 ahli perniagaan dan pelabur AS di Hotel Hyatt Philadelphia.

Mengikut jadual asal, Najib dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New York pada pagi Ahad ini.

Perdana Menteri dijadual tiba secara rasmi di New York pada jam 7.50 pagi esok dan kembali ke tanah air pada 28 September.

Mengikut kenyataan daripada Wisma Putra semalam, Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta barisan pegawai daripada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri.
Penyertaan Perdana Menteri dalam sidang kemuncak itu selaras dengan pendirian Malaysia yang menganggap PBB sebagai wadah utama dalam mempamerkan komitmen serta mengukuhkan kerjasama dengan masyarakat dunia bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan sejagat.

Najib dijadualkan menyampaikan ucapan pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia di Debat Umum Perhimpunan Agung PBB pada 27 September 2010, selain menghadiri Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat pada 24 September yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Minh Triet selaku Presiden ASEAN, dan Obama.

Mengulas lanjut, Jamaluddin menyifatkan jemputan Obama itu adalah satu penghormatan besar kepada Malaysia sekali gus menunjukkan wujud satu anjakan baru dalam hubungan antara AS dan negara ini.

“Kita berasa bangga dengan penghormatan diberikan oleh AS kepada Malaysia. Ini adalah satu anjakan baru kepada kita kalau dibandingkan dengan hubungan terdahulu,” katanya.

Mengenai agenda pertemuan itu, Jamaluddin membayangkan ia bakal menyentuh pelbagai isu berkaitan termasuk mengenai hubungan dagangan baru antara Malaysia dan AS.

Katanya, kedatangan Mustapa dan delegasinya ke Washington DC esok bakal membantu mempercepatkan lagi perbincangan antara kedua-dua pihak bagi membentuk jalinan hubungan perdagangan baru.

“Dulu kita hanya ada hubungan dagangan antara Malaysia dan AS, tapi sekarang kita ada perjanjian baru dikenali Perjanjian Trans Pacific Partnership (TPP). Menerusi perjanjian ini ia akan dilaksanakan secara berkumpulan dengan tujuh negara.

“Justeru, kini kita bukan saja bakal membentuk hubungan perdagangan baru, tetapi juga hubungan dengan tujuh negara lain seperti Chile, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei. Bila kita tandatangan perjanjian ini, kita bukan saja dapat pertingkat perdagangan dengan AS malah dengan negara tujuh itu dan dunia,” katanya.

Jamaludin berkata, perkembangan itu jelas adalah selari dengan visi Perdana Menteri yang kini memperkenalkan model ekonomi yang dikenali Model Ekonomi Baru (MEB).

“Ia adalah satu rangsangan baru kepada perdagangan baru Malaysia dengan dunia. Dengan ini kita dapat melihat TPP bakal menjana peluang pekerjaan baru kepada anak muda kita, sekali gus mampu meningkatkan eksport kita sejajar dengan impian negara dan Perdana Menteri,” katanya.

Mohd Fazli dihukum gantung selepas didapati bersalah bunuh Syafiah Humaira

SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun pada Februari lalu.
Hakim Datuk Moktaruddin Baki, ketika menjatuhkan hukuman, berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Ibu tertuduh yang terlalu sedih dengan keputusan itu terus menerpa ke arah tertuduh selepas mahkamah ditangguhkan dan meraung sebelum pengsan kerana terlalu sedih. Mohd Fazli, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira Sahari di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali pada 6.30 petang 25 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli, teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

Syafiah Humaira anak kedua Siti Nurhanim, 25, seorang bekas pelayan kelab malam hasil perkahwinannya dengan seorang anggota polis, Sahari Usul.