Followers

Sunday, February 28, 2010

Amalkan nilai 1Malaysia untuk negara yang bersatu: PM

PETALING JAYA: Impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersatu padu hanya boleh dicapai sekiranya rakyat mengamalkan nilai yang terkandung dalam konsep 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, nilai itu jika dikaitkan dengan pemikiran rakyat untuk berubah dari satu paradigma dengan pradigma asas ialah sikap bertolak ansur.

"Dalam konsep 1Malaysia, bertoleransi hanya permulaan...paradigma selepas itu ialah berubah dari bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya.

"Dengan perkataan lain apabila kita menerima perbezaan dalam masyarakat kita menerima kepelbagaian sebagai sesuatu yang unik...sesuatu yang menyediakan kita seumpama hasil tenunan yang berwarna warni dalam masyarakat kita...sesuatu yang sebenarnya memberi kekuatan kepada kita dan bukan sebaliknya," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Sin Chew Media Group di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Najib berkata, jika kepelbagaian diterima sepenuhnya di kalangan masyarakat sebagai satu sumber kekuatan dan sesuatu yang unik, barulah "kita bergerak dari satu peringkat ke peringkat yang lain."

"Dan apabila kita bergerak dari paradigma bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya, terdapat satu kemuncak muktamad iaitu meraikan kepelbagaian kita...apabila kita meraikan kepelbagaian kita baru ia bermakna kita telah mencapai destinasi akhir Bangsa Malaysia 1Malaysia...barulah kita akan berfikir dan kita akan bertindak sebagai 1Rakyat, 1Negara dan 1 Impian," katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat daripada pelbagai kaum di negara ini telah menyambut banyak perayaan tetapi ini dilakukan tanpa mengamalkan nilai 1Malaysia.

"Ya, pada masa-masa lalu kita telah mengadakan perhimpunan Tahun Baru Cina...kita telah mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya...kita telah mengadakan begitu banyak majlis bersama tetapi ia diraikan tanpa mengamalkan nilai dan pemikiran yang dikaitkan dengan konsep 1Malaysia.

"Mari kita bergerak ke depan ke peringkat seterusnya dan seterusnya supaya Malaysia akan menjadi...bersatu, harmoni dan makmur," katanya.

Najib berkata, impian dan aspirasi semua rakyat Malaysia perlu diambil perhatian serius bukan sahaja dalam soal perkataan tetapi juga dalam soal perbuatan dan tindakan.

"Dengan perkataan lain, kita mesti berusaha ke arah itu. Kita perlu merangsangkan semua rakyat Malaysia supaya mencintai negara ini ke arah sebuah Malaysia yang bersatu.

"Secara sedar, semua mesti bekerja dengan penuh perasaan dan komitmen, penuh perasaan kesempurnaan bagi apa yang terbaik buat kita. Apa yang terbaik bagi Malaysia...kita mesti berusaha dan kita perlu menjadikan impian itu tercapai," katanya.

Beliau berkata, setiap perdana menteri negara ini telah bekerja tanpa mengenal penat lelah mengikut cara masing-masing walaupun ketika zaman yang penuh kesukaran, bekerja ke arah menjadikan sebuah Malaysia yang lebih bersatu padu.

Sehubungan ini, Najib berkata beliau akan meneruskan usaha baik yang ditinggalkan bekas perdana menteri sebelum ini.

"Tetapi kita perlu merasionalkan apa yang kita lakukan...apa yang kita perlukan dan bagaimana kita mendapatkannya untuk sampai ke destinasi untuk menjadi sebuah negara Malaysia yang benar-benar bersatu padu," katanya. - Bernama

Gempa bumi gegar Pakistan, Afghanistan

ISLAMABAD: Gempa bumi sederhana menggegarkan utara Pakistan dan Afghanistan tetapi tiada laporan mengenai kecederaan atau kemusnahan.

Ahli meteorologi kerajaan, Qamar Zaman Chaudhry, berkata gempa bumi itu berlaku pada 4.21 pagi waktu Pakistan (7.21 pagi waktu Malaysia) hari ini.

Ia dirasai di utara Pakistan dan Kabul, ibu negara Afghanistan.

Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata gempa bumi itu berukuran 5.7 pada skala Richter dan berpusat di pergunungan Hindu Kush kira-kira 175 kilometer ke timur laut Kabul.

Gempa bumi sering berlaku di wilayah itu.

Pada Oktober 8, 2005, gempa bumi bermagnitud 7.6 membunuh kira-kira 80,000 di barat laut Pakistan dan Kashmir manakala tiga juta yang lain hilang tempat tinggal. - AP

Russia tarik balik amaran tsunami

MOSCOW: Russia menarik balik amaran tsunami yang dikeluar awal pagi tadi apabila ombak yang melanda pesisir pantai semenanjung Pasifik Kamchatka adalah terlalu rendah, kata unit situasi kecemasan negara itu yang dipetik agensi berita RIA Novosti.

“Ketinggian yang dicatatkan adalah 25 sentimeter. Tiada sebarang kejadian buruk yang dilaporkan susulan perkembangan terbaru itu,” katanya. - AFP

Gempa bumi sederhana di Laut Banda, Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.0 skala Richter berlaku di Laut Banda, Indonesia pada jam 11.58 pagi tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi dicatatkan pada latitud 7.9 darjah selatan dan longitud 128.5 darjah timur iaitu kira-kira 1,782 km tenggara Tawau, Sabah.

Tiada ancaman tsunami akibat gegaran itu.

Laut Banda ialah laut di Selatan Kepulauan Maluku yang mempunyai kira-kira 150 pulau. - Bernama

Pengangguran di Malaysia 36,000 sehingga Disember 2009

ROMPIN: Jumlah penganggur di Malaysia dari Oktober 2008 sehingga Disember tahun lalu adalah 36,000 orang atau 3.6 peratus daripada jumlah penduduk negara, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Katanya, kebanyakan daripada statistik itu adalah daripada sektor perkilangan berikutan kekurangan pengeksport kerana kemerosotan ekonomi di Amerika Syarikat pada 2008.

Beliau berkata, jumlah tersebut bagaimanapun masih berada dalam kawalan berbanding 84,000 penganggur dicatatkan pada krisis ekonomi Asia dalam tempoh yang sama pada 1997.

"Akibat krisis ekonomi melanda di Amerika Syarikat, ramai buruh-buruh yang terdiri daripada golongan dewasa terpaksa diberhentikan kerja secara sementara.

"Syarikat-syarikat dalam sektor perkilangan terpaksa mengecilkan jumlah pengeluaran kerana permintaan yang kurang," katanya selepas majlis sambutan Chap Goh Mei di sini, malam tadi.

Menurut Maznah, bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam negara, Kementerian Sumber Manusia sudah menempatkan semula kira-kira 29,000 pekerja manakala sebahagiannya mengikuti skim kemahiran supaya mereka diberi peluang untuk menimba kemahiran.

Majlis anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina daerah Rompin itu dihadiri lebih 2,000 orang dari pelbagai kaum.

Maznah berkata, sambutan kali ketujuh tersebut akan dijadikan sebagai pesta kedua terbesar pada masa akan datang selepas pesta pantai Rompin.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain; Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina daerah Rompin, Au Ong Kiat serta Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya. - Bernama

Russia keluarkan amaran tsunami, lancarkan pemindahan

MOSCOW: Russia mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi teruk melanda Chile dan melancarkan pemindahan di semenanjung Pasifiknya, Kamchatka.

"Kami mejangkakan ombak setinggi dua meter, di mana ketinggian berbahaya dan orang ramai diarahkan berpindah daripada zon bahaya," kata Ketua Pusat Tsunami Pulau Sakhalin, Tatyana Ivelskaya.

Menurut pihak berkuasa Kamchatka, kira-kira 100 pekerja pelabuhan Severo-Kurilsk dan kilang ikan turut dipindahkan, manakala penduduk yang tinggal di lima rumah sekitar kawasan itu turut dipindahkan ke kawasan selamat. - AFP

Filipina tingkat amaran tsunami

MANILA: Filipina mengerah pemindahan terhad di kawasan pantai 19 negeri di sepanjang pantai timur negara itu selepas meningkatkan tahap amaran tsunami berikutan gempa bumi kuat di Chile.

“Pada 7 pagi ini, kami meningkatkan amaran tsunami kepada tahap 2 dan orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri pantai dan melaporkan sebarang ombak kuat di kawasan masing-masing," kata Renato Solidum, Pengarah Institut Gunung Berapi dan Seisilogi Filipina.

Pusat Aaran Tsunami Pasifi yang berpangkalan di Hawai sebelum itu menarik balik amaran tsunami untuk kebanyakkan negara di lembangan Pasifik, kecuali Jepun dan Rusia.

Namun, pihak berkuasa Filipina masih bimbang dengan kesan yang dijana gempa bumi bermagnitud 8.8 itu. - Reuters

16 gempa bumi kuat gegar Chile, 214 maut

CONCEPCION, Chile: Satu daripada gempa bumi terkuat dunia pada abad ini menggoncang Chile semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 214 orang maut, meruntuhkan bangunan serta mencetuskan tsunami yang mengancam pantai Pasifik sehingga Hawai dan Jepun.

Bangunan terbakar, jambatan runtuh dan runtuhan menghalang jalan raya di serata tengah Chile tetapi angka korban awal adalah agak rendah berbanding gempa bumi yang menggegarkan Haiti bulan lalu.

Sebuah bangunan pangsapuri dengan 200 penghuni runtuh di Concepcion, bandaraya paling hampir dengan pusat gempa itu, dan anggota penyelamat tidak pasti beberapa ramai yang terselamat.

Kenderaan yang terbalik berselerakkan di bawah jejambat runtuh di ibu negara Santiago dan bekalan elektrik terputus di serata tempat, menyukarkan usaha menilai tahap kerosakan dan kemalangan jiwa.

Kerajaan menyatakan sekurang-kurangnya 214 orang terbunuh dalam gempa bumi bermagnitud 8.8 itu yang berlaku pada 3.34 pagi (0634 GMT), menyebabkan orang ramai yang sedang tidur bertempiaran keluar dari rumah masing-masing ke jalan raya sambil berpelukan dan menangis.

Pegawai Chile berkata, bilangan kematian tidak mungkin meningkat secara drastik dan Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGA) piawaian bangunan yang baik membantu mengurangkan kemalangan jiwa.

Ia adalah gempa bumi kelima terkuat sejak 1900 dan menjejaskan ekonomi serta prasarana pengeluar tembaga utama dunia itu. - Reuters

Tsunami landa pantai timur Australia

SYDNEY: Tsunami yang dijana gempa bumi bermagnitud 8.8 di Chile melanda pantai di timur Australia hari ini tetapi tiada laporan awal mengenai kemusnahan atau kemalangan jiwa.

Australia semalam mengeluarkan amaran tsunami untuk kebanyakan kawasan di pantai timur dan bahagian timur pulau Tasmania.

Namun pusat amaran tsunami kebangsaan menyatakan tiada kebimbangan mengenai bencana itu kerana ia hanya membabitkan banjir di pantai dan arus kuat yang boleh membahayakan perenang.

Chris Ryan, Pengarah Pusat Amaran Tsunami Bersama Australia, berkata penduduk di kawasan rendah di Norfolk Island sudah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, beliau tidak tahu sama ada langkah pemindahan turut dilakukan di tempat lain.

"Lebih bayak ombak boleh dijangka selepas ini," katanya.

Ryan berkata, amaran yang dikeluarkan itu sejajar jangkaan ombak setinggi setegah hingga satu meter di atas paras laut biasa pada masa itu. - Reuters

Tsunami mungkin landa Jepun

TOKYO: Tsunami sehingga ketinggian tiga meter boleh melanda pantai Pasifik Jepun berikutan gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 yang mengggarkan tengah Chile, kata seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun.

"Sebaik saja amaran tsunami dikeluarkan, tolong berpindah ke kawasan tinggi dan jangan sekali-kali menghampiri pantai" kata pegawai itu kepada wartawan.

Menurut agensi itu, tsunami berkenaan boleh melanda pantai Jepun seawal 1.00 petang (0400 GMT).- Reuters

Amaran kenaikan paras laut di Sabah hari ini

KUALA LUMPUR: Penduduk di kawasan pantai selatan Sabah dinasihatkan menjauhi pantai kerana terdapat kemungkinan akan berlaku keadaan laut bergelora dan kenaikan paras laut bermula 12 tengah hari sehingga 6 petang hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan, menyatakan ini berikutan kejadian gempa bumi kuat berukuran 8.8 pada skala Richter kira-kira 90 kilometer dari timur laut bandar Conception, Chile, pada 3.34 pagi waktu tempatan (2.43 petang waktu Malaysia) semalam. -Bernama

Bongkah ais besar ganggu peredaran arus laut, cuaca dunia: Ahli sains

LONDON: Ahli sains memberi amaran terhadap situasi di mana satu bongkah ais besar yang pecah di benua Antartika bulan ini boleh mengganggu arus laut dan corak cuaca dunia.

Penyelidik Australia berkata, bongkah ais yang mempunyai keluasan menyamai negara Luxembourg boleh menghalang kawasan yang mengeluarkan suku daripada kadar ketumpatan air dunia dan menyebabkan air laut sangat sejuk.

Mereka berkata, pengeluaran kadar air yang perlahan mempengaruhi cuaca musim sejuk, apabila mampu menyumbang kepada catatan suhu lebih tinggi di utara Atlantik.

Ketika ini, bongkah itu dikesan terapung di selatan Australia.

Seorang pengkaji sains bumi di Pusat Penyelidikan Cuaca Antartik dan Ekosistem di Tasmania, Dr Neal Young, berkata kepada BBC, sebarang gangguan kepada pengeluaran air yang sangat sejuk, dikenali air bahagian bawah, akan memberi kesan kepada arus laut dan mempengaruhi corak cuaca pada masa akan datang.

"Kawasan itu menyumbang kira-kira 25 peratus pengeluaran air bahagian bawah di Antartika, dan seterusnya akan mengurangkan pembalikan kadar peredarannya.

"Kita tidak dapat melihat perubahan itu serta merta, tetapi ia memberi kesan terhadap aliran air ke hilir. Malah, ia juga meninggalkan implikasi terhadap haiwan seperti burung penguin dan hidupan liar lain bagi kawasan yang kiebiasaannya menjadi tempat untuk mendapatkan makanan," katanya. - bbc.co.uk

Dr Mahmood Zuhdi dipilih penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

PUTRAJAYA: Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamdunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dipilih penerima Anugerah Perdana pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431H/2010 di Masjid Putra, di sini, pagi ini.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Sultan Badlishah.

Turut menerima anugerah, Presiden Malaysian Relief Agency, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; pelajar cemerlang, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Faiza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz; Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Tamm Swee Lian dan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putera Malaysia (UPM), Prof Dr Yaakob Che Man.

Umat Islam perlu perkukuh perpaduan, jadi umat terbilang

PUTRAJAYA: Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Syah bertitah umat Islam perlu mengukuhkan persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan pencapaian agar terus menjadi umat yang terbilang.

Baginda bertitah tanpa menghayati ajaran Islam yang sebenar diyakini umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh bahkan akan terus dihina dan diperlekehkan.

"Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

"Malahan yang lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sehubungan itu, baginda bertitah umat Islam perlu mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh dalam kehidupan agar benar-benar menjadi mukmin yang hebat.

Baginda bertitah tema sambutan pada tahun ini iaitu "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangun ummah.

"Dalam mengorak langkah ke arah itu, umat Islam perlu sentiasa bersedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.

"Sikap sambil lewa membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati," titah baginda.

Baginda bertitah al-Quran dan As-Sunnah perlu dijadikan sebagai panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangun ummah yang mapan dan berjaya. - Bernama