Followers

Tuesday, July 20, 2010

Tak boleh terburu-buru mansuh UPSR, PMR: Puad

GENTING HIGHLANDS: Keputusan mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak boleh dibuat terburu-buru kerana ia adalah keputusan besar membabitkan masa depan anak-anak bangsa.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata walaupun ketika ini banyak pihak memberi maklum balas positif kepada pemansuhan kedua-dua peperiksaan umum itu, kerajaan perlu menyediakan perancangan alternatif jika ia benar-benar dimasuhkan.
"Pada saya, isu ini tidak boleh diputuskan secara terburu-buru kerana kita perlu teliti semua pandangan sebab ia melibatkan satu keputusan besar membabitkan sistem pendidikan negara yang melibatkan perubahan besar termasuk dari segi logistik.
"Ia turut membabitkan ibu bapa dan masa depan anak-anak...atau dalam kata lain melibatkan kualiti pendidikan negara, jadi ia tidak boleh dibuat terburu-buru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-17 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini, hari ini.

Mohd Puad berkata dalam membuat keputusan itu, kerajaan juga perlu melihat kemampuan kementerian dari segi penyediaan alternatif atau pilihan lain sekiranya keputusan dibuat untuk memansuhkan peperiksaan itu.

"Apabila melibatkan alternatif, maka persiapan kita dari sudut itu perlu dibincang dan dipertimbangkan," katanya.

Perbincangan meja bulat pertama membabitkan kira-kira 100 warga pendidik terdiri daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Bahagian di kementerian, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengetua, Guru Besar, Kesatuan dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, diadakan di Putrajaya semalam bagi mengumpul pandangan dan input berhubung cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu.
Perbincangan kedua bakal diadakan Selasa depan yang melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, ahli politik serta pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu itu.

Dr Mohd Puad berkata perbincangan itu penting kerana boleh mengelak daripada hanya mendengar dari satu sumber kerana kementerian cukup bimbang jika keputusan yang dibuat kelak boleh menimbulkan kecelaruan.

"Walaupun saya akui kesatuan guru bersetuju pemansuhannya, tetapi itu hanyalah pandangan daripada mereka yang berada dalam bidang pendidikan. Yang pasti kita perlu dengar lebih banyak pandangan daripada pihak luar agar keputusan yang diambil boleh memberi kebaikan kepada semua," katanya. - BERNAMA

Jenayah penggubahan wang di Malaysia masih terkawal: SPRM

KUALA LUMPUR: Jenayah penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan berupaya dikekang oleh pihak berkuasa menerusi tindakan bersepadu agensi terlibat.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali, berkata bagaimanapun usaha mengekang jenayah itu terus diperhebatkan memandangkan transaksi perniagaan di negara ini semakin meningkat.
"Kalau nak katakan jenayah ini serius di Malaysia ia sebenarnya tidak serius, malah ia dalam keadaan terkawal. Malaysia dapat mengekangnya sebaik mungkin dengan menggunakan tindakan yang cukup berkesan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Usaha itu katanya, dipermudahkan lagi dengan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap jenayah berkenaan selepas kerajaan memperkenalkan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dalam pada itu, Mustafar yang ditemui di luar Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiyaan Keganasan Antarabangsa 2010, mengakui masih terdapat ruang untuk penjenayah melakukan kegiatan berkenaan.

Akan tetapi katanya, pihak berkuasa juga mempunyai pelbagai kaedah untuk mengesan kegiatan tersebut.
"Jangan anggap sorok duit, ''launder'' duit, agensi penguatkuasa tidak akan tahu...sekarang ada pelbagai sistem untuk mengesan transaksi dan wang yang dikeluarkan," katanya.
Mustafar berkata jenayah itu juga melibatkan rangkaian antarabangsa yang memerlukan pihak berkuasa negara ini bekerjasama dengan pihak antarabangsa.

Semalam, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Zamani Abdul Ghani memberitahu persidangan itu bahawa sejumlah 94 kes penggubahan wang haram kini dalam pelbagai peringkat pendakwaan, dengan lebih 3,000 dakwaan melibatkan keuntungan berjumlah RM1.2 bilion. - BERNAMA