Followers

Thursday, August 5, 2010

Ubat kuat lelaki memudaratkan: Liow

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar khasnya ubat kuat lelaki kerana ia mengandungi bahan racun.

Beliau berkata, kebanyakan ubat kuat lelaki yang semakin berleluasa dijual di pasaran bercampur dengan bahan-bahan racun seperti sildenafil, tadalafil dan verddanafil yang juga bahan aktif perangsang seks lelaki.
"Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan erectile dysfunction yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di sini, hari ini, beliau berkata kesan sampingan ubat itu adalah sangat merbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor.

"Adalah tidak berbaloi kepada mereka yang mengambil ubat kuat lelaki kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan dan akan merosakkan badan," katanya.

Antara kemudaratan ubat itu ialah serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

Beliau berkata, produk mengandungi bahan-bahan aktif perangsang seks lelaki itu juga semakin dipelbagaikan dan mudah didapati dalam bentuk minuman seperti kopi dan teh o ais limau.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menghentikan semua perkara mengarut dan penyalahgunaan (ubat) ini di negara ini. Saya memandang serius perkara ini. Jangan suka membeli produk-produk sedemikian.

"Kementerian Kesihatan akan perangi habis-habisan ubat-ubatan, makanan dan minuman kesihatan dan kosmetik yang tidak berdaftar," katanya. - BERNAMA

Tiada pembabitan orang ketiga: Musa

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengesahkan tiada pembabitan orang ketiga dalam kes kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Aziz Md Noh, dan bekas pembantunya, Siti Rohana Ismat.

Siti Rohana Ismat mati kerana terkena dua das tembakan, masing-masing satu di kepala dan rusuk, manakala Aziz mati akibat tembakan di kepala dalam kereta yang dinaiki mereka di Kilometer 455.7 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh kelmarin.
Polis turut menemui sepucuk revolver .38 yang masih berisi dua peluru, kepunyaan Abdul Aziz, di celah tempat duduk bahagian depan Toyota Caldina milik Siti Rohana yang dipandu bekas ADUN itu.

Bayi lelaki ditemui dalam kotak di Sungai Besar

SABAK BERNAM: Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui dalam sebuah kotak di Sungai Besar, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Noor Mushar Mohamad, berkata bayi lelaki berusia tujuh hari itu ditemui dalam keadaan bogel oleh penuntut Politeknik Sabak Bernam dan rakan wanitanya pada kira-kira 9 malam.
Katanya, bayi itu diletakkan dalam kotak yang ditinggalkan di sebelah kereta penuntut lelaki itu.
"Penuntut berkenaan membawa bayi itu ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, sebelum ibu saudaranya membuat laporan polis.

"Sebaik dimaklumkan oleh Balai Polis Bandar Baru Bangi, kami membawa bayi lelaki terbabit ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menjalankan pemeriksaan lanjut pada 10 pagi ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis kini menjalankan siasatan bagi mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

"Kami juga akan menemubual pelajar yang menemui bayi itu bagi mendapatkan maklumat lanjut selain untuk mengetahui mengapa dia tidak terus membuat laporan di Sabak Bernam," katanya. - BERNAMA

Cadangan isytihar status agama kepada keluarga masih diselaras

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata cadangan mengenai peraturan seseorang bukan Muslim yang memeluk agama Islam mengisytiharkan status agama kepada keluarga masing-masing, masih dalam penyelarasan.

Beliau berkata, sebarang garis panduan atau kaedah pengisytiharan hanya boleh dibuat sekiranya kerajaan mendapat persetujuan daripada negeri sebagai pihak yang bertanggungjawab berhubung isu agama.
"Usaha ke arah penyelarasan isu pertukaran agama ini masih berjalan. Saya tak nak sebut jangka (bila boleh dilaksana) nanti akan kata saya menipu. Jadi saya nak sebutkan perkara ini perlu dapat persetujuan semua negeri melalui Majlis Agama Negeri dan Jabatan Agama Negeri," katanya.
Katanya peraturan itu bertujuan mengelak masalah, terutama apabila mualaf tersebut meninggal dunia dan keluarganya mempertikaikan status agamanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan cadangan yang pernah dikemukakan pada 2008 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai peraturan berkenaan.

Abdullah berkata, mereka yang berhasrat memeluk agama Islam perlu memaklumkan anggota keluarga mereka menerusi satu borang atau surat yang mengisytiharkan bahawa keluarganya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Jamil Khir berkata pada masa ini kerajaan akan terus menggunakan kaedah sedia ada iaitu mana-mana individu yang menukar agama perlu mendaftar di pejabat agama untuk mendapat kelulusan. - BERNAMA

Hasil cukai kereta import dijangka lebih RM3 bilion

KUALA LUMPUR: Cukai bagi kereta diimport yang termasuk duti eksais dan cukai jualan dijangka melebihi RM3 bilion tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata dalam setengah tahun pertama cukai dikenakan bagi kereta diimport berjumlah RM1.7 bilion berbanding RM2.5 bilion yang dikutip pada tempoh sama tahun lalu.
"Sumbangan daripada industri ini biasanya besar, antara RM3 bilion dan RM5 bilion setahun," katanya semasa majlis permeterian memorandum persefahaman antara Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Sementara itu, Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abd Rahman, berkata ahli tertentu tidak lagi menghubungi persatuan itu untuk mengesahkan dokumen mereka sebelum cukai dikenakan.

Katanya, ini susulan warta harga yang dikuatkuasakan pada 1 Jun, 2010, di mana faktor diskaun kuantiti telah diambil kira apabila menentukan nilai kereta diimport.

"Sebelum warta harga dikuatkuasakan, cukai bagi kereta diimport dikira berdasarkan kepada harga doket yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Pada masa itu, ahli PEKEMA, menerusi MOU dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menikmati diskaun kuantiti 25 peratus yang membantu mereka meskipun duti ketat yang dikenakan ke atas kereta diimport," katanya. - BERNAMA

Gempa kuat 7.0 magnitud gegar Papua New Guinea

PELABUHAN MORESBY: Gempa kuat berukuran 7.0-magnitud menggegarkan kawasan pergunungan di Papua New Guinea awal pagi ini sehingga mencetuskan panik di kalangan penduduk.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada laporan mengenai kecederaan dan kerosakan.
Gempa yang melanda di kawasan kurang penduduk di Pulau New Britain itu berlaku jam 8.01 pagi waktu tempatan (2201 GMT) di kedalaman 54 kilometer, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) dan Pejabat Gempa Bumi Papua New Guinea.
“Kami belum menerima maklumat terkini mengenai kerosakan yang berlaku tapi gegaran amat kuat di Bandar Kimbe dan beberapa bahagian di pulau berkenaan," kata ahli seismologi, Lawrence Anton dari Pejabat Gempa Bumi Papua New Guinea kepada AFP.

Gempa berkenaan terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat gegaran gempa 7.3 magnitud yang melanda wilayah berkenaan Julai lalu. - AFP