Followers

Wednesday, June 3, 2009

Kuala Lumpur minat teknologi hijau, nuklear

Daripada Zainudin Isa di Jeju, Korea Selatan


Najib bersalaman dengan Lee Myung-bak sebelum perbincangan di Pulau Jeju, semalam.

MALAYSIA amat berminat mempelajari teknologi Korea Selatan membangunkan penggunaan teknologi hijau dan nuklear bagi menghasilkan sumber tenaga yang selamat dan bebas daripada pencemaran alam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan dengan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak sempena Sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan yang berakhir semalam.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di hotel penginapan sebelum ke China, beliau berkata antara bidang menarik minatnya ialah teknologi hijau yang bebas daripada pencemaran karbon dioksida yang digunakan secara meluas di Korea ketika ini.

"Antaranya teknologi hijau dan lestari bagi membersih sungai dan pesisir sungai, selain teknologi membran bagi memproses air bersih.

"Malah, kos pembangunan membersihkan empat sungai besar hanya AS$50 juta (RM170 juta). Ia bukan nilai yang tinggi, selain dapat mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baru," katanya.

Katanya kerajaan bersetuju menghantar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas meninjau potensi di Korea Selatan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Korea Selatan juga mempunyai kelebihan dalam teknologi nuklear berskala kecil bagi menjana sumber tenaga alternatif yang kini menghasilkan kira-kira 40 peratus daripada penggunaan keseluruhan sumber tenaga negara itu.

"Presiden Korea Selatan memberitahu reaktor kecil begitu selamat dan boleh dibina berhampiran kawasan perbandaran dengan kemampuan menghasilkan 200,000 hingga 300,000 kilowatt tenaga.

"Malah, kos menghasilkan tenaga daripada nuklear 30 peratus lebih murah berbanding sumber tenaga loji arang batu," katanya.

Najib berkata, pertemuannya dengan Myung-bak turut membangkitkan program yang bakal disusun bagi meraikan sambutan ke-50 tahun hubungan Malaysia-Korea Selatan, tahun depan.

Mengenai perdagangan dan pelaburan dua hala, beliau berkata, Presiden Korea Selatan berpuas hati dengan projek usaha sama Petronas dengan syarikat petroleum nasional Korea yang kini menjalankan projek penggalian minyak di negara dunia ketiga.

Malaysia pula, akan terus menghantar pelajar ke Korea Selatan dalam bidang berasaskan kemahiran dan teknologi baru.

0 comments: