Followers

Sunday, May 9, 2010

Gegaran bumi jadikan saya pening, mual: Pelajar Malaysia

JAKARTA: Gegaran bumi akibat gempa berkekuatan 7.2 skala Richter di Meulaboh, Aceh menyebabkan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi yang sedang mengadakan aktiviti di Pantai Ujong Batee, Banda Acheh turut menjadi cemas.
Mereka termasuk empat pelajar Malaysia yang menyertai 160 pelajar Indonesia dari Institut Agama Islam Negeri, Ar Raniri, yang sedang menjalani program Rehlah (Hari Keluarga) Fakulti Usuluddin institut itu di pantai tersebut.
"Waktu itu saya baru selesai makan tengah hari bersama beberapa rakan lain dan nak ke masjid untuk solat, tiba-tiba saja kepala saya rasa pening. Tak lama kemudian, bumi bergegar lebih kuat untuk kali keduanya dan pada masa itu bukan saja rasa pening malah seperti nak termuntah pula," kata Abdullah Hakimi Zainal Abidin.
Abdullah Hakimi, 21, yang pertama kali mengalami kejadian gempa berkata, gegaran kedua itu menyebabkan rakan-rakan mereka yang lain turut cemas.

"Mereka yang sedang mandi manda di laut, terus berlari naik ke daratan dan tak berapa lama selepas itu, siren amaran tsunami turut dibunyikan di pantai itu," katanya ketika di hubungi dari sini.

Badan Meterologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, yang mengeluarkan amaran potensi tsunami berikutan kejadian gempa di kedudukan 66km Barat Daya Meulaboh, Acheh pada jaml 12.59 tengah hari itu, menarik balik amaran itu kemudiannya.

Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima berikutan kejadian gempa itu.
Abdullah Hakimi, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh, berkata selepas mendengar siren tsunami itu beliau dan tiga rakan pelajar Malaysia meluru ke motosikal dan bergegas meninggalkan kawasan pantai itu.

Tiga lagi pelajar Malaysia yang ada bersama beliau pada masa itu ialah Muhammad Muslim Amran, 20, Abdul Halim, 27, dan Syed Muzaffar, 24. Mereka telah pergi ke pantai itu pagi ini menaiki dua motosikal.

Pada masa sama, Abdullah Hakimi berkata, beliau juga sudah dihubungi Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar yang menasihatkan mereka semua untuk segera meninggalkan kawasan pantai berikutan amaran tsunami oleh pihak berkuasa Indonesia.

Pelajar jurusan ijazah Sarjana Muda Akidah dan Falsafah itu berkata, dalam perjalanan pulang dari pantai itu beliau melihat ramai sekali penduduk Aceh meninggalkan rumah masing-masing menaiki kereta dan motosikal sehingga jalan raya menjadi sesak dengan lalu lintas untuk seketika kerana suasana pada masa itu cemas sekali.

Keadaan di Banda Aceh kembali normal sejak jam 3 petang ini selepas warganya mendapat berita penarikan balik amaran tsunami oleh pihak BMKG.

Abdullah Hakimi berkata, pelajar Indonesia yang ada bersama mereka di pantai itu kurang cemas kerana sudah berpengalaman dengan beberapa gempa bumi sebelum ini.

Ketika dihubungi, beliau sedang berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Pengarah Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Shaharuddin Ismail, yang sememang dijadual sampai di Banda Aceh petang ini.

Untuk sementara waktu ini, katanya, kesemua pelajar Malaysia di institut itu ditempatkan di rumah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh di Darussalam sehingga Yang Dipertua persatuan itu mengeluarkan arahan baru.

Sementara itu, Dr Junaidy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, berkata ada sejumlah 165 pelajar Malaysia sedang menuntut di Institut Agama Islam Ar Raniri, Aceh.

Pengarah MSD Indonesia itu berkata, selain empat pelajar berkenaan yang berada di tepi pantai, kesemua pelajar Malaysia yang lain berada di lokasi lain yang jaraknya 10km dari pantai.

"Maklumat yang diperolehi daripada pemimpin pelajar, semua pelajar dalam keadaan selamat. Pelajar sudah diberitahu supaya mengikuti SOP kecemasan sekiranya berlaku lagi gempa susulan dan tsunami.

"Pihak Jabatan Penuntut Malaysia sedang memantau keadaan pelajar Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu pelajar Malaysia sekiranya keadaan semakin buruk," katanya.

Beliau meminta ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat tentang anak-anak mereka di Aceh supaya menghubunginya di talian +6281 80 88 11111 (Datuk Dr Junaidy) atau email jun@ukm.my. - Bernama

Gempa bumi kuat gegar utara Sumatera

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 skala Richter menggegarkan utara Sumatera pada jam 1.59 petang tadi.
Jabatan Meteorologikal Malaysia dalam satu kenyataan, berkata gempa bumi pada pusat gempa 502 kilometer barat daya Bayan Lepas, Pulau Pinang dan barat daya Meulaboh, Indonesia.
Bagaimanapun, menurut jabatan itu, gegaran itu tidak menyebabkan ancaman tsunami kepada Malaysia. - Bernama

Gegaran gempa bumi dirasai di beberapa negeri Semenanjung Malaysia

GEORGETOWN: Gempa bumi berukuran 7.1 skala Richter berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada 1.59 petang tadi, menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jurucakap jabatan itu berkata, antara negeri yang merasai gegaran selama dua minit itu ialah Pulau Pinang, Perlis, Lembah Kelang, Kedah, dan Langkawi.
Bagaimanapun, di Malaysia tiada ancaman tsunami dilaporkan dan Jabatan Meteorologi sedang memantau keadaan.
Sementara itu, di Pulau Pinang, ribuan penduduk bangunan tinggi di sekitar George Town dan Bayan Lepas, keluar dari rumah masing-masing selepas mendapati rumah mereka bergoyang selama hampir dua minit.

Seorang penghuni di rumah pangsa Nusantara di sini, Hanisah Othman, 40, berkata, beliau terasa pening selepas rumahnya bergoyang tetapi tidak melarikan diri kerana dikhuatiri terperangkap.

Beliau yang tinggal di tingkat enam bangunan itu, berkata, bagaimanapun ratusan penduduk lain melarikan diri dengan turun ke tingkat bawah.

Jabatan Meteorologi melaporkan empat kawasan di Pulau Pinang merasai gegaran itu.
"Antara kawasan yang merasai gegaran itu ialah Seberang Jaya, Batu Feringgi, Sungai Dua dan Batu Kawan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - Bernama

Tambah rumah bumiputera




NAJIB Tun Razak memukul gong sebagai tanda perasmian Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang di Bukit Mertajam semalam. – Mingguan/Sazali Che Din


BUKIT MERTAJAM 8 Mei – Kerajaan akan menambah peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membina lebih banyak perumahan kos rendah dan sederhana yang mampu dimiliki golongan bumiputera di Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, langkah tersebut wajar memandangkan tahap pemilikan rumah oleh orang Melayu terutamanya di lokasi strategik di negeri ini masih terlalu rendah.
Serentak itu katanya, kerajaan juga akan menyalurkan dana untuk yayasan sedia ada di Pulau Pinang untuk membantu meningkatkan penyertaan dan keupayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.
‘‘Kalau ada tanah, kita sanggup tambah peruntukan untuk membina rumah kos rendah atau kos sederhana supaya orang Melayu juga mampu memiliki rumah.
‘‘Jadi dalam RMK-10 nanti, peruntukan ini akan kita tambah,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Zainal Abidin Osman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi Sekretariat Ekonomi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Norraesah Mohamad.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada 30 peratus kuota peruntukan perumahan untuk golongan bumiputera, hanya 13 peratus yang mampu dibeli oleh golongan itu di Pulau Pinang.
‘‘Melihat kepada angka-angka ini, masih banyak yang tidak mampu.
“Justeru, kita perlu sediakan rumah yang mampu dibeli oleh orang Melayu di tempat-tempat tertentu,” tambahnya.
Perdana Menteri turut mengesyorkan supaya tumpuan diberi kepada usaha memberi latihan kemahiran kepada golongan muda terutamanya yang tidak dapat melanjutkan pengajian selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dengan kemahiran katanya, golongan itu mampu membina keupayaan untuk menceburi bidang lain sekali gus membantu mewujudkan persekitaran ekonomi orang Melayu yang lebih baik pada masa depan.
‘‘Kita tidak mahu anak-anak kita keluar setakat SPM sahaja dan akhirnya ramai yang bekerja kilang kerana ini tidak membantu mereka membina keupayaan untuk berjaya.
‘‘Kalau setakat SPM, kita tidak akan kemana-mana. Sebab itu, kita mahu lebih banyak anak-anak kita melanjutkan pengajian atau setidak-tidaknya menguasai pelbagai kemahiran,” ujarnya.