Followers

Monday, May 31, 2010

Subsidi yuran pengajian pelajar asing di IPTA ditarik balik Julai

PUTRAJAYA: Subsidi yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang turut dinikmati oleh pelajar asing akan ditarik balik mulai sesi pengajian Julai ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ini bermakna yuran pengajian yang perlu dibayar oleh pelajar asing tersebut sama seperti jumlah yang dikenakan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kepada pelajarnya.
Bagaimanapun, katanya, subsidi yuran pengajian kepada pelajar tempatan di IPTA dikekalkan.
"Dalam sektor pengajian tinggi, kita ingin menjelaskan bahawa tidak ada apa-apa cadangan untuk menghapuskan subsidi kepada pelajar tempatan di IPTA supaya rakyat tidak merasa bimbang.

"Bagaimanapun, mulai tahun ini subsidi yuran pengajian atau sebagainya yang diberikan kepada pelajar antarabangsa tidak lagi membenarkan apa-apa elemen subsidi diberikan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian surat kelulusan penubuhan, pendaftaran IPTS dan pendaftaran Ketua Eksekutif Universiti Antarabangsa Inti, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata sebelum ini, sesetengah IPTA menjadikan keistimewaan subsidi tersebut sebagai daya tarikan untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

"Tetapi setiap IPTA sekarang ini mempunyai kekuatan masing-masing dan ramai pelajar asing mahu belajar di IPTA, jadi mereka tidak perlu lagi diberikan keistimewaan subsidi itu dan mereka perlu bayar (yuran) penuh," katanya.
Mengenai kenaikan taraf Kolej Universiti Inti kepada Universiti Antarabangsa Inti, beliau berkata pengiktirafan tersebut diharap mampu menyumbang kepada usaha Malaysia menjadikan negara ini sebagai hab pengajian tinggi.

"Universiti Antarabangsa Inti menepati kriteria atau syarat untuk dinaik taraf sebagai sebuah universiti dan diharap dengan pengiktirafan ini bakal menawarkan program bertaraf dunia kepada pelajar," katanya.

Universiti Antarabangsa Inti yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan itu ditubuhkan sejak 1998 dan mempunyai 5,500 pelajar. - Bernama

Ratusan tan sisa plastik dibuang dekat taman perumahan di Kuala Ketil

BALING: Sejak beberapa bulan lalu, penduduk Taman Orkid dan Taman Batu Pekaka di Kuala Ketil dekat sini berhadapan dengan masalah sampah dan bau busuk tidak terhingga berikutan tindakan pihak tertentu melonggokkan beratus-ratus tan bahan buangan sisa plastik berhampiran kawasan kediaman mereka.
Lebih membimbangkan tengah hari semalam pihak yang tidak bertanggungjawab itu bertindak membakar sampah yang dimasukkan ke dalam lubang yang dikorek hingga menimbulkan asap tebal dengan bau busuk yang dapat dilihat dalam jarak lebih tiga kilometer.
Beberapa penduduk di sini mendakwa pembuangan bahan daripada sisa plastik di kawasan itu berlaku lebih tiga bulan dan tiada tindakan mana-mana pihak termasuk Majlis Daerah Baling (MDB), walaupun selepas aduan dibuat.
Seorang Ahli Majlis Daerah Baling, Chang Sung Lim, 50, ketika ditemui di tempat pembuangan sisa plastik berdekatan Taman Orkid petang semalam berkata beliau beberapa kali membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat majlis tetapi tiada tindakan diambil hingga semalam.

Beliau turut kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membakar bahan sisa plastik yang mengeluarkan bau busuk hingga mengganggu penduduk di kawasan taman berkenaan.

"Tindakan membakar bahan plastik ini tidak wajar kerana ia boleh menyebabkan pencemaran udara di kawasan taman perumahan di sini," katanya kepada pemberita.

Sementara itu seorang penghuni Taman Batu Pekaka, Mohd Zailani Hashim, 45, berkata tiada tindakan diambil oleh pihak yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah itu.
"Saya amat kesal kerana beratus tan sisa buang daripada bahan plastik dibuang di kawasan ini, tetapi tidak ada sebarang tindakan daripada mana-mana pihak," katanya.

Penghuni Taman Orkid yang tinggal berhadapan dengan kawasan pembakaran itu, Abdullah Abd Rahim, 34, kesal tidak ada sebarang tindakan diambil walaupun kejadian pembuangan sisa bahan plastik itu sudah dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Daerah Baling sebelum ini.

Usaha memadam pembakaran longgokan sisa buangan plastik di kawasan itu dilakukan dengan menggunakan sebuah jentolak untuk menimbuskan tanah di atas sisa buang plastik yang terbakar, dipercayai dilakukan oleh pihak yang melonggokkan sisa buangan berkenaan setelah menyedari kehadiran media dan penduduk di kawasan berkenaan akibat asap tebal itu. - Bernama

Konsep 1Malaysia sebahagian kehidupan harian: Najib

KUALA LUMPUR: Konsep 1Malaysia semakin diterima sebagai sebahagian penting dalam cara hidup harian rakyat negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata bahawa di mana saja beliau pergi, rakyat teruja dengan konsep yang diperkenalkannya itu pada April tahun lepas apabila beliau mula menerajui tampuk kepimpinan negara.
Bagaimanapun, konsep itu memerlukan sedikit masa untuk mencapai tahap terbaiknya, kata beliau pada satu pertemuan dengan 2,000 pegawai dan kakitangan Maybank dalam lawatannya ke Menara Maybank sempena sambutan ulang tahun ke-50 bank itu tahun ini.
"Apa yang penting ialah kita telah mulakan proses ini. Jika anda tanya saya tentang apa yang perlu dibuat dan sama ada ia dilaksanakan dengan jayanya, saya rasa ini adalah satu proses. Saya berpendapat proses ini sedang mendapat momentum," katanya ketika diajukan soalan oleh seorang petugas bank itu mengenai kejayaan konsep berkenaan setakat ini dalam kehidupan harian rakyat Malaysia. - Bernama

Nasib dua wakil Astro Awani belum diketahui selepas serangan komando Israel

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan dan seorang jurukamera stesen televisyen Astro Awani dalam kapal Turki "Mavi Marmara" yang diserang tentera Israel pagi ini dalam misi bantuan ke Gaza, belum diketahui.

Seorang pegawai stesen televisyen itu berkata mereka cuba menghubungi wartawan Ashwad Ismail, 25, dan jurukamera Shamsul Kamal Latip, 38, sejak 11 pagi tadi tetapi tidak berjaya.
"Kami sedang cuba mendapat maklumat mengenai keadaan mereka melalui pelbagai cara," katanya ketika dihubungi.

Kali terakhir kedua-duanya menghubungi stesen televisyen itu ialah pada 7.45 malam tadi ketika kapal itu sedang berada dekat Gaza manakala rakaman gambar kapal berkenaan diterima di sini awal pagi ini.

Enam lagi rakyat Malaysia yang berada dalam satu lagi kapal, "Rachel Corrie" yang juga dalam misi serupa, dilaporkan selamat.

Mereka terdiri tiga wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria serta wartawan Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin, kedua-dua daripada TV3.
Menurut laporan Al-Jazeera, seramai 15 aktivis terbunuh dan ramai yang cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki itu yang mendahului beberapa kapal lain dalam misi menghantar 5,000 tan bahan binaan, bekalan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada PGPO, Shamsul berkata mereka berada 1,600 kilometer dari Gaza.

"Rancangan sekarang ialah untuk meneruskan perjalanan dan berpatah balik jika ada amaran daripada tentera Israel," katanya. - Bernama

Rakyat Malaysia bersama konvoi ke Gaza selamat

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang menaiki kapal utama 'Rachel Corrie', satu daripada enam kapal dalam armada kapal kecil yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, selamat, selepas tentera Israel menaiki kapal Turki bagi menghalang konvoi itu.
Al-Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 15 aktivis terbunuh dan ramai yang cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki yang mengetuai armada kapal kecil awal pagi ini.
"SMS dari Rachel Corrie -- Semua yang berada di atas kapal selamat. 1,000 batu dari Gaza," kata seorang pegawai dari Perdana Global Peace Organisation (PGPO) di sini.
Tiga wakil dari PGPO di atas kapal itu ialah Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu dan Anggota Parlimen kawasan Parit Mohd Nizar Zakaria.

Mereka turut disertai wartawan TV3 Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin.

Dalam SMSnya kepada PGPO, Shamsul berkata mereka berada kira-kira 1,000 batu nautika dari Gaza.

"Kami telah mendengar mengenai IHH (kapal Turki). Rancangan sekarang adalah untuk terus maju dan berpatah balik sekiranya terdapat amaran daripada tentera Israel," katanya.
Menurut PGPO, kapal-kapal itu membawa 5,000 tan bahan-bahan pembinaan semula, peralatan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza. - Bernama

Tempat kerja berhawa dingin kawasan larangan merokok mulai esok

KUALA LUMPUR: Semua tempat kerja dengan sistem pendingin hawa berpusat akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok mulai esok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penguatkuasaan menyeluruh itu membabitkan semua tempat kerja sektor swasta, berbanding hanya sektor kerajaan sebelum ini.
Katanya, pengwartaan itu menjadikan kawasan larangan merokok di negara ini sebanyak 21 tempat.

Pelan Induk Pengguna 2010-2020 akan dilancar

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melancarkan Pelan Induk Pengguna 2010-2020 bagi mengurangkan campur tangan kerajaan dalam melindungi pengguna pada masa depan, kata Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malaysia kekal import beras jika kos jelapang padi tinggi

CHANGLUN: Malaysia mungkin akan terus mengimport beras jika hasrat kerajaan menambah kawasan jelapang padi di negara ini memerlukan kos yang lebih besar daripada kos mengimport beras.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata pada masa ini negara mengimport 30 peratus beras dan kerajaan akan mengkaji daripada pelbagai sudut sama ada ia perlu diteruskan atau tidak.
"Kita kaji sama ada mahu mengeluarkan 100 peratus beras kepada rakyat atau pun mengekalkan import sebanyak 30 peratus," katanya kepada pemberita selepas menutup program Hari Bertemu Pelanggan bersama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Napoh di sini petang semalam.
Beliau berkata, buat masa ini tumpuan akan diberi kepada usaha menaik taraf kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dalam usaha mengeluarkan padi yang lebih berkualiti.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kementerian memperuntukkan RM140 juta bagi menaik taraf kawasan Mada. Ia termasuklah memberi pampasan kepada penduduk kerana sungai dan terusan dalam kawasan Mada berada di atas tanah mereka," katanya.

Sementara itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, berkata Keda akan membina kawasan Rehat dan Rawat (R & R) di Keda Napoh bagi memudahkan pengunjung yang melalui kawasan itu berehat kerana di situ belum mempunyai kawasan rehat.

Projek bernilai kira-kira RM5 juta itu akan mula dilaksanakan Jun ini dan dijangka siap hujung tahun depan. - Bernama