Followers

Tuesday, January 5, 2010

Polis temui motosikal dinaiki cucu bekas imam yang mati dibunuh

TAMPIN: Polis menemui motosikal yang dinaiki cucu bekas imam yang mati dibunuh bersama tiga ahli keluarga lain, ditinggalkan berhampiran Perhentian Bas Tampin pada jam 3 pagi tadi.

Cucu bekas imam itu, Rashidi Ismail, 34, dicari polis bagi membantu siasatan pembunuhan datuk, nenek, bapa dan adiknya di dua rumah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh dekat sini, semalam.

Mayat mangsa, Atan Daud, 90, yang juga bekas imam masjid kampung berkenaan serta isterinya, Sofiah Keatas, 80, menantu pasangan warga emas itu, Ismail Awang, 76, dan anak Ismail, Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui mati dalam keadaan negeri.

Terdapat kesan tetakan dan tikaman pada semua mangsa dengan pisau tercacak pada dada Siti Khadijah, manakala Atan putus tangan kiri, Sofiah putus tangan kanan dan Ismail pula putus kepala.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata empat beranak itu dipercayai dibunuh kira-kira jam 10 pagi, tetapi kejadian berkenaan hanya disedari selepas seorang lagi anak Ismail, Siti Mariam, 18, pulang dari sekolah pada jam 3.30 petang.

Gempa 6.7 skala Ritcher gegar selatan Atlantik

WASHINGTON: Gempa bumi pada ukuran 6.7 skala Ritcher menggegarkan selatan lautan Atlantik awal hari ini, di timur Selatan Georgia dan Selatan pulau-pulau Sandwich, iaitu lokasi kurang penduduk bagi kawasan milik British.

Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa melanda di kawasan perairan 685 kilometer timur Pulau Bristol, iaitu sebahagian rantaian yang tidak berpenduduk kecuali ahli sains yang mempunyai pangkalan di lokasi itu.

Manakala, Pusat Amaran Tsunami Pasifik, tidak mengeluarkan amaran tsunami yang boleh memusnahkan, tetapi mengesahkan kemungkinan tsunami tempatan atau kawasan yang memberi kesan terhadap kawasan pesisirnya, berhampian pusat gempa. - AFP

Jangan guna isu Allah keruhkan keadaan: Jamil Khir

PUTRAJAYA: Isu penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Gereja Katholic, Herald - The Catholic Weekly tidak seharusnya dijadikan medium oleh pihak lain untuk mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata pihak terbabit khususnya penulis blog dan laman-laman internet harus memelihara batasan yang ditetapkan apabila berkarya supaya tidak mewujudkan ruang negatif yang boleh disalah guna oleh golongan tertentu.

Katanya, ruang negatif seumpama itu sekiranya disalah gunakan boleh mencetuskan ketegangan di kalangan masyarakat setempat, apatah lagi isu membabitkan agama sangat sensitif untuk diperdebatkan.

"Dalam hal ini kita menyeru laman blog termasuk laman lain dalam internet, dan mengharapkan kebijaksanaan mereka agar kesempatan itu tidak digunakan oleh orang lain yang melihat ada ruang negatif yang timbul daripada tulisan yang mereka hasilkan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika ditanya mengenai pertemuan beliau dengan 22 badan bukan kerajaan (NGO) Islam semalam untuk membincangkan pandangan masing-masing berhubung tindakan kerajaan memfailkan rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald - The Catholic Weekly.

Beliau berkata, semua pihak yang terbabit dalam pertemuan itu sepakat berdiri dan menyokong penuh tindakan kerajaan dan turut menyarankan agar ia dibincangkan mengikut saluran perundangan yang ada, termasuk membawa isu berkenaan kepada Majlis Raja-Raja.

"Dalam saluran perundangan ini, kita ada enakmen kawalan di negeri-negeri, iaitu enakmen yang diwartakan untuk pengawalan dan sekatan terhadap pengembangan agama bukan Islam. Enakmen ini diwartakan kepada semua negeri kecuali Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan," katanya.

Dalam hal ini jelas Jamil Khir, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneruskan dialog bersifat intelektual bersama golongan bukan Islam supaya penggunaan kalimah Allah ini dapat diperjelaskan.

"Bukan itu sahaja, kita juga akan jelaskan mengenai kemurnian dan keindahan agama Islam mengikut perundangan dan sejarah Islam itu sediri.

"Untuk umat Islam pula, penjelasan yang lebih dalam akan disampaikan menerusi medium sedia ada seperti khutbah Jumaat dan forum Islam untuk menjaga keharmonian yang sedia terbentuk selama ini," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa kalimah Allah telah lama digunakan dalam kitab suci Injil dan Taurat, beliau berkata penggunaan kalimah Allah pada kitab tersebut tidak berpandukan kepada konteks "lam yalid walam yulad" (tidak beranak dan diperanakkan) yang disebut dalam Surah Al-Ikhlas.

"Dalam kajian yang dibuat tidak ada kitab lain yang menggunakan kalimah ini. Walaupun ajaran Samawi ada menggunakan Allah, tapi bukan dalam konteks yang kita perkatakan sekarang. Bukan dalam konteks "lam yalid walam yulad", jadi kekeliruan akan timbul jika penggunaan itu dialihkan daripada konteks itu," katanya. - Bernama

Kenaikan harga gula tidak beri kesan ketara kepada F&B

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga gula tidak akan memberikan sebarang kesan ketara pada syarikat makanan dan minuman (F&B) besar di negara ini.

Bagaimana pun, pengeluar dan peruncit F&B yang kecil kemungkinan merasai kesan kos bahan mentah yang lebih tinggi.

"Kami tidak merasakan kenaikan harga gula akan menghakis secara signifikan margin pengeluar makanan yang lebih besar seperti Nestle, QL Resources dan Kawan Food kerana mereka biasanya membeli secara pukal," kata OSK Research di dalam satu kenyataan hari ini.

Harga gula kini meningkat 20 sen sekg dan dijual runcit RM1.65 sekg di Semenanjung Malaysia dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

OSK berkata, dengan pengurusan kos yang berkesan dan nisbah ramuan, syarikat berkenaan dapat menguruskan kos dengan baik kerana gula hanya salah satu bahan mentah yang digunakan di dalam pengeluaran makanan.

Katanya, kenaikan harga gula juga tidak menyekat penggunaan makanan kerana segmen itu kebanyakannya tidak boleh berubah.

Bagi pengeluar minuman seperti F&N, syarikat penyelidikan itu berkata, kesannya tidak ketara kerana kenaikan minimum harga gula akan hanya diterjemah kepada tambahan 1.0 sen.

Sementara itu, OSK berkata harga roti akan naik perlahan-lahan.

"Kami merasakan harga semasa tidak dapat dikekalkan pada tempoh yang lama kerana Persatuan Pengeluar Bakeri yang bermesyuarat secara tetap untuk menentukan harga roti, dijangka menaikkan harganya secara perlahan-lahan mengikut harga gandum," katanya.

Harga runcit baru roti putih adalah RM2.30 sebuku.

Menara tertinggi dunia, Burj Khalifa dibuka

DUBAI: Ketika berdepan kemelut kewangan, bangunan dan menara tertinggi dunia yang baru - Burj Dubai - dibuka dengan rasminya malam tadi dengan ketinggian 828 meter (2,717) di tengah padang pasir Dubai.

Dengan percikan bunga api, pembinaan struktur paling mengagumkan itu dirasminya pemerintah Dubai, Sheikh Mohammad Rashed al-Maktoum.

Dikenali sebagai Burj Dubai ketika pembinaannya, Sheikh Mohammad bagaimanapun malam tadi mengisytiharkan nama baru kepada mercu tanda baru dunia itu sebagai Burj Khalifa iaitu tanda menghormati Presiden Emeriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed al-Nahayan.

Sheikh Khalifa juga adalah pemerintah Abu Dhabi, negara sekutu UAE yang membantu menyuntik AS$10 bilion tahun lalu untuk menyelamatkan syarikat pemaju hartanah gergasi Nakheel, iaitu anak syarikat Dubai World.

"Hari ini UAE berjaya memiliki bangunan tertinggi di dunia yang dihasilkan tangan-tangan manusia.

"ia asatu projek yang hebat dan ia berhak memakai nama orang yang hebat," kata Sheikh Mohammad.

Pasukan payung terjun yang memakai pakaian ala bendera UAE iaitu hijau, hitam dan putih menyentuh potrait gergasi Sheikh Khalifa yang disemat di dinding menara yang menelan belanja AS1.5 bilion itu.

Dubai berharap Burj Khalifa akan mengembalikan semula kegemilangan ekonomi dan kewangan negarai itu yang tercalar akibat kemelut hutang, baru-baru ini.

Kerja bagi Burj Dubai bermula pada 2004 dan berterusan.

Setiap masa tingkat baru akan ditambah hampir setiap tiga hari, menunjukkan Dubai terus membentuk keadaannya sejak beberapa tahun dari sebuah padang pasir kepada sebuah kosmopolitan urban gergasi yang dipenuhi pencakar langit.

Sehingga Januari 2007, beribu-ribu pekerja yang kebanyakan mereka dibawa secara kontrak sementara dari India menyiapkan 100 tingkat bangunan terbabit.

Bangunan lengkap mengandungi lebih 160 tingkat. Ia melebihi 50 tingkat berbanding Menara Willis di Chicago, bangunan yang pernah memegang rekod paling tinggi yang dikenali di Amerika Syarikat sebagai Sears Towers.