Followers

Wednesday, May 26, 2010

H1N1: Wanita hamil korban ke-87

KUALA LUMPUR: Satu lagi kematian akibat jangkitan virus influenza A (H1N1) dilaporkan, menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat wabak itu sehingga hari ini ialah 87 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mangsa terbaru ialah seorang wanita hamil berumur 41 tahun yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada 12 Mei lalu.

"Beliau mengalami gejala demam dan batuk selama dua hari serta masalah pernafasan sebelum dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 12 Mei 2010.
"Beliau mengalami masalah pernafasan akibat pneumonia yang teruk semasa dalam rawatan dan meninggal dunia pada hari yang sama.

"Hasil perbincangan pakar telah mengesahkan bahawa penyebab kematian ialah akibat jangkitan virus influenza A (H1N1)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, sehingga jam 5.30 petang semalam, sejumlah 26 kes disahkan positif H1N1 dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 14,718.

Katanya, jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 573 kes.
"Daripada jumlah itu, 40 kes atau 7 peratus telah disahkan positif influenza A(H1N1). Bilangan kes di ICU ialah tujuh kes dengan semuanya mempunyai faktor risiko," katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 8 pagi ini, empat kejadian kluster ILI dilaporkan di Melaka, Johor, Terengganu dan Selangor, manakala 107 kejadian kluster masih aktif di seluruh negara.

Gempa bumi kuat gegar Jepun

TOKYO: Gempa Bumi kuat pada magnitud 6.4 menggegarkan berdekatan selatan pulau Okinawa, hari ini, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Menurut jabatan Kajiseldik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), ia melanda di 240 kilometer timur Okinawa.

Kejadian jam 5.53 petang tadi (waktu tempatan) dianggarkan pada kedalaman 10 kilometer. - AFP

Gadis bawah umur ikut "suami" ke Lombok selamat pulang ke Sarawak

KUCHING: Seorang gadis bawah umur, Steffanie Liana anak Langka, 15, dari Mukah selamat pulang ke Sarawak pagi ini selepas menempuh pelbagai pengalaman pahit ketika ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana memasuki negara itu secara tidak sah.

Steffanie atau nama Islamnya Liana Abdullah berasal dari Rumah Nangkai Nanga Maga Mukah dikatakan mengikut "suaminya" Tohri Jadi Jaya, 22, ke Lombok Timur 26 Mac lalu selepas mereka dikahwinkan secara Islam oleh seorang rakan Tohri di rumah panjang tempat Liana tinggal 10 Oktober tahun lalu.

"Selepas kami hidup bersama, saya yang tidak mempunyai MyKad dan pasport antarabangsa bersetuju dengan pelawaan Tohri untuk ke Lombok atas sebab untuk memperkenalkannya dengan keluarga Tohri di sana.
"Namun apabila sampai di sana saya telah berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini hari ini.

Liana yang tiba 1 pagi dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 9 pagi di KIA ditemani oleh Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh sebelum meneruskan penerbangan ke Sibu petang ini.

Katanya, dia berkahwin dengan Tohri, pemandu jengkaut di sebuah ladang di Mukah hanya selepas tiga hari berkenalan dan perkahwinan tersebut mendapat restu daripada neneknya.

Liana yang kini mengandung lima bulan bagaimanapun berkata dia masih lagi sayangkan suaminya namun buat masa sekarang dia hanya mahu tinggal bersama keluarga di kampung dan terpulang kepada suaminya untuk datang ke Sarawak selepas ini.
Sementara itu, Muhd Khairun berkata Liana yang tidak mempunyai dokumen peribadi yang lengkap berjaya dibawa balik ke Malaysia dengan kerjasama Jabatan Imigresen Indonesia dan Kedutaan Malaysia yang mengeluarkan Pas Perakuan Cemas.

Katanya, pada 27 Mac lalu ibu Liana, Dimah anak Ingai telah membuat laporan polis di Sibu mengatakan anaknya dilarikan ke Indonesia.

Berikutan itu pihaknya dengan kerjasama Pemuda Parti Rakyat Sarawak telah berhubung dengan Interpol dan Polis Republik Indonesia (POLRI) untuk mengesan Liana.

"Dengan kerjasama Interpol dan POLRI kami berjaya mengesan Liana sebelum membawanya ke Jakarta untuk dibawa balik ke Malaysia," katanya.

Menurut Muhd Khairun mengikut Akta Imigresen Indonesia, Liana boleh dipenjara enam bulan dan denda kerana memasuki negara berkenaan secara haram. - Bernama

17 penuntut perubatan ke Mesir terima tawaran biasiswa 1Malaysia

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi menyampaikan surat tawaran biasiswa 1Malaysia Development Berhad kepada 17 penuntut jurusan perubatan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Mesir.
Mereka adalah bekas pelajar sekolah menengan agama negeri dan sekolah menenengah agama rakyat dengan nilai biasiswa RM50,000 setahun dengan komitmen maksimum enam tahun.

Dakwaan Malaysia gadai aset kepada Singapura tak benar: Ghani Othman

JOHOR BAHRU: Dakwaan Malaysia menggadaikan aset kepada Singapura apabila Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar, Singapura diserahkan kembali kepada republik itu adalah tidak benar dan tidak berasas, kata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Malah, katanya, hubungan dua hala Malaysia dan Singapura bertambah baik selepas beberapa isu tertunggak berjaya diselesaikan termasuk pemindahan stesen KTMB di Tanjung Pagar yang membawa kepada lebih banyak pelaburan republik berkenaan ke Iskandar Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di kediaman rasminya malam tadi bagi memperjelaskan keputusan kerajaan untuk menyerah dan memindahkan Stesen KTMB Tanjung Pagar kepada Singapura.
Abdul Ghani berkata, dakwaan Malaysia menggadaikan aset kepada Singapura tidak benar dan tidak berasas sama sekali walaupun Stesen KTMB di Tanjung Pagar akan berpindah ke Woodlands pada 2011.

Katanya, Malaysia mendapat dua bidang tanah di Marina South dan Rochor Ophir yang nilainya, sama dengan nilai tanah KTMB yang bertaburan di republik berkenaan seluas 217 hektar.

“Rakyat perlu faham, KTMB tetap perlu keluar dari Tanjung Pagar, itu sudah dipersetujui pemimpin kedua negara dalam inti pati perjanjian (Point Of Agreement) pada 1990, berdasarkan Perjanjian 1918.

Bagaimanapun, kita memperoleh tanah baru yang sudah mempunyai pembangunan bertaraf antarabangsa.
“Pelaburan dan pembangunan di dua bidang tanah itu, akan dilakukan syarikat usaha sama kedua negara iaitu MS PTE LTD, iaitu usaha sama antara Khazanah Nasional dan Temasek Holdings," katanya.

Abdul Ghani berkata, pada masa sama, kedua negara juga bersetuju untuk menyediakan Sistem Pengangkutan Deras (RTS) secara usaha sama yang akan menghubungkan sebuah stesen baru di Tanjung Puteri, Johor dengan stesen terakhir Transit Aliran Ringan (MRT) Singapura di Stesen Republik.
“Apabila RTS mula beroperasi pada 2018, KTMB perlu keluar dari Singapura dan kerajaan Johor sudah mengenal pasti stesen baru KTMB di negeri ini, seluas 80 hektar di Kempas yang terletak lapan kilometer dari pusat bandar raya," katanya.

Ditanya sama ada rundingan perjanjian itu, turut menyentuh pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor, Abdul Ghani berkata, soal jambatan baru langsung tidak disentuh oleh kedua-dua negara.

Beliau juga mengakui Sultan Johor, Sultan Ibrahim tidak memberikan sebarang reaksi kepada perjanjian berkenaan.

“Johor juga memperoleh semua aset Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura di Loji Skudai serta Empangan Gunung Pulai, kedua-duanya masih beroperasi dengan baik dan ia adalah milik rakyat Johor bukan kerajaan Pusat, " katanya.