Followers

Sunday, May 30, 2010

Kerajaan belum muktamad MBE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Model Baru Ekonomi (MBE) masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan dan ia sebaliknya adalah cadangan pakar ekonomi untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara agar dapat bersaing pada peringkat global.
Perdana Menteri berkata, cadangan MBE bukan bermaksud kerajaan akan mengetepikan agenda pembangunan Melayu dan Bumiputera sebaliknya akan terus mendapatkan pendapat masyarakat Melayu dalam perkara itu bagi menjadikannya lebih dinamik bagi memantapkan ekonomi negara.

“MBE adalah cadangan golongan pemikir yang melihat sudut pasaran global tetapi kita masih mendengar suara akar umbi berhubung perkara itu. MEB juga bukan bermaksud kita mengetepikan agenda Melayu sebaliknya mencari pendekatan dinamik yang akan memberi hasil yang lebih besar.
“Oleh demikian, orang Melayu janganlah khuatir...saya akan meneliti semua pandangan diberikan pelbagai pihak mengenainya, termasuk Majlis Perundingan Melayu (MPM),” katanya berucap pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera MBE 2010 anjuran MPM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Perdana Menteri berkata, rakyat khususnya Melayu tidak seharusnya sangsi bahawa beliau tidak mendengar isi hati orang Melayu dalam melaksanakan MBE.

“Tidak mungkin saya sebagai Presiden Umno tidak mendengar suara orang Melayu yang juga penduduk majoriti negara ini.

“Saya tidak akan mengkhianati perjuangan dan semangat ayah saya, Allahyarham Tun Abdul Razak yang memperkenalkan dan memperjuangkan Dasar Ekonomi baru (DEB)...begitu juga ketika kita melaksanakan MBE,” katanya.
Najib berkata, beliau akan memastikan orang Melayu turut mampu bersaing di peringkat global tanpa mengabaikan bangsa lain yang turut berperanan membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Dalam kita memajukan ekonomi Melayu.., jangan kita maki hamun bangsa lain kerana kita juga perlukan sokongan kaum Cina dan India begitu juga kaum lain di negara ini.

“Islam mengajar kita supaya berlaku adil bukan hanya sesama kita sebaliknya turut perlu berlaku adil kepada bangsa lain. Umno mampu bertahan sehingga kini kerana kita berlaku adil kepada semua,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, Malaysia boleh mencapai status negara maju menjelang 2020 jika negara terus mencatatkan pertumbuhan enam peratus setiap tahun.

“Kita kena capai pertumbuhan enam peratus tiap-tiap tahun, Insya-Allah sebelum tahun 2020, kita sudah capai status negara maju,” katanya.

SUSULAN PENYUSUNAN SEMULA SUBSIDI: ‘Pelaksanaan mesti tak jejas golongan miskin’

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta berani melaksanakan cadangan memansuh atau mengurangkan subsidi bagi mengelakkan negara mengalami kerugian, tetapi harus memastikan langkah itu tidak menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia Kelantan (DPIMK), Datuk Dr Ilias Husain, berkata jika kerajaan terpaksa menanggung kerugian begitu banyak dan ada mekanisme lain yang lebih menguntungkan, sudah tiba masa untuk memansuhkan subsidi.

“Pemberian subsidi sudah lama, jadi jika ingin memansuhkannya kerajaan mesti berani. Saya kira Malaysia boleh hidup tanpa subsidi, malah banyak negara berjaya dan rakyatnya boleh hidup tanpa subsidi.
“Di negara kita hari ini, subsidi dinikmati semua lapisan rakyat termasuk orang kaya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar kelmarin melaporkan, kerajaan akan mengurang atau memansuhkan subsidi tol, bahan api, tenaga, gula, tepung dan minyak masak secara berperingkat mulai tahun ini bagi membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.

Perkara itu dikemukakan Makmal Rasionalisasi Subsidi dan dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pada hari terbuka makmal berkenaan, Khamis lalu.

Ditanya apakah pengurangan dan pemansuhan subsidi memberi kesan kepada sektor perniagaan dan perdagangan, Ilias berkata, sedikit sebanyak akan berlaku kenaikan kos.
“Bagaimanapun, bebannya boleh dikurangkan dengan benda lain supaya kenaikan kos itu tidak terasa dan saya yakin kita boleh melakukannya. Bagaimanapun satu kajian menyeluruh mengenainya dan mekanisme khusus perlu dibuat bagi memastikan pemansuhan subsidi tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya.

SUSULAN PENYUSUNAN SEMULA SUBSIDI: Pendapatan perlu naik elak rakyat tertekan

Dr M saran kerajaan kurang subsidi secara berperingkat
JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu memikirkan untuk menaikkan pendapatan rakyat dan mengurangkan subsidi barangan keperluan dan bahan bakar secara berperingkat bagi mengelak rakyat tertekan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata usaha mengurangkan subsidi sememangnya perlu diterima semua pihak kerana ia akan memacu ekonomi negara ke satu tahap dan kedudukan lebih baik.
“Kita perlu menerima bahawa subsidi memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara. Harga susu lembu pada hari ini tidak akan kekal sama pada masa depan. Jika subsidi diteruskan, ia akan memberikan kesan besar kepada kewangan negara.

“Cuma subsidi ini perlu dikurangkan secara tidak mendadak dan berharap pendapatan rakyat juga dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya mereka tidak tertekan,” katanya selepas merasmikan Wacana Kepemimpinan Kelab Veteran Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Kelab Veteran MAYC, Tan Sri Sanusi Junid dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Rabu lalu, kerajaan mencadangkan subsidi tol, bahan api dan tenaga serta gula, tepung dan minyak masak dikurangkan atau dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun ini bagi membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.
Malaysia antara negara paling bersubsidi di dunia dengan tahun lalu saja jumlahnya mencecah RM74 bilion merangkumi bahagian sosial (RM42.4 bilion), bahan api dan tenaga (RM23.5 bilion), prasarana (RM4.8 bilion) dan makanan (RM3.4 bilion).

Beban hutang negara kini mencecah RM362 bilion atau 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) - yang tertinggi sejak merdeka dan dianggar meningkat kepada RM1,158 bilion menjelang 2019 yang boleh mengakibatkan negara muflis.

Ditanya mengapa tindakan mengurangkan subsidi tidak dilakukan pada zaman kepemimpinannya, Dr Mahathir berkata, ia kerana harga komoditi yang diberikan subsidi tidak begitu tinggi pada masa itu.

Beliau berkata, harga satu tong minyak ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri ialah sekitar AS$30 (RM99) dengan kerajaan masih mampu menanggung subsidi ketika itu berbanding harga bahan yang sama yang kini meningkat kepada AS$80 (RM264).

“Bahkan, rakyat Bangladesh terpaksa membayar harga petrol jauh lebih tinggi berbanding negara ini. Dalam lawatan saya ke Jepun sebelum ini, rakyatnya juga mengakui kebanyakan barang yang dijual di Malaysia adalah murah,” katanya

Polis tahan teman lelaki remaja tanam bayi

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan teman lelaki kepada remaja perempuan yang dikaitkan dengan kes penemuan mayat seorang bayi yang ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah mengenal pasti identiti lelaki itu yang berusia 30-an dan percaya dia kini bersembunyi di sekitar Lembah Klang.

"Kita sedang mengesan teman lelaki remaja itu, yang bekerja sebagai operator sebuah kilang, bagi membantu siasatan mengenai kejadian berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan amal menembak anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Lapang Sasar Subang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mayat bayi lelaki malang berkenaan ditemui oleh seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad yang kemudiannya melaporkan tentang kewujudan sebuah kubur kecil di kawasan terbabit.

Hasil pemeriksaan ke atas kubur itu, polis menemui mayat bayi berkenaan yang dibalut dengan kain lampin dan dipercayai baru dilahirkan.

Ekoran kes itu, Jumaat lalu polis mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun dan kakaknya berusia 24 tahun kerana disyaki terbabit menanam bayi berkenaan.

Khalid berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. - Bernama

Satu lagi positif H1N1 di Perak

KUALA LUMPUR: Satu lagi kes disahkan positif Influenza A (H1N1)di Perak daripada dua laporan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) di negeri itu menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan kini 14,804 di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat di hospital seluruh negara adalah 589 kes dengan 49 daripadanya disahkan positif H1N1.

"Lima daripada enam kes H1N1 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah individu yang mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata tiada kematian baru direkodkan dengan jumlah kematian kekal kepada 87 kes.

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan berikutan jangkitan H1N1 masih aktif dalam negara seperti juga di kebanyakan negara lain.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus itu seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan web http://www.moh.gov.my atau http:h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan dengan menelefon 03-88810200/300. - Bernama

Kos belajar memandu mungkin naik: JPJ

TAPAH: Kos untuk belajar memandu mungkin akan dinaikkan berikutan pengenalan kurikulum pembelajaran yang baru yang kini berada di peringkat akhir untuk mendapat kelulusan kerajaan dan mungkin dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata kenaikan kos itu tidak dapat dielakkan dalam usaha JPJ mewujudkan kurikulum pembelajaran memandu yang lebih berkualiti dan menyeluruh kepada bakal pemandu di negara ini.

"Saya jangka akan berlaku kenaikan (kos) sebab kita mahu menuju kepada kualiti latihan yang lebih baik. Kalau kita tidak mahu pemandu yang tidak berkualiti, yang tidak mempunyai pemanduan berhemah, cermat dan bersopan santun, kita kenalah bayar lebih sedikit (untuk latihan memandu)," katanya kepada pemberita selepas menutup program ''Satu Komuniti Satu JPJ'' di sini hari ini.
Seramai 585 masyarakat Orang Asli turut menerima lesen memandu B2 pada majlis ini.

Solah menjangkakan kenaikan kos berkenaan akan menjadi perdebatan hangat di kalangan masyarakat, namun beliau menegaskan bahawa negara masih menenakan bayaran paling rendah bagi mendapatkan lesen memandu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa JPJ akan memperkenalkan kurikulum baru ke arah menyediakan satu sistem latihan memandu yang dapat melahirkan pemandu yang kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah.

Solah berkata menerusi kurikulum baru, jumlah waktu belajar memandu akan turut mengalami perubahan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah waktu baru yang akan ditetapkan.

"Kita juga akan mengajar mengikut jenis kenderaan yang mereka (pelajar mamandu) mahukan. Kalau mereka mahu kenderaan jenis manual, kita akan ajar cara mengendalikan kenderaan manual, kalau mahu kenderaan automatik, kita akan ajar memandu kenderaan yang berautomatik," katanya.

Katanya pemegang lesen memandu P (percubaan) juga perlu mengambil ujian khas untuk memperolehi Lesen Memandu Kompeten (CDL) selepas ini dan bukan memperolehinya secara automatik seperti sekarang.

"Kita juga akan memperbaiki lagi cara untuk mendapatkan lesen Public Service Vehicle (PSV) dan Good Driver''s License (GDL). Ini antara beberapa perubahan yang kita hendak laksanakan. Kita kini dalam peringkat akhir untuk mendapat persetujuan pihak Kementerian Pengangkutan," katanya. - Bernama