Followers

Friday, June 4, 2010

H1N1: Remaja perempuan korban ke-88

KUALA LUMPUR: Satu kes kematian akibat influenza A (H1N1) telah disahkan, menjadikan jumlah kematian terkumpul setakat ini ialah 88 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata kes terbaru itu membabitkan seorang remaja perempuan tanpa faktor risiko yang berumur 14 tahun dari Perak.
"Hasil laporan pakar perubatan dan keputusan ujian klinikal mengesahkan bahawa penyebab kematian ialah "severe bilateral pneumonia" berpunca daripada jangkitan virus influenza A(H1N1)," katanya dalam satu kenyataan ke sini, hari ini.
Katanya, 48 kes baru telah disahkan menjadikan jumlah terkumpul kes H1N1 kini sebanyak 14,912 kes.

Sementara itu, katanya sebanyak empat kejadian baru kluster serupa influenza (ILI) dilaporkan di empat negeri dalam tempoh 24 jam lalu.

Kes itu dilaporkan di Lake Kenyir Resort dan Spa di Terengganu (lima orang), kediaman di Jalan Cenderamata, Kg Kurnia, Kebun Teh, Johor (dua orang), kediaman Felda Lui Muda di Jempol, Negeri Sembilan (lima orang) dan kediaman di Jalan TU 61 Taman Tasik Utama Air Keroh, Melaka (enam orang).

Katanya, sebanyak 532 kes ILI telah dipantau dan dirawat di hospital yang mana 76 (14.3 peratus) disahkan positif H1N1.
"Untuk makluman, jumlah kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU ialah lapan kes di mana tujuh kes adalah individu yang mempunyai faktor risiko," katanya.

Dr Ismail menasihatkan orang ramai bahawa jangkitan H1N1 di negara ini masih aktif dan mereka perlu mengambil langkah berwaspada untuk mencegahnya.

Orang ramai boleh melayari http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline di 03-88810200/0300 untuk keterangan lanjut. - BERNAMA

Sukarelawan Rachel Corrie tekad teruskan misi

IPOH: Sukarelawan antarabangsa termasuk enam rakyat Malaysia yang menaiki kapal tajaan Perdana Global Peace Organisation (PGPO), MV Rachel Corrie, bertekad meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza, walaupun menerima tekanan daripada Israel.
Sukarelawan negara yang juga Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, berkata walaupun sebuah pesawat udara berlegar-legar berhampiran kapal mereka, ia langsung tidak melunturkan semangat bagi menunaikan misi yang diamanahkan.
"Setakat jam 11 pagi di Laut Mediterranean hari ini, kami sudah berada pada kedudukan 150 batu nautika dari pantai Gaza dan tiada apa-apa berlaku terhadap kami walaupun pesawat Israel berlegar mengelilingi kapal ini semalam.
"InsyaAllah, jika tiada aral melintang kira-kira jam 3 petang esok waktu Malaysia, kami mungkin boleh berlabuh pada kedudukan 25 batu nautika dari pantai Gaza," katanya ketika dihubungi Radio Perak.fm, petang tadi.

Terdahulu, AFP melaporkan Gerakan Bebaskan Gaza yang menganjur misi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu sebagai menyatakan ia kehilangan semua hubungan dengan Rachel Corrie.

Selain Mohd Nizar, turut berada di atas Rachel Corrie adalah wakil PGPO, Shamsul Akmar Musa Kamal, peguam Matthias Chang, dan dua wakil TV3.

Mengenai kemungkinan yang akan dihadapi mereka, Mohd Nizar berkata mereka mungkin akan diberi amaran dan diarah berpatah balik atau dibenarkan berunding atau kapal itu dinaiki tentera Israel untuk dibawa ke negara Yahudi itu.
"Walau apa pun berlaku, kami ada kesepakatan yang cukup baik, kami tabahkan hati, kita akan membuat keputusan sebaik-baiknya untuk mencapai tahap itu (menunaikan misi kemanusiaan).

"InsyaAllah, berkat doa rakyat Malaysia dan mereka yang mencintai keamanan di seluruh dunia, kami mampu menunaikan amanah ini.

"Kami berharap seluruh rakyat Malaysia, ahli keluarga, terutama penduduk Parit, isteri dan ibu bapa, mendoakan agar misi ini berjaya," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan penaung PGPO, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ia akan terus menaja misi bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia ke Gaza walaupun berdepan risiko keganasan rejim Israel yang sering menyekat laluan ke Gaza.

Katanya, jika misi dihentikan, Tel Aviv akan sewenang-wenangnya mencabuli hak kemanusiaan serta mengetepikan undang-undang antarabangsa.

"Kalau terpaksa patah balik, kita akan cuba lagi. Ini perjuangan kemanusiaan yang tidak boleh kita hentikan semata-mata kita menghadapi halangan. Kita akan cuba apa sahaja sehingga Israel terpaksa membenarkan bekalan sampai ke Gaza," katanya dalam tembual dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 hari ini.

Dr Mahathir berkata, keganasan Israel menyerang kapal Turki, Mavi Marmara, Isnin lalu dan membunuh sekurang-kurangnya sembilan aktivis telah meningkatkan kesedaran dan simpati rakyat Malaysia terhadap perjuangan membantu Palestin.

Beliau yakin lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai keturunan dan agama akan mengikuti perjuangan untuk membela nasib rakyat Palestin.

Sukarelawan Malaysia dalam perjalanan pulang

AMMAN: Sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang dibebaskan Israel kelmarin selepas ditawan Isnin lalu ketika belayar membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, meninggalkan Amman untuk ke Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Mereka diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dan pegawai kementerian yang lain menaiki pesawat Royal Jordanian (RJ).
Penerbangan RJ165 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia).
Hadir sama di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada rombongan itu ialah Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.

Mereka dijadual berlepas dari Istanbul pada petang Sabtu dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 5.50 pagi Ahad.

Seorang pegawai di kementerian itu memberitahu BERNAMA di sini bahawa ketibaan rombongan berkenaan akan disambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka dan keluarga masing-masing kemudiannya akan dibawa menaiki tiga bas menuju ke kediaman persendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Semua 12 rakyat Malaysia itu, termasuk dua petugas Astro Awani, berada di atas kapal Turki, MV Mavi Marmara, yang diserang tentera Israel di perairan antarabangsa Isnin lalu, sehingga mengorbankan sembilan nyawa.

Kapal yang turut dinaiki aktivis negara lain itu dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang semakin sengsara akibat kepungan Israel sejak tiga tahun lalu. - BERNAMA

Amaran angin kencang, laut bergelora

KUALA LUMPUR: Keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dijangka berlaku di perairan Perlis, Kedah, utara Pulau Pinang dan Phuket bermula Ahad hingga Selasa ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam kenyataannya hari ini, berkata dalam tempoh itu angin Barat Daya dijangka bertiup dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak pula mencapai ketinggian 3.5 meter.
Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut. - BERNAMA

Najib akan temui 12 sukarelawan negara

AMMAN: Datuk Seri Najib Razak dijangka menemui 12 rakyat Malaysia yang dibebaskan oleh Israel setelah mereka ditahan dalam sebuah kapal dekat Gaza Isnin lalu semasa menyertai misi antarabangsa membawa bantuan kepada rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang berada di sini untuk menemui rakyat Malaysia itu yang termasuk dua petugas stesen televisyen Astro Awani, memberitahu Bernama bahawa pertemuan itu akan diadakan apabila kumpulan itu kembali ke Malaysia.
Semalam Kementerian Luar berkata kumpulan itu dijadual tiba di Lapangan Terbang KL pada 5.40 pagi Ahad ini.
Mereka berlepas dari sini ke Istanbul, Turki, hari ini untuk mengambil barang masing-masing.

Anifah dan ketua kumpulan itu, Noorazman Mohamad Samsuddin, telah bercakap melalui telefon dengan Perdana Menteri pada Rabu ketika anggota misi itu menghadiri satu majlis di sini bagi meraikan pembebasan mereka.

Anifah berkata, Najib amat bimbang dan mengambil berat mengenai keselamatan rakyat Malaysia itu dan sanggup tidur lewat kerana mahu bercakap dengan mereka.

"Perbualan telefon itu adalah pada 2 pagi waktu Laos di mana Perdana Menteri sedang berada untuk satu lawatan rasmi," katanya.
Dalam insiden Isnin lalu, kapal milik Turki "Mavi Marmara", yang membawa sukarelawan serta bantuan seperti perubatan, diserang tentera Israel menyebabkan 10 orang sukarelawan dilaporkan terbunuh. - BERNAMA