Followers

Saturday, June 6, 2009

Sabah & Sarawak: Saliran jejas usaha tanam padi dua kali setahun

TAMPARULI: Pesawah di Kampung Rongolis, kira-kira 40 km dari sini, merayu Jabatan Pengairan Saliran (JPS) membaiki segera sistem saliran bagi membolehkan mereka mengusahakan tanaman padi dua kali setahun seperti dirancang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penanam Padi Kampung Rongolis, Gubod Sedau, berkata kelewatan JPS melaksanakan pembaikan sistem saliran sawah di kampung itu membantutkan rancangan petani melaksanakan penanaman padi dua kali setahun.

"Mengikut perancangan, kira-kira 35.2 hektar daripada 48 hektar sawah di Kampung Rongolis boleh diusahakan dengan tanaman padi dua kali setahun dan dijadual mula dilaksanakan bulan depan.

"Bagaimanapun, pelaksanaan itu tertakluk kepada keadaan kemudahan terutama sistem saliran yang membolehkan sawah memperoleh bekalan air cukup," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Rancangan penanaman padi dua kali setahun itu membabitkan 57 petani yang sebelum ini mengusahakan tanaman padi secara komersial.

Gubod berkata, selain sukar mendapatkan bekalan air untuk sawah, petani kampung itu tidak banyak menghadapi masalah mengusahakan sawah mereka dengan tanaman padi dua kali setahun.

Sehubungan itu, katanya, jika masalah sistem saliran dapat ditangani segera oleh JPS, rancangan menanam padi dua kali setahun di kampung itu berupaya dilaksanakan, sekali gus mencapai sasaran pengeluaran hasil padi 10 metrik tan sehektar setiap musim tuaian.

Beliau berkata, penanaman padi dua kali setahun itu menggunakan kaedah pembahagian kawasan mengikut blok sawah kampung bagi memastikan keberkesanannya.

Katanya, petani mempersetujui empat blok sawah diwujudkan iaitu blok Pinotoki, blok Pinogayo, blok Morugi dan blok Sawah merangkumi kawasan seluas 48 hektar.

Gubod berkata, usaha itu mendapat kerjasama dan pemantauan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran serta Jabatan Pertanian Tuaran.

0 comments: