Followers

Friday, June 25, 2010

40 ulama muda sertai UMNO

KUALA LUMPUR: seramai 40 ulama muda profesional mengesahkan menyertai UMNO malam tadi, bertujuan membantu dan menyemarakkan kerja dakwah dalam parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata dijangka lebih ramai lagi ulama akan menyertai parti dalam masa terdekat.
Katanya, mereka diterima sebagai ahli UMNO cawangan Dataran Merdeka secara automatik.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Malaysia perlu belajar daripada Korea Selatan, Jepun: Santokh

KUALA LUMPUR: Kejayaan pasukan Korea Selatan dan Jepun melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan menunjukkan mutu bola sepak di rantau Asia semakin meningkat.
Bagaimanapun, bekas pemain pertahanan tersohor negara, Santokh Singh berkata,, Malaysia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan prestasi kedua-dua pasukan itu.
“Selain komitmen tinggi, Korea dan Jepun sudah lama mengadakan program latihan di negara Eropah,” katanya ketika diminta mengulas pencapaian pasukan Asia pada Piala Dunia di sini, hari ini.
"Tidak seperti Malaysia yang baru saja hendak menghantar pemain berlatih di luar negara. Itupun apabila balik jurulatihnya digantung," katanya yang merujuk penggantungan jurulatih Azraai Khor Abdullah sebaik pulang dari latihan di Slovakia, awal bulan ini.

Selain itu, Santokh juga menyuarakan kekesalannya terhadap kemerosotan kedudukan pasukan kebangsaan berbanding pada zamannya ketika mereka menewaskan Jepun dan Korea Selatan sebelum layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Santokh dan Datuk Soh Chin Aun, disifatkan sebagai pasangan pertahanan terbaik di Asia pada era 70-an, bersama pemain lagenda negara, Allahyarham Mokhtar Dahari dan mendiang R Arumugam, digelar “Spiderman” turut membantu pasukan negara layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Bagaimanapun, Malaysia memboikot Sukan Moscow ketika itu.
"Suatu masa dulu, skuad negara boleh berada pada tahap yang lebih baik berbanding Korea Selatan dan Jepun. Sayanglah...kini kedudukan pun di tangga ke-157 dunia. Dulu Malaysia dalam lingkungan 1995-1997," katanya.

Sementara itu, pendapat Santokh pula turut dikongsi bersama oleh pemain veteran, Ho Hon Seong, yang mewakili pasukan negara dari 1979 hingga 1984.

"Malaysia memperkenalkan era bola sepak profesional pada 1987 tetapi malangnya selepas 23 tahun, prestasi pasukan lain seperti Korea Selatan, Jepun dan Iran telah meningkat berbanding dengan kita.

"Kini pasukan itu berada di tahap lain dengan kita," jelasnya.

"Saya tidak faham, pemain kini mendapat khidmat kejurulatihan yang lebih baik, menerima imbuhan yang selesa tetapi masih tidak dapat menampilkan mutu persembahan yang diharapkan," katanya.

Korea Selatan melangkah ke pusingan kalah mati 16 pasukan terbaik pada Piala Dunia selepas seri 2-2 dengan Nigeria manakala Jepun menewaskan Denmark 3-1 pada awal pagi tadi untuk melayakkan diri ke peringkat yang sama.

Korea Selatan akan menentang Uruguay esok sementara Jepun berdepan dengan Paraguay Selasa depan bagi merebut tempat ke suku akhir. - Bernama

Ombak kuat: Pengunjung ke Langkawi diminta berhati-hati ketika mandi

LANGKAWI: Pengunjung ke pulau peranginan Langkawi diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika mandi di kawasan pantai berikutan keadaan ombak yang tidak menentu sekarang.

Ketika membuat gesaan itu, ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib, meminta pengunjung mematuhi papan tanda peringatan yang dipasang di kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pelancongan, Majlis Perbandaran Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi, memasang papan tanda peringatan di lokasi tumpuan pelancong bagi tujuan tersebut.
“Antara lokasi tumpuan di pulau legenda itu ialah kawasan peranginan Telaga Tujuh, Pantai Tengah dan Pantai Cenang,” katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang Barat/Barat Daya dengan kelajuan antara 40 dan 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Langkawi, Perlis, Kedah, Phuket, Pulau Pinang serta utara Perak sehingga 1 Julai.

Rabu lalu, bekas jurutera Yuhin Azlan Yusof, 31, dan isterinya Norita Dahari, 29, mati lemas selepas dihanyutkan ombak kuat ketika mandi di Pantai Tengah di sini.

Pasangan dari Batu Caves, Selangor itu bersama 12 ahli keluarga lain sedang bercuti di Langkawi dan dijadual berada di sini sehingga Sabtu ini. - Bernama

Najib ucap tahniah kepada PM baru Australia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Julia Gillard atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Australia yang baru.
Perdana Menteri membuat panggilan telefon dari pejabatnya di sini kepada Gillard, yang merupakan wanita pertama menjadi Perdana Menteri Australia, pada jam 12.46 tengah hari dan berbual kira-kira empat minit.
Bercakap kepada Bernama selepas itu, Najib berkata dalam perbualan itu, kedua-dua mereka bersetuju supaya Malaysia dan Australia perlu sentiasa berurusan bagi memajukan lagi kepentingan bersama.
"Kita setuju memandangkan bahawa Malaysia dan Australia mempunyai hubungan yang telahpun terjalin sekian lama dan banyak kepentingan bersama di rantau ini dan di peringkat global," katanya.

Najib berkata beliau juga mengalu-alukan Perdana Menteri Australia yang baru itu untuk membuat lawatan ke Malaysia dan di rantau ini.

"Beliau (Gillard) berkata dalam sehari dua ini memang tumpuannya ialah terhadap (perkara) domestik sebab akan hadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Tetapi bila masa sesuai, beliau akan melawat Malaysia dan beliau juga berharap saya melawat Australia," katanya.
Gillard, 48, dipilih sebagai perdana menteri Australia setelah Kevin Rudd meletakkan jawatan daripada berdepan dengan undi tidak percaya, kurang daripada tiga tahun selepas memegang jawatan berkenaan.

Wanita kelahiran Wales itu, dipilih tanpa pertandingan dalam satu pemilihan Parti Buruh dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia, semalam.

Gillard yang sedia maklum bahawa beliau tidak dilantik Perdana Menteri oleh rakyat Australia, berikrar akan mengadakan pilihan raya umum dalam beberapa bulan akan datang. - BERNAMA

Pendakwah perlu bebas pengaruh ekstrem: Tun Mahathir

KANGAR: Pendakwah tempatan perlu bebas daripada pengaruh ekstrem yang merosakkan imej Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.
Beliau berkata jika ada pendakwah yang terpengaruh dengan amalan ekstrem seperti yang diamalkan di negara Islam tertentu dan cuba mengembangkannya di negara ini, ia akan menimbulkan masalah.
"Mereka perlu berdakwah secara bijaksana dan sesuai dengan suasana tempatan," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kebangsaan kali ke-49 di sini hari ini.
Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim, berkata kegiatan dakwah berbentuk ekstrem bukan sahaja memburukkan imej Islam malah akan menjadikan umat Islam dipandang rendah dan hina.

"Mungkin ada yang berpendapat kehinaan ini tidak mengapa kerana mereka laksana suruhan agama tapi mereka mewujudkan umat Islam yang tidak bahagia," katanya.

Lebih buruk lagi, kata Dr Mahathir, ada pihak yang berpendapat bahawa keganasan mesti digunakan bagi menjatuhkan kerajaan dengan alasan ia mengikut kehendak Islam.

"Fahaman ekstrem tidak dituntut oleh Islam. Banyak negara Islam tidak aman dan maju kerananya," katanya.
Dr Mahathir menang tanpa bertanding bagi kerusi Yang Dipertua Perkim kebangsaan yang disandangnya sejak 2006.

Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat agung itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Empat orang yang terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Perkim ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Dr Ariffin Suhaimi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Dr Mustapha Ma. - BERNAMA

Kes malaria di Sabak Bernam daripada jangkitan luar negara

SHAH ALAM: Sebanyak empat kes malaria termasuk satu kematian yang dikesan di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam pada 16 Jun lalu berpunca daripada jangkitan dari luar negara dan bukan akibat penularan tempatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Dr Hasan berkata satu kematian telah dilaporkan di kawasan berkenaan 16 Jun lalu dan setelah disiasat mendapati mangsa, 35, adalah seorang pekerja asing dari Myanmar yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Sekinchan bersama tiga rakan senegaranya.
Mereka telah sampai ke negara ini 6 Jun lalu dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini mengulas mengenai berita yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Jit Poh bertarikh 23 Jun lalu.
"Mangsa mula menunjukkan gejala demam sehari selepas tiba (7 Jun) dan hanya mendapatkan rawatan pada 12 Jun di sebuah klinik swasta selepas kembali dari lautan dan diberi rawatan pesakit luar. Mangsa mendapatkan rawatan kedua pada 15 Jun di klinik sama dan terus dirujuk ke Hospital Tanjong Karang dan kemudiannya ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia keesokan harinya (16 Jun) akibat komplikasi malaria. Tiga rakan senegara mangsa juga didapati positif malaria, seorang telah sembuh dan dibenarkan pulang sementara dua lagi masih dirawat di hospital," katanya.

Dr Hasan berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 16 Jun lalu, pemeriksaan ke atas 10 rakan sekerja mangsa di dalam bot menangkap ikan yang sama mendapati bahawa mereka negatif bagi malaria dan contoh darah daripada 122 penduduk tempatan serta 219 pekerja asing untuk pemeriksaan malaria juga diambil di mana kesemuanya juga disahkan negatif.

"Oleh itu tiada tanda-tanda jangkitan ini telah menular di kalangan penduduk tempatan," katanya.
Beliau berkata kawasan Sekinchan merupakan kawasan bebas malaria di mana tiada kes malaria tempatan dilaporkan sejak lima tahun kebelakangan ini dan memandangkan pekerja-pekerja asing terbabit menghabiskan masa mereka di lautan ketika mengalami gejala malaria, kemungkinan mereka menularkan jangkitan malaria kepada penduduk tempatan adalah sangat rendah.

Bagaimanapun Dr Hasan berkata penduduk dan pekerja asing yang mengalami gejala demam panas diikuti dengan rasa sejuk, menggigil dan berpeluh perlulah segera mendapat rawatan di klinik atau hospital berdekatan. - BERNAMA

Pesawat Israel lancar tiga serangan ke atas Gaza

BANDARAYA GAZA: Jet pejuang Israel hari ini melancarkan tiga serangan ke atas Semenanjung Gaza dengan mencederakan seorang penduduk, manurut saksi serta pegawai perubatan Palestin di sini.
Penduduk Palestin itu cedera apabila pesawat pejuang Israel itu menyerang Bandar Rafah di selatan sempadan dengan Mesir.
Dalam dua lagi serangan di bekas kawasan lapangan terbang di selatan dan di Bandar Beit Hanun di utara bagaimanapun tiada laporan mereka yang cedera setakat ini.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel mengesah mengenai serangan itu.

“Pesawat kami menyerang sekumpulan kenderaan bersenjata di utara Semenanjung Gaza serta dua terowong yang digunakan untuk menyeludup senjata api dari Mesir ke selatan," katanya. - AFP

Le Guen letak jawatan jurulatih Cameroon

JURULATIH Cameroon, Paul Le Guen kecewa selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Belanda pada perlawanan Kumpulan E, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Green Point, Cape Town, awal pagi tadi. - Foto AFP

JURULATIH Cameroon, Paul Le Guen kecewa selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Belanda pada perlawanan Kumpulan E, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Green Point, Cape Town, awal pagi tadi. - Foto AFP

CAPE TOWN: Paul Le Guen mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai jurulatih Cameroon selepas pasukan negara Afrika itu terkeluar daripada saingan pusingan kedua Piala Dunia 2010 dengan tiga kekalahan di peringkat kumpulan.

“Kontrak saya sudah tamat dan saya akan berhenti," katanya pada sidang akhbar selepas kekalahan pasukannya kepada Belanda 2-1 di Stadium Green Point, awal pagi tadi.
Jurulatih berasal dari Perancis itu mengendalikan skuad kebangsaan Cameroon pada Julai 2009, dikhabarkan akan menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Australia.
Le Guen bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada keputusan mengenai rancangan beliau seterusnya. - AFP

Piala Dunia: Belanda 2 Cameroon 1

PENYERANG Netherland, Klaas-Jan Huntelaar (kiri) dikasari pemain Cameroon, Stephane Mbia pada perlawanan Kumpulan E, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Green Point, Cape Town, awal pagi tadi. - Foto AFP

PENYERANG Netherland, Klaas-Jan Huntelaar (kiri) dikasari pemain Cameroon, Stephane Mbia pada perlawanan Kumpulan E, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Green Point, Cape Town, awal pagi tadi. - Foto AFP

CAPE TOWN: Belanda yang sudah layak ke pusingan kedua kalah mati saingan Piala Dunia 2010 meneruskan keunggulan dengan menewaskan Cameroon 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan E, di Stadium Green Point awal pagi tadi.

Belanda menjuarai kumpulan berkenaan dengan Jepun mengiringnya ke pusingan kedua selaku naib juara selepas menumpaskan Denmark 3-1.
Gol Belanda diperoleh menerusi penyerang Arsenal, Robin van Persie pada minit ke-36 dan Klas-Jan Huntelaar pada minit ke-83, manakala Cameroon menerusi penalti Samuel Eto’o pada minit ke-65.

Piala Dunia: Jepun 3 Denmark 1

PENYERANG Japan, Shinji Okazaki (tengah) menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Denmark, Thomas Soerensen pada perlawanan Kumpulan E, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Royal Bafokeng, Rustenburg, awal pagi tadi. Keputusan Jepun 3, Denmark 1. - Foto AFP
PENYERANG Japan, Shinji Okazaki (tengah) menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Denmark, Thomas Soerensen pada perlawanan Kumpulan E, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Royal Bafokeng, Rustenburg, awal pagi tadi. Keputusan Jepun 3, Denmark 1. - Foto AFP

RUSTENBURG: Jepun menjadi wakil Asia kedua melangkah ke pusingan kedua apabila mengejutkan Denmark 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium Royal Bafokeng, awal pagi tadi.

Jepun mengiring Belanda selaku juara kumpulan yang mudah menewaskan Cameroon 2-1.
Sebelum ini, Korea Selatan menjadi wakil Asia pertama layak ke pusingan kalan mati.
Gol Jepun disumbangkan Keisuke Honda pada minit ke-17 dikuti Yasuhito Endo pada minit ke-30.

Shinji Okazaki melengkapkan kemenangan pasukan Negara Matahari Terbit itu dengan gol minit ke-87 manaka Denmark memperoleh gol saguhati melalui Jon Dahl Tomasson pada minit ke-81.

Jepun akan berdepan Paraguay di pusingan kedua pada 29 Jun ini.

Piala Dunia: Slovakia 3, Itali 2

JOHANNESBURG: Slovakia menewaskan juara bertahan Itali 3-2 pada perlawanan Kumpulan F di Stadium Ellis Park sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Slovakia layak ke pusingan kedua dan menyingkirkan Itali daripada kejohanan.
Slovakia mendahului selesa menerusi gol Robert Vittek pada minit ke-25 dan ke-73.

Piala Dunia: Paraguay 0 New Zealand 0

POLOKWANE: Paraguay menempah tiket ke pusingan kalah mati apabila seri 0-0 dengan New Zealand dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Peter Mokaba, sebentar tadi.

Paraguay layak dengan memperoleh lima mata, sekali gus menjuarai Kumpulan F bersama Slovakia di tempat kedua yang sebelum itu mengejutkan Itali, 3-2