Followers

Friday, October 23, 2009

Kerajaan perkenal Klinik 1Malaysia di bandar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan kesihatan klinik komuniti yang akan dinamakan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar seperti mana klinik desa di luar bandar, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, klinik itu akan ditempatkan di kawasan perumahan dengan menyewa rumah kedai untuk memudahkan masyarakat setempat mendapat rawatan sakit biasa seperti demam, batuk dan selesema.

Beliau juga Menteri Kewangan berkata, klinik itu akan dikendalikan oleh pembantu pegawai perubatan dan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

"Sebagai permulaan, 50 klinik akan dibuka di kawasan terpilih dengan peruntukan sebanyak RM10 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan menaikkan kadar elaun kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di sekolah pendidikan khas kelolaan badan bukan kerajaan (NGO) daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap seorang mulai 1 Januari 2010.

Beliau berkata, peruntukan RM3.3 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada hampir 4,000 kanak-kanak OKU. - Bernama

Kerajaan arus perdanakan sistem pendidikan pra sekolah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengarus perdanakan prasekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan dan memastikan murid dapat membaca, menulis dan mengira sebelum memasuki tahun empat.

Menurut Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan hari ini, sebanyak 80 peratus daripada kanak-kanak akan mempunyai akses kepada prasekolah dan 100 buah sekolah akan dibangunkan sebagai pusat berprestasi tinggi menjelang 2012.

Bagi menarik golongan terbaik menyertai profesion perguruan, kerajaan akan memperkenalkan insentif yang sesuai bagi menampung keperluan di sekolah-sekolah sedia ada untuk berubah kepada institusi berprestasi tinggi.

Menurut laporan itu, pelbagai langkah juga diatur bagi meningkatkan peluang graduan mendapat pekerjaan termasuk meningkatkan dan mempromosikan latihan teknikal dan vokasional, memberi tumpuan kepada "soft skills" dalam kurikulum serta program "internship" di universiti dan institut latihan selain menggiatkan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di antara universiti dan industri.

Skim Pengurusan Pekerjaan Graduan (GEMS) yang diperkenalkan dengan usahasama GLC, dijangka akan melatih seramai 12,000 graduan dalam tempoh dua tahun yang akan mengikuti latihan kemahiran "soft-skills" selama dua bulan setengah diikuti latihan di tempat kerja selama enam bulan, kata laporan itu.

Sehingga pertengahan September tahun ini, sebanyak RM48.4 juta telah dibelanjakan di mana seramai 3,367 graduan telah dilatih dan 1,119 graduan ditempatkan di 273 syarikat dan agensi.

Menurut laporan berkenaan, Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata) dilihat telah berjaya membentuk budaya pembelajaran dan pembangunan emosi serta intelektual yang baik.

Permata akan dikembangkan ke kawasan luar bandar bagi memberi permulaan awal dan merapatkan jurang prestasi antara luar bandar dan bandar.

Menurut laporan itu, Permata telah diberikan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi menaik taraf 478 pusat aktiviti meliputi 18,000 kanak-kanak dengan sokongan 1,200 guru.

Program Permata Pintar Negara yang dilancarkan pada awal tahun ini, mengenal pasti dan mendidik kanak-kanak pintar melalui kolaborasi antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

Di bawah Program Permata Pintar itu juga, sebuah sekolah khas bagi kanak-kanak pintar dijangka beroperasi pada tahun 2011, kata laporan itu.

Selain itu, kerajaan akan terus menyokong beberapa program Permata bagi membimbing kanak-kanak berbakat dalam bidang seni, memupuk nilai-nilai moral dan keagamaan untuk remaja.

Sementara itu, bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam, program latihan di institut pusat latihan awam akan dikaji semula di samping menggalakkan kerjasama dengan institusi latihan terkenal dunia.

Penjawat awam akan didedahkan kepada latihan lanjutan, kepimpinan, penggubalan dasar dan pelaksanaan, pemantauan, penguatkuasaan serta penilaian program sektor awam. - Bernama

Bajet 2010 pembuka tirai RMK-10, asas ekonomi baru: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membentangkan Bajet 2010 sebentar tadi menegaskan bajet kali ini penting sebagai asas pembentukan ekonomi baru dan pembuka tirai Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membentangkan Bajet 2010 sebentar tadi menegaskan bajet kali ini penting sebagai asas pembentukan ekonomi baru dan pembuka tirai Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)

Kerajaan terus gubal dasar mesra niaga

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menggubal dasar untuk memastikan persekitaran perniagaan kondusif bagi pembangunan bidang khusus dalam sektor perkhidmatan.

Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan hari ini berkata sektor ini akan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara kerana ia amat penting sebagai punca pertumbuhan dari segi penjanaan pendapatan, pewujudan pekerjaan serta pembangunan keusahawanan.

Menurut laporan itu, kerajaan telah memberi keutamaan untuk membangunkan lagi sektor perkhidmatan untuk mencapai potensi sepenuhnya ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi sejajar dengan peralihan struktur daripada ekonomi negara berasaskan pembuatan kepada ekonomi berorientasikan perkhidmatan.

Katanya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa bidang khusus dan bidang kewangan Islam yang merupakan peneraju utama negara.

"Malaysia kini berada pada kedudukan terbaik untuk meraih peluang daripada pertumbuhan pesat kewangan Islam global dan terus melaksanakan langkah untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam," katanya.

Antara kemajuan yang telah dicapai ialah penubuhan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia pada 2006, peningkatan had pegangan ekuiti asing kepada 70 peratus bagi bank Islam dan syarikat takaful serta penawaran dua lesen baru kepada bank Islam asing dan syarikat takaful keluarga.

Menurut Kementerian Kewangan, sektor perkhidmatan menyumbang 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan 52.2 peratus kepada jumlah pekerjaan pada 2008. - Bernama

Malaysia harus beri penekanan untuk berubah ke ekonomi berpendapatan tinggi: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia perlu memberi penekanan kepada kreativiti, inovasi dan aktiviti nilai tambah tinggi untuk berubah ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan memperkukuhkan daya saing jangka panjang.

Perdana Menteri berkata, ini menuntut negara untuk memperkasa keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta memperluas aktiviti pengkomersilan produk selaras dengan aspirasi menjadi sebuah ekonomi berasaskan inovasi.

"Kita juga hendaklah meningkatkan permintaan domestik terutamanya pelaburan swasta dan mempelbagaikan pasaran eksport selain beralih daripada kebergantungan kepada buruh asing kurang mahir kepada modal insan berkemahiran tinggi dan berbakat," katanya di dalam prakata di dalam Laporan Ekonomi 2009/2010 Kementerian Kewangan hari ini.

Dalam meningkatkan daya saing negara, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan sentiasa komited dalam langkah liberalisasi berterusan dan dasar berorientasikan pasaran serta peningkatan akauntabiliti dan ketelusan.

"Bagi merealisasikan matlamat ini, kita mesti melakukan anjakan paradigma, sanggup berubah dan bertindak dengan cara berbeza," katanya.

Beliau berkata, ekonomi bertambah baik pada suku kedua dengan penyusutan yang lebih perlahan pada 3.9 peratus, kesan positif dari dua pakej rangsangan dan dasar monetari yang akomodatif.

"Penunjuk utama menggambarkan ekonomi negara semakin pulih dan dijangka mencatatkan penguncupan yang lebih kecil sebanyak 3.0 peratus pada tahun 2009," katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan beriltizam merealisasikan sasaran yang ditetapkan bagi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberi impak langsung kepada rakyat.

Antara sasarannya, katanya ialah pencegahan jenayah, memerangi rasuah, memperluas akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan menambah baik pengangkutan awam.

Beliau menegaskan bahawa rakyat mesti terus bersatu, komited dan berani untuk mengatasi sebarang cabaran bagi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

"Kejayaan negara dalam mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan mengatasi krisis yang lepas tidak mungkin tercapai tanpa sokongan seluruh rakyat.

"Saya yakin 1Malaysia yang merupakan tunjang dasar kerajaan akan menyatupadukan rakyat untuk berusaha dengan lebih gigih ke arah mencapai matlamat ini untuk masa depan yang lebih gemilang," katanya. - Bernama

Bajet 2010 mampu tangani krisis tapi masih lemah: Anwar

KUALA LUMPUR: Bajet 2010 mampu menangani beberapa masalah yang dihadapi negara ketika berdepan dengan krisis ekonomi global, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar berkata masih wujud beberapa kelemahan asas dalam Bajet 2010, seperti unjuran pengurangan defisit daripada 7.4 peratus ketika ini kurang jelas .

"Selain itu, pelaburan yang menjunam kepada RM3.36 bilion bagi Bajet 2010 daripada RM19.7 bilion adalah satu kejutan kerana ia tidak selaras dengan peningkatan pelaburan di China dan India sejak kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Rakyat petang tadi.

Pusat Teknologi Hijau Nasional dibentuk

KUALA LUMPUR: Atas kesedaran bahawa teknologi hijau berpotensi menjadi sektor penting dalam pembangunan ekonomi, kerajaan telah mencadangkan untuk menstruktur semula Pusat Tenaga Malaysia sebagai Pusat Teknologi Hijau Nasional.

Semasa mengumumkan perkara itu di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Pusat Teknologi Hijau yang baru diwujudkan itu akan bertanggungjawab untuk merumuskan pelan tindakan teknologi hijau negara.

"Pusat ini akan berfungsi sebagai pusat tumpuan bagi menetapkan piawaian dan menggalakkan teknologi hijau. Bagi meningkatkan kegiatan kesedaran hijau dan mengamalkan gaya hidup mesra alam sekitar, peruntukan sebanyak RM20 juta akan disediakan," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam ucapan sulung pembentangan Bajet selama 90 minit itu berkata, kerajaan juga akan menganjurkan pameran antarabangsa mengenai teknologi hijau pada April 2010 yang dijangka akan menarik pakar dan syarikat terkemuka dalam teknologi hijau.

Beliau berkata, kerajaan juga berhasrat untuk membangunkan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai perbandaran perintis dalam Teknologi Hijau bagi mempamerkan pembangunan perbandaran yang lain.

Katanya, Bajet 2010 juga akan memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan mesra alam sekitar yang mematuhi piawaian teknologi hijau dalam pemerolehan kerajaan.

"Bagi menggalakkan teknologi hijau, kerajaan akan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion. Dana ini akan menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat-syarikat yang membekal dan menggunakan teknologi hijau.

"Bagi pembekal, pinjaman maksimum sehingga RM50 juta dan bagi syarikat-syarikat pengguna RM10 juta. Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah," katanya.

Sebagai tambahan, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menyediakan jaminan 60 peratus bagi jumlah pinjaman dengan baki 40 peratus oleh institusi kewangan.

Katanya, permohonan pinjaman boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Nasional dan skim itu akan bermula pada 1 Januari 2010 dan dijangka memberi faedah kepada 140 buah syarikat.

Dalam menggalakkan bangunan hijau, Najib berkata pemilik bangunan yang mendapat Indeks Bangunan Hijau (GBI) dari 24 Oktober, 2009 sehingga 31 Disember, 2014 akan mendapat pengecualian cukai yang menyamai dengan perbelanjaan modal tambahan dalam mendapatkan sijil seperti itu.

GBI ialah indeks rating hijau mengenai bangunan-bangunan mesra alam sekitar yang menjimatkan kos utiliti dan mengekalkan kualiti alam sekitar.

Najib juga mengumumkan bahawa pembeli bangunan dengan sijil GBI daripada pemaju akan diberikan pengecualian duti setem untuk instrumen pindah milik.

Jumlah pengecualian itu menyamai dengan kos tambahan yang terbabit dalam mendapatkan sijil GBI dan pengecualian itu akan diberi kepada para pembeli yang melaksanakan perjanjian jual beli dari 24 Oktober 2009 sehingga 31 Disember, 2014. - Bernama

Dana RM100 juta untuk biayai aktiviti kemasyarakatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuh Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan tabungan terbesar RM100 juta untuk membiayai aktiviti kemasyarakatan.

Ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.

Pemudah capai peningkatan memberangsangkan

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) telah mencapai peningkatan memberangsangkan daripada segi ketelusan dan menambah baik proses serta prosedur, menurut Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan hari ini.

Antaranya, pasukan itu telah mengurangkan masa urusan eksport dan pendaftaran hartanah, memudahkan e-transaksi dan pelancaran nombor pengenalan tunggal MyID bagi individu dan MyCoID untuk entiti perniagaan bagi berurusan dengan agensi kerajaan.

"Unit Penyampaian dan Perkhidmatan Prestasi (Pemandu) yang baru dilancarkan untuk menyelaras semua aktiviti berkaitan pencapaian matlamat Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan bidang keberhasilan utama peringkat kementerian, akan turut memberi tumpuan kepada 1Malaysia dan Perpaduan," kata laporan itu.

Unit itu akan menyelaras semua aktiviti berkaitan pencapaian matlamat NKRA serta membangunkan mekanisme pemantauan yang telus serta pelan pelaksanaannya.

Laporan itu juga menyatakan usaha pembaharuan dan penambahbaikan penyampaian secara menyeluruh akan menjadi sebahagian daripada pelan pelaksanaan selain memperkemaskan mekanisme penyampaian perkhidmatan sektor awam.

"Usaha akan dilakukan bagi meningkatkan persepsi dan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam terutama agensi penguatkuasaan," menurut laporan itu. - Bernama

Bajet 2010 batu loncatan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Najib dalam bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion, katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat petang ini.

Najib berkata dalam strategi bagi memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta, mempergiat penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan, memanfaatkan sepenuhnya bidang khusus, memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan menggalakkan industri kreatif.

Bagi strategi kedua iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Katanya dalam strategi ketiga pula, kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam. - Bernama

Inti pati Bajet 2010

KUALA LUMPUR: Berikut ialah inti pati Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Rakyat hari ini.
* Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 2-3 peratus pada 2010

* Perlombongan dijangka meningkat 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus, pembinaan 3.2 peratus dan perkhidmatan 3.6 peratus.
* penggunaan swasta berkembang 2.9 peratus manakala pelaburan swasta 3.4 peratus
* pendapatan per kapita meningkat 2.5 peratus kepada RM24,661

* TNB akan membelanjakan RM5 bilion untuk melaksanakan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik pada 2010
* Usaha sama awam-swasta akan meliputi kompleks imigresen, kastam dan kuarantin bersepadu di Bukit Kayu Hitam, pembinaan enam kampus UiTM dan pusat Matrade.
* 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mewujudkan dana tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti msyarakat.
* Kerajaan akan memperuntukkan RM899 juta untuk meningkatkan industri pelancongan.

* Kerajaan akan meningkatkan insentif cukai kepada penyedia prkhidmatan penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong kesihatan rakyat asing dengan pengecualian cukai pendapatan ditingkatkan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus.
* Pembayar cukai pendapatan individu diberikan pengecualian cukai ke atas langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.
* Penjawat awam dibenar membuat pinjaman untuk membeli komputer setiap tiga tahun sehingga maksimum RM5,000 berbanding sekali setiap lima tahun.
* Merangka Akta Halal dengan usaha sama Majlis Agama Islam negeri-negeri.
* Memperbadankan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sebagai agensi di bawah Miti.
* Menyegerakan Pensijilan Halal oleh Jakim menerusi usaha sama dengan institusi antarabanga bagi memperoleh pensijilan standard seperti HACCP dan GMP.
* Menyediakan RM24 juta untuk membangunkan produk sistem antipenyeludupan produk Halal di tiga pintu masuk utama dan tiga pelabuhan utama.
* Memperuntukkan RM137 juta untuk meningkatkan dan memperbaiki infrastruktur saliran dan perparitan di jelapang padi membabitkan 180,000 petani.
* Memperuntukkan RM70 juta untuk melaksanakan Projek Empangan Paya Peda di Terengganu bagi meningkatkan keupayaan bekalan air untuk Skim Pengairan Padi di Besut.
* Memperuntukkan RM82 juta untuk memodenkan industri akuakultur dan pelaksaan skim latihan keusahawanan bagi ternakan akuakultur, dengan tumpuan terhadap pengeluaran benih ikan dan ikan hiasan.
* Peruntukan RM149 juta untuk untuk bangunkan industri perladangan makanan seperti makanan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung layang-layang.
* Peruntukan RM58 juta untuk bangunkan infrastruktur asas ladang ternakan dan mewujudkan rangkaian bekalan untuk pengeluaran daging dan kambing.
* Konsortium Felda, Felcra dan Risda akan diwujudkan menjelang akhir tahun 2009, dengan modal berbayar RM300 juta dengan setiap agensi menyumbang RM100 juta.
* Kerajaan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM2 bilion untuk petani dan nelayan untuk menjaga kepentingan mereka.
* Peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, dengan RM4.7 bilion untuk projek jalan dan jambatan, RM2.6 bilion untuk bekalan air dan perkhidmatan pembentungan, RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk perkhidmatan pelabuhan dan laut serta RM276 juta untuk projek lapangan terbang.
* Menyepadukan 79 dana PKS kepada 33 untuk memudahkan akses kepada pembiayaan PKS. Akan diselaraskan oleh SME Corp.
* Memperuntuk RM350 juta kepada SME Corp, dengan RM200 juta untuk pinjaman mudah PKS, RM100 juta peningkatan keupayaan dan bakinya untuk penjenaman dan promosi.
* Institusi kewangan meluluskan pembiayaan makro pada purata enam hari dan penyerahan dalam tempoh empat hari.
* Memperuntuk RM538 juta untuk pelaksanaan pelbagai program PKS dengan RM281 juta kepada perbadanan kemajuan ekonomi negeri, RM200 juta untuk Tekun dan RM57 juta untuk membeli premis perniagaan, infrastruktur dan sebagainya.
* Peruntukan RM149 juta untuk untuk bangunkan industri perladangan makanan seperti makanan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung layang-layang.
* Peruntukan RM58 juta untuk bangunkan infrastruktur asas ladang ternakan dan mewujudkan rangkaian bekalan untuk pengeluaran daging dan kambing.
* Konsortium Felda, Felcra dan Risda akan diwujudkan menjelang akhir tahun 2009, dengan modal berbayar RM300 juta dengan setiap agensi menyumbang RM100 juta.
* Kerajaan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM2 bilion untuk petani dan nelayan untuk menjaga kepentingan mereka.
* Peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, dengan RM4.7 bilion untuk projek jalan dan jambatan, RM2.6 bilion untuk bekalan air dan perkhidmatan pembentungan, RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk perkhidmatan pelabuhan dan laut serta RM276 juta untuk projek lapangan terbang.
* Menyepadukan 79 dana PKS kepada 33 untuk memudahkan akses kepada pembiayaan PKS. Akan diselaraskan oleh SME Corp.
* Memperuntuk RM350 juta kepada SME Corp dengan RM200 juta untuk pinjaman mudah PKS, RM100 juta peningkatan keupayaan dan bankinya untuk penjenaman dan promosi.
* Institusi kewangan meluluskan pembiayaan makro pada purata enam hari dan penyerahan dalam tempoh empat hari.
* Memperuntuk RM538 juta untuk pelaksanaan pelbagai program PKS dengan RM281 juta kepada perbadanan kemajuan ekonomi negeri, RM200 juta untuk TEKUN dan RM57 juta untuk membeli premis perniagaan, infrastruktur dan sebagainya.
* Memperkenal insurans asas dan skim takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010.
* Memperluas liputan takaful dan insurans mikro kepada peniaga kecil, dengan manfaat perlindungan daripada RM10,000 kepada RM20,000, pada premium serendah RM20 sebulan.
* Pasaran saham akan diliberalisasikan lagi untuk meningkatkan kecekapan.
* Meliberalisasi aturan perkongsian komisyen antara broker saham dan remisier dengan membenarkan perkongsian pembrokeran fleksibel pada kadar minimum 40 peratus dan meliberalisasikan sepenuhnya perkongsian komisten berkuat kuasa 1 Januari, 2011.
* Membenarkan penyertaan 100 peratus ekuiti asing dalam syarikat perancangan kewangan dan kewangan korporat.
* Semua syarikat senaraian awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat pemerokeran saham menyediakan opsyen e-pembayaran.
* Insentif cukai sedia ada untuk perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015.
* Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen pembangunan kewangan Islam.
* Pengecualian cukai ke aras keuntungan bank dariapda operasi luar negara.
* Potongan berganda perbelanjaan yang ditanggung untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan antarabangsa.
* Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penubuhan syarikat-syarikat pembrokeran Islam.
* Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penerbitan sekuriti.
* Kerajaan akan menggalakkan semua institusi perbankan dan kewangan yang mematuhi syariah seperti Bank Muamalat dan Bank Islam untuk menawarkan skim Ar-Rahnu.
* Kerajaan akan memastikan koridor pembangunan serantau dimajukan mengikut jadual. Setakat ini 126 daripada 195 projek perancangan di pelbagai peringkat pelaksanaan. Pelaburan yang dirancang berjumlah RM221 bilion sudah mengatasi sasaran perbelanjaan Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak RM145 bilion.
* Kerajaan akan memperuntukkan RM3.5 bilion untuk kemudahan asas dan infrastruktur serta program latihan dan projek sosio ekonomi untuk menyokong pelaksaan projek sektor swasta.
* Kerajaan kini dalam peringkat awal menyiapkan kajian pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Kadar itu akan dikurangan berbanding cukai perkhidmatan dan jualan semasa.
* Cukai pendapatan bagi 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh mulai 2009 akan dibenar dibayar secara ansuran dalam lima tahun.
* Cukai lima peratus akan dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah mulai 1 Jan, 2010.
* Cukai perkhidmatan RM50 dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj serta RM25 setahun bagi setiap kad tambahan mulai 1 Januari, 2010.
* RM100,000 dikenakan untuk setiap AP untuk pemegang kad AP terbuka berkuatkuasa 1 Januari, 2010. Sebahagian daripada kutipan akan disalurkan kepada dana pembangunan Bumiputera dalam sektor automatif.
* Akan memperkenal skim insurans asas dan takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010.
* Akan memperluas liputan insurans mikro dan takaful untuk peniagaan kecil mendapat manfaat daripada perlindungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.
* Pasaran saham diliberalisasikan untuk kecekapan.
* Membenarkan penyertaan ekuiti asing 100 peratus dalam kewangan korporat dan perancangan kewangan.
* Semua syarikat senarai awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat broker saham menyediakan opsyen e-pembayaran.
* Insentif cukai semasa untuk majukan perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015.
* Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen kewangan Islam.
* Pengecualian cukai ke atas keuntungan perbankan yang diperoleh menerusi operasi luar negara.
* Mulai 1 Januari 2010, kerajaan bersetuju membenarkan agensi kerajaan mengekalkan 50 peratus sewa yang diterima manakala baki 50 peratus lagi dimasukkan dalam perolehan kerajaan.
* Kerajaan akan laksana sistem pengurusan subsidi bahan api pada awal 2010.
* Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan kepada 26 peratus daripada 27 peratus berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010.
* Kadar cukai maksimum koperasi akan dikurangkan kepada 26 peratus manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin akan dikurangkan kepada 26 peratus.
* Pengecualaian cukan persendirian akan dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010.
* Kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi pendapatan pekerja Malaysia dan pekerja asing yang menetap dan bekerja di Iskandar Malaysia sebanyak 15 peratus berbanding maksium 26 peratus untuk seluruh negara.
* RM14.8 bilion diperuntuk untuk mengurus, membangun dan menaik taraf hospital dan klinik.
* Kerajaan akan terbitkan Sukuk 1Malaysia bernilai RM3 bilion.
* Kerajaan akan mewujudkan Skim Persaraan 1Malaysia yang diurus oleh KWSP. - Bernama

Bajet 2010 bukti komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR: Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah "Bajet Untuk Rakyat" yang jelas membuktikan komitmen kerajaan ke arah mengutamakan kebajikan rakyat.

Ia turut memberi manfaat kepada golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana serta menyediakan peruntukan besar kepada bidang pendidikan, pertanian, infrastruktur dan kesihatan dan secara tidak langsung memberi banyak faedah kepada negeri-negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata bajet itu sesuai dengan slogan 1Malaysia yang memberi keutamaan tinggi kepada rakyat.

Katanya, contoh paling jelas ialah pengumuman pemberian subsidi dan insentif RM2 bilion kepada sektor pertanian termasuk subsidi harga padi, baja padi dan elaun sara diri kepada nelayan.

"Pemberian subsidi dan insentif akan mampu mengangkat dan membantu rakyat miskin (untuk keluar) daripada lembah kemiskinan," katanya kepada pemberita di IPOH hari ini.

Dr Zambry berkata, peruntukan RM30 bilion untuk pendidikan termasuk pembangunan prasarana, pula menunjukkan kerajaan sedar bahawa hanya dengan pendidikan masalah kemiskinan rakyat dapat diselesaikan dengan berkesan.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan, pertanian, infrastruktur dan kesihatan mampu mengeluarkan rakyat daripada garis kemiskinan.

Katanya, selain bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi, bajet ini juga mampu mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi global dan sekali gus membina asas kekuatan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia selaras dengan gagasan ekonomi 1Malaysia.

"Kerajaan negeri Melaka mengalu-alukan dan menyambut baik bajet ini. Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan kerana membentangkan bajet yang komprehensif demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kakitangan awam gred 41 hingga gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara kerajaan yang turut menerima bayaran khas RM500 yang sebelum ini hanya dinikmati oleh kakitangan kumpulan sokongan.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menyifatkan Bajet 2010 bukan sekadar bajet untuk semua rakyat Malaysia tetapi akan turut memberi manfaat kepada Perlis sebagai sebuah negeri pertanian.

Katanya, ini kerana bajet yang dibentang oleh Perdana Menteri memberi penekanan kepada memajukan sektor pertanian di negara ini.

"Ia turut memperjelaskan gagasan 1Malaysia yang memberi ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup.

"Bajet ini bukan sekadar memacu konsep 1Malaysia tetapi juga memacu pembangunan yang menyeluruh untuk dinikmati rakyat negara ini," katanya. - Bernama

Muhyiddin yakin unjuran defisit Bajet 2010 realistik

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin unjuran defisit bajet daripada 5.6 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tahun depan adalah realistik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bukan hanya berlegar pada isu cukai pendapatan tetapi juga sektor lain yang kerajaan percaya ianya penting, termasuk subsidi.

"Contohnya, terdapatnya pengagihan semula subsidi hanya kepada sektor yang kami percaya amat memerlukannya serta sektor yang agak penting.

"Sudah tentu cukai akan dikenakan kepada beberapa perkara yang mana kami percaya ia akan menambah kepada pendapatan kerajaan.

"Jadi, ia realistik dan berdasarkan kepada pelbagai sektor yang kami percaya boleh menyumbang kepada pengurangan defisit," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan defisit Kerajaan Persekutuan pada 2010 dijangka berada dalam kedudukan baik iaitu 5.6 peratus daripada KDNK berbanding dengan 7.4 peratus pada 2009, dengan mengambil kira anggaran pendapatan dan perbelanjaan.

Pendapatan Kerajaan Persekutuan pada 2010 dijangka berkurangan 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion berbanding RM162.1 bilion tahun ini.

Muhyiddin berkata, fokus utama kerajaan pada masa ini ialah mengurangkan defisit dengan mengagihkan apa sahaja pendapatan yang ada kepada sektor yang perlu atau penting. - Bernama

Bajet 2010: RM30 bilion untuk sektor pendidikan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan RM30 bilion untuk pendidikan menengah dan rendah, pemberian biasiswa dan tingkat prasarana termasuk membina 80 sekolah baru, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pembinaan sekolah baru itu membabitkan sekolah kebangsaan rendah dan menengah, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh.

Daripada jumlah itu, peruntukan RM1.1 billion untuk mengubahsuai dan naik taraf sekolah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dana RM200 juta tingkat industri kreatif: Bajet 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan dana industri kreatif berjumlah RM200 juta bagi membiayai aktiviti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Subsidi sektor pertanian hampir RM2 bilion: Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan subsidi dan insentif hampir RM2 bilion untuk sektor pertanian tahun depan termasuk susbidi harga padi (RM400 juta), subsidi baja padi (RM300 juta) dan elaun sara hidup nelayan (RM130 juta).

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.

Ekonomi negara dijangka berkembang 2-3 peratus

KUALA LUMPUR; Ekonomi negara dijangka berkembang kepada 2 hingga 3 peratus tahun depan dengan semua sektor ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor perlombongan dijangka mengalami pertumbuhan 1.1 peratus, pembuatan (1.7 peratus), pertanian (2.5 peratus), pembinaan (3.2 peratus) dan sektor perkhidmatan kekal menjadi penggerak utama, berkembang 3.6 peratus.

Pertumbuhan ekonomi ini juga didorong oleh penggunaan swasta sebanyak 2.9 peratus dan pelaburan swasta yang kembali pulih 3.4 peratus, katanya semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.

Di samping itu, katanya, peningkatan semula eksport sebanyak 3.5 peratus dianggar turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, kadar inflasi kekal rendah antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus dan kadar pengangguran rendah di bawah 4 peratus.

Katanya, pendapatan perkapita rakyat meningkat 2.5 peratus kepada RM24,661 dan pendapatan daripada segi pariti kuasa beli meningkat kepada AS$13,177.

Mengenai pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion yang dilancarkan November tahun lepas dan Mac tahun ini, beliau berkata lebih 48,000 projek telah siap dan hampir 40,000 projek sedang dilaksanakan setakat 16 Oktober tahun lalu.

Najib berkata, semua pelaksanaan pakej rangsangan itu adalah mengikut jadual dan telah berjaya mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi yang teruk.

"Pakej rangsangan ini merupakan antara yang terbesar dan komprehensif daripada segi jumlah dan liputan berbanding negara lain," katanya.

Najib berkata, Malaysia kini akan beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti nilai tambah tinggi bagi membolehkannya untuk kekal relevan dalam persaingan ekonomi global.

Perdana Menteri berkata, inovasi merupakan agenda utama negara dan kerajaan akan mentransformasikan negara melalui proses inovasi yang menyeluruh.

Ini merangkumi inovasi tadbir urus dalam sektor awam dan swasta, inovasi dalam kemasyarakatan, inovasi bandar, inovasi desa, inovasi korporat, inovasi industri, inovasi pendidikan, inovasi penjagaan kesihatan, inovasi pengangkutan, inovasi jaringan keselamatan sosial dan inovasi penjenamaan.

Sebahagian daripada proses inovasi itu sedang dilaksanakan melalui pelbagai langkah seperti Gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara(NKRA), Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan model ekonomi baru.

"Kerajaan amat komited dan serius untuk melakukan inovasi menyeluruh untuk membawa negara ke tahap ekonomi lebih maju. "Innovatif Leadership for 1United, Innovative Malaysia" (Kepimpinan Inovatif Bagi 1Malaysia Yang Bersatu, Inovatif)," katanya. - Bernama

Kerajaan gubal Akta Pendedahan Salah Laku bagi perangi rasuah

KUALA LUMPUR: Akta Pendedah Salah Laku akan digubal bagi

menggalakkan pemberi maklumat tampil membuat pendedahan jenayah rasuah dan salah laku yang lain, kata Datuk Seri Najib Razak.

Mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri berkata akta itu akan memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada dikenakan tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan yang dilakukan.

Penggubalan akta itu adalah antara langkah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerajaan untuk memerangi rasuah ke arah membentuk masyarakat yang bersih dan dihormati.

Bagi melaksanakan NKRA itu, Najib mengumumkan bahawa 14 buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah akan ditubuhkan.

Pada masa ini hanya terdapat dua buah mahkamah khas berkenaan di Kuala Lumpur dan dua lagi di Shah Alam.

Najib juga berkata usaha meningkatkan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan termasuk mengadakan persidangan memerangi rasuah peringkat antarabangsa, kempen kesedaran melalui media massa dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.

Beliau berkata langkah-langkah yang diambil bertujuan meningkatkan lagi keyakinan dan persepsi masyarakat dalam membanteras rasuah di kalangan anggota penguatkuasa dan pentadbiran awam serta memastikan proses prosedur perolehan kerajaan dipatuhi.

"Langkah ini akan dapat memastikan negara berada di kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa," katanya. - Bernama

Bajet 2010: RM3.7 bilion pertingkat pasukan keselamatan

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3.7 bilion akan diberikan kepada pasukan keselamatan bagi mempertingkatkan lagi kecekapan anggotanya termasuk menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sejumlah RM1 bilion akan disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 bagi memastikan matlamat kerajaan untuk melaksanakan langkah mencegah jenayah yang dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) terpenting negara.

"Kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus termasuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen hari ini.

Beliau berkata antara langkah yang diambil ialah dengan menyediakan balai polis bergerak di 50 "hot spots" yang dikenal pasti di kawasan berisiko tinggi bagi meningkatkan kehadiran anggota polis agar orang awam merasa yakin dan selamat.

Langkah lain ialah mempertingkatkan latihan dan kecekapan 3,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam untuk melakukan rondaan bersama polis serta meningkatkan kempen pencegahan jenayah dan melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti masyarakat, katanya.

Najib berkata keselamatan sempadan negara juga turut diberi perhatian serius dengan menyediakan sejumlah RM1.9 bilion untuk meningkatkan kelengkapan anggota tentera serta membina dan menaik taraf pos kawalan.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut diberikan RM622 juta bagi memastikan kawasan perairan negara bebas daripada penyeludupan dan pencerobohan termasuk ancaman lanun, katanya. - Bernama