Followers

Wednesday, December 16, 2009

Sabah & Sarawak: Premis kotor tempat biak nyamuk


KURUP (kiri) melawat demonstrasi membuat baja kompos oleh kakitangan Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, sempena Gotong-Royong Perdana Banteras Denggi di Sook.

Sembur asap tak berkesan jika penduduk buang sampah merata

KENINGAU: Sikap segelintir anggota masyarakat membuang sampah merata-rata dan tidak mengendahkan kebersihan sekeliling premis masing-masing, dikenal parti punca merebaknya demam denggi hingga meragut beberapa nyawa di Sook, dekat sini.

Walaupun jumlah kematian akibat penyakit berkenaan belum mencapai tahap serius, ia perlu dibanteras melalui kaedah memulihara kebersihan di kawasan tempat tinggal.

Ketika memberi peringatan itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup menegaskan, tiada guna Jabatan Kesihatan menyembur asap mencegah pembiakan nyamuk aedes jika anggota masyarakat sendiri tidak mahu mengambil berat aspek pemeliharaan kebersihan.

"Wabak denggi boleh dicegah jika kita mempunyai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bagaimanapun, masih ada anggota masyarakat yang degil dan tidak mahu membersihkan persekitaran tempat tinggal sendiri kerana malas. Hanya selepas diserang denggi, barulah hendak membersihkan persekitaran yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Beliau berucap pada majlis gotong-royong perdana membanteras wabak denggi sempena Karnival Alam Sekitar di pekan Sook, dekat sini semalam.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ellron Alfred Angin; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Abdul Razak Abdul Manaf dan Penolong Pegawai Daerah Sook, Jasli Tindi.

Program itu dihadiri kira-kira 500 penduduk sekitar pekan Sook yang membersihkan parit dan kawasan sekitar pekan ini bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Sehubungan itu, Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, mengajak anggota masyarakat supaya sama-sama melaksanakan tanggungjawab memelihara kebersihan bagi memastikan mereka tidak diserang penyakit berbahaya itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah penduduk di kawasan berkenaan yang menghidap denggi.

Kurup juga mengingatkan petani supaya mematuhi garis panduan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar ketika meneroka hutan dan membersihkan ladang.

Katanya, pembakaran hutan secara terbuka bukan setakat mencemari udara, malah memusnahkan sumber alam semula jadi yang seharusnya dikekalkan demi kesejahteraan kesihatan.

Malaysia harap persidangan di Copenhagen capai hasil konkrit: PM

COPENHAGEN: Malaysia berharap Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa 2009 (COP15) berakhir dengan perjanjian yang mengikat atau sekurang-kurangnya komitmen politik semua negara untuk menangani kesan perubahan iklim dunia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, amat penting bagi persidangan Copenhagen mencapai persetujuan itu kerana kegagalan akan memburukkan keadaan akibat perubahan iklim, sekali gus menjejaskan masa depan manusia sejagat.

"Yang kita akan utamakan ialah perjanjian yang mengikat dan sekiranya perjanjian yang mengikat itu tidak dapat dicapai, kita akan mengesyorkan supaya komitmen politik dibuat dalam bentuk deklarasi yang dipersetujui semua ketua kerajaan.

"Adalah amat penting sidang Copenhagen ini mencapai kejayaan kerana soal perubahan iklim ini begitu mendesak lagi kritikal. Sejak Deklarasi Bali selama dua tahun negara di dunia ini berusaha untuk mencapai kata sepakat.

Justeru jika sidang Copenhagen ini gagal implikasinya sangat buruk kepada survival masa depan manusia sejagat kerana kesan burk termasuk mala petaka yang akan berlau engan lebih dahsyat lagi sehingga keadaan di planet ini menjurus kepada keadaan yang mengancam survival masa depan manusia," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Najib tiba di sini jam 6.45 pagi semalam (1.45 petang waktu Malaysia) bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, untuk menghadiri sesi persidangan peringkat pemimpin esok.

Mereka disambut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, dan Duta Malaysia ke Sweden, Datuk Kamarudin Mustafa.

Perdana Menteri akan berucap pada persidangan itu esok bagi menyatakan sumbangan dan komitmen Malaysia bagi menangani perubahan iklim dunia.

COP 15 yang berlangsung selama 11 hari mulai 7 Disember lalu itu disertai 192 negara dan 110 ketua kerajaan.

Mengenai perjalanan persidangan itu setakat ini, Najib berkata pendirian antara negara maju dan membangun masih agak jauh berbeza.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia berharap akan berlaku penyatuan dalam pendirian masing-masing supaya dapat dicapai persetujuan pada sidang Copenhagen ini.

"Amat sukar untuk kita menyatakan apa bentuk penyudahannya dalam sidang ini, saya sudah diberitahu menteri alam sekitar yang mengikutinya sejak mula bahawa berlaku percanggahan yang agak ketara di antara negara maju dan sedang membangun dan ada usaha seperti menolak Protokol Kyoto atau sebagainya.

"Kita berharap dalam sehari dua ini akan berlaku pendirian yang dapat menjuruskan kepada kata sepakat," katanya.

Ditanya pendirian negara pada sidang kali ini, Perdana Menteri berkata Malaysia mahu negara maju memberi komitmen bagi pengurangan pelepasan karbon dioksida atau gas rumah hijau yang tetap dalam jangka waktu tertentu dan diwujudkan dana dengan nilai yang munasabah untuk kegunaan negara membangun.

Beliau berkata, Malaysia juga menentang sebarang usaha menetapkan sasaran wajib untuk negara membangun mengurangkan pelepasan karbon atau mengaitkannya dengan perdagangan.

"Bagi negara membangun, kita harap mereka dapat menentukan sasaran yang berasaskan kemampuan masing-masing secara suka rela. Kita juga menentang sebarang usaha mengaitkan dengan perdagangan dan sebagainya," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan mendidik rakyat bagi memberi kefahaman berhubung peranan yang boleh mereka mainkan bagi menjayakan komitmen negara kepada usaha menangani perubahan iklim.

"Proses pendidikan amat penting untuk rakyat memahami peranan yang perlu dimainkan rakyat dan sekiranya kerajaan melaksanakan apa-apa dasar maka mereka sedia menerimanya," katanya.

Amaran angin kencang, laut bergelora

KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer (km) sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di perairan Condore, Reef North dan Layang-layang di Laut China Selatan dijangka berterusan sehingga 23 Disember depan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, kegiatan sukan dan rekreasi laut, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.

Angin kencang Timur Laut itu juga diramal berlaku di perairan Samui (Kalantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (pantai Barat dan Kudat) dan Palawan bermula esok hingga 23 Disember depan.

Sehubungan itu, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) adalah terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sepanjang tempoh tersebut, kata kenyataan itu.

Keadaan ini juga amat berbahaya kepada bot-bot kecil, sukan dan rekreasi laut.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran bahawa ribut petir yang berlaku di perairan Sabah (Bahagian Pantai Barat), Condore dan Reef North dijangka berterusan sehingga tengah hari ini.

Keadaan ini turut menyebabkan angin kencang sehingga 40 km sejam dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

Malaysia-Kuwait mahu kerjasama jangka panjang pelbagai bidang

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kuwait perlu mengadakan lebih banyak pertukaran lawatan peringkat tinggi dan memperluaskan lagi ikatan ekonomi, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong.

Beliau memberitahu Duta Khas Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kuwait, Mohammed Al-Ahmed Al-Mejren Al-Roumi, yang mengunjungi beliau Isnin lepas, bahawa kerajaan Malaysia senang dengan hubungan baik dengan Kuwait dan berharap dapat mempertingkatkan kerjasama dalam semua bidang untuk faedah bersama.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, kedua-dua negara juga bersetuju meninjau bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, kewangan dan perbankan serta industri Halal untuk kerjasama jangka panjang.

Jumlah perdagangan bilateral antara Malaysia dan Kuwait mencapai RM2.954 bilion pada 2008. - Bernama

Majikan disaran benar pekerja pulang awal saksi Malaysia lawan Vietnam

KUALA LUMPUR: Bahang kejayaan pasukan bola sepak Sukan Sea negara memasuki perlawanan akhir untuk menentang Vietnam esok, turut terasa di Dewan Negara apabila majikan disaran agar membenarkan pekerja mereka pulang lebih awal bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan itu.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang berkata pertandingan akhir itu akan ditayangkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) jam 6 petang.

"Mungkin majikan boleh benarkan pekerja masing-masing balik awal, ataupun boleh sediakan televisyen di pejabat supaya pekerja-pekerja dapat menonton," katanya ketika menjawab soalan Senator Fatimah Hamat pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Razali berkata pasukan negara sudah pasti akan menghargai sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia, sekali gus akan memberi kesan yang besar kepada pembangunan sukan negara.

"Ia tidak ada nilaian wang ringgit, tetapi sumbangan dari majikan dalam menyokong pembangunan bola sepak saya pasti pasukan negara akan menghargai perkara ini," katanya.

Menjawab soalan Fatimah mengenai langkah yang dilakukan kementerian berkenaan untuk menarik minat badan korporat (CSR) dan syarikat besar tempatan menunaikan tanggungjawab sosial korporat dalam bidang sukan, Razali berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula dengan pendekatan baru di bawah Insentif Penajaan CSR mulai suku pertama tahun depan.

Beliau berkata ia bagi menggantikan Program Rakan Sukan yang pernah diperkenalkan pada 1994.

"Di bawah program ini, pihak penaja dan kerajaan akan berbincang bagi merumuskan satu formula baru yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak sebelum pihak penaja dipadankan dengan sukan atau persatuan sukan yang dipersetujui bersama oleh penaja dan persatuan sukan kebangsaan," katanya.

Beliau berkata dengan cara ini, pihak penaja akan mempunyai kepelbagaian dan kedudukan yang lebih strategik bagi merangka strategi pemasaran mereka dan dijangka program itu akan dapat menarik syarikat-syarikat baru untuk turut serta dalam penajaan acara sukan. - Bernama

PM lancar serentak klinik 1Malaysia 7 Januari

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan secara serentak 50 Klinik Kesihatan 1Malaysia yang berkonsepkan mesra rakyat, 7 Januari depan.

Ia diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, selepas melawat tapak klinik 1Malaysia, Pantai Dalam Kampung Kerinchi, di sini, pagi ini.

Jangan guna telefon bimbit di stesen minyak: Petronas

KUALA LUMPUR: Kebakaran membabitkan dua kereta berlaku di Stesen Petronas Bandar Indera Mahkota di Kuantan semalam mengakibatkan kecederaan ringan terhadap pemandu kereta berkenaan.

Kenyataan dari Petronas Dagangan Berhad hari ini menjelaskan bahawa kemalangan jam 9.15 pagi itu berlaku di pam stesen itu dan api segera dipadamkan oleh kakitangannya.

Pemandu kereta pertama cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar di Hospital Besar Tengku Ampuan Afzan sementara penumpang kereta kedua masih di bawah perhatian di hospital itu.

Pihak berkuasa dan wakil Petronas Dagangan ketika itu berada di tempat kejadian untuk membantu dan menjalankan siasatan lanjut tentang sebab kejadian itu.

Stesen itu kini ditutup sementara, kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Petronas Dagangan Berhad menasihatkan pelanggan mematuhi peraturan keselamatan di semua stesennya yang melarang keras penggunaan telefon selular, merokok dan membiarkan enjin hidup semasa mengisi minyak.

"Kami ingin menegaskan bahawa kami menganggap keselamatan pelanggan, pekerja, kontraktor dan orang awam sebagai amat penting di semua kawasan operasi kami," kata kenyataan itu.
- Bernama