Followers

Friday, August 14, 2009

H1N1: Hanya 6 kem PLKN masih ditutup

KUALA KANGSAR: Hanya enam daripada 34 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditutup sebelum ini akibat jangkitan Inluenza A (H1N1), belum dibuka semula.

Enam kem itu ialah Kem PLKN Rimba Taqwa di Sik, Kedah, yang akan dibuka semula pada Isnin depan; Kem PLKN Beringin di Langkawi (18 Ogos); Kem PLKN Segari di Lumut, Perak (17 Ogos); Kem PLKN Millenium di Behrang, Perak (19 Ogos); Kem PLKN Sri Ledang di Johor (17 Ogos); dan Kem PLKN Gambang di Pahang (20 Ogos).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pihak pengurusan setiap kem telah menjalankan prosedur pembersihan dan penjagaan seperti yang diarah oleh Kementerian Kesihatan semasa kem berkenaan ditutup.

Beliau berkata kepada pemberita demikian selepas melancarkan kempen mengibarkan Jalur Gemilang di Kem PLKN Tangkas Kendiri di Sauk dekat sini hari ini.

Mengenai kempen mengibar Jalu Gemilang, Abdul Hai berkata bendera kebangsaan itu perlu dikibar di semua bangunan terutama di kawasan hadapan dan pagar kem PLKN yang menghadap ke jalan utama.

"Kempen ini juga langkah PLKN menerap dan mempertingkat tahap kerohanian yang tinggi bagi pelatih," katanya. - Bernama

H1N1: Lima lagi kematian dilaporkan

KUALA LUMPUR: Lima lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) termasuk dua bayi berusia dua bulan, dilaporkan sehingga jam 8 pagi tadi, menajadikan keseluruhan 56 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kes lain membabitkan seorang wanita berumur 49 tahun yang obes serta mengalami diabetes dan tuberkulosis.

Katanya, dua lagi kes kematian pula membabitkan seorang lelaki berumur 57 tahun yang mengalami diabetes dan seorang lelaki berusia 19 tahun.

"Jumlah kematian telah membabitkan bilangan yang tinggi iaitu 56 kes. Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor penyumbang kematian seperti risiko kesihatan sebanyak 70 peratus.

"Sebanyak 40 peratus pula didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal manakala 13 peratus kematian didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, terdapat seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 27 lagi dirawat di ICU.

Katanya, daripada 27 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 18 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (4), kanak-kanak (2), hamil (1) dan selepas bersalin (1).

H1N1: Hampir 150 kes baru sehari di Portugal

LISBON: Portugal terus mencatat peningkatan mendadak kes jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) apabila 149 disahkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Ia menjadikan kes terkumpul jangkitan H1N1 kepada 884 sejak Mei, menurut kenyataan Kementerian kesihatan.

Ia juga adalah jumlah kes tertinggi dalam sehari dilaporkan setakat ini.

Portugal kini mencatat 11 kematian akibat H1N1. - AFP

Kawasan panas H1N1 mungkin diumumkan: TPM

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membincangkan dengan pegawai Kementerian Kesihatan kemungkinan mengumumkan kepada orang ramai kawasan atau lokasi panas di negara ini yang banyak mencatatkan kes Influenza A(H1N1).

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara kini pada peringkat mencari jalan menangani penularan virus wabak itu kerana tahap mengkuarantin telah dilaksanakan kira-kira sebulan lalu.

"Ia boleh dikatakan kita pada peringkat membimbangkan. Bagaimanapun kita telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk menangani masalah ini. Kita tidak ada untuk disembunyikan dan maklumat diberikan kepada orang ramai setiap hari melalui media.

"Dari situ kita boleh tahu lokasi seperti jika sebuah sekolah ditutup di sesuatu kawasan. Sungguhpun peratus kes H1N1 di negara masih lagi rendah berbanding dengan jumlah keseluruhan penduduk, kita tidak boleh ambil ringan dengan ancaman ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara tindakan yang diambil kerajaan ialah memastikan semua hospital di negara ini termasuk hospital swasta menyediakan ubat H1N1, Tamiflu.

"Kesedaran orang ramai juga ditingkatkan. Kini semua hospital tahu langkah-langkah yang akan diambil untuk merawat mereka yang dijangkiti virus ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun mungkin ada sesetengah lokasi di negara ini yang belum lagi mencatatkan pesakit Influenza A(H1N1), ini tidak bermakna lokasi itu bebas daripada virus berkenaan.

Katanya, kerajaan tidak mengambil ringan dalam mengendalikan H1N1 kerana ia membabitkan nyawa orang ramai dan tindakan penting diambil bagi membendung penyakit itu

"Mengenai kawasan panas, kita perlu tahu jika ia akan membantu membendung penularan penyakit itu. Jika Kementerian Kesihatan merasakan bahawa ia akan membantu, barulah kita akan teruskan dan memaklumkan lokasi-lokasi berkenaan.

"Ini berbeza dengan jerebu, kita siarkan kawasan panas. Jerebu boleh dilihat dengan mata kasar tetapi bukan H1N1. Jadi kita hendaklah berhati-hati," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta telah diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk menyimpan bekalan Tamiflu. - Bernama